Biarlah
orang kata, "Aku tak suka kau." Maka jawab sajalah, "Bukan semua
orang suka dengan saya macam itu juga dengan awak. Tapi saya tetap akan sukakan
awak. Kerana awak adalah ciptaan tuhan... Allah suka sebegitu."
Firman Allah SWT
dalam surah Al-Hujuraat: Ayat 11: (Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka
dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan
merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu
menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil
antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang
tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah
buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan
(ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka
merekalah orang-orang yang zalim.
Ayat ini ditujukan
kepada orang-orang yang beriman seperti yang terdapat pada pangkal ayat “Wahai
orang yang beriman…..” Ayat ini menerangkan tentang etika kehidupan orang-orang
yang beriman. Etika ini adalah dalam bentuk peringatan daripada Allah SWT
kepada orang-orang yang beriman supaya sesuatu kaum yang beriman itu tidak
mengolok-olokkan kaum beriman yang lain seperti dinyatakan dalam ayat kedua
yang bermaksud,”Janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain.”Ini
adalah kerana ada kemungkinan kaum beriman yang diperolok-olokkan itu adalah
lebih baik daripada mereka yang memperolok-olokkan itu.
Peringatan ini
disampaikan dengan cara yang halus tetapi tepat. Orang yang beriman seharusnya
sentiasa muhasabah diri untuk melihat kekurangan pada dirinya. Orang yang tidak
beriman sahaja yang boleh menghina orang lain kerana mereka menganggap diri
mereka sempurna. Dengan demikian, tidak mungkin orang beriman boleh merendah-rendahkan
saudara sesama Islam yang lain. Seterusnya ayat berikut pula yang bermakna,”
Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita yang lain; kerana boleh
jadi yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari mereka (yang
memperolok-olokkan). Ayat ini mengingatkan pula kaum wanita supaya tidak
melakukan perkara yang sama iaitu merendah-rendahkan wanita lain yang beriman.
Larangan ini tidaklah terbatas kepada lelaki yang beriman sahaja. Pentafsir
menjelaskan lagi keterangan ayat–ayat ini dengan sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Imam Bukhari yang berbunyi seperti berikut: “Kesombongan itu ialah menolak
kebenaran dan memandang rendah manusia.”
Berdasarkan hadis
ini mesej yang hendak disampaikan ialah perlakuan memperolok dan merendahkan
orang lain itu adalah sikap orang yang sombong. Orang sombong merasa diri
mereka sempurna dan tiada cacat celanya. Maka itu mereka tidak akan dapat
menyedari kekurangan mereka sedangkan sebenarnya merekalah yang punya banyak
kelemahan dan kekurangan. Ayat berikutnya yang bermaksud,” Dan janganlah kamu
mencela dirimu sendiri.” Ayat-ayat sebelum ini melarang keras orang beriman
mencela orang beriman yang lain sedangkan ayat ini menekankan tentang pencelaan
diri sendiri yang juga turut dilarang. Mengikut pentafsir perbuatan mencela dan
mengaibkan orang lain itu akan mengakibatkan orang yang dicela dan diaibkan itu
mencela dan mendedahkan keaiban mereka yang mencela pula sebagai tindak balas.
Maka perbuatan mengaibkan orang lain itu samalah seperti mengaibkan diri
sendiri.
Pentafsir
seterusnya menjelaskan pula balasan bagi golongan ini dengan ayat al-Quran
berikut: “Neraka wailun buat setiap orang yang suka mencedera orang dan mencela
orang.” ( Surah 104. Al-Humazah : 1). Humazah diertikan sebagai mencedera iaitu
memukul dengan tangan sedangkan Lumazah pula membawa makna mencela, iaitu degan
mulut. Humazah juga diertikan dengan sikap hidup yang tidak senang diam kerana
sibuk menjaga tepi kain orang . Jika umpatan dan celaan itu ternyata fitnah dan
tidak benar maka mereka tergolong orang yang fasiq seperti dalam ayat 6 sbelum
ini. Ayat seterusnya juga berkaitan dengan celaan iaitu memanggil orang lain
dengan nama yang buruk seperti terjemahan berikut: “Dan janganlah kamu panggil
memanggil dengan gelar yang buruk.”
