DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Wednesday, January 14, 2015

Mengatasi Masaalah - 6 Tips Dihadapi

Apakah sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya dan berhemah tinggi? Mengapakah mereka terus menempa kejayaan demi kejayaan sedangkan dalam masa yang sama orang lain terus dilanda masalah walau bertukus lumus untuk mengapainya?
Jawapannya ialah bagaimana mereka melihat setiap masalah yang dihadapi. Mereka mengendali setiap masalah secara betul dan praktikal. Mereka juga memahami enam prinsip yang berhubungkait dengan jenis masalah. Penulis yang menemui jawapan ini dalam buku “Tough Times Never Last, But Tough People Do” oleh Dr. Robert H. Schuller ingin berkongsi dengan semua pembaca tentang bagaimana untuk menuju kejayaan. 6 petua ini dipetik daripada buku tersebut.

1. Setiap Insan Yang Hidup Mempunyai Masalah
Apakah masalah kita? Kita tidak mempunyai pekerjaan? Mungkin kita berfikir bahawa setelah mendapat pekerjaan semua masalah akan lenyap. Mereka yang mempunyai pekerjaan juga bermasalah. Mereka mengeluh kerana terpaksa bangun pagi untuk ke tempat kerja setiap hari kerja. Dan ratusan, mungkin ribuan pekerja mendapat kerja yang tidak mereka sukai. Sesetengah orang pula beranggapan bahawa masalah mereka timbul kerana terpaksa melapor diri kepada seorang ketua. Tetapi ramai ketua yang menghadapai masalah, sama ada dari segi perhubungan atau pun pengurusan kakitangan. Jadi bagaimanakah keadaan dengan mereka yang berjaya? Adakah mereka terkecuali daripada menghadapi masalah? Sebenarnya setiap kejayaan tidak menghapuskan masalah, ia melahirkan masalah yang baru. Terimalah ini sebagai satu hakikat hidup seharian.

2. Setiap Masalah Mempunyai Jangka Masa Yang Terhad
Setiap masalah akan berakhir. Lambat laun ia akan pergi jua. Ketepatan kenyataan ini adalah jelas kalau kita menoleh kebelakang melihat sejarah manusia. Tamadun manusia menghadapi detik-detik kegemilangan dan juga kejatuhannya. Institusi kamanusiaan yang menghadapi suasana kemelesetan akan satu ketika nanti menuju kemercu kejayaan secara perlahan-lahan.
3. Setiap Masalah Harus Mempunyai Pengaruh Positif
Setiap masalah mengandungi bahan atau ramuan rahsia potensi yang kreatif, sama ada untuk diri kita atau pun orang lain. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh dijadikan modal perniagaan yang menguntungkan untuk orang lain. Contohnya, seseorang yang pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah boleh bertindak sebagai seorang panasihat kepada mereka yang akan diumumkan sebagai muflis. Masalah yang dihadapi oleh seseorang boleh memberi kesempatan atau peluang baik kepada orang lain.

4. Setiap Masalah Boleh Mengubah Sikap Kita
Sebagai contoh, kita kadang kala tersua dengan seorang jurujual yang berjaya. Tetapi bila diselidiki, ia berkelulusan dalam bidang sejarah dan pendidikan yang tidak ada kaitan dengan kerjayanya. Sebenar ia dahulunya bekerja sebagai guru. Tetapi sebagai seorang guru yang menjemukan, ia telah menimbulkan banyak masalah kepada majikannya hingga ia diberhentikan kerja. Kerana marah disebabkan pemberhentian kerjanya, ia berazam untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia juga boleh berjaya dalam hidup. Kini ia bersyukur kerana dibuang kerja kerana peristiwa itu membuat ia sangat marah hingga bertekad untuk terus berusaha hingga berjaya.
5. Kita Boleh Buat Pilihan Untuk Mengawal Masalah
Kita mungkin tidak dapat mengawal masalah. Tetapi kita boleh merancang tindakan balas terhadapnya. Sekiranya kita mengawal rancangan tindakan balas terhadap masalah hidup, bermakna kita telah dapat mengawal masalah yang melanda diri sendiri. Masalah boleh membuat kita lemah atau sebaliknya. Ia juga boleh membuat kita hidup dengan lebih baik ataupun menderita. Semuanya bergantung kepada diri kita.
 6. Setiap Masalah Mempunyai Tindak Balas Yang Negatif dan Positif
Akhir sekali, orang-orang yang cekal hati boleh terus hidup walaupun dalam keadaan yang menyulitkan. Kerana mereka memilih untuk bertindak balas secara positif dalam keadaan sulit atau berbahaya walaupun ia bukan satu perkara yang mudah. Misalnya, apakah tindak balas positif jika seseorang itu menghadapi masalah kewangan yang rumit? Dalam situasi ini apakah tindakan positif yang harus diambil? Larikan diri daripada penagih hutang? Mencari jalan keluar seperti minum hingga mabuk atau sebagainya? Tidak! Tindakan balas negatif itu hanyalah penyelesaian sementara yang boleh membuahkan lain-lain masalah baru. Tindakan positif terhadap masalah itu memerlukan semangat yang kuat untuk membuat langkah pertama. Ia memerlukan keberanian untuk bersemuka dengan penagih hutang dan berunding secara jujur dan terus terang. Jika mereka berkeras, maka jalan paling baik yang harus diambil secara undang-undang dan terhormat ialah menerima diisytiharkan sebagai muflis oleh mahkamah.

