DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, July 6, 2013

Fahami Maksud Sebenar Menutup Aurat

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) 

Marilah kita perhatikan dan hayati ayat Al-Qur'an sebagaimana berikut dan seboleh-bolehnya disematkan didalam hati sebagai suatu pedoman, panduan dan bekalan hidup kita seharian: (Surah At-Tahrim: Ayat 6)


Menutup aurat merupakan suatu kewajipan kita sebagaimana yang difardhukan yang sudah pun diketahui umum oleh semua umat Islam sama ada LELAKI mahu pun WANITA. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan nas dan dalil-dalil daripada Al-Qur'an, Hadits dan kesepakatan para ulama (Ijma'). Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut, manakala aurat wanita ialah seluruh tubuh badan kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka.
Mafhumnya: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)" (Surah Al-A'raf: Ayat 27)

Marilah perhatian baik-baik apakah yang telah kita ikrarkan (doa Iftitah) semasa kita mendirikan solat. Apakah hanya dibibir sahaja, atau apakah kita tidak memahaminya. Jika kita tidak memahaminya marilah kita sama-sama melihat akan maknanya mengenai ikrar itu:


Mafhumnya: Sesungguhnya solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku semata-mata kerana Allah sekelian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagi-Nya dan aku dari gologan orang Islam.


Persoalnnya, dimana diri kita sekarang ini? Apakah ikrar yang kita lafazkan itu hanya suatu permainan sahaja. Namun pernah kedengaran jika taatkan perintah Allah SWT itu hipokrit'. "Subhanallah". Marilah kita lintaskan pada hati kita kenapa kita dijadikan dimuka bumi ini. Lihat Firman Allah SWT dalam Surah az-Dzariat, ayat 56:
Mafhumnya: 'Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.'

Ingatlah kita semua kita apabila sampai masanya akan kembali (mati) ke hadrat Allah SWT, maka amalanlah yang akan kita bawa. Akan tetapi ramai umat Islam yang dilihat di sana sini sangat-sangat mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahu pun perempuan. Apa yang menyedihkan ialah cara atau trend oleh sebilangan individu, tidak menepati dengan cara yang telah digariskan oleh Syara'. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya khususnya bagi perempuan.
gambar hiasan - pakaian ketat menampakkan tubuh badan


Gambar hiasan – pakaian non muslim yang digemari Sebahagian lelaki Islam 

Lebih mengecewakan lagi, bagi wanita, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia telah menutup auratnya. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti Memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari atau pun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkancara bertudung pun masih menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.

Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain. Sikap sebahagian sama ada muslim atau muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
gambar hiasan - pakaian seperti ini disukai oleh lelaki bila tiba hari raya atau majlis-majlis tertentu sahaja.

TUNTUTAN MENUTUP AURAT ADALAH PERINTAH ALLAH SWT

Allah SWT telah mewajibkan lelaki mahu pun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan cara-cara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah SWT. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah SWT terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah SWT. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad SAW) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits Riwayat Muslim)
  


gambar hiasan - Tidak kira lelaki mahu pun wanita kini dilihat suka tidak menutup aurat ketika bersukan

Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah SWT, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan. Jika berfesyen pun fesyen yang dikenakan hendaklah memenuhi tuntutan syara'. Jika bersukan pun pakaian sukan hendaklah disesuaikan dengan hukum syarak.

MENUTUP AURAT NIKMAT ANUGERAH ALLAH SWT

Allah SWT telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui firmanNya: (Surah al-A‘raaf: Ayat 26)
Mafhumnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. 
Ayat tersebut menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.


Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri. Tuntutan menutup aurat adalah untuk kebaikan bagi diri muslimin dan muslimat.

Bagi kaum wanita, di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus sepertimana yang dijelaskan dalam Al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol dan sebagai-sebagainya. Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri oleh kita semua, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan yang dikehendaki ini.

BAGAIMANA CARA MENUTUP AURAT YANG DITUNTUT OLEH SYARA'?

Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu bagi wanita, bagaimana aurat perempuan dalam solat, maka itulah juga auratnya di luar solat. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup. 

Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki Syara‘ itu merujuk kepada Firman Allah Ta‘ala sebagaimana berikut: (Surah Al-Ahzab: 59)
Mafhumnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam ayat di atas itu telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah RA:

Mafhumnya: “Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah SAW berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda Rasulullah SAW menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara' bagi wanita itu adalah sebagaimana berikut:

1. Pakaian yang longgar, bukan pakaian yang sempit yang menampakkan susuk dan bentuk tubuh badan;
2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung;
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat daripada kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.

SEPINTAS LALU PAKAIAN MENUTUP AURAT LELAKI DAN WANITA

CARA BERTUDUNG MENGIKUT SYARA' BAGI WANITA

Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah menutup kepala dikenali sebagai tudung. Tudung kepala yang dituntut adalah sebagaimana berikut:

1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Manakala belahan bajuletaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.

Firman Allah SWT: (Surah An-Nur:Ayat 31)
Mafhumnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; ...

2. Tudung hendaklah diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut daripada kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.

Antara Ciri-ciri PAKAIAN YANG DILARANG Oleh Syara'

Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah SAW telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya: “Bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki.” (Hadits riwayat Abu Daud) 

Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah SWT. Apabila Allah SWT dan Rasulullah SAW melaknat ke atas seseorang itu, maka menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fasiq.

Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT dan juga satu nikmat yang wajib dan perlu disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguh-nangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya.

