DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, October 5, 2012

Amalan Murah Rezeki


Murah Rezeki atau Rezeki Murah? Kita selalu diajar untuk berdoa, "Ya Allah murahkan rezeki ku" Memang doa ini biasanya tidak ketinggalan dimasa beribadat terutama selepas solat. Intipadi daripada doa kadang kala kita tidak ambil kisah sangat kerana doa yang kita lakukan sekadar menjadi satu tradisi untuk setiap kali beribadat atau dalam mana-mana majlis yang berciri majlis agama. Rezeki adalah pemberian Allah, kadang kala kita dapat lebih dan kadang kala kita dapat kurang. Ada juga yang tak dapat hingga kebularan. Ada peribahasa menyebut rezeki dalam mulut harimau sekali pun boleh diambil. Betul makanan yang dah masuk dalam mulut kita belum lagi dijamin menjadi rezeki kita, selagi kita belum telan. Dah telan pun boleh keluar semula kalau Allah tak takdirkan itu bukan rezeki kita. Kekayaan, kesenangan dan bahagia itu adalah hak Dia.
Kali ini saya berkongsi dengan anda semua mengenai petua-petua murah rezeki. InsyaAllah, petua-petua ini mampu menarik energi rezeki anda agar lebih lancar.
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah (SWT) limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah (SWT) memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

Amalan Murah rezeki;
1.Menyempatkan diri beribadah
2.Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya,
3.Memperbanyak istighfar - Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
4.Tinggalkan perbuatan dosa - Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa.
5.Sentiasa ingat Allah - Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
6.Berbakti dan mendoakan ibu bapa - Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
7.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah - Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.
8.Tunaikan hajat orang lain - Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri
9.Banyak berselawat
 10.Buat kebajikan banyak-banyak
11.Berpagi-pagi - Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
12.Menjalin silaturrahim
13.Melazimi kekal berwuduk
14.Bersedekah - Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki.
15.Amalkan solat malam (tahajud) - Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
16.Amalkan solat Dhuha - Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan 4 rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
17.Bersyukur kepada Allah - Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, niscaya akan Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Al-Quran, Surah Ibrahim, Ayat 7) Allah berfirman lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Al-Quran, Surah Ali Imran, Ayat 145)
18.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu - Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
19.Berdoa - Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
20.Berikhtiar sehabisnya - Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
21.Bertawakal - Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.

Zikir Yang Patut Diamalkan
Bismikallahumma nada`u, Fi ghuduwiw wa rawah, Laka minna kullu hamdin, Fi masaiw wa sobah, Hablana minka roshadah, Wahdiina subulasolah, Inna taqwa Allahi nurun, Wa toriqul lil falah. - Dengan nama mu Ya Allah, kami meminta pada waktu pagi dan petang, bagi mengisi segala pujian, pada waktu pagi dan petang, kurniakan kepada kami dari sisiMu petunjuk, tunjukkan kami jalan kebaikan, sesungguh nya ketakwaan kepada Allah, cahaya dan jalan kejayaan. (In the name of Allah, we pray,in the morning and evening, for u all the praise, in the morning and evening, give us the guide, show us the right path, truly, taqwa to Allah, is the light and way to success)

Doa Murah Rezeki
1) Membaca SURAH AL-WAQIAH
- Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قَرأ سُورَةَ الوَاقِعَةِ فِي كُلّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فاقَة
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiapa malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
(Riwayat daripada Ibn Mas‘ud: al-Azkar, al-Jami al-Soghir).
2) Membaca SURAH AL-IKHLAS:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ، اللَّهُ الصَّمَدُ ، لَمْ يَلِـدْ وَلَمْ يُولَـدْ ، وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُواً أَحَدٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.”
- Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang membaca Qulhuwallu ahad ketika masuk ke rumahnya, nescaya dihindarkan kefakiran daripada ahli rumahnya dan jirannya. (Daripada Jarir bin Abdullah: Kanzu al-‘Ummal, Mu‘jam al-Tabarani; daripada Ibn Mas‘ud: Mujma‘ al-Zawaid)

Tuesday, October 2, 2012

Menegur Dengan Berhemah


Jiwa yang kaya ialah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya memiliki sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain.
Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar memanggil Bilal bin Rabbah dengan gelaran wahai anak hitam, satu ungkapan amat menghiris hati. Bilal apabila mendengar panggilan itu mendiamkan diri dan tidak membalas panggilan Abu Zar. Sebagai manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan, Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW untuk membuat aduan berkaitan perkara itu. Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah. Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja dan terus ke masjid. Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah SAW . Baginda Nabi kemudian menyebut: Wahai Abu Zar, kita menghina Bilal dan menghina asal-usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kita asal-usulnya ialah orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kita masih ada sisa jahiliah.

Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW dengan berkata: Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku.... Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal lalu dipeluknya sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata: Demi Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kita pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kita orang terhormat dan aku yang terhina. Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah. Mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang.

Pengajaran daripada kisah ini ialah, jangan sesekali kita menghina orang dalam apa bentuk sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana emosi dan perasaan seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti rugi walaupun lumayan. Memohon maaf atas kesalahan juga satu manifestasi dan pancaran keimanan, kesucian hati dan ketinggian akhlak seseorang. Ia selaras akhlak dan sunnah Baginda Rasulullah SAW sebagai seorang yang paling pemaaf lagi mulia sifatnya. Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan, wajar kita meminta maaf dengan cepat. Akui kesalahan dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan itu. Bagi mereka yang melakukan kesalahan padanya, tidak salah merendah diri dan memaafkan kesalahannya. Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas saja akan diberi ganjaran. Kita wajar merenungi firman Allah yang bermaksud: Terima kemaafan dan suruh dengan perkara yang baik serta berpaling (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil. (Surah al-Araf, ayat 199)

Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah, terutama perkara berkaitan kehidupan bermasyarakat.Ingatlah dan sematkan dihati, jangan ulangi kesilapan yang sama…. jangan… sebab ianya amat menyakitkan yang akhir membawa kita jauh kemurungan.

Dan terkadang kesalahan kecil kita sebagai pembimbing dan pemimpin menjadikan batu api bagi syaitan untuk disemarakkan pada hati mereka dibawah kita.Maka, awaslah! Belajarlah dari kesalahan samada orang lain dan diri sendiri juga.
1) Bila nak menegur seseorang, tegurlah dengan cara paling baik dan pada waktu paling tepat sekali.
Yang penting, bukanlah untuk sampaikan teguran itu, paling penting adalah supaya teguran itu diterima. Maka sediakan mekanisme terbaik untuk melakukan teguran itu. Tak kiralah teguran itu dirasakan dalam suasana penuh kasih sayang, tapi jika cara dan waktu tidak tepat, kita hanya akan menyalakan lava yang tengah meluap-luap amarahnya.

2)Jalinkan kecintaan sebelum meminta kepatuhan. Jalinkan kepercayaan sebelum memberikan nasihat.
Adakah adil jika kita menegur seseorang maupun sesiapa, dalam keadaan kita tidak merasai ikatan hati, ataupun paling penting, dia tidak merasai kasih sayang dari kita? tentu tidakkan? Kita tak pernah endahkan dia, tak pernah mendengar masalah dia, tak pernah membantu dia.. Dan kini kita hadir padanya, meminta kepatuhan dan mahu menegur sahaja? Jadilah seorang pembimbing, yang ada ikatan hati dari sudut ayah, abang, syeikh dan guru pada anak muridnya. berkenalanlah, bantulah dia, dan cintailah dia, sebelum kita meminta kepatuhan dan juga menegur kesalahan dia.