Kesimpulannya “Sekiranya kita tidak dapat selesaikan masalah, maka kita harus mengendalikannya”. Perinsip yang pernah saya praktikkan seperti berikut;
1. Kenali atau cari punca masalah yang datang
2. Selesaikan sesungguhnya masalah tersebut sepenuhnya
3. Sekiranya masalah tersebut datang kembali, bermakna kita yang bermasalah kerana tidak menyelesaikan masalah tersebut sepenuhnya.

Tuesday, January 13, 2015

ABU QILABAH : ANTARA SYUKUR DAN SABAR

Diterjemahkan oleh Abu Hudzaifah Al Atsary dari kitab: ‘Aasyiqun fi Ghurfatil ‘amaliyyaat, oleh Syaikh Muh. Al Arify.
Abu Ibrahim bercerita:
Suatu ketika, aku jalan-jalan di padang pasir dan tersesat sehingga tidak tahu pulang. Di sana kutemui sebuah khemah lusuh… kuperhatikan khemah tersebut, dan ternyata di dalamnya ada seorang tua yg duduk di atas tanah dengan sangat tenang… Ternyata orang ini kedua tangannya kudung… matanya buta… dan sebatang kara tanpa sanak saudara. Kulihat bibirnya kumat-kamit mengucapkan beberapa kalimat..

Aku mendekat untuk mendengar ucapannya, dan ternyata ia mengulang-ulang kalimat berikut: Segala puji bagi Allah yang melebihkanku di atas banyak manusia… Segala puji bagi Allah yang melebihkanku di atas banyak manusia…

Aku hairan mendengar ucapannya, lalu kuperhatikan keadaannya lebih jauh… ternyata sebahagian besar panca inderanya tidak berfungsi… kedua tangannya kudung… matanya buta… dan ia tidak memiliki apa-apa bagi dirinya… Kuperhatikan keadaannya sambil mencari adakah ia memiliki anak yang menguruskannya? atau isteri yang menemaninya? ternyata tak ada seorang pun… Aku bergerak mendekatinya, dan dia merasakan kehadiranku… dia lalu bertanya: “Siapa? siapa?”

“Assalaamu’alaikum… aku seorang yg tersesat dan menemui khemah ini” jawabku,

“Mengapa kau tinggal seorang diri di tempat ini? Di mana isterimu, anakmu, dan kerabatmu? soalku.

“Aku seorang yang sakit… semua orang meninggalkanku, dan kebanyakan keluargaku telah meninggal…” jawabnya.

“Namun kudengar kau mengulang-ulang perkataan: “Segala puji bagi Allah yang melebihkanku di atas banyak manusia…!! Demi Allah, apa kelebihan yang diberikan-Nya kepadamu, sedangkan engkau buta, faqir, kudung kedua tangannya, dan sebatang kara…?” ucapku.

“Aku akan menceritakannya kepadamu… tapi aku punya satu permintaan kepadamu, mahukah kamu mengabulkannya?” tanyanya.