Pentafsir memberi contoh
mengenai kebiasaan orang Arab Jahiliyyah yang gemar memberi gelaran kepada
seseorang mengikut perangai orang tersebut seperti gelaran yang diberikan
kepada Zaid yang gemar kepada kuda kenderaan yang indah. Maka Zaid digelar Zaid
Al Khail iaitu Zaid Kuda. Nabi SAW menukarnya kepada Zaid Al-Khair iaitu Zaid
Baik!. Nabi SAW menyarankan kepada orang-orang jahilliyah supaya menukar nama
kepada gelaran yang baik setelah mereka beriman. Dalam konteks masa kini,
pentafsir memberi contoh keadaan yang sama iaitu apabila seorang kafir itu
memeluk Islam ada baiknya ia menukar namanya kepada nama yang baik, walaupun
tidak wajib. Pentafsir juga telah memberikan contoh panjang lebar mengenai
masyarakat Islam Indonesia yang gemar memberi gelaran nama yang tidak baik dan
mengaibkan. Contoh-contoh yang diberikan adalah lebih kurang sama dengan apa
yang terjadi dalam masyarakat Islam Melayu di Malaysia.
Ayat 11 ini
diakhiri dengan ayat yang bererti: “Dan barangsiapa yang tidak taubat, maka
itulah orang-orang yang aniaya.”Penggantian nama yang buruk ketika fasiq kepada
yang baik setelah beriman adalah petanda baik sejak awal lagi. Pentafsir turut
memberi satu contoh iaitu tuntutan berkhitan atau bersunat bagi orang yang baru
masuk Islam, walaupun ia tidak wajib. Namun dengan bersunat itu dia telah
mengikuti sunnah semua Rasul sebagai ujian permulaan menerima Islam. Orang
beriman yang telah fasiq diingatkan supaya bertaubat. Ini adalah jalan
penyelesaian bagi mereka kerana Allah SWT itu Maha Mengasihanidan Maha Penerima
Taubat. Orang yang enggan bertaubat diingatkan pula bahawa mereka akan
menganiaya diri mereka sendiri.
Asbabun Nuzul surah
al-Hujurat ayat 11
Abu Jubair Ibnu
Dhahak r.a menegaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang yang
dipanggil dengan nama tertentu, agar orang itu tidak senang dengan panggilan
itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi – Hadis hasan sahih) Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi Ia
memandang kepada hatimu dan perbuatanmu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini
mengandung isyarat bahawa seorang hamba Allah jangan memastikan kebaikan atau
keburukan seseorang semata-mata kerana melihat kepada amal perbuatannya saja,
sebab ada kemungkinan seorang nampak mengerjakan amal kebaikan, padahal Allah
SWT melihat di dalam hatinya ada sifat yang tercela, dan sebaliknya pula
mungkin ada seorang yang kelihatan melakukan suatu yang nampak buruk, akan
tetapi Allah SWT melihat dalam hatinya ada rasa penyesalan yang besar yang
mendorong kepadanya bertaubat dari dosanya. Maka amal perbuatan yang nampak di
luar itu, hanya merupakan tanda-tanda saja yang menimbukan sangkaan yang kuat,
tetapi belum sampai ke tingkat meyakinkan. Maka Allah SWT melarang orang-orang
mukmin memanggil orang dengan panggilan-panggilan yang buruk setelah mereka
beriman.
Ketika Rasulullah
SWT tiba di Madinah, maka orang-orang Ansar banyak mempunyai nama lebih dari
satu, dan jika mereka dipanggil oleh sahabat mereka, kadang-kadang dipanggil
dengan nama yang tidak disukainya, dan setelah hal itu dilaporkan kepada
Rasulullah SAW maka turunlah ayat ini. Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Ibnu
Abbas dalam menafsirkan ayat ini, beliau menerangkan bahawa ada seorang
laki-laki yang pernah di masa mudanya mengerjakan suatu yang buruk, lalu ia
bertaubat dari dosanya, maka Allah SWT melarang siapa saja yang menyebut-nyebut
lagi keburukannya di masa yang lalu, kerana hal itu dapat membangkitkan
perasaan yang tidak baik, membangkit-bangkit kefasikan setelah beriman. Itu
sebabnya Allah melarang panggilan-panggilan dengan gelar-gelar yang buruk itu.
Adapun gelar-gelar
yang mengandung penghormatan, itu tidak dilarang seperti sebutan kepada Abu
Bakar dengan As Siddiq, kepada Umar dengan Faruq, kepada Usman dengan sebutan
Zun Nurain dan kepada Ali dengan Abu Turab dan kepada Khalid bin Walid dengan
sebutan Saifullah (pedang Allah). Panggilan yang buruk dilarang diucapkan
sesudah orangnya beriman kerana gelaran-gelaran buruk itu mengingatkan kepada
kederhakaan dimasa lalu yang sekarang tidak seharusnya diberikan kepada orang
yang telah beriman. Barang siapa tidak bertaubat, bahkan terus pula
memanggil-manggil dengan gelar-gelar yang buruk itu, maka mereka itu dicap oleh
Allah SWT sebagai orang-orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri dan pasti
akan menerima balasan berupa azab dari Allah SWT pada hari akhirat.
