DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, December 13, 2013

TEKANAN DARAH RENDAH (HIPOTENSI)

Tekanan darah rendah (hipotensi) adalah keadaan tekanan darah yang lebih rendah dari tekanan yang diperlukan oleh tubuh, sehingga setiap organ dari badan tidak mendapat aliran darah yang cukup dan menyebabkan timbulnya gejala hipotensi. Tekanan darah seseorang adalah berbeza. Ini kerana ia membabitkan kawalan utama otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah.
Faktor yang mempengaruhi tekanan darah
Dalam menentukan seseorang itu menghidap tekanan darah, terdapat beberapa faktor yang boleh membantu iaitu usia, aktiviti seharian, perasaan, ubatan, pendarahan dan infeksi. Kebiasaannya orang yang selalu dikaitkan dengan penyakit tekanan darah rendah adalah dari golongan atlet dan pengamal diet. Mereka jarang terdedah kepada beberapa jenis penyakit seperti stroke, penyakit jantung, penyakit pada mata, pengerasan dan penyempitan pada pembuluh darah

Gejala Tekanan Darah Rendah
Bagi penghidap tekanan darah rendah, mereka tidak akan menunjukkan tanda mereka mempunyai penyakit tekanan darah rendah. Mereka akan menunjukkan gejala atau tanda-tanda awal seperti cepat lelah, pening kepala ketika posisi badan berubah, sukar untuk berkonsentrasi, mata berkunang-kunang, mual, kulit berasa dingin, pucat dan lembap, pernafasan cepat dan pendek, defresi dan cepat haus. Sekiranya seseorang itu hendak hamil, mereka digalakkan untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum hamil. Ini kerana ia adalah untuk mengelakkan berlaku komplikasi pada bayi itu nanti.
Penyebab Tekanan Darah Rendah
Tekanan darah ditentukan oleh dua pekara, iaitu jumlah darah yang dipompakan oleh jantung dan tahanan (resistensi) pembuluh darah yang kecil-kecil pada tubuh.
Terdapat beberapa penyebab yang boleh tekanan darah rendah terjadi iaitu kekurangan volum darah – cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang tidak boleh terkawal, dehidrasi – dehidrasi yang mengurangkan kandungan cecair dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit, masalah jantung – deyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang terlalu lambat dan keadaan otot yang lemah.

Cara Mengatasi Tekanan Darah Rendah
Setiap ubat biasanya akan diberikan jika kita dapat mengetahui penyebab sebenarnya. Tekanan rendah juga tidak terkecuali dan pengubatannya bergantung pada faktor penyebab. Secara umum, tekanan darah rendah dapat ditingkatkan dengan membuat perubahan tertentu dalam gaya hidup seseorang dan makanan yang biasa dimakan.
1. Minum banyak air - Jika seseorang mengalami keadaan pening kerana dehidrasi, sangat penting untuk menghidratkan diri dengan minum banyak air. Jumlah cairan yang meningkat akan meningkatkan jumlah darah, yang seterusnya akan meningkatkan tekanan darah. Minum minuman bertenaga seperti 100 plus, revive juga disarankan kerana ia dapat membekalkan tubuh dengan natrium dan kalium, yang akan membantu meningkatkan tingkat tekanan darah dengan cepat. Pada kes serious cairan dimasukan akan diperlukan untuk kes yang over-dehidrasi.

2. Meningkatkan pengambilan garam - Banyak orang yang akan membataskan pengambilan garam kerana takut terkena tekanan darah tinggi, namun sebaliknya dia diserang tekanan darah rendah. Dalam kes tersebut, pengambilan garam dalam makanan harus ditingkatkan. Namun begitu jangan pula terlalu berlebihan, kerana terlalu banyak garam juga sangat berbahaya.

3. Banyak makan makanan kecil - Tekanan darah rendah setelah makan atau turunnya tekanan darah secara tiba-tiba boleh dicegah dengan memakan makanan kecil yang rendah karbohidrat namun kerap dimakan. Hal ini kerana selepas makan, lebih banyak darah akan dihantar ke saluran pencernaan untuk proses pencernaan, sehingga boleh mengakibatkan tekanan darah rendah. Mengurangkan pengambilan makanan yang bertepung seperti kentang, pasta, makanan yang dipanggang, dan lain-lain juga disarankan. Duduk setelah makanan juga akan membantu mencegah menurun tekanan darah. Hal ini umumnya dapat dilihat pada orang tua.

4. Mengenakan stoking - Mengenakan stokin elastik membantu meningkatkan tekanan darah seseorang dengan mencegah pengumpulan darah di kaki atau bahagian bawah, dan ia juga meningkatkan peredaran darah dalam tubuh.
5. Meninggikan posisi kepala - Menggunakan bantal untuk menyokong kepala seseorang ketika tidur di posisi yang tinggi, membantu melawan graviti dan mencegah darah terlalu banyak turun dari kepala. Hal ini akan membantu mengurangkan rasa pening ketika bangun di pagi hari.

6. Bangun secara perlahan - Jika kita merasa pening ketika bangun dari posisi istirehat baik tidur ataupun duduk. Hal terbaik yang boleh kita lakukan adalah kembali ke posisi itu dan tetap dengan cara yang sama sampai kita berasa lebih baik. Orang yang menderita hipotensi ortostatik harus selalu bangkit perlahan dari posisi istirahat mereka, terutamanya ketika bangun tidur di pagi hari. Selain itu, berdiri lama di satu posisi atau mengubah posisi secara tiba-tiba harus dihindari.

7. Minum jus segar - Jika kita mengalami tekanan darah rendah, minum jus segar setiap hari untuk meningkatkan tekanan darah kita. Minum dua kali sehari selama hampir satu minggu. Jus lobak segar atau jus delima dipercayai sangat membantu.