Memang betul dia wajib mendengar kita sebagai pembimbing. Benar, dia ada kesalahan sebagai orang yang ditegur, tapi santunilah keanak-anakan dan kenaifan dia dalam tarbiyah. Hargailah semangatnya dalam beramal, dan didiklah dia dengan penuh cinta, bukan kritikan dan sindiran yang mengundang kebencian. Sudah namanya belajar, memang dia akan banyak buat kesalahan. memang dia perlukan bimbingan. Memang dia takkan perfect. Maka, santunilah perkara itu dengan baik.

3) Carilah medium terbaik dalam memberikan teguran/didikan.
Barangkali kita bukanlah orang yang terbaik dalam menegurnya. Carilah orang yang hatinya berhemah mewakili kita dengan lebih terbuka untuk menceritakan segalanya. Carilah orang yang pandai berbicara dalam memberikan didikan ini. Jadikan mereka orang tengahmu. Jika orang lain lebih pandai menegur darimu. Jangan gunakan medium perantaraan seperti emel, sms atau telefon, ketika menegur dan memberikan didikan. kerana manusia sangat banyak salah faham jika teguran itu tidak bernada, dan jika teguran berlaku secara sehala tanpa bertanya apakah asal usul punca masalah itu berlaku. Bertemulah, berjumpalah, dan hadapi mereka itu penuh cinta, sebelum duduk mendengar penjelasan darinya. Insyaallah, dia akan membuka hatinya pada kita.

4) Cari masa sesuai dan tenang dalam memberikan teguran.
Bukan sepuluh minit sebelum kita nak menyampaikan tarbiyah, di waktu itulah kita menegur dia. Hancurlah perasaan dia, dan menurunlah semangat dia dalam amal. Bawalah dia pergi ke kedai makan. Berboraklah perihal-perihal santai sebelum membicarakan hal serius. Bukalah hati dia dahulu menerima kita sebelum kita menyampaikan apa-apa pada dia. Duduk bersemuka dengan dia, dalam keadaan dia tenang, bukan ketika dia sedang mengalami tekanan perasaan yang mengancam. Ambil waktu paling tepat sekali. Jangan gopoh dan tidak bersabar...
5) Anggaplah dia seperti adik sendiri/anak sendiri/diri sendiri.
Fahami dan dengarilah dia sebelum kita menegur. Dan tegurlah dengan cara seperti mana kita mahu diri kita sendiri ditegur. Mulakan dengan pujian dan penghargaan, kemudian barulah membuka topik perbincangan. Jangan memandang rendah akan dirinya. Jangan membuatkan dia rasa begitu hina, lebih hina dari tanah. Jangan bagi dia rasa down selepas teguran. Setiap manusia ini ada ego yang perlu dijaga. Kerana setiap nasihat, kita mahukan perubahan. Bukan mahu dia lari dari tarbiyah!!!

6) Paling penting, jangan menegur dalam keadaan kita sangat beremosi
Solatlah dahulu. Biarkan waktu melegakan hati kita. Minta pada Allah diberikan cara dan petunjuk terbaik dalam menegur. Niat yang ikhlas sahaja takkan menjamin teguran itu diterima, cara kena amat betul dalam penyampaian...

Ingatlah perkara ini betul-betul. Kerana manusia lain akan terluka jika kita lakukan pada mereka apa yang pernah manusia lakukan padamu. Ingatlah sebaiknya. Walaupun, jika kita menjadi manusia terhebat sekalipun, engkau tidaklah superior dari mereka, Engkau tidaklah lebih baik dari mereka, Mungkin lebih teruk sekalipun. kerana itu, teguran itu dibuat atas dasar dirimu bersedia untuk ditegur dan berubah juga. Diri kita mahu juga ditegur dan dinasihati selalu....