“Jawab dulu pertanyaanku, baru aku akan mengabulkan permintaanmu” kataku.
“Engkau telah melihat sendiri betapa banyak cubaan Allah atasku, akan tetapi segala puji bagi Allah yang melebihkanku di atas banyak manusia… bukankah Allah memberiku akal yang sihat, yang dengannya aku boleh memahami dan berfikir…?

“Betul” jawabku. lalu katanya: “Berapa banyak orang yang gila?”

“Banyak juga” jawabku. “Maka segala puji bagi Allah yg melebihkanku di atas banyak manusia” jawabnya.

“Bukankah Allah memberiku pendengaran, yang dengannya aku boleh mendengar azan, memahami ucapan, dan mengetahui apa yang terjadi di sekelilingku?” tanyanya.

“Iya benar”, jawabku. “Maka segala puji bagi Allah yg melebihkanku di atas banyak manusia” jawabnya.

“Betapa banyak orang yang tuli dan tidak mendengar…?” katanya.

“Banyak juga…” jawabku. “Maka segala puji bagi Allah yg melebihkanku di atas banyak manusia”, katanya.

“Bukankah Allah memberiku mulut yang dengannya aku mampu berdzikir dan menjelaskan keinginanku?” tanyanya.

“Iya benar” jawabku. “Lantas berapa banyak orang yang bisu tidak mampu berbicara?” tanyanya.

“Wah, banyak sekali” jawabku. “Maka segala puji bagi Allah yg melebihkanku di atas banyak manusia” jawabnya.

“Bukankah Allah telah menjadikanku seorang muslim yang menyembah-Nya… mengharap pahala dari-Nya… dan bersabar atas musibahku?” tanyanya.

“Iya benar” jawabku. lalu katanya: “Padahal berapa banyak orang yang menyembah berhala, salib, dan sebagainya dan mereka juga sakit? Mereka merugi di dunia dan akhirat…!!”
“Banyak sekali”, jawabku. “Maka segala puji bagi Allah yg melebihkanku di atas banyak manusia” katanya.

Pak tua terus menyebut kenikmatan Allah atas dirinya satu-persatu… dan aku semakin takjub dengan kekuatan imannya. Ia begitu mantap keyakinannya dan begitu rela terhadap pemberian Allah…

Betapa banyak pesakit selain beliau, yang musibahnya tidak sampai seperempat dari musibah beliau… tapi bila dibandingkan dengan orang ini, maka mereka tergolong ‘sihat’. Pun demikian, mereka meronta-ronta, mengeluh, dan menangis mahu-mahunya… mereka amat tidak sabar dan tipis keimanannya terhadap balasan Allah atas musibah yang menimpa mereka, padahal pahala tersebut demikian besar…

Aku pun menyelami fikiranku makin jauh… hingga akhirnya khayalanku terputus saat pak tua mengatakan: “Hmmm, bolehkah kusebutkan permintaanku sekarang… mahukah kamu mengabulkannya?”

“Iya.. apa permintaanmu?” kataku.

Maka ia menundukkan kepalanya sejenak seraya menahan tangis.. ia berkata: “Tidak ada lagi yang tersisa dari keluargaku melainkan seorang anak berumur 14 tahun… dia lah yg memberiku makan dan minum, serta mewudhukan aku dan menguruskan segala keperluanku… sejak malam tadi dia keluar mencari makanan untukku dan belum kembali hingga kini. Aku tak tahu apakah dia masih hidup dan diharapkan kepulangannya, ataukah telah tiada dan kulupakan saja… dan kamu tahu sendiri keadaanku yang tua renta dan buta, yang tidak mampu mencarinya…”

Maka kutanya ciri-ciri anak tersebut dan ia menyebutkannya, maka aku berjanji akan mencarikan anak tersebut untuknya…

Aku pun meninggalkannya dan tidak tahu bagaimana mencari anak tersebut… aku tidak tahu harus memulai dari arah mana…Namun tatkala aku berjalan dan bertanya-tanya kepada orang sekitar tentang si anak, nampaklah olehku dari kejauhan sebuah bukit kecil yang tak jauh letaknya dari khemah si pak tua. Di atas bukit tersebut ada sekawan burung gagak yang mengerumuni sesuatu… maka segeralah terdetik di benakku bahawa burung tersebut tidak lah berkerumun kecuali pada bangkai, atau sisa makanan.