8. Makan kismis dan badam - Rendam segenggam kismis selama 1 malam dan dimakan setelah bangun tidur. Pastikan Anda mengunyah kismis dengan baik. Minum air bekas rendamannya juga. Atau jika ingin mengubahnya dalam bentuk yang lain, cubalah menu ini. Pasta badam dicampur dengan susu hangat, rendam badam semalaman, kupas kulit matinya dan dihaluskan dengan menggunakan pengisar (blender). Campur dengan susu hangat dan minum.
Bentuk ringan dari latihan/olahraga juga disarankan, namun perlu diingat latihan yang berat haruslah dihindari. Orang yang menderita tekanan darah rendah kerana kehilangan darah, harus dibawa ke klinik atau hospital dengan segera. Sebelum mencuba sebarang ubat, pastikan berjumpa dengan doktor yang mengetahui tahap 

Wednesday, December 11, 2013

Memelihara Adab dan Siratulrahim Dalam Berkata

Sesungguhnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri. Oleh itu, peraturan-peraturan Ilahiah yang berlandaskan al-qur'an, hadith ijmak ulama' dan qias mestilah dipegang sekukuh-kukuhnya tanpa sebarang kompromi atau bersyarat. Segala dakwaan, pandangan dan sikap yang jelas bertentangan dengan nas-nas yang sarih mestilah ditolak kerana ia bukan bertunjangkan sumber yang muktabar tetapi bertopengkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi yang keji.
Allah SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah SWTmenciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia. Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah SAW, pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah SAW agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.

Firman Allah SWT: “Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).” (Surah ar-Rahman: 1-4) Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.

Adab pergaulan - Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi). Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin. Allah SWT berfirman: “'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.” (Surah al-Mukminun: 1-3)

Abdullah ibnu Abbas RA mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiga: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).
Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.

Pertuturan Dalam Pergaulan - Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor. Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan. Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-qur'an dan hadith Rasulullah SAW yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah SWT: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi. (Surah Ibrahim: 24-26)

“Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,) maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim” (Surah al-Hujurat:11)

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat:12)
Allah Ta'ala berfirman lagi: “Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 58)

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Surah al-Israa':53)

“Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.” (Surah Taha: 43-44)

Manakala sabda Rasulullah SAW pula: “Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukunmya kufur” (Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi” (Riwayat Muslim)

“Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.” (Riwayat al Tirmidzi)

“Dari Abu Zar RA, bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: “Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.” (Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.” (Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.” (Riwayat Muslim)

Daripada Jundub bin Abdullah RA, katanya; Rasulullah SAW bersabda: “Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah Azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.” (Riwayat Muslim)

“Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.” (Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

“Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.” (Riwayat at-Tirmidzi)

'Bersumber dari Abu Darda' RA, ia berkata:Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

“'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!” (Riwayat at-Tabarani)

“Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

“Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat at-Tirmidzi) “Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.”

Penulisan - Pada zaman ini sikap saling mencela dan mempersalahkan orang lain melalui tulisan sudah menjadi perkara biasa. Tujuannya hanyalah untuk menuduh dan menjatuhkan air muka orang lain yang tidak sehaluan pendapat dengannya, disamping mungkin juga bertujuan untuk mencari populariti.Islam tidak melarang umatnya untuk memberikan pandangan dan kritikan yang bersifat membina apabila melihat sesuatu masalah atau tuduhan yang menyimpang daripada kebenaran. Sikap seperti ini telah ditunjukkan sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah kepada pemimpin- pemimpin seterusnya. Walau bagaimanapun,setiap tulisan yang dihasilkan hendaklah merupakan suatu karya yang membina yang dapat menegakkan peradaban masyarakat, sebaliknya bukan untuk meruntuhkannya dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan dengan tujuan mencela atau menghina pihak tertentu. Menggunakan bahasa dan daya imaginasi yang tinggi untuk melahirkan sebuah karya sangat disanjung tinggi.Namun, biarlah imaginasi itu ada arah tuju yang baik dan bukan sebaliknya.
Firman Allah SWT: “Dan ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat-tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana mereka akan kembali.” (Surah Asy-Syuara': 224-227). Ayat ini jelas menolak penulis atau pengkarya yang menggunakan imaginasi dan khayalan tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan masyarakat keliru dan timbul salah tanggapan terhadap tulisan tersebut.


Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Tidak harus bagi seorang muslim itu menimbulkan ketakutan pada diri saudaranya. “ (riwayat Abu Daud). Hadith tersebut menghendaki kita menggunakan bahasa yang mudah supaya maksudnya tepat dan tidak menggelirukan pemikiran pembaca. Gaya bahasa yang berbelit-belit, mencemuh, mencarut, menghina dan sebagainya hendaklah dihindarkan kerana ia dilarang oleh Islam berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman, takutlah akan Allah. Dan katakanlah kata-kata yang betul nescaya Allah akan menjadikan amalmu baik. Dan akan diampuni-Nya dosa-dosa kamu.” (Surah al-Ahzab: 70-71)

