DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Tuesday, April 5, 2016

Hikmah, Faedah dan Hukum Solat Jammah (Wajib Baca dan Luangkan Masa 5 minit)

Solat merupakan perkara utama dalam hidup setiap muslim. Solat adalah rukun yang kedua dari rukun Islam, iaitu selepas dua kalimah syahadah dan ianya sebagai dalil terhadap kebenaran dan kesahihan iktikad. Solat juga sebagai bukti tentang kejujuran terhadap apa-apa yang telah diyakini oleh hati. Solat dari segi syara’ bererti: Perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan berakhir dengan salam. Dalil tentang wajibnya solat ini terdapat di dalam Al-Quran, Hadis dan Ijma’ ulama’. Dari Al-Quran terdapat banyak sekali ayat tentangnya, antaranya firman Allah SWT: “Maka dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali (agama) Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.” (Al-Hajj: 78).
Manakala dari hadis Rasulullah  SAW: “Islam itu dibina di atas lima rukun: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah Al-Haram bagi mereka yang mempunyai kemampuan untuk menunaikannya”. (HR Al-Bukhari:No. 8 dan Muslim:No. 16). Dari ijma’ ulama’: Telah bersepakat seluruh ulama’ tentang kewajipan solat, bahawa ia adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima; yang mana Islam seorang itu tidak diterima tanpanya. (Lihat: Majalah “Hazihi Sabili” bil: 5 1403H, ms: 276.)

SOLAT JAMAAH:
Di antara kesempurnaan solat itu ialah menunaikannya secara berjamaah sebagaimana amalan Rasulullah  SAW. Baginda  SAW sentiasa menunaikan solat secara berjamaah hatta ketika peperangan dan musafir, apatah lagi dalam keadaan biasa dan tidak bermusafir. Antara hikmah pensyariatan solat berjamaah ialah;
#. Keagungan Islam akan bangkit di atas dasar perkenalan sesama muslim, persaudaraan dan tolong menolong sesama mereka untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
#. Tidak ada lapangan yang lebih baik yang akan menyempurnakan perkenalan serta persaudaraan mereka, selain daripada lapangan masjid, iaitu orang-orang Islam dapat bertemu sesama mereka untuk mendirikan solat secara berjamaah sebanyak lima kali sehari.
#. Walaupun kepentingan dan kemaslahatan dunia boleh memecah-belahkan mereka dan mencetuskan perasaan hasad dengki sesama mereka, pertemuan secara berterusan dalam menunaikan solat secara berjamaah merupakan suatu formula yang boleh memecahkan tembok yang membeza dan memisahkan mereka serta menghilangkan hasad dengki dan segala penyakit daripada hati mereka.

Ini akan berlaku sekiranya mereka benar-benar beriman kepada Allah dan bukannya menjadi orang munafik yang menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan solat, ibadat dan pergi ke masjid. (Fiqh al-Manhaji 1/178). Solat jamaah juga satu manifestasi kasih sayang, penyatuan dan peraturan di antara orang Islam. Apabila orang Islam dari seluruh dunia menghadap ke arah kiblat yang satu ketika solat, mereka akan merasai satu penyatuan dan persamaan serta melupakan perbezaan di antara mereka. Ini kerana mereka semua adalah hamba Allah, Tuhan mereka satu, kiblat mereka satu dan agama mereka satu. Tiada perbezaan di antara yang kaya dan miskin, yang tinggi dan rendah (kedudukannya). Orang Islam memastikan arah yang betul ketika menghadap kiblat dan mereka tidak boleh cuai atau tersasar. Ini akan mendidik mereka untuk bersifat adil di dalam segenap aspek kehidupan mereka dan meletakkan semua perkara di tempatnya yang sebenar.

Dari Abu Mas’ud Al-Ansari ra katanya: “Sesungguhnya Rasulullah  SAW telah merapatkan bahu-bahu kami ketika hendak mendirikan solat sambil Baginda bersabda: “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang-bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf yang paling dekat denganku, terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya dari kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikut saf seterusnya orang yang baligh tetapi belum matang pemikirannya atau orang-orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya orang yang kurang dari darjat di atas (kanak-kanak yang telah mumaiyiz dan yang sepertinya)“. Berkata Abu Mas’ud ra: ” Aku melihat kamu semua hari ini sangat kuat berselisih dan bertelingkah”. (HR Imam Muslim No. 422).
Dalam hadis ini Rasulullah SAW menjanjikan bahawa saf solat yang bengkang-bengkok akan membawa kepada perpecahan dalaman iaitu hati. Kata ulama’; bila hati tidak bersatu maka perpaduan tidak akan wujud. Seterusnya membawa kepada perselisihan dan pertelingkahan dalam masyarakat. Daripada Abdullah bin Umar r.a, katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika meluruskan dan merapatkan saf dan jangan sekali-kali membiarkan ruangan-ruangan kosong saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya, nescaya Allah SWT menyambungkan rahmat-Nya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf, nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmat-Nya dan inayah-Nya daripada orang tersebut”. (HR Abu Daud No:666, “Sahih”).