Asy-Syahid Sayyid
Qutb rahimahullah dalam kitab tafsir Fizilal Quran menafsirkan surah al-Hujurat
ayat 11 menyatakan: “Masyarakat gemilang yang ditegakkan Islam dengan bimbingan
al-Quran itu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai adab sopan yang tinggi.
Setiap warganegaranya mempunyai kehormatan yang tidak boleh disentuh kerana
kehormatannya merupakan sebahagian dari kehormatan masyarakat. Perbuatan
mengaitkan mana-mana warganegara bererti mengaibkan diri sendiri kerana
masyarakat itu merupakan satu kesatuan yang mempunyai satu kehormatan.Didalam
ayat ini al-Quran menyeru orang-orang mukmin dengan seruan yang mesra: “Wahai
orang-orang yang beriman”. Dan melarang mereka supaya jangan ada lelaki yang
menghinakan kaum lelaki yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu
lebih baik dari mereka, dan jangan ada kaum wanita yang menghina kaum wanita
yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka
mengikut pertimbangan neraca Allah SWT.
Ungkapan ayat ini
mengandungi satu saranan yang halus bahawa nilai-nilai lahir yang dilihat kaum
lelaki dan kaum wanita pada diri mereka itu bukanlah nilai-nilai hakiki yang
dapat digunakan untuk mengukur manusia. Di sana ada nilai-nilai lain yang
mungkin tersembunyi kepada mereka, iaitu nilai-nilai yang diketahui Allah dan
yang digunakan untuk mengukur manusia. Kadangkala lelaki yang kaya menghinakan
lelaki yang miskin, lelaki yang kuat menghina lelaki yang lemah, lelaki yang
biasa menghina lelaki yang luar biasa, lelaki yang cerdik meghina lelaki yang
bodoh, lelaki yang banyak anak menghina lelaki yang mandul, lelaki yang ada ibu
bapa menghina lelaki yang yatim piatu. Kadangkala perempuan yang cantik
menghinakan perempuan yang hodoh, perempuan yang muda menghinakan perempuan
yang tua, perempuan yang tidak cacat menghinakan perempuan yang cacat dan
perempuan yang kaya menghinakan perempuan yang miskin. Tetapi semua nilai-nilai
ini dan sebagainya adalah dari nilai-nilai bumi yang tidak boleh dijadikan
ukuran-ukuran kerana pertimbangan neraca Allah yang mengangkat dan menjatuhkan
seseorang itu bukanlah didasarkan di atas nilai-nilai seperti itu.Tetapi
al-Quran tidak hanya berpada pada saranan yang halus itu malah ia membangkitkan
sentimen persaudaraan keimanan dan mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa
mereka semua adalah ibarat satu diri sahaja dan barang siapa yang mencela orang
lain bererti mencela diri sendiri.
“Dan janganlah kamu
mengaibkan diri kamu sendiri” Kata-kata “talmizu” (mengaibkan) itu sendiri
mempunyai satu nada dan bayangan tertentu. Ia seolah-olah merupakan satu
tikaman fizikal bukannya keaiban mental. Di antara perbuatan-perbuatan yang menghina
dan mengaibkan ialah perbuatan memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk yang
tidak disukai oleh seseorang, iaitu gelaran-gelaran yang dirasakan menghina dan
mengaibkan. Di antara kewajipan mukmin terhadap mukmin yang lain ialah tidak
memanggilnya dengan apa sahaja gelaran yang tidak disukainya dan dirasakan
terhina. Rasulullah SAW telah mengubahkan berbagai-bagai nama dan
gelaran-gelaran orang Islam yang dipakai dizaman jahiliah kerana nama-nama dan
gelaran-gelaran itu menurut perasaan baginda yang halus dan hati baginda yang
luhur adalah menghinakan tuan-tuan tubuh yang memakainya atau kerana nama-nama
dan gelaran itu memberi sifat-sifat yang buruk kepada mereka.”
Rujukan:
Tafsir Al-Azhar
HAMKA
Tafsir Fi Zilalil
Quran SYED QUTB
No comments:
Post a Comment