Sebaliknya mereka akan istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh Syara‘. Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya.

Firman Allah SWT: (Surah Asy-Syu‘ara’: 214) 
Mafhumnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.”

Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: (Surah al-Ma’idah: 2)
Mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)

Dengan kesedaran kaum Muslimin dan Muslimat sekelian tentang tanggungjawab dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.
Mahukah anda digelar 'MUKMIN' atau setakat 'ISLAM SAHAJA'. Marilah kita semua berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Sesungguhnya" aurat wanita sangat mudah diperkatakan tetapi sukar untuk dilaksanakan, oleh yang demikian wanita yang menjaga aurat adalah merupakan wanita solehah, bagaikan berlian yang bersinar dan sukar didekati kerana duri yang melingkarinya. Maka balasan wanita yang menjaga auratnya adalah SYURGA".

"Kepada semua pihak: Ketua-ketua Masyarakat di dalam organisasi sama ada awam (Kementerian, Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan) mahu pun swasta, PARTI-PARTI SIASAH, Ketua-ketua Kecil dalam masyarakat, Ketua-ketua Kampung, Imam-Imam, Pengetua-pengetua atau Guru-Guru Besar Sekolah, para ustaz dan ustazah, para-para suami dan setiap lelaki dan perempuan Islam yang kesemuanya telah diamanahkan untuk memakmurkan muka bumi ini maka hendaklah sentiasa dan sering (berulang-ulang kali tanpa ada perasaan jemu) menyeru, menegur bagi mempastikan anak-anak buah, kakitangan, saudara-mara, rakan dan taulan, jiran, ibu, isteri dan anak-anak lelaki dan perempuan menutup aurat dengan cara yang betul sebagaimana telah diperintah oleh Allah SWT. Kepada pelawat laman web ini sebar-sebarkanlah kepada umat Muhammad SAW dengan cara yang berhemah.


Apabila hati kita ikhlas disulami dengan cara hidup mengikut hukum syarak, maka mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat keberkatan dan umur kehidupan kita sentiasa diredhai oleh Allah SWT.

Friday, June 28, 2013

Antara Orang Taqwa, Mukmin dan Islam

Istilah Islam, mukmin dan taqwa ini sering atau kerap kita dengar. Walaupun secara umumnya ia berkaitan dengan orang yang beragama Islam, namun maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan di antara orang Islam,orang mukmin dan orang bertaqwa. Orang yang masuk agama Islam tidak dikatakan masuk iman atau dikatakan orang mukmin. Orang yang masuk Islam tidak diistilahkan sebagai orang beriman. Lebih-lebih lagi dia tidak dikatakan orang yang bertaqwa. Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya, itulah umat Islam. Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa. Iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.
Iman dan taqwa sangat mahal. Tidak mudah untuk mendapat iman dan taqwa. Untuk menjadi orang Islam, mudah. Cukup dengan bersyahadah sahaja. Namun dengan sekadar bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang mukmin atau orang bertaqwa. Dia baru Islam. Bagaimana pun seorang yang bersyahadah tidak boleh dikatakan kafir. Kalau dia solat, puasa, naik haji dan berjuang, tentulah dia orang Islam. Untuk menjadi orang Islam, itu mudah tetapi untuk menjadi orang mukmin, susah. Untuk menjadi orang bertaqwa lebih lagi susah. Sebab itu masuk sahaja agama Islam, dia dikatakan Islam atau muslim tetapi tidak dikatakan mukmin atau taqwa.

Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya:
1. Kalau kita hendak buat contoh, bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungaan dan sayur-sayuran. Orang yang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia menjelajah taman. Syahadah itu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu apa lagi yang ada di dalam taman itu. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan dan pendengaran dan lain-lain. Orang mukmin itu, dia sudah menjelajah taman. Sudah round taman. Dia sudah melihat keindahan taman. Orang bertaqwa pula, dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayur-sayuran dalam taman itu. Maka orang bertaqwalah yang paling tinggi.
2. Sebagai contoh lagi, katalah kita hendak ziarah sebuah zoo. Kita ambil tiket lalu duduk di pintu. Lepas itu kita balik. Atau di sebuah taman bunga yang indah, kita ambil tiket dan duduk di kerusi. Lepas itu kita balik. Kemudian kita cakap kita sudah masuk zoo dan sudah masuk taman. Betullah kita sudah masuk. Tetapi kita belum tengok dan belum rasa hebat dan cantiknya zoo dan taman itu. Soal sudah masuk itu satu perkara. Itulah Islam. Soal sudah tengok dan sudah rasa keindahan dan kenikmatan zoo dan taman, itu satu perkara lain pula. Itulah mukmin dan taqwa.

3. Contoh lain, macamlah orang yang hendak masuk ke universiti. Dia baru baftar nama, belum belajar dan belum pusing-pusing kawasan universiti lagi. Baru diterima masuk, dia baru ada nama sebagai pelajar universiti. Itulah Islam. Dia belum boleh dikatakan seorang intelek atau seorang graduan. Intelek dan graduan itu ibarat mukmin dan taqwa. Cuma selesai pendaftaran, automatik dia menjadi student. Dia belum dapat ilmu. Jelajah kawasan universiti pun belum.