Perdebatan - Dalam pergaulan seharian, kita sering berhadapan dengan perbincangan atau perdebatan tentang sesuatu isu. Islam menggariskan beberapa panduan yang patut diikuti ketika perbincangan atau perdebatan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan. Perdebatan tentang agama, politik, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang dilakukan tanpa berlandaskan adab-adab yang dibenarkan oleh syarak, akan mengakibatkan rosaknya agama, kehidupan dan ilmu pengetahuan.Barangkali perdebatan seperti yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan ummat dan lahirnya golongan yang berpecah-belah. Perdebatan seumpama ini bukanlah pembahasan yang sihat dan bukan pula usaha memperolehi kebenaran dengan cara yang sebaik-baiknya. Ini tergambar apabila para sahabat pernah berdebat antara satu dengan lain tentang sesuatu perkara. Apabila Rasulullah SAW datang, baginda bersabda: “Hai umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang sebelum kamu dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkanlah perdebatan kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkanlah perdebatan kerana orang yang berdebat jelas akan memperolihi kerugian! Tinggalkanlah perdebatan kerana perdebatan mendatangkan dosa bagi orang selagi ia berdebat! Pada Hari Kiamat aku tidak akan memberi syafaat kepada orang yang suka berdebat! Tinggalkanlah perdebatan, kujamin tiga buah rumah di dalam syurga: di taman-tamannya,di tengahnya, dan yang di bahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri daripada perdebatan dalam keadaan ia benar! Tinggalkanlah perdebatan kerana perkara pertama yang aku dilarang oleh Tuhanku sesudah melarang penyembahan berhala perdebatan.” (Riwayat At-Tabarani)

Sepatutnya, dalam perbincangan tentang sesuatu isu yang timbul, kita hendaklah mengawal diri dan jangan sekali-kali menyanggah atau menyampuk kata-kata atau pandangan orang lain yang sedang memberikan pandangannya. Ini kerana setiap kata-kata yang kita dengar itu, jika benar, hendaklah kita mempercayainya atau menyetujuinya. Tetapi sekiranya kata-kata atau pandangan yang diutarakan itu salah, maka hendaklah perbetulkan. Itulah sebenarnya cara yang sepatutnya dilakukan ketika kita berdebat atau berbincang, Bukannya saling cabar-mencabar dan bertikam lidah hingga membawa pertengkaran yang tidak berkesudahan, serta tidak menghasilkan apa-apa keputusan. Firman Allah SWT: “...Dan berdebatlah dengan mereka mengikut cara yang terbaik...” (Surah an-Nahl: 125)

Kaedah al-Qur'an Dalam Pertuturan - AI-Qur’an dengan tegas merumuskan bahawa umat Islam secara nyata memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada umat lain. Firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran: 110)

Antara ciri khusus mereka yang paling utama ialah menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kejahatan dan beriman kepada Allah SWT. Ciri tersebut sangat penting diambil ingatan oleh umat Islam kini khususnya dalam konteks jika mereka mahu membangunkan semula keyakinan diri dan menjadi'umatan wasatan'untuk masa kini dan masa depan. Firman Allah SWT: “Dan demikianlah (sebahagian Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.(Sebenarnya kiblat kamu ialah Ka'bah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat itu adalah amat berat (untuk diterima)kecuali kepada orang yang telah diberika” (Surah aI-Baqarah : 143)

Walau bagaimanapun apabila ditinjau kepada potensi umat yang ada pada masa kini, kita dapati pertembungan fahaman telah menjadi salah satu halangan besar yang membelenggu mereka untuk hidup bersatu. Bersatu dalam erti kata saling tegur menegur dan menegakkan kebenaran secara berhikmah. AI-Quran telah meletakkan beberapa kaedah tentang bagaimanakah cara terbaik untuk hidup saling tegur menegur dan bergaul dalam masyarakat. Bagaimanakah cara yang terbaik pula untuk mereka mengembalikan maruah ummah tanpa menjatuhkan orang lain sekaligus berperanan menjadi contoh kepada bangsa lain bahawa kita bukanlah umat yang suka kepada perbalahan dan saling bercakaran.

AI-Quran dalam banyak ayatnya menggesa supaya dibentuk fikiran umum yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Semua ini dilakukan demi menjaga kehormatan ummah dan ia perlu melalui kebebasan berfikir dan kebebasan bercakap asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan umum. Antaranya percakapan yang tidak sopan dan ungkapan-ungkapan yang tidak manis didengar.
Berhikmah - Banyak ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia supaya mengungkapkan percakapannya dengan cara sopan dan berhikmah supaya kata-kata mereka itu mendapat perhatian dan tidak menyebabkan orang lari daripada mendengarnya. Allah SWT memberi garis panduan kepada Nabi Muhammad SAW supaya bercakap dengan cara yang paling lembut. Firman AllaLh SWT: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (tentang kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (surah Ali-Imran: 159)

AI-Quran juga memerintahkan umat Islam supaya menolak dan mencegah keburukan dengan cara yang terbaik. Firman Allah SWT: “Tidaklah sama antara kebaikan dengan keburukan itu maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik...” (Surah Fussilat : 34). Lanjutan daripada ini, kita perhatikan bagaimana al-Qur'an sentiasa menekankan secara berhikmah ketika menyebarkan kebaikan kepada manusia. Dan cara inilah yang sepatutnya dijadikan panduan kepada kita semua,sama ada ketika berkhutbah, berkarya malah dalam apa jua tindakan kita. Allah SWT berfirman: “Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu dan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan…” (Surah Muhammad : 19)

Firman Allah SWT lagi: “Wahai orang yang berselimut bangunlah dan berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah,pakaianmu bersihkanlah.” (Surah al-Muddaththir: 1-4). Allah SWT juga berfirman: “...Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Ta'ala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi al-Kitab itu dan kamu selalu mempelajarinya.” (Surah Ali-Imran : 79)


Sejak kebelakangan ini telah muncul sindrom orang ramai terhadap menegur kesalahan sama ada kesalahan itu dilakukan oleh individu mahupun oleh pihak berkuasa. Teguran itu pula dilakukan melalui pelbagai media dan cara. Walaupun sindrom ini baik namun apa yang dikhuatiri jika cara yang digunakannya tidak berhikmah maka penyakit masyarakat semakin bertambah tenat. Ini kerana terdapat antara mereka orang yang tidak mengerti dan memahami cara-cara untuk mempertautkan dan memadukan hati manusia dan tidak memahami perkara~ perkara utama yang lebih bermanfaat bagi umat Islam. AI-Quran sering menyindir golongan seperti ini lantaran kejahilan mereka menggunakan method berhikmah ketika menegur masyarakat. Antaranya seperti firman Allah: “'Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”(Surah al-Araf : 187). “...Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman.” (Surah Hud : 17). “..Maka ceritakan kisah-kisah agar mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr: 176). “...Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia agar mereka berfikir.” (Surah al-Hasyr :21)

Monday, December 9, 2013

Merungkai Misteri Saka Keturunan

KONSEP SAKA
Istilah saka mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Ada yang melenting bila dikatakan mewarisi saka, dan ada yang menerimanya dengan hati terbuka. Ramai yang tertanya-tanya benarkah ianya wujud dan tidak kurang juga yang tersalah faham tentang istilah ini. Kamus Dewan mentakrifkan saka sebagai leluhur (keturunan) daripada sebelah emak; manakala saka baka pula ialah leluhur daripada kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa. Dalam kalangan pengamal perubatan tradisional dan komplementari, saka merupakan istilah yang digunakan untuk makhluk halus (jin dan syaitan) yang diwarisi dari keturunan. Konsep saka ini bukan hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja, tetapi juga dikesan dalam beberapa bangsa lain dengan istilah yang berbeza. Sebagai contoh di Sudan, ia dikenali sebagaimangu, iaitu semangat atau roh yang diwarisi dari ibu dan bapa. Di Sri Lanka, ia dikenali sebagai mala yakā (the inferior spirit of a dead ancestor). Dalam masyarakat Cina, India dan masyarakat Orang Asli pula, mereka percaya bahawa roh nenek moyang yang tidak disemadikan dengan sempurna akan kembali mengganggu anak cucu.
Dalam Al-Quran, memang tiada istilah saka digunakan, tetapi perbuatan meminta perlindungan dari jin dan syaitan, atau menjadikannya sahabat, khadam, pendamping ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn ayat 6: ”Dan bahawa sesungguhnya adalah beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Apabila manusia memohon perlindungan dari jin atau syaitan, maka mereka akan segera datang untuk memenuhi Sasaran Kerja Tahunan (SKT) mereka iaitu menyesatkan anak Adam. Ada yang datang dan memasuki hati manusia lalu menimbulkan perasaan was-was, benci, dendam dan permusuhan antara manusia. Kebiasaannya, jenis sebegini datang silih berganti dan keluar dari tubuh manusia. Namun, di sana, terdapat jenis jin dan syaitan yang akan tinggal berdampingan dengan manusia, menjadi qarin dan sahabat manusia, tinggal dalam tubuh manusia, makan, minum dan kencing dalam tubuh dan kediaman manusia. Jenis ini bukan sahaja menimbulkan penyakit pada hati dan rohani, malah akan turut menyakiti tubuh jasmani manusia. Ia juga akan turut mengganggu anak cucu dan pasangan seseorang setelah kematian orang itu. Makhluk ini bukanlah diwarisi secara sukarela, tetapi mereka berpindah kepada keturunan berikutan dendam kesumat mereka kepada anak Adam. Inilah makhluk halus yang dipanggil saka dalam kalangan masyarakat Melayu.

BAGAIMANA SAKA DIWARISI
Makhluk jin dan syaitan ini datang mendampingi manusia melalui beberapa cara. Ada sesetengahnya berlaku dengan disengajakan dan ada yang berlaku tanpa disedari dan tanpa kerelaan kita. Pewarisan saka secara sedar biasanya dilakukan melalui upacara tertentu seperti akad atau melalui pewarisan sesuatu barang yang menjadi simbol perjanjian antara mereka seperti keris, barangan kemas, barang hiasan tembaga dan atau apa sahaja yang menjadi milikan tuannya.Sekiranya seseorang waris menolak pewarisan khadam ini, maka makhluk ini akan menimbulkan gangguan kepada waris tersebut berupa penyakit-penyakit misteri. Gangguan juga boleh berlaku sekiranya tuan punya khadam atau warisnya melanggar pantang larang perjanjian seperti tidak menyediakan jamuan (ancak) atau tidak mengasapkan senjata dengan kemenyan pada waktu tertentu dan sebagainya.
Ada ketikanya gangguan saka ini berlaku tanpa disedari. Ini berlaku kerana keghairahan kita mengejar kehebatan dan ganjaran dunia tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Antaranya ialah melalui:

1. Ilmu dan amalan kebatinan yang menyeleweng.
Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan seumpamanya akan mempunyai risiko diganggu makhluk halus. Makhluk halus ini datang kerana upacara yang dilakukan oleh pengamal tersebut melalui pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya. Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku. Tetapi, menjelang akhir hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan menagih balasannya. Selepas meninggal, saka ini akan mencari keturunannya pula.

2. Khidmat rawatan menggunakan makhluk halus.
Seseorang yang mendapatkan rawatan dari perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya telah membuka ruang kepada khadam perawat tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya. Rawatan ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulek mayang, alin telur dan yang seumpamanya. Begitu juga perbuatan menggantung atau menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja yang dibekalkan oleh perawat tersebut boleh mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.

3. Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat.
’Harapkan pagar, pagar makan padi’. Begitulah perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus. Ini kerana yang ditugaskan untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga. Apabila tuan rumah meninggal dunia, makhluk yang menjaga rumah tersebut tetap mendiami rumah tersebut dan menimbulkan gangguan kepada penghuni dan keturunannya.

4. Menyimpan barang-barang berunsur khurafat.
Seseorang yang menyimpan barangan yang pernah menjalani suatu upacara khusus seperti keris yang dipuja, tombak yang dimandikan darah; atau batu permata yang dikatakan diambil dari alam ghaib; atau barang perhiasan seperti tepak sirih yang diwarisi dari pengamal ilmu-ilmu khurafat; atau barang kemas yang diwarisi secara turun temurun dengan syarat-syarat tertentu, maka besar kemungkinan ianya boleh menimbulkan gangguan misteri. Melalui pengalaman penulis, barangan tersebut biasanya dihuni dan dijaga oleh makhluk halus ini.
BENARKAH SAKA ITU ROH NENEK MOYANG?
Ramai orang tersalah anggap tentang makhluk saka ini. Mereka menyangka bahawa ianya adalah roh ibu bapa atau nenek moyang yang telah meninggal dunia. Sebenarnya anggapan sedemikian sangat silap dan meleset. Apabila seseorang meninggal dunia, rohnya akan dibawa ke alam barzakh, iaitu alam yang memisahkan antara hidup dunia dengan kehidupan akhirat kelak. Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali semula ke dunia sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun ayat 99-100: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah tidak akan sesekali membenarkan roh orang yang telah mati terutamanya roh orang yang kufur untuk kembali ke dunia. Jikalau benar roh-roh ini dibenarkan kembali, nescaya penulis yakin mereka tidak akan membuang masa untuk mengganggu anak cucu tetapi mereka pasti akan ke rumah ibadah untuk beribadah dan melakukan pelbagai lagi amalan soleh sebagai bekal untuk pulang semula ke akhirat. Sebaliknya, yang mengganggu anak cucu itu adalah jin dan syaitan yang mengambil kesempatan atas kejahilan manusia. Adakalanya seseorang itu tidak mengetahui bahawa ada sesuatu yang mendampinginya. Apabila dia meninggal dunia, makhluk tadi akan mencari pendamping baru yang mempunyai pertalian darah dengan si mati tadi.

Penulis membuat satu andaian, bahawa penyakit genetik merupakan satu istilah perubatan moden yang sebenarnya adalah merujuk kepada saka. Kita biasa mendengar, jika datuk atau bapa ada sakit jantung dan darah tinggi, kemungkinan anak atau cucu lelakinya akan mewarisi penyakit yang sama kelak. Jika nenek atau ibunya menghidap kencing manis, maka besar kemungkinan anak perempuannya akan turut terkena kencing manis. Bahkan, banyak penyakit-penyakit moden yang dikenali dalam perubatan moden dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik dan faktor keturunan seperti kanser, ketumbuhan, tumor dan sebagainya.
MEMBUANG SAKA BERDASARKAN KISAH NABI MUSA DAN SAMIRI
Tidak dinafikan bahawa merawat penyakit berpunca dari saka agak sukar terutama apabila ada ahli keluarga yang membantah dan enggan bekerjasama ekoran silap faham tentang isu saka ini. Penulis ingin membawa satu kaedah yang ditunjukan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Ta-Ha ayat 97: ”Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”

Kisah ini adalah berkenaan seorang lelaki bernama Samiri dari umat Nabi Musa a.s. Menurut Ibnu Abbas r.a., Samiri adalah seorang penduduk Bajarma dan berasal daripada kaum yang menyembah berhala. Ketika Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah selama 40 hari di bukit Tursina, Samiri telah mencipta patung seekor lembu betina dari emas untuk dijadikan bahan sembahan Bani Israel. Ahli sejarah berpendapat patung lembu tersebut adalah patung Hathor (patung lembu sapi betina dengan kepalanya dihiasi cakera matahari) atau Hapis (patung lembu jantan). Istimewanya, patung lembu tersebut boleh bercakap. Menurut Ibnu Kathir dan Ath-Tabari, kebolehan patung itu bercakap adalah kerana pertolongan syaitan melalui ilmu sihir yang diamalkan oleh Samiri. Rahsia tersebut ialah dengan mengambil segenggam tanah yang dipijak oleh kuda tunggangan Jibrail as. dan dicampakkan ke dalam adunan emas yang sedang dibakar. Terpukau dengan lembu yang boleh bercakap, maka bani Israel telah menjadikannya sebagai tuhan sembahan.

Sekembalinya Nabi Musa dari munajatnya, baginda terkejut dengan apa yang berlaku. Lalu baginda menghalau Samiri. Baginda juga membakar dan menghancurkan patung lembu tersebut dan menaburkan abunya di laut sehingga hilang lenyap. Seterusnya, nabi Musa memerintahkan agar bertaubat kepada Allah melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 54: ”Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Langkah 1: Musnahkan barang kediaman saka
Berdasarkan dua ayat di atas, terdapat dua langkah utama yang perlu dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan gangguan makhluk jin dan syaitan. Yang pertama ialah dengan menghapuskan sesuatu yang pernah dijadikan sebagai bahan perlindungan, bahan sembahan, bahan pergantungan atau bahan simbolik perjanjian dengan syaitan dengan cara membakar, menghancur dan membuangnya jauh-jauh ke laut atau sungai. Oleh itu, jika kita ada menyimpan barangan-barangan tertentu yang disimpan secara khas dengan syarat tertentu, maka eloklah dimusnahkan supaya gangguan dapat dielakkan. Sekiranya barang tersebut berupa senjata lama yang perlu melalui upacara khusus seperti perlu diperasap pada malam bulan purnama; atau mungkin ianya disimpan dengan balutan khusus berwarna tertentu, maka cara untuk mematikannya ialah dengan membuangnya ke laut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa.

Sekiranya barang itu berupa barang kemas yang diwarisi dari seseorang yang diketahui terlibat dengan perkara-perkara khurafat dan mengamalkan ilmu-ilmu kebatinan, maka barang kemas tersebut perlu dilupuskan dengan cara menjualnya kepada tukang emas untuk dileburkan. Sekiranya barang tersebut berupa barang perhiasan yang diperbuat dari tembaga seperti tepak sirih, dulang, pahar atau kacip pinang, cara untuk memusnahkannya ialah dengan melupuskan ia dari kepunyaan kita sama ada dengan menjual atau membuangnya jauh-jauh.

Sekiranya bahan tersebut berupa fabrik, pakaian atau kertas, cara untuk menghapuskannya ialah dengan membakarnya. Ada pesakit yang berasa sedih apabila barang-barang tersebut termasuk gambar dimakan api. Sebenarnya, cara terbaik untuk mengingati keturunan kita yang telah meninggal dunia ialah dengan berdoa memohon agar rohnya dirahmati Allah, membuat majlis tahlil arwah dan lain-lain ibadah dengan niat agar Allah menyampaikan pahala tersebut kepada mereka. Menyimpan barang kenangan belum tentu menambah pahala kepada si mati.

Langkah 2: Banyakkan taubat
Setelah kesemua barangan tersebut dimusnahkan, maka pesakit perlu memperbanyakkan taubat, memohon ampun kepada Allah atas segala kejahilan dan kekufuran yang telah dilakukan. Cara taubat yang sebaik-baiknya ialah melalui taubat terpimpin iaitu dengan menemui seorang pembimbing dari kalangan orang alim yang beramal dengan ilmunya dan belajar cara taubat yang sebetulnya. Kebiasaannya, sebahagian besar masalah tersebut akan dapat di atasi melalui kaedah banyak bertaubat.
PESANAN UNTUK PEWARIS SAKA
Dalam banyak situasi, ahli keluarga pesakit enggan mengaku bahawa keluarga mereka ada mewarisi saka. Bahkan, ada juga yang memarahi perawat kerana membuat tuduhan melulu. Dalam menghadapi keadaan ini, ahli keluarga pesakit tidak perlu melenting apabila didapati punca penyakit misteri yang dihidapinya berpunca dari gangguan saka. Perawat pula janganlah beriya-iya menyalahkan keturunan pesakit sebagai punca masalah. Sebaik-baiknya kedua-dua pihak, sama ada pesakit atau perawat, berlapang dada menerima kenyataan bahawa masalah yang dihadapi adalah berpunca dari kejahatan dan dendam kesumat iblis dan syaitan terhadap Adam dan keturunannya. Firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf ayat 16-17: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Penulis yakin tidak ada ibu bapa atau datuk nenek kita yang ingin melihat keturunannya hidup dalam penderitaan dan ketakutan. Adakalanya, mereka sendiri tidak menyedari bahawa amalan tersebut menjadi punca kedatangan jin kafir dan syaitan untuk menganggu anak cucu mereka. Kadang-kadang, dorongan nafsu untuk menjadi kaya, menjadi hebat, menjadi cantik menyebabkan mereka beramal dengan ilmu-ilmu tersebut. Oleh yang demikian, jangan sesekali menyalahkan ibu bapa, datuk nenek atas kesilapan mereka. Apa yang perlu kita lakukan ialah memohon kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa adn kejahilan mereka. Dalam masa yang sama, kita berikhtiar untuk sembuh dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah dalam Al-Quran.

Artikel Majalah Al Islam Bulan Oktober 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pengarah, Pusat Islam dan Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Pahang


Friday, December 6, 2013

Menjaga Persahabatan

Setiap orang perlukan rakan dalam hidupnya. Hidup tanpa rakan dikatakan seperti kera sumbang. Ada rakan yang hanya sebagai kenalan, kita sekadar beberapa kali sahaja bertemu atau bercakap dengannya. Ada rakan yang sekadar sahabat biasa, iaitu seseorang yang kita kenal agak lama seperti rakan sekolah, rakan sekerja, rakan sekampung dan sebagainya tetapi tidaklah akrab dengan mereka. Ada rakan maya, iaitu yang kita kenal melalui laman sembang, internet, telefon dan e-mel. Ada pula rakan karib iaitu seseorang yang kita kenal secara mendalam, tahu hati budinya, tempat kita mengadu dan berbincang, dan orang yang tahu banyak rahsia diri kita. Apa yang menariknya, ramai orang apabila semakin akrab hubungan persahabatannya maka makin sensitif jadinya. Malah makin kita ambil mudah dalam menjaga hubungan yang terjalin itu dengan alasan rakan sudah memahami kita. Kesilapan ini akan membawa kepada retaknya sebuah persahabatan dan ia perlu di atasi segera.Dalam artikel kali ini akan diberikan beberapa petua untuk menambat hati rakan dalam pergaulan seharian dan semoga hubungan silaturahim yang sedia terjalin menjadi satu hubungan yang hebat.
Fikir Sebelum Berkata - Sewaktu diperingkat awal kita berkenalan dengan seseorang kita sering berfikir terlebih dahulu apa yang mahu dikatakan agar tidak disalah faham, tidak dianggap kasar dan tidak mengguris perasaan orang lain. Malangnya, semakin akrab sebuah persahabatan perkara ini dianggap tidak begitu penting. Kita menjadi sebaliknya iaitu cakap dahulu baru berfikir. Kesannya, kita telah tanpa niat menyakitkan hati rakan dan yang peliknya kita anggap rakan tidak akan ambil kisah kerana dia sepatutnya telah memahami perangai kita. Jadi untuk menambat hati rakan dalam pergaulan fikirkan perkara berikut sebelum berkata-kata:
Adakah apa yang diperkatakan ini akan menyinggung perasaannya?
Adakah masa dan tempatnya sesuai?
Apa perkataan-perkataan yang mahu digunakan?
Apakah yang mahu dikatakan ini membawa sesuatu kebaikan?
Adakah ia penting?
Bolehkan keadaan rakan membolehkan dia terima gurauan ini?
Ada atau tidak kemungkinan apa yang mahu diperkatakan itu akan disalah erti?

Bukanlah bermakna setiap kali mahu bercakap maka semua perkara di atas mesti difikirkan serentak. Lihatlah keadaannya juga. Namun kerap kali dengan mempertimbangkan satu atau dua perkara yang disenaraikan di atas itu sebelum bercakap akan menyuburkan sebuah ikatan persahabatan kita.

Mesra Dalam Berkomunikasi - Kajian menunjukkan 55% komunikasi letaknya pada fisiologi iaitu gaya, gerak badan dan mimik muka, 38% kesan komunikasi letaknya pada nada suara dan hanya 7% sahaja bergantung kepada fakta. Oleh itu bagaimana kita menyampaikan sesuatu itu adalah lebih penting daripada apa yang disampaikan. Jadi beberapa perkara yang mesti dilakukan agar komunikasi antara kita dan rakan sentiasa mesra ialah:
Sampaikan dalam senyuman
Mulakan dengan mencari kebaikan kawan
Bercakap dengan nada suara yang rendah dan lembut
Menjadi Pendengar Yang Baik
Hikmah manusia dijadikan dengan dua telinga dan satu mulut ialah agar kita lebih mendengar dari bercakap. Kerapkali kita gagal memahami apa yang dimaksudkan oleh rakan kerana tidak mendengar dengan baik dan ini membuatkan mereka rasa tidak dihargai. Sebagai rakan, kita sering dijadikan tempat untuk mengadu. Bila kawan dalam bermasalah kitalah jadi pendengarnya. Bila kawan tertekan, kitalah tempat dia melepaskan tekanannya. Bila kawan dimarahi, kitalah tempat dia minta dipujuk dan disejukkan hatinya. Oleh itu, peranan kita sebagai pendengar yang baik sangatlah penting. Untuk menjadi pendengar yang baik, lihat matanya ketika dia bercakap, angguk dan iyakan tanda kita mendengar, tidak memotong cakapnya, ulang kata-katanya tanda kita faham, gunakan seni sentuhan sebagai bukti kita ambil berat, dan memberikan pandangan apabila diminta berbuat demikian.

Memahami Sebelum Difahami - Orang lain tidak kisah apa yang kita tahu sehinggalah mereka tahu yang kita memang ambil kisah. Maksudnya, orang lain tidak akan pedulikan nasihat, teguran, pandangan, kata-kata dan idea kita sehinggalah mereka sedar bahawa kita sebenarnya ambil berat tentang dirinya. Sebab itulah penting bagi kita sebagai rakan memahami rakan kita dahulu dan mereka akan ambil langkah yang sama kelak untuk memahami kita pula. Faham sikapnya, tingkah laku dan tabiatnya, hobinya, pantangnya, cara fikirnya dan sebagainya.

Ingat Tarikh Lahirnya - Adakah kita ingat tarikh lahirnya? Sesiapa juga akan bangga apabila kita ingat tarikh lahirnya dan seterusnya memberikan ucapan kepadanya. Lebih mesra lagi apabila ucapan disertai dengan kad dan hadiah. Hadiah tidak semestinya mahal sebab yang berharga itu bukan nilainya tetapi mesej disebalik pemberian itu.

Akrab Dengan Keluarganya - Untuk menambat hati rakan maka kenalilah ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan adik beradiknya. Lebih akrab lagi apabila kita ingat nama-nama ahli keluarganya ini dan sesekali menziarahi mereka. Ada ketikanya, apabila masalah timbul maka ahli keluarga terdekat inilah yang akan jadi penasihat tentang hubungan persahabatan kita. Adalah tidak rugi merapatkan hubungan dengan ahli keluarga sahabat kita sekurang-kurangnya kita tahu latar belakangnya dan dapatlah mengenali diri rakan itu dengan lebih dekat lagi.
Ketepikan Soal Remeh Temeh - Dalam pergaulan bersama rakan-rakan banyak perkara-perkara kecil yang berlaku setiap hari yang sepatutnya tidak perlu disimpan dihati. Lagi pun tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini termasuk diri kita dan rakan kita juga. Kita akan lebih berjaya menambat hati rakan apabila kita menerima diri rakan itu seadanya. Iaitu kita bersahabat dengannya kerana kita tahu kelemahan dan kekurangan serta kebaikan dan kekuatan yang ada padanya. Kalau tindakan-tindakan rakan itu bertitik tolak dari kelemahan dirinya yang kita sedia maklum maka tidak perlulah kita ambil hati sangat. Perkara-perkara yang remeh seperti sesekali menggunakan barang kita tanpa izin, terlupa hendah ucapkan terima kasih atas pertolongan kita, terlepas cakap sedikit dan sebagainya lagi adalah lebih baik tidak dikisahkan langsung. Apatah lagi kalau semua itu berlaku tanpa disengajakan atau tanpa niat.

Tegur Secara Membina Dan Berhemah - Untuk menambat hati rakan kita mestilah bersedia untuk menegurnya untuk kebaikan dirinya sendiri. Tetapi teguran itu bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan maruah, memalukan atau merendah-rendahkannya. Sebaliknya teguran itu dibuat sebagai bukti bahawa kita ambil berat tentang diri rakan tersebut. Teguran itu mestilah membina dan disampaikan dengar cara yang paling baik hingga tidak menyentuh hati dan perasaan rakan.

Bersedia Memohon Maaf - Ada ketikanya kita melakukan kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesediaan kita untuk memohon maaf akan mengeratkan lagi perhubungan persahabatan itu. Memohon maaf bukanlah bererti jatuh ego kita sebaliknya ia membuatkan rakan lebih menghormati kita. Lama kelamaan rakan akan sedar bahawa kita adalah orang yang tidak hanya mementingkan perasaan dan diri kita sendiri. Maaf itu pula mestilah disegerakan dan ikhlas datang dari hati. Setelah permohonan maaf itu dibuat kita pula mestilah sanggup lupakan apa yang telah berlaku dan tidak diungkit-ungkitkan lagi perkara tersebut dimasa-masa yang lain.

Berikannya “Surprise” - Semua orang sukakan ‘surprise’ begitu juga rakan kita. Apa salahnya tanpa disangka-sangka kita berikannya hadiah, atau belanjanya makan, atau ajak dia ke tempat yang menarik dan sebagainya. Semua ini dilakukan tanpa kita mengharapkan apa-apa balasan selain dari usaha untuk menambat hati rakan agar persahabatan yang sedia terjalin semakin akrab.
Berikan Ucapan Syabas - Apabila rakan kita mendapat suatu kejayaan atau menerima sesuatu anugerah maka berusahalah untuk menjadi antara orang pertama dan terawal mengucapkan syabas kepadanya. Ucapan ini boleh dibuat sama ada secara berdepan atau melalui telefon, SMS, kad ucapan atau e-mel. Ada juga yang mengiklankan dalam akhbar ucapan syabas ini agar ia menjadi saat yang tidak dilupakan oleh rakan tersebut. Jangan pula kita menjadi orang yang cemburu, iri hati dan dengki atas kejayaan rakan kerana sikap sedemikian tidak membawa sebarang kebaikan dalam persahabat itu.

Ziarahi Rakan
Jadilah juga orang pertama dan terawal yang menziarahinya apabila sahaja kita dengar dia ditimpa musibah atau jatuh sakit. Ketika inilah rakan memerlukan sahabatnya dan kita perlu ada di sisinya. Berilah bantuan setakat yang terdaya sama ada dari segi sokongan moral, masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya. Tolong uruskan apa yang patut untuknya agar beban yang dirasakan itu terasa berkurangan. Hari ini hari rakan esok lusa mungkin hari kita pula.

Sunday, December 1, 2013

WIRID SELEPAS SOLAT

Setelah kita selesai berwirid, berdoalah terlebih dahulu.. mohon doa ke hadrat Allah sebelum kita bangun meninggalkan tikar solat.Firman Allah dalam ayat 60 Surah al-Ghaffir Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."
Pesan ustaz, awali dan akhiri-lah doa dengan ucapan 'Alhamdulillahirabbil'alamin'diikuti dengan berselawat ke atas Nabi SAW. Dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah SAW, sabdanya: "Segala perkara yang mempunyai kepentingan - menurut syara' - yang tidak dimulai melakukannya dengan ucapan Alhamdulillah, maka perkara itu menjadi kurang keberkahannya." Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan lain-lainnya.

Dari Fadhalah bin 'Ubaid ra, katanya: "Rasulullah SAW pernah mendengar seseorang yang berdoa dalam solatnya, tetapi ia tidak mengucapkan pui-pujian kepada Allah Ta'ala dan tidak pula membaca selawat pada Nabi SAW., lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tergesa-gesa sekali orang ini,' kemudian orang itu dipanggilnya.  Nabi SAW lalu bersabda pada orang itu atau pada orang lain juga:  "Jikalau seseorang di antara engkau semua hendak berdoa, maka hendaklah memulai dengan mengucapkan puji-pujian kepada Tuhannya yang Maha Suci serta puja-pujaan padaNya, selanjutnya membaca selawat kepada Nabi SAW., seterusnya bolehlah ia berdoa dengan apa yang dikehendaki olehnya." Diriwayatkan oleh imam-imam Abu Dawud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis shahih.
Allah Ta'ala berfirman; yang bermaksud: "Katakanlah: "Segala puji-pujian itu adalah bagi Allah."(al-Isra':111) Allah Ta'ala berfirman pula: "Dan akhir doa mereka - dalam syurga - ialah bahawa segenap puji-pujian itu adalah bagi Allah yang Maha Menguasai seluruh alam. (Yunus: 10)
Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Dia yang Hidup dan Berdiri Dengan SendiriNya, dan aku bertaubat kepada-Nya

Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, bagi-Nya segala puja. Dialah yang menghidupkan (orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) dan yang mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu

Ya Allah Tuhan kami, jauhkanlah kami dari api neraka

Ya Allah, Engkau sejahtera, dan daripada Engkau kesejahteraan, dan kepada Engkau kembalinya kesejahteraan itu, maka hidupkan kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami kedalam syurga, negeri yang aman sejahtera

Bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan kami, dan Maha Kuasa, wahai Tuhan yang Maha Besar dan Maha Mulia

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2)Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). (4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)

Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (Al-Baqarah ayat 163)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (Al-Baqarah ayat 255)

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ali-Imran ayat 18)

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Ali-Imran ayat 19)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26) Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (27) (Ali-Imran ayat 26-27)

Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya (Al-Ikhlas ayat 1-4)

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1)"Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2)"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya". (5) (Al-Falaq ayat 1-5)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. (1) "Yang Menguasai sekalian manusia, (2) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, (3) "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - (4) "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - (5) "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (6) (An-nas ayat 1-6)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2) Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). (4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)

Tuhanku/kami, Penjagaku/kami

Maha Suci Allah

Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya yang kekal selama-lamanya

Segala puji bagi Allah

Segala puji bagi Allah, Penjaga sekalian alam, ke atas tiap-tiap perkara dan kenikmatan

Allah Maha Besar


Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar, dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya dan Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dengan keEsaanNya, tiada sekutu baguNya, bagiNya segala pemerintahan dan bagiNya segala kepujian, Dialah yang menghidup dan mematikan, dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, dan tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.