Membuat keputusan untuk berkahwin
bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang
berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan
Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, ‘dulu
lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin‘. Setiap
pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia
buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.
Al-Ustaz Jasim Muhammad
al-Mutawwa’, bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab
berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau
tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin. Taaruf
yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan
perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam
menjalani kehidupan berumahtangga. Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui
alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui
panggilan telefon, sms, chatting
dan sebagainya.
Percintaan
sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan
ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang
penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka. Alam
percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing
berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya. Setelah
berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk
yang selama ini disembunyikan.
Untuk mengenali calon pasangan
hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa’ mencadangkan
agar anda mengajukan 10 soalan. Soalan-soalan ini boleh diajukan secara
langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih
untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan
secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci
dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi
orang ketiga di antara anda dengan si dia.
10 soalan itu
adalah:
1. Apakah
wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan
dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui
mengenai bakal pasangan hidup anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan
dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan
berkurangan.
2.
Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau
gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua
pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap
perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu
pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal
dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah
sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap
pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak
disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan
kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih
awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah
pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan
yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya
satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk
bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan
perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia
mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan yang kronik
atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui
adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal
diambil. Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan
boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia
seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul
dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata
tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan
sukar didampingi. Orang macam mana yang anda cari?
7. Bagaimana
hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian bukan sekadar akad
yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan
kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal
tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama
lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian
seseorang.
8. Apakah
kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang
memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta
cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia
aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan
kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan
kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong
dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan
wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati
sebagai insan yang kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup
sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang
zaman-berzaman.
10. Apakah
pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan
rumahtangga mereka?
Setengah orang menganggap
rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang
boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui
oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan
bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam
golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada
kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga? Apabila anda telah mendapat jawapan
yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk
melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.
Pastikan anda mengenali jejaka/wanita
yang melamar/menerima itu dengan menganalisakannya 10 soalan di atas.
Ihsan dari - Norsa'idah
No comments:
Post a Comment