Aku pun mendaki bukit tersebut dan mendatangi kawanan gagak tadi hingga mereka berhamburan terbang. Tatkala kudatangi lokasi tersebut, ternyata si anak telah tewas dengan badan terpotong-potong… rupanya seekor serigala telah menerkamnya dan memakan sebahagian dari tubuhnya, lalu meninggalkan sisanya untuk burung-burung… Aku lebih sedih memikirkan nasib pak tua daripada nasib si anak…

Aku pun turun dari bukit… dan melangkahkan kakiku dengan berat menahan kesedihan yang mendalam… Haruskah kutinggalkan Pak Tua menghadapi nasibnya sendirian… ataukah kudatangi dia dan ku ceritakan nasib anaknya kepadanya? Aku berjalan menujuk khemah Pak Tua… aku menjadi bingung bagaimana harus mengatakan apa dan mulai dari mana?

Lalu terlintaslah di benakku akan kisah Nabi Ayyub ‘alaihissalaam… maka kutemui Pak Tua itu dan dia masih dalam keadaan yang memprihatinkan seperti saat kutinggalkan. Kuucapkan salam kepadanya, dan pak Tua yang malang ini demikian rindu ingin melihat anaknya… ia mendahuluiku dengan bertanya: “Di mana si anak?”

Namun kataku: “Jawablah terlebih dahulu… siapakah yg lebih dicintai Allah: engkau atau Ayyub ‘alaihissalaam?”

“Tentu Ayyub ‘alaihissalaam lebih dicintai Allah” jawabnya.

“Lantas siapakah di antara kalian yang lebih berat ujiannya?” tanyaku kembali.

“Tentu Ayyub…” jawabnya.

“Kalau begitu, berharaplah pahala dari Allah kerana aku mendapati anakmu telah tewas di lereng gunung… ia diterkam oleh serigala dan dikoyak-koyak tubuhnya…” jawabku.

Maka Pak Tua pun tersedak-sedak menahan kesedihan seraya berkata: “Laa ilaaha illallaaah…” dan aku berusaha meringankan musibahnya dan menyabarkannya… namun kesedihannya amat mendalam hingga aku mulai menalqinkan kalimat syahadat kepadanya… hingga akhirnya dia meninggal dunia. Ia wafat di hadapanku, lalu kututupi jasadnya dengan selimut yang ada di bawahnya… lalu aku keluar untuk mencari orang yang membantuku mengurus jenazahnya…
Maka kudapati ada tiga orang yg mengendarai unta mereka… nampaknya mereka adalah para musafir, maka kupanggil mereka dan mereka datang menghampiriku… Kukatakan: “Maukah kalian menerima pahala daripada Allah kepada kalian? Di sini ada seorang muslim yang wafat dan dia tidak punya siapa-siapa yg mengurusinya… mahukah kalian menolongku memandikan, mengafani dan menguburkannya?”

“Iya..” jawab mereka.

Mereka pun masuk ke dalam khemah menghampiri mayat Pak Tua untuk memindahkannya… namun ketika mereka menyingkap wajahnya, mereka saling berteriak: “Abu Qilabah… Abu Qilabah…!!”

Ternyata Abu Qilabah adalah salah seorang ulama terkenal, akan tetapi waktu silih berganti dan ia dirundung berbagai musibah hingga menyendiri dari masyarakat dalam sebuah khemah lusuh… Kami pun menunaikan kewajiban kami atasnya dan menguburkannya, kemudian aku kembali bersama mereka ke Madinah…

Malamnya aku bermimpi melihat Abu Qilabah dengan penampilan indah… dia mengenakan gamis putih dengan badan yang sempurna…dia berjalan-jalan di tanah yang hijau… maka aku bertanya kepadanya: “Hai Abu Qilabah… apa yang menjadikanmu seperti yang kulihat ini?”

Maka jawabnya: “Allah telah memasukkanku ke dalam Jannah, dan dikatakan kepadaku di dalamnya: “Salam sejahtera atasmu sebagai balasan atas kesabaranmu… maka (inilah Syurga) sebaik-baik tempat kembali

Kisah ini diriwayatkan oleh Al Imam Ibnu Hibban dalam kitabnya: “Ats Tsiqaat” dengan penyesuaian.