4. Atau kalau hendak dicontohkan lagi, Islam adalah ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Mungkin tambah lagi dengan sedekah, belajar dan lain-lain. Itu kulit. Itu Islam.
Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentulah isi. Tetapi perlu ingat, kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan isi yang elok. Begitu juga tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap. Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok, itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap, itu tamsilan orang bertaqwa.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa). Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.” Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.
Katalah seseorang itu solatnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang (tidak kira sama ada orang itu ketua jabatan ke, menteri ke atau kuli sekalipun). Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat, mukaddimah ucapan menggunakan ayat Al-Quran, MasyaALLAH. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa lebih-lebih lagi nak menunjuk-menunjuk sahaja.

Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa.
Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain.
Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang.
Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan.
Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya.
Berhadapan dengan ujian dia tenang.
Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur.
Jadual waktunya dengan ALLAH tetap dan istiqomah.
Walau di dalam keadaan susah dan senang.
Bermesra dengan orang.
Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya.
Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan.
Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya.
Merendah diri adalah budaya hidupnya.
Setiap orang yang meminta pertolongan jarang tidak ditunaikannya.
Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya.
Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan.
Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya.
Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian.
Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukanya.
ALLAH selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya.
Nampak sangat bahawa ALLAH itu adalah sandaran hidupnya.
Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah.
Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya.
Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa berhadapan dengan kesusahannya.

Tawakal, sabar dan redha adalah menjadi budaya hidupnya.

Ehsan Jalan ke Syurga

Tuesday, June 25, 2013

Mengutip Pahala dan Menghapus Dosa

Segala puji bagi Allah SWT Rabb alam semesta, salawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dan utusan yang paling mulia. Dalam kehidupan yang serba mencabar kita seakan lelah mencari kebaikan untuk bekalan nanti namun kita sering berhadapan dengan seribu satu ujian dan dugaan. Adakala kita tewas kerana mudah tunduk atas runtunan nafsu dah hasutan iblis, akantetapi jika kita ada usaha untuk mencerap sedikit ilmu bagi memperbaiki kelemahan dan kelalaian kita Insyaallah peluang tetap ada, cuma jangan mudah putus asa dan mengalah. Kita perlu istiqamah dalam mencari kebaikan kerana amat menyayangi hambaNya yang selalu sujud kepada Nya.
Risalah ini ditujukan kepada setiap muslim yang beribadah kepada Allah sahaja dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Tujuan utama yang sangat penting bagi setiap muslim adalah apabila meninggalkan dunia fana ini dengan keampunan Allah dari segala dosa sehingga Allah tidak menghisabnya pada hari Kiamat, dan memasukkannya ke dalam syurga kenikmatan, hidup kekal didalamnya, tidak keluar selama-lamanya. Di dalam risalah yang sederhana ini disampaikan beberapa amalan yang dapat menghapuskan dosa dan membawa pahala yang besar, yang kesemuanya bersumber dari hadis-hadis yang sahih. Kita bermohon kepada Allah yang Maha Hidup, yang tiada Tuhan yang haq selain Dia, untuk menerima segala amalan kita. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

1. TAUBAT - "Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, nescaya Allah akan mengampuninya" HR. Muslim. "Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menerima taubat seorang hamba selama roh belum sampai ke kerongkongnya".

2. KELUAR UNTUK MENUNTUT ILMU - "Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya dengan (ilmu) itu jalan menuju syurga" HR. Muslim.

3. SENANTIASA MENGINGAT ALLAH - "Inginkah kalian aku tunjukkan kepada amalan-amalan yang terbaik, lagi suci disisi Allah, tertinggi dalam tingkatan derajat, lebih utama daripada mendermakan emas dan perak, dan lebih baik daripada menghadapi musuh lalu kalian tebas batang lehernya, dan merekapun menebas batang leher kalian. Mereka berkata: "Tentu", lalu beliau bersabda: ( Zikir kepada Allah SWT)" HR. At Turmidzi.

4. BERBUAT YANG MAKRUF DAN MENUNJUKKAN JALAN KEBAIKAN - "Setiap yang makruf adalah sedakah, dan orang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan (akan mendapat pahala) seperti pelakunya" HR. Bukhari.

5. BERDAKWAH KEJALAN ALLAH - "Barangsiapa yang mengajak (seseorang) kepada petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun" HR. Muslim.

6. MENGAJAK YANG MAKRUF DAN MENCEGAH YANG MUNGKAR - "Barangsiapa diantara kalian melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika ia tidak mampu maka dengan lisannya, jika ia tidak mampu (pula) maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemahnya iman" HR. Muslim.

7. MEMBACA AL QUR`AN - "Bacalah Al Qur`an, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafa`at kepada pembacanya" HR. Muslim.

8. MEMPELAJARI AL QUR`AN DAN MENGAJARKANNYA - "Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al Qur`an dan mengajarkannya" HR. Bukhari.
9. MENYEBARKAN SALAM - "Kalian tidak akan masuk syurga sehingga beriman, dan tidaklah kalian beriman (sempurna) sehingga berkasih sayang. Maukah aku tunjukan suatu amalan yang jika kalian lakukan akan menumbuhkan kasih sayang di antara kalian? (yaitu) sebarkanlah salam" HR. Muslim.

10. MENCINTAI KERANA ALLAH - "Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari kiamat: (Di manakah orang-orang yang mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan menaunginya dalam naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan selain naungan-Ku)" HR. Muslim.

11. MENZIARAH ORANG SAKIT - "Tiada seorang muslim pun menziarah orang muslim yang sedang sakit pada pagi hari kecuali ada 70.000 malaikat berselawat kepadanya hingga petang hari, dan apabila ia menziarah pada petang harinya mereka akan selawat kepadanya hingga pagi hari, dan akan diberikan kepadanya sebuah taman di syurga" HR. Tirmidzi.