Ajaib apabila melihat, kematangan hidup dan pengalaman bergaul dengan ramai manusia, amat memberi kesan kepada perwatakan dan kata-kata pada seseorang. Bila kita melihat pada dua generasi yang berbeza. Dan kita akan merasakan kebenaran, pengalaman dapat memberikan kematangan dalam kepimpinan dan membimbing. Dan kita perlu belajar dari kesilapan ini. Jangan ulangi perkara sama. Jadilah manusia lebih baik. Seperti mana kita harapkan kita juga perlubelajar dari kesilapan kita , membetulkan kesilapan kita, dan sentiasa menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Kita akan merasa lebih bahagia walaupun dimana sahaja kita berada yang penting kedudukan kita di sisi Allah itu lebih utama.. dan betul, teguran pada sesiapa juga perlu sama sahaja seperti di atas. kita jemaah manusia, bukannya robot dan tentera. Ada emosi dan masalah. maka belajar cara berkomunikasi dengan baik.

Thursday, September 27, 2012

Kaedah Membuat Keputusan


Memiliki berdozen pilihan untuk membuat keputusan belum tentu menjanjikan keputusan yang tepat dan memuaskan hati kerana ada faktor-faktor lain yang menentukan pilihan terbaik. Ramai orang yang membuat keputusan sama ada hendak berkahwin atau meninggalkan pekerjaan sebenarnya telah menghabiskan banyak masa untuk membuat pilihan. Malahan masa menunggu tersebut cukup meresahkan semua orang. Apakah terdapat satu cara untuk membuat keputusan yang baik, diterima dan berkesan? Ada. Cara berkesan untuk membuat keputusan ialah bertanya soalan yang betul. Bertanya soalan-soalan yang relevan, menepati kehendak isu dan bertindak menyelesaikannya dengan pantas.
Tanpa mempelajari bagaimana bertanya soalan yang betul, kita hanya menyibukkan diri dengan isu remeh-temeh yang hanya menambah kekusutan fikiran. Hidup tidak menentu dan matlamat sebenar membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah tidak akan pernah tercapai. Untuk bertanya soalan yang betul, kita mesti tahu bezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak. Apabila kedua-duanya jelas, barulah kita dapat berfikir dengan kritikal dan berusaha menyelesaikan masalah.

Sukarnya membuat keputusan. Begitulah delimanya pemikiran seseorang bagi mencari jalan keluar dari setiap permasalahan yang dihadapinya. Tidak kira kecil atau besar masalah tersebut, membuat keputusan yang betul dan tepat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Samada hasil keputusan itu baik atau sebaliknya, ia bukanlah tujuan tetapi bagaimana membuat keputusan itulah yang merunsingkan. Dalam sesetengah keadaan, setiap orang akan cuba untuk tidak membuat keputusan, menyimpan keringat fikir dan jiwa mereka daripada dikeluarkan. Seseorang yang tidak yakin untuk membuat keputusan akan cuba mengelakkan daripada memikirkan pelbagai cara supaya mereka ini tidak jelas kelihatan membuat perkara yang pelik sewaktu berhadapan dengan permasalahan.

Membuat keputusan boleh ditakrifkan sebagai tindakan memilih daripada pelbagai jalan alternatif. Sifat asalnya yang dinamakan membuat keputusan itu adalah terhasil daripada bebanan soalan-soalan yang diambil daripada berbagai-bagai aspek kehidupan, maka sewajarnya pendekatan yang tidak dapat di elak adalah memerlukan satu jawapan yang perlu untuk diputuskan. Secara sederhana, keberkesanan dalam membuat keputusan itu bukan saja tertumpu kepada proses berfikir seseorang tetapi ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ada padanya perlu dijanakan bersama dalam menilai proses tersebut. Sesuatu keputusan tidak terjadi tanpa sebab tertentu. Keputusan juga mempunyai kematangannya yang tersendiri-kematangannya berbeza-beza mengikut tahap permasalahan yang ditimbulkan..