Solat juga mendidik seseorang tentang kepentingan menjaga masa dan menghargainya. Ia mengajarnya cara untuk membahagikan masa dan menyusunnya. Dengan sendirinya dia akan menjadi seorang yang menepati masa dan teratur di dalam setiap urusannya. Apabila dia menunaikan solat secara berjamah, maka dia wajib mengikut imam, ketika berdiri, rukuk dan sujud, dia akan belajar erti kepatuhan dan penyerahan, berdisiplin dan teratur. (Lihat: Dr. Abdullah Mohd Al-Tayyar, Al-Solat: 24-25). Berkata Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani –rahimahullah: “Dan demikian lagi setengah daripada orang yang memeliharakan akan solat dan mendirikan baginya, ia mengekalkan dan menyungguhkan atas mengerjakan dia dengan berjamaah, kerana bahawasanya orang yang solat berjamaah itu lebih atas solat seorang dirinya dengan dua puluh tujuh darjat. Seperti yang disebut dalam hadis. (Hadis riwayat Al-Bukhari: No. 645). Maka orang yang memudahkan dengan laba (keuntungan) agama dan akhirat ini, pada hal tiada payah pada menghasilkan dia dan tiada penat mencapaikan dia, maka adalah orang itu orang yang memudahkan agamanya dan orang yang tiada menghiraukan dia. Dan lagi kerana kata setengah ulama’: Ia (solat jamaah) fardhu kifayah, diperangi akan orang yang meninggalkan dia”. (Munyatul Musalli: 20).
Antara faedah solat berjamaah ialah;
Solat jamaah mempunyai faedah yang banyak dan kemaslahatan yang besar; antaranya:
1. Allah SWT telah mensyariatkan umat ini berkumpul pada waktu tertentu,
a)Harian; solat lima waktu.
b)Mingguan; solat jumaat,
c)Tahunan; solat hari raya.
2. Perhimpunan ini merupakan ibadat kepada Allah SWT secara jama’i.
3. Untuk ta’aruf iaitu saling kenal mengenali sesama Islam.
4. Menzahirkan syiar Islam yang besar melalui ibadat solat secara jamaah; kerana itulah jika mana-mana penempatan yang masjidnya tidak ramai ahli jamaahnya, ia menunjukkan penduduknya tidak kuat beragama.
5. Menzahirkan kemuliaan dan keagungan Islam itu sendiri.
6. Mengajar orang-orang jahil tentang amalan solat.
7. Seorang muslim yang berada dalam saf yang sempurna akan merasakan seolah-olah dia berada dalam saf jihad fi-sabilillah. (Solat Al-Mukmin: 1/422).

HUKUM SOLAT BERJAMAAH
Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum solat berjamaah:
1. Sunat mu’akkad – Mazhab Hanafi dan Maliki.
2. Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) – Ulama’ Hanbali.
3. Fardu kifayah – Pendapat mazhab Syafi’i.

Penjelasan ringkasnya:
1. Para ulama’ yang mengatakannya sebagai sunat mengemukakan dalil dari beberapa hadis, antaranya ialah: Sabda Rasulullah SAW: “Solat berjamaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 darjat”. (HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650 dari Ibnu Umar ra). Kata mereka: Hadis ini menjelaskan amalan solat berjamah adalah afdhal (lebih) baik dari solat sendirian, maka afdhal adalah kelebihan bukan wajib.

2. Para ulama’ yang mengatakan bahawa solat berjamaah itu fardu ain/wajib menggunakan dalil:
i. Sabda Rasulullah SAW: “Seberat-berat solat ke atas para munafiqin ialah solat isya’ dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan solat berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa orang yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka”. (HR Bukhari No. 644. & Muslim No. 651 dari Abu Hurairah). Hadis ini menunjukkan solat berjamaah wajib ke atas setiap orang (fardhu ain) lelaki yang mampu. Sekiranya solat jamaah adalah sunat tentulah Rasulullah  SAW tidak memberi amaran untuk membakarnya.

ii. Ibnu Ummi Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah SAW bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah SAW bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.” (HR Abu Daud No. 552, “Sahih”). Rasulullah SAW tidak memberi kelonggaran kepada orang buta meninggalkannya, maka orang yang celik tentulah lebih lagi.