12. MEMBANTU MELUNASI HUTANG - "Barangsiapa meringankan beban orang yang dalam kesulitan maka Allah akan meringankan bebannya di dunia dan di akhirat" HR. Muslim.

13. MENUTUP AIB ORANG LAIN - "Tidaklah seorang hamba menutup aib hamba yang lain di dunia kecuali Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat" HR. Muslim.

14. MENYAMBUNG TALI SILATURAHMI - "Silaturahmi itu tergantung di `Arsy (Singgasana Allah) seraya berkata: "Barangsiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambung hubungan dengannya, dan barangsiapa yang memutuskanku maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

15. BERAKHLAK YANG BAIK - "Rasulullah SAW ditanya tentang apa yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka beliau menjawab: "Bertakwa kepada Allah dan berbudi pekerti yang baik" HR. Tirmidzi.

16. JUJUR - "Hendaklah kalian berlaku jujur kerana kejujuran itu menunjukan kepada kebaikan, dan kebaikan menunjukan jalan menuju syurga" HR. Bukhari.

17. MENAHAN MARAH - "Barangsiapa menahan marah padahal ia mampu menampakkannya maka kelak pada hari kiamat Allah akan memanggilnya di hadapan para makhluk dan menyuruhnya untuk memilih bidadari yang ia sukai" HR. Tirmidzi.

18. MEMBACA DO`A PENUTUP MAJLIS - "Barangsiapa yang duduk dalam suatu majlis dan banyak terjadi di dalamnya kegaduhan lalu sebelum berdiri dari duduknya ia membaca do`a: (Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memuji-Mu aku bersaksi bahwa Tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah kecuali Engkau, aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu) melainkan ia akan diampuni dari dosa-dosanya selama ia berada di majlis tersebut" HR. Tirmidzi.

19. SABAR - "Tidaklah suatu musibah menimpa seorang muslim baik berupa malapetaka, kegundahan, rasa letih, kesedihan, rasa sakit, kesusahan sampai-sampai duri yang menusuknya kecuali Allah akan melebur dengannya kesalahan-kesalahannya" HR. Bukhari.

20. BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA - "Sangat celaka, sangat celaka, sangat celaka...! Kemudian ditanyakan: Siapa ya Rasulullah?, beliau bersabda: (Barangsiapa yang mendapati kedua orang tuanya atau salah satunya di masa lanjut usia kemudian ia tidak boleh masuk syurga)" HR. Muslim.
21. BERUSAHA MEMBANTU PARA JANDA DAN MISKIN - "Orang yang berusaha membantu para janda dan fakir miskin sama halnya dengan orang yang berjihad di jalan Allah" dan saya (perawi) mengira beliau berkata: Dan seperti orang melakukan qiyamullail yang tidak pernah jenuh, dan seperti orang berpuasa yang tidak pernah berbuka" HR. Bukhari.

22. MENANGGUNG BEBAN HIDUP ANAK YATIM - "Saya dan penanggung beban hidup anak yatim itu di syurga seperti begini," seraya beliau menunjukan kedua jarinya: jari telunjuk dan jari tengah.HR. Bukhari.

23. WUDHU` - "Barangsiapa yang berwudhu`, kemudian ia memperbagus wudhu`nya maka keluarlah dosa-dosanya dari jasadnya, hingga keluar dari ujung kukunya" HR. Muslim.

24. BERSYAHADAT SETELAH BERWUDHU` - Barangsiapa berwudhu` lalu memperbagus wudhu`nya kemudian ia mengucapkan: (Saya bersaksi bahwa tiada Tuhan yang haq selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan saya bersaksi bahwa Muhammad hamba dan utusan-Nya,Ya Allah jadikanlah aku termasuk orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bersuci)," maka dibukakan baginya pintu-pintu syurga dan ia dapat memasukinya dari pintu mana saja yang ia kehendaki" HR. Muslim.

25. MENGUCAPKAN DOA SETELAH AZAN - "Barangsiapa mengucapkan doa ketika ia mendengar seruan azan: Ya Allah pemilik panggilan yang sempurna dan solat yang ditegakkan, berilah Muhammad wasilah (derajat paling tinggi di syurga) dan kelebihan, dan bangkitkanlah ia dalam kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya maka ia berhak mendapatkan syafa`atku pada hari kiamat"HR. Bukhari.

26. MEMBANGUN MASJID - "Barangsiapa membangun masjid kerana mengharapkan keredhaan Allah maka dibangunkan baginya yang serupa di syurga" HR. Bukhari.

27. BERSIWAK - "Seandainya saya tidak mempersulit umatku nescaya saya perintahkan mereka untuk bersiwak pada setiap solat" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

28. BERANGKAT KE MASJID - "Barangsiapa berangkat ke masjid pada waktu pagi atau petang, nescaya Allah mempersiapkan baginya tempat persinggahan di syurga setiap kali ia berangkat pada waktu pagi atau petang" HR. Bukhari dan HR. Muslim,

29. SOLAT LIMA WAKTU - "Tiada seorang muslim bila datang waktu solat fardhu kemudian ia memperbagus wudhu`nya, kekhusyu`annya dan ruku`nya kecuali hal itu menjadi pelebur dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya selama ia tidak dilanggar suatu dosa besar. Dan yang demikian itu berlaku sepanjang masa" HR. Muslim.

30. SOLAT SUBUH DAN ASAR - "Barangsiapa solat pada dua waktu pagi dan petang (subuh dan asar) maka ia masuk syurga" HR. Bukhari.

31. SOLAT JUMAAT - "Barangsiapa berwudhu` lalu memperindahnya, kemudian ia menghadiri solat Jumaat, mendengar dan menyemak (khutbah) maka diampuni dosanya yang terjadi antara Jumaat pada hari itu dengan Jumaat yang lain dan ditambah lagi tiga hari" HR. Muslim.

32. SAAT DIKABULKANNYA PERMOHONAN PADA HARI JUMAAT - "Pada hari ini terdapat suatu saat bilamana seorang hamba muslim bertepatan dengannya sedangkan ia berdiri solat seraya bermohon kepada Allah sesuatu, tiada lain ia akan dikabulkan permohonannya"HR. Bukhari dan HR. Muslim.

33. MENGIRINGI SOLAT FARDHU DENGAN SOLAT SUNNAT RAWATIB - "Tiada seorang hamba muslim solat kerana Allah setiap hari 12 rakaat sebagai solat sunnat selain solat fardhu, kecuali Allah membangunkan baginya rumah di syurga" HR. Muslim.

34. SOLAT 2 (DUA) RAKAAT SETELAH MELAKUKAN DOSA - "Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia berwudhu` dengan sempurna kemudian berdiri melakukan solat 2 rakaat, lalu memohon ampunan Allah, melainkan Allah mengampuninya" HR. Abu Daud.
35. SOLAT MALAM - "Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam" HR. Muslim.

36. SOLAT DHUHA - "Setiap persendian dari salah seorang di antara kalian pada setiap paginya memiliki kewajiban sedekah, sedangkan setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, memerintahkan kepada yang makruf itu sedekah dan mencegah dari yang mungkar itu sedekah, tetapi semuanya itu dapat terpenuhi dengan melakukan solat 2 rakaat dhuha" HR. Muslim.

37. SELAWAT KEPADA NABI SAW - "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali maka Allah membalas selawatnya itu sebanyak 10 kali" HR. Muslim.

38. PUASA - "Tiada seorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkannya kerana puasa itu dari neraka selama 70 tahun" HR. Bukhari.

39. PUASA 3 (TIGA) HARI PADA SETIAP BULAN - "Puasa 3 (tiga) hari pada setiap bulan merupakan puasa sepanjang masa" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

40. PUASA 6 (ENAM) HARI PADA BULAN SYAWAL - "Barangsiapa melakukan puasa Ramadhan, lalu ia mengiringinya dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal maka hal itu seperti puasa sepanjang masa" HR. Muslim.

41. PUASA `ARAFAT - "Puasa pada hari `Arafat (9 Dzulhijjah) dapat melebur (dosa-dosa) tahun yang lalu dan yang akan datang" HR. Muslim.

42. PUASA `ASYURA - "Dan dengan puasa hari `Asyura (10 Muharram) saya berharap kepada Allah dapat melebur dosa-dosa setahun sebelumnya" HR. Muslim.

43. MEMBERI HIDANGAN BERBUKA BAGI ORANG YANG BERPUASA - "Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka bagi orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti pahala orang berpuasa itu, dengan tidak mengurangi pahalanya sedikitpun" HR. Tirmidzi.

44. SOLAT DI MALAM LAILATUL QADR - "Barangsiapa mendirikan solat di (malam) Lailatul Qadr kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu"HR. Bukhari Juz. IV/No. 221 dan HR. Muslim.

45. SEDEKAH - "Sedekah itu menghapuskan kesalahan sebagaimana air memadamkan api" HR. Tirmidzi.

46. HAJI DAN UMRAH - "Dari umrah ke umrah berikutnya merupakan kafarah (penebus dosa) yang terjadi di antara keduanya, dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya kecuali syurga" HR. Muslim.

47. BERAMAL SOLEH PADA 10 HARI BULAN DZULHIJJAH - "Tiada hari-hari, beramal soleh pada saat itu lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini, yaitu 10 hari pada bulan Dzulhijjah. Para sahabat bertanya: "Dan tidak (pula) jihad di jalan Allah? Beliau bersabda: "Tidak (pula) jihad di jalan Allah, kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian ia tidak kembali lagi dengan membawa sesuatu apapun" HR. Bukhari.
48. JIHAD DI JALAN ALLAH - "Bersiap siaga satu hari di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya, dan tempat pecut salah seorang kalian di syurga adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya" HR. Bukhari.

49. INFAQ DI JALAN ALLAH - "Barangsiapa membantu persiapan orang yang berperang maka ia (termasuk) ikut berperang, dan barangsiapa membantu mengurusi keluarga orang yang berperang, maka iapun (juga) termasuk ikut berperang" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

50. MENSOLATI MAYAT DAN MENGIRINGI JENAZAH - "Barangsiapa ikut menyaksikan jenazah sampai disolatkan maka ia memperoleh pahala satu qirat, dan barangsiapa yang menyaksikannya sampai dikubur maka baginya pahala dua qirat. Lalu dikatakan: "Apakah dua qirat itu?", beliau menjawab: (Seperti dua gunung besar)" HR. Bukhari.

51. MENJAGA LIDAH DAN KEMALUAN - "Siapa yang menjamin bagiku "sesuatu" antara dua dagunya dan dua selangkangannya, maka aku jamin baginya syurga" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

52. KEUTAMAAN MENGUCAPKAN LAA ILAHA ILLALLAH DAN SUBHANALLAH WA BI HAMDIH - "Barangsiapa mengucapkan: (LAA ILAHA ILLALLAH) sehari seratus kali, maka baginya seperti memerdekakan 10 budak, dan dicatat baginya 100 kebaikan,dan dihapus darinya 100 kesalahan, serta doanya ini menjadi perisai baginya dari syaithan pada hari itu sampai petang. Dan tak seorangpun yang mampu menyamai hal itu, kecuali seseorang yang melakukannya lebih banyak darinya". Dan beliau bersabda: "Barangsiapa mengucapkan: (SUBHANALLAH WA BI HAMDIH) satu hari 100 kali, maka dihapuskan dosa-dosanya sekalipun seperti buih di lautan" HR. Bukhari dan HR. Muslim.

53. MENYINGKIRKAN GANGGUAN DARI JALAN - "Saya telah melihat seseorang bergelimang di dalam kenikmatan syurga dikeranakan ia memotong pohon dari tengah-tengah jalan yang mengganggu orang-orang" HR. Muslim.

54. MENDIDIK DAN MELINDUNGI ANAK PEREMPUAN - "Barangsiapa memiliki tiga anak perempuan, di mana ia melindungi, menyayangi, dan menanggung beban kehidupannya maka ia pasti akan mendapatkan syurga" HR. Ahmad dengan sanad yang baik.

55. BERBUAT BAIK KEPADA HAIWAN - "Ada seseorang melihat seekor anjing yang menjilat-jilat debu kerana kehausan maka orang itu mengambil sepatunya dan memenuhinya dengan air kemudian meminumkannya pada anjing tersebut, maka Allah berterimakasih kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga" HR. Bukhari.
57. MENINGGALKAN PERDEBATAN - "Aku adalah pemimpin rumah di tengah syurga bagi siapa saja yang meninggalkan perdebatan padahal ia dapat memenangkannya"HR. Abu Daud.

58. MENGUNJUNGI SAUDARA-SAUDARA SEIMAN - (Maukah aku beritahukan kepada kalian tentang para penghuni syurga? Mereka berkata: "Tentu wahai Rasulullah", maka beliau bersabda: "Nabi itu di syurga, orang yang jujur di syurga, dan orang yang mengunjungi saudaranya yang sangat jauh dan dia tidak mengunjunginya kecuali kerana Allah maka ia di syurga") Hadits hasan, riwayat At-Thabrani.

59. KETAATAN SEORANG ISTERI TERHADAP SUAMINYA - "Apabila seorang perempuan menjaga solatnya yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menjaga kemaluannya serta menaati suaminya maka ia akan masuk syurga melalui pintu mana saja yang ia kehendaki" HR. Ibnu Hibban, hadits shahih.

60. TIDAK MEMINTA-MINTA KEPADA ORANG LAIN - "Barangsiapa yang menjamin dirinya kepadaku untuk tidak meminta-minta apapun kepada manusia maka aku akan jamin ia masuk syurga" Hadits sahih, riwayat Ahlus Sunan.

Thursday, June 13, 2013

Kenapa Kita Suka Mengkritik

Setiap hari kita pasti akan mendengar pelbagai kisah hidup. Bermula dari kisah yang mengembirakan hingga kisah yang membawa duka nestapa. Kita mungkin memikirkan yang kita beruntung menjadi pendengar cerita suka dan duka tanpa membayar apa pun. Tetapi kita mungkin lupa yang dalam cerita itu mungkin banyak cerita kritikan tentang perihal sikap atau perangai orang lain.
Dalam kehidupan bersosial atau bermasyarakat, kita tidak akan lari dari terjumpa atau berjumpa dengan individu atau mempunyai kawan yang suka membesar-besarkan diri sendiri, pendek kata suka berlagak atau sombong. Ciri-ciri yang biasa kita nampak ialah mereka ini suka bercakap besar atau berdegar-degar, suka memperlekehkan orang lain, mengkritik dengan tujuan untuk menjatuhkan seseorang, memuji diri sendiri, bersikap defensive, suka berbohong, tidak suka menerima pandangan orang lain, selalu menceritakan sesuatu yang diidam-idamkannya walaupun perkara itu mustahil untuk dicapai, suka mengawal orang lain dan cepat marah.

Apabila kita berdepan dengan individu sebegini, kebiasaannya hati kita akan terdetik mengatakan “asyik-asyik nak dengar cakap dia je!”,”dia ingat dia seorang je ke yang betul?”, “sikit-sikit nak marah orang!”. Memang tidak dapat dinafikan, sikap dan tingkahlaku seseorang yang mengkritik dan suka marah-marah ini akan memberi impak psikologi terhadap emosi dan pemikiran kita samada secara langsung ataupun tidak.

Kita begitu mudah melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain tanpa kita menilai kesalahan yang kita lakukan sendiri. Kita gemar memberi komen atas orang lain namun jarang sekali memberi komen terhadap diri sendiri. Bak kata orang dulu, kuman di seberang laut dapat dilihat tetapi gajah di depan mata tidak pula kita nampak.

Kita marah orang memperkatakan hal kita tetapi kita juga sebenarnya membuka diri kita untuk diperkatakan apabila memperlihatkan sikap yang mengundang kejelekan pada mata masyarakat. Apabila berlaku ketidakpuasan hati, maka bermula satru episod yang merosakkan hubungan, yang sebenarnya membawa kita selangkah ke neraka tanpa kita sedari.

Orang yang mengkritik itu pada hakikatnya mereka adalah tergolong dalam golongan orang yang lemah. Oleh kerana, antara ciri-ciri orang yang begini itu adalah suka memarahi orang lain terutama di depan khalayak ramai, maka telah disebut dalam satu hadith yang bermaksud; Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling kuat bukanlah orang yang tidak dapat dikalahkan oleh orang lain, tetapi orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika ia sedang marah.” Hadith Riwayat Muslim – 4723

Berdasarkan konsepsi hadith ini, jelas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu mengawal marahnya adalah merupakan orang yang tidak kuat atau lemah.

Satu hal yang mungkin kurang kita amati hasil dari mengkritik orang lain adalah penanaman sikap negatif yang mula mengambil tempat dalam minda bawah sedar kita. Apabila kita terlalu rajin mengkritik orang lain, di mata kita semua orang melakukan keburukan atau kita suka memperlekehkan orang lain, tanpa kita sedari, secara tidak langsung kita melakukan hukum pengulangan.

Hukum pengulangan menyatakan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan secara berulangkali akan membawa kepada satu keterbiasaan. Keterbiasaan ini pula akan membawa kepada satu perubahan fisiologi yang baru tidak kira samada positif atau negatif. Maksudnya di sini apabila kita sering berkata nista, maka kita sebenarnya menanam secara perlahan-lahan tetapi utuh akan kata-kata nista itu di dalam minda bawah sedar kita hingga akhirnya kita menjadikannya satu sikap baru.
Jika kita terlalu rajin mengkritik seseorang hingga tiada ruang untuknya menjelaskan hal sebenar, apa yang sebenarnya berlaku adalah kita sedang menanam afirmasi kritikan itu di dalam minda bawah sedar kita. Jika ianya dilakukan secara berulang kali maka akhirnya tanpa sedar kita mula mengikut rentak fikiran bawah sedar itu tadi. Nah… lama kelamaan, ianya menjadi satu sikap yang negatif untuk kita. Buruknya, kita kemudiannya melakukan sebagaimana yang kita kritikan dahulu.

Justeru, kita perlu menghindari sikap yang mengkritik yang tidak membina. Kita boleh sahaja memberi kritikan asalkan kritikan itu membina yakni kritikan yang disertai dengan cara penyelesaian. Jika kritikan itu tidak disulami dengan aliran penyelesaian maka ianya tidak layak dipanggil kritikan membina melainkan satu kecaman atau sering dipanggil 'condemn'. Sikap suka mengecam ini sering dimiliki oleh mereka yang sebenarnya membawa sikap yang dikecam. Mereka tidak pernah sedar yang sikap mereka kadangkala lebih buruk dari orang mereka kecam

Dalam ilmu psikologi, orang yang beremosi itu sering menggunakan salah satu teknik ‘self-presentation’ iaitu ‘intimidation’ samada secara sedar mahupun tidak. ‘Intimidation’ atau intimidasi digunakan untuk membangkitkan rasa takut pada orang lain dengan membentuk imej sebagai individu yang digeruni supaya orang lain mengikutinya. Tambahan itu, intimidasi juga boleh digunakan secara positif atau pun negatif berdasarkan kepada situasi dan tujuan tertentu. Jika seseorang itu menggunakan teknik ini ke arah yang negatif maka akan jadilah ia seorang yang berlagak sombong, suka marah-marah, bengis, merasakan diri bagus dan yang akhirnya akan menjerumuskan dirinya ke arah kehancuran.

Maka mulai dari hari ini juga marilah kita sama-sama melihat ke satu arah yang baru, arah yang tidak melihat hanya kepada keburukan orang lain. Kita tidak pula banyak mengata serta memberi komen yang tidak diperlukan. Kita perlu ingat bahawa apa yang kita katakan itu adalah satu saranan untuk diri kita supaya bersikap sedemikian di akhirnya nanti.

Jika kita tidak berhenti melakukan hal-hal negatif sebegini, ditakuti kita akan melakukan apa yang kita kritikkan terhadap orang lain sebelum kita menghembuskan nafas terakhir. Mereka yang kita kritik mungkin sudah bertaubat lalu meninggalkan dunia dengan penuh keinsafan. Malangnya mereka yang sering memberi kritikan dan kecaman pula mati dalam keadaan yang penuh dengan kenegatifan.
Jika kita merasakan yang kita dikritik, maka mulai hari ini fahamlah bahawa mereka yang memberi kritikan itu juga tidak terselamat dari hukuman. Biar sekecil mana kebaikan tetap juga mendapat balasan, begitulah sebaliknya. Kita perlu hidup dalam kasih sayang. Kita boleh memberi nasihat tetapi bukan kecaman. Kita perlu memberi nasihat kerana Allah swt dan bukan atas kehendak diri.

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita menghadapi individu seperti ini? Terdapat beberapa cara antaranya ialah bersikap tenang beserta senyuman ketika menghadapinya, cuba sedaya upaya untuk tidak terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh mereka dengan cara berfikir secara rasional, siapkan hujah yang bernas dalam fikiran tetapi jangan berdebat, biarkan mereka meluahkan segala-galanya apa yang ingin diperkatakan, elakkan dari terpengaruh dengan gaya komunikasi dan tuturkata mereka dan sama sekali jangan beremosional.

Selain itu, antara kelemahan orang yang mengkritik ini ialah mereka sering mengungkapkan sesuatu yang tidak rasional dan memutarbelit sesuatu perkara. Mengapa perkara ini berlaku? Hal ini terjadi kerana minda mereka sudah dipengaruhi oleh nafsu, maka akal sudah tidak lagi berfungsi untuk berfikir secara positif. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh menerima pandangan dan sering menyalahkan orang lain.

Dari aspek perubatan Thibbun Nabawy, Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut bahawa penyakit itu terbahagi kepada dua iaitu penyakit fizikal dan hati. Justeru, orang yang mengkritik ini boleh dikategorikan sebagai orang yang mengalami penyakit hati yang kronik. Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 10 yang bermaksud: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

Marilah kita sama-sama mengubah diri kita untuk menanam kata-kata yang baik lagi mulia secara berulang-ulang agar ianya tertanam utuh dalam memori bawah sedar kita. Biarlah kata-kata tersebut menjadi corak masa depan kita dan menjadi satu contoh yang baik untuk mereka yang berada di sekeliling kita. Seandainya kita mampu mengubah diri kita, maka kita juga mampu mengubah sekeliling kita kerana kita sudahpun menjadi contoh tauladan yang baik.
Perlu kita ingat bahawa kita tidak mampu mengubah orang lain, maka eloklah jika kita melihat ke dalam diri sendiri kerana kita mampu mengubah diri sendiri. Kita perlu berhenti dari cuba mengubah orang lain dan mengkritik orang lain tanpa terlebih dahulu mengubah diri sendiri serta menilai prestasi hubungan kita dengan Allah SWT. Semoga hari ini kita mula menjadi orang yang sentiasa mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mulia. Amiin

Konklusinya, apa yang paling penting adalah bukan kita hanya sekadar melihat akan perilaku orang lain, tapi sentiasa bermuhasabah diri, apakah kita ini termasuk dalam golongan orang yang berlagak, beremosi suka mengkritik dan lemah ini? Bagi mengelakkannya, hendaklah kita belajar berfikir secara rasional dan tidak emosional, senyum selalu, menilai kelemahan diri sendiri atau bersifat tawaddhu', menanamkan sifat kehambaan kepada Allah SWT, janganlah kita menganggap apa yang kita fikir betul kesemuanya, bersedia untuk dikritik, menghormati pendapat dan terimalah nasihat serta pandangan orang lain

Hisham dan Azhar

Sunday, June 9, 2013

Solat Jamak dan Qasar

Pengertian solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih dari 2 marhalah (60 batu atau 90 kilometer)
Hendak lah kita perhatikan apakah niat kita sebelum memulakan satu perjalanan atau bermusafir dan cara solat yang mana yang kita pilih ketika hendak bermusafir kerana itu lebih memudahkan agar niat kita tidak berubah-ubah yang kemudian menyusahkan diri sendiri. Adakah pilihan kita hendak solat qasar, solat jamak taqdim dan takhir atau solat jamak  taqdim dan takhir qasar. (Memahami niat  itu lebih mudah untuk kita membezanya).

Seseorang yang bermusafir atau dalam satu perjalanan diharuskan mengqasharkan solat. Contoh memendekkan solat yang 4 rakaat kepada 2 rakaat tetapi solat mahgrib dan subuh hendak dikerja seperti lazim dan tiada diringkaskan. Sesuai dengan firman Allah: "Sekiranya kamu melakukan perjalanan (bermusafir )dimuka bumi ini,maka tiada halangan untuk kamu mengqasharkan solat jika kamu takut akan ditakuti oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh kamu yang jelas lagi nyata.(Surah An-Nisa :4;101)

Menurut mahzab Asy-Syafi"i mengqasar solat bagi orang-orang yang bermusafir yang memenuhi syarat amat digalakkan; Dari Ibnu Umar R.A beliau berkata Rasulullah SAW pernah bersabda 'Sesungguhnya Allah SWT menyukai segala kelonggaran yang diberikan olehnya diterima dan dilaksanakan, sebagaimana Allah memurkai segala kemaksiatan terhadapnya dilakukan oleh kamu"(Hadis riwayat Ahmad)

Sahnya solat jamak dan qasar bagi seseorang itu ialah;
1.Perjalanannya melebihi 90 kilometre.
2.Perjalanan bukan bertujuan maksiat
3.Solat yang boleh diqashar (diringkaskan)hanya solat yang 4 rakaat
4.Meniatkan solat itu dengan solat Qashar semasa melafazkan takbiratul ikram
5.Tidak berimam kepada orang yang bermukim(orang tempatan)

Tempuh sah sebagai musafir mengikut para ulama hanya 3 hari dan 2 malam sahaja.Sekiranya lebih daripada itu maka tidak harus  jika ia mengqasharkan solat kerana dianggap telah bermukim.

Pembahagian Solat Jamak
Jamak Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur, solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat jamak taqdim.

Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka ini dinamakan solat jamak takhir.

Hikmah dan Hukum solat Jamak dan Qasar
Hikmah solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu. Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak mahu buatpun tidak menjadi masalah.
Syarat Jamak Taqdim
Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
Syarat Jamak Takhir
Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.

Syarat Qasar
Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Niat Solat Jamak dan Qasar

i). Jamak Taqdim dan Qasar
Zuhur-Asar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.

Maghrib-Isyak
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.

ii). Jamak Takhir dan Qasar
Asar-Zuhur
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.

iii). Isyak-Maghrib
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.

أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى
“Sahaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.
Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar
Cara mengerjakan solat jamak dan qasar:
Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
Berdiri lurus mengadap kiblat.
Berniat hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.

Kalau qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak, maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.