Setiap hari manusia membuat keputusan. Sekecil-kecil contoh, apabila bangun tidur di awal pagi, seorang pelajar sudah perlu memutuskan sama ada hendak solat subuh berjemaah di masjid atau di rumah dan sama ada menyambung tidur selepas solat atau terus mandi dan bersiap untuk ke kuliah. Keputusan perlu diteruskan lagi untuk memilih samada untuk tidak masuk ke kuliah atau menuju terus ke perpustakaan. Begitulah seterusnya..dalam lapangan kehidupan manusia yang bermacam-macam ragamnya. Ada yang sedang berkonflik untuk membuat keputusan dalam memilih beberapa tawaran belajar atau kerja, yang perlu memutuskan kesediaan untuk berumahtangga, membuat keputusan untuk membeli jenis kereta, memerlukan satu keputusan untuk menjatuhkan hukuman di mahkamah, dan banyak lagi..Sebesar-besar perkara untuk membuat keputusan adalah terletak di bahu seorang penguasa atau pemimpin sesebuah wilayah atau negara yang setiap hasil keputusannya bakal menentukan jatuh bangunnya amanah pemerintahan manusia, aturan dan tapak yang sedang dipikulnya.
Barangkali terdapat banyak kaedah yang dikeluarkan oleh orang pakar bidang dalam membantu masyarakat untuk membuat keputusan. Sama ada berkesan atau sebaliknya, usaha-usaha yang dijalankan mungkin sedikit sebanyak dapat membantu mengeluarkan diri daripada ruang lingkup permasalahan tersebut. Namun, sebesar mana pun usaha yang dilakukan pasti tidak akan terlaksana tanpa seizin dari Allah SWT iaitu berbaliknya para makhluk dalam menyerahkan segala urusan dan keputusan ke hadrat Nya. Bahasa yang sering digunakan seorang Muslim setelah berjaya memutuskan satu keputusan adalah dengan menyebut "Tawakallah". Di ambil daripada perkataan "wakil" iaitu mewakilkan atau menyerahkan Allah dalam setiap inci urusan yang mana manusia tidak lagi mampu menangani atau di luar kemampuan dirinya sendiri. Maka, adalah baik seandainya setiap perkara yang menjurus kepada membuat keputusan itu digunakan juga kaedah yang dekat kepada Islam dalam mengatur cara hidup manusia secara keseluruhannya.

Sebagai usaha untuk dimudahkan dalam solusi membuat keputusan, alim ulama' terdahulu telah mengkaji dan menggariskan satu alternatif (perspektif Islam) iaitu berdasarkan sifat 20 Allah yang pernah disampaikan kepada kita. Sederhananya, sifat-sifat yang wajib bagi Allah merupakan salah satu kaedah atau cara manusia untuk mengenal Penciptanya. Namun, setelah di bahas dan diamalkan hanya di ambil 7 dari sifat-sifat Allah tersebut bagi membantu umat mencapai sesuatu keputusan. Dengan melihat permasalahan secara berhemah dan bijaksana, tujuh sifat Allah yang diamalkan haruslah di praktikkan juga secara tertib (satu per satu) supaya diri dapat di latih tajam dalam membuat sesuatu keputusan.

Hayyun - Di mulakan dengan sifat wajib Allah iaitu hayat @ hayyun yang bererti hidup. Dalam erti kata lain, hidup dalam terjemahannya punya usia, umur atau masa. Kunci setiap permasalahan perlu diletakkan dahulu masa di paling hadapan. Adakah dalam memilih membuat sesuatu itu, masa yang ada mencukupi kerana sifat manusia yang tergesa-gesa akhirnya mengundang keputusan yang disesalkan. Seandainya masa menjadi persoalan, maka sifat-sifat lain tidak lagi ada keperluannya.

Ilmu - Seterusnya adalah mengambil sifat Allah iaitu yang punyai ilmu atau mengetahui. Untuk membuat sesuatu keputusan, perlu diperhalusi adakah sesuatu yang ingin di pilih atau di buat sudah ada pada diri ilmu atau pengetahuan tentangnya. Kekurangan ilmu terhadap sesuatu yang ingin diputuskan, barangkali menyukarkan apatalagi untuk dilaksanakan.

Qudrat - Bermaksud kuasa. Langkah seterusnya perlu menilai kemampuan sama ada pada diri punyai kuasa atau kemahiran terhadap perkara yang ingin dilakukan. Kebanyakkan manusia dalam membuat sesuatu keputusan suka meletakkan nafsu di depan tanpa menimbangkan keupayaan dan kemahiran yang ada pada diri. Maka tidak hairanlah ada di antaranya yang terkandas separuh jalan kerana faktor kelemahan atau hanya sekadar cuba-cuba tanpa mendahulukan untuk belajar mengasah kemahiran yang diperlukan.
Iradat - Allah SWT bersifat berkehendak atau berkemahuan. Maka perlu ada pada seorang manusia menyamai sifat ini dalam proses membuat sesuatu keputusan. Adakah benar memilih sesuatu itu kerana keinginan hati atau sekadar mengikut atau dipengaruhi oleh kata-kata orang di sekeliling. Pertimbangan ini nampaknya seperti mudah, tetapi berapa ramai yang benar-benar dalam dirinya berkeinginan melakukan sesuatu kerana kepentingan peribadinya atau kerana mahukan keredhaan daripada Rabb nya ?

Sam'un - Belajarlah mendengar kerana di situ adakalanya terselit dan tersimpan sebanyaknya huda (petunjuk). Perbahasannya adalah yang perlu didengar ialah perkataan-perkataan yang betul (haq) dan dapat mendatangkan manfaat pada diri, bukan sia-sia atau tidak menguntungkan. Pada peringkat ini, jarang digunapakai orang dalam memutuskan sesuatu kerana lebih suka menjauhkan diri daripada mendengar pandangan orang yang lebih berpengalaman atau punyai keilmuan tentangnya. Setiap pendapat yang di kumpul dan dipertimbangkan akan memudahkan lagi proses membuat sesuatu keputusan.

Basar - Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Melihat. Belajarlah melihat dan memerhati tetapi bukan sekadar memandang.Dengan melihat secara tenang, berlapang dada dan hati yang tulus ikhlas, di situ akan terdapatnya keterangan-keterangan yang nyata dan juga baiyinat (bukti) yang dapat membentuk keyakinan dalam membuat keputusan.

Kalam - Proses terakhir untuk membuat keputusan adalah dengan mengambil sifat Allah yang Maha Berbicara atau berkata-kata. Setelah diteliti dan dipertimbangkan sedalam-dalamnya dengan menggunakan sifat-sifat sebelumnya, maka rengkasnya adalah diterjemahkan dengan kata-kata iaitu sama ada "ya" atau "tidak" dalam memutuskan sesuatu itu. Keyakinan yang jelas dan pasti bahawa keputusan yang diperolehi adalah atas dasar usaha yang juga jelas.
Kaedah membuat keputusan menggunakan sifat-sifat Allah yang tujuh itu ada dikalangan ilmuwan Islam menyebutnya sebagai martabat tujuh. Barang pasti sudah dipraktikkan orang terdahulu dalam mendapatkan sesuatu keputusan melalui petunjuk oleh Allah SWT. Hanya kepada-Nya lah selalu diharapkan curahan rahmat dan rela-Nya, hidayah dan hidayatuttaufiq serta nikmat dan kurnia Nya

Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya. ( al-Baqarah, 2:202 )

Saturday, September 22, 2012

Kejayaan Didunia dan Kejayaan Diakhirat


Apa itu berjaya? Berdasarkan apa yang kita tahu, berjaya ialah keputusan baik yang diperolehi setelah kita berusaha dan bekerja keras. Namun, ada pula istilah "berjaya di dunia" dan "berjaya di akhirat". Macam mana nak berjaya di dunia dan di akhirat dalam masa yang sama? Tidak ada manusia yang celik cara berfikirnya yang tidak mahu berjaya dalam kehidupan, sama ada di dunia ini yang bersifat sementara apatah lagi di akhirat yang kekal abadi. Ia juga adalah hasrat setiap insan walaupun tidak menjadi seorang muslim, kerana kejayaan adalah sesuatu yang manis dalam kehidupan manusia.
Namun kejayaan yang ingin dikecapinya melalui apa saja proses itu perlulah mengikut prosedur dan pantang larang terutama dalam agama Islam, iaitu tidak menyalahi konsep matlamat tidak menghalalkan cara, berapa banyak cara yang dilakukan oleh muslimin untuk meniti sesuatu kejayaan, tetapi ianya tidak memenuhi kriteria matlamat agama, maka ia tidak dikira sebagai kejayaan kerana mengenepikan nilai-nilai agama Islam yang murni itu sendiri. Para ulama yang mewarisi ajaran Nabi Muhammad SAW. banyak meninggalkan kaedah, pendekatan serta cara terbaik untuk seseorang muslimin meniti kejayaan sebenar menurut acuan agama, mereka dianggap sebagai pengamal ajaran-ajaran Islam dan mencontohkannya kepada umum dengan bentuk yang cukup sempurna, jauh dari sebarang penyelewengan, bidah, tahayul dan khurafat, kerana ini semua menggagalkan konsep matlamat tidak menghalalkan cara.

Untuk menjadi seorang manusia yang berjaya di dunia dan di akhirat, seseorang itu haruslah mempunyai keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan dalam hidup dapat dibahagikan kepada tiga perkara:
1. Keseimbangan dari segi jasmani.
2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan.
3. Keseimbangan dari segi rohani.

Ketiga-tiga perkara yang disebut di atas adalah amat penting dalam membentuk manusia yang seimbang, dan seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat, Insyaallah.

1. Keseimbangan dari segi jasmani.
- Kesihatan adalah satu perkara yang mesti dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Hal ini adalah kerana kesihatan adalah tunggak utama kepada keseimbangan hidup yang lain.
- Kesihatan yang baik dapat menjamin otak yang cergas. Otak mengawal semua perbuatan dan perlakuan kita. Kalau otak kita tidak cergas, tentu sahaja perkara-perkara lain yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian kita akan turut terjejas.
- Antara langkah memelihara kesihatan diri ialah:
(a) Menjaga waktu tidur.
(i) Tidur adalah amat penting dalam mengembalikan semula tenaga setelah penat bekerja di waktu pagi.
(ii) Masa tidur yang cukup ialah lapan jam sehari. Namun, ianya juga bergantung kepada diri seseorang.
(iii) Tidur pada waktu tengah hari dapat mengembalikan tenaga. Masa yang diperuntukkan, 15 ke 30 minit.
(iv) Dilarang tidur pada waktu syuruk dan maghrib, hal ini akan menyebabkan otak kita menjadi lembab.
(v) Tempoh masa tidur yang berlebihan juga boleh menyebabkan otak kita menjadi lembab.
 (b) Makan makanan yang berkhasiat.
(i) Makan makanan berpandukan piramid makanan.
(ii) Kurangkan/Berhenti makan makanan ringan.
(iii) Jangan makan sehingga terlalu kenyang, kerana hal ini akan menyebabkan kita mudah mengantuk.

(c) Bersenam.
(i) Peruntukkan tiga hari (20 minit setiap hari) dalam seminggu untuk bersenam.
(ii) Boleh juga pergi ke gym.
(iii) Bersukan juga digalakkan. Contohnya, bermain bola sepak, bermain badminton dll.
(iv) Jika anda tidak mempunyai masa untuk ke gym atau untuk bersukan, lakukanlah renggangan.
(v) Banyakkan berjalan. Berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah sehari untuk kekal sihat.

2. Keseimbangan dari segi kebijaksanaan
- Kebijaksanaan seseorang bukanlah terletak pada pangkat yang diterima atau markah tinggi yang diperolehi dalam peperiksaan. Tetapi, kebijaksanaan seseorang diukur melalui cara pemikiran seseorang. Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa berfikir tentang perkara yang berfaedah dan orang yang dapat memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan.
- Antara langkah ke arah kebijaksanaan ialah:
(a) Rajin belajar.
(i) Rajin membaca, rajin bertanya, rajin mengkaji dll.
(ii) Sentiasa berfikir dengan menggunakan kaedah 5W 1H. Baca Tips Untuk Menjadi Pandai
(b) Tidak buang masa.

(c) Menetapkan tujuan belajar adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, bukan untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, bukan untuk mendapatkan pangkat dan bukan untuk bermegah-megah.

3. Keseimbangan dari segi rohani.
- Agama adalah penting bagi setiap manusia kerana agama menentukan tujuan hidup kita di dunia.
- Bagi orang yang beranggapan bahawa "aku kena banyak ibadah dan tinggalkan perkara duniawi", janganlah beranggapan begitu, kerana setiap sesuatu kebaikan yang kita lakukan akan diberikan ganjaran pahala. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman rajin beribadah. Dan sebagai sultan, mereka juga tidak terlepas daripada menjaga kerajaan mereka. Nabi Muhammad rajin berdakwah. Namun, Nabi Muhammad juga tidak terlepas daripada menjaga kebajikan rakyat. Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali adalah antara pemimpin yang berwibawa dan mereka juga kuat beribadah.
- Keimanan seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan diri. Antara seorang lelaki yang memakai jubah dan ketayap dengan seorang lelaki yang memakai topi dan seluar jeans, yang mana satu lagi kuat iman? Mesti kebanyakan dari kita akan berfikiran yang berjubah dan berketayap adalah lebih kuat imannya berbanding yang bertopi dan berseluar jeans. Pandangan sebegini mestilah dihapuskan. Hal ini adalah kerana, iman seseorang langsung tidak dapat diukur oleh orang lain. Keimanan seseorang bergantung kepada kedudukan hati batin seseorang dalam mengingati Tuhan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu tahap keimanan seseorang.
Hanya amalan yang ikhlas, dilakukan semata-mata kerana mengharapkan redhaNya sahaja yang diterima dan dinilai berjaya oleh Allah SWT. Bukan atas sebab lain. Mari hayati kisah benar yang akan berlaku di akhirat sana.. cukup menginsafkan diri ini.. Abu Hurairah meriwayatkan, ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Manusia pertama yang diadili pada hari Kiamat nanti ialah orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid didatangkan di hadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku berperang demi membela agamamu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu berperang supaya orang-orang menyebutmu Sang Pemberani.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya.
Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Seorang penuntut ilmu yang mengamalkan ilmunya dan rajin membaca al-Qur’an didatangkan dihadapan Allah. Lalu ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengamalkannnya,dan aku membaca al-Qur’an demi mencari redhaMu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu mencari ilmu supaya orang lain menyebutmu orang alim, dan kamu membaca al-Qur’an supaya orang lain menyebutmu orang yang rajin membaca al-Qur’an.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Selanjutnya, seorang yang memiliki kekayaan dan terkenal kerana kedermawanannya, didatangkan dihadapan Allah. Kemudian ditunjukkan segala kenikmatan yang telah diberikan kepadanya, dan ia mengakuinya.
Allah bertanya, “Apa yang telah kamu lakukan di dunia?”
Dia menjawab, “Semua harta kekayaan yang aku punya tidak aku sukai,kecuali aku sedekah keranaMu.”
Allah berkata, “Kamu bohong. Kamu melakukan itu semua agar orang-orang menyebutmu orang dermawan dan murah hati.”