3. Fardu kifayah. Jika di dalam suatu kampung atau negeri penduduknya enggan mengerjakan solat berjamaah, pemerintah hendaklah memerangi mereka. Dalil mazhab ini: Sabda Rasulullah SAW: “Tidak terdapat tiga orang yang mendiami sebuah kampung atau penempatan yang tidak didirikan solat jamaah melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang bersendirian”. (HR Abu Daud No. 547. “Hasan”) Hadis ini menunjukkan solat berjamaah adalah fardhu kifayah ke atas umat ini. (Lihat: Fiqh Al-Ibadat, Sheikh Hasan Ayyub: 238-247)
Sebab-sebab dibenarkan meninggalkan solat berjamaah;
Keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ terbahagi kepada dua bahagian;
a- Keuzuran umum, seperti hujan lebat, angin kencang atau jalan yang terlalu becak dan licin. Abdullah bin Umar ra telah melaungkan azan pada malam yang sejuk dan berangin. Kemudian beliau berkata: “Bersolatlah di rumah kamu”. Kemudian beliau menyambung lagi: “Rasulullah  SAW menyuruh muazzin supaya berkata: “(Apabila malam terlalu sejuk dan hujan) bersolatlah di rumah kamu”. (HR Al-Bukhari No. 635, Muslim No. 697). Namun berjamaahlah bersama kaum keluarga. Kita pasti mengetahui bahawa keuzuran ini jarang sekali berlaku pada hari ini melainkan di kampung pendalaman. Apalagi bagi negeri yang banyak hujan, ianya merupakan suatu kebiasaan bukan keuzuran.

b- Keuzuran Khas seperti sakit, dalam keadaan terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezalimana ke atas diri dan hartanya, juga ketika menahan diri daripada berlaku hadas, (mahu buang air besar atau air kecil) atau seorang yang berhutang takut keluar berjamaah kerana takut diekori oleh pemberi hutang sedangkan dia tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Juga seorang yang baru sudah memakan makanan yang berbau busuk atau berpakaian kotor yang boleh menyakiti dan mengganggu orang lain oleh sebab baunya. Semua keadaan ini dianggap keuzuran Syarak yang diizinkan untuk seseorang itu tidak menghadiri solat berjamaah. [Lihat Fiqh al-Manhaji: 178-179].

Kesimpulannya:
Solat jamaah di masjid adalah merupakan satu syiar Islam yang agung. Samada ianya dikira sebagai sunat muakkad, fardhu kifayah atau fardhu ‘ain. Para ulama’ Islam telah sepakat bahawa menunaikan solat lima waktu di masjid adalah merupakan ketaatan yang dituntut dan penghampiran diri kepada Allah SWT yang sangat besar. Kerana itulah terdapat banyak sekali hadis-hadis yang menyebut tentang fadhilat, kepentingan solat jamaah dan larangan meninggalkannya. Di antaranya hadis yang telah disebut di atas tadi:
1. 27 gandaan pahala solat Jamaah.
2. Rasulullah SAW mahu membakar rumah orang yang tidak bersolat jamaah.
3. Seorang sahabat ra yang buta meminta izin dari Rasulullah untuk diberi keuzuran daripada pergi ke masjid, tetapi tidak dibenarkan oleh Baginda SAW.
4. Syaitan akan menguasai kumpulan tiga orang ke atas yang tidak mendirikan solat jamaah.
5. Meninggalkan solat jamaah adalah salah satu tanda-tanda orang munafiq. Kata Abdullah bin Mas’ud ra: “Kami dapati tidak ada orang yang cuai atau tidak datang untuk bersolat jamaah di masjid kecuali beliau ialah seorang yang telah dikenal pasti sebagai seorang munafiq ataupun orang sakit. Jika orang sakit dia akan dipimpin oleh dua orang sehingga sampai ke tempat solat.” Katanya lagi: “Nabi SAW telah mengajar kami sunnahnya sebagai petunjuk, dan di antara sunnahnya ialah solat jamaah di masjid yang dilaungkan azan padanya.” (HR Muslim: 654).
6. Tidak dibenarkan keluar dari masjid orang yang telah berada di dalamnya apabila azan. Dari Abu Asy-Sya’tha’: “Kami sedang duduk di masjid bersama Abu Hurairah ra, tiba masa muazzin pun melaungkan azan. Tiba-tiba seorang lelaki bangun lalu berjalan keluar dari masjid, Abu Hurairah menjelingnya dengan ekor mata. Setelah lelaki itu keluar beliau berkata: “Orang itu telah menderhaka kepada Abu Al-Qasim (Rasulullah SAW).” (HR Muslim: 655). Abu Hurairah ra telah menganggap perbuatan tersebut sebagai menderhaka kepada Rasulullah  SAW kerana meninggalkan solat jamaah.
Kata ulama’: Sekiranya seorang itu keluar kerana keuzuran seperti ingin berwudhuk, menunaikan hajat atau menunaikan solat berjamah di masjid lain maka ia tidak termasuk dalam larangan tersebut. Jika sedemikian sekali Rasulullah SAW telah memperingati tentang kelebihan solat jamaah dan memberi amaran tentang keburukan meninggalkannya, maka kita sebagai umatnya yang mukmin tidak patut sekali meninggalkan amalan sunnah yang begitu mulia dan penuh manfaat duniawi dan ukhrawi ini tanpa keuzuran dan rukhsah yang dibenarkan Syarak dengan sewenang-wenangnya. Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar dipermudahkan untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta segala amal ibadat kita diterima-Nya dan mati pada jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Perkongsian dari Abdul Basit Abdul Rahman

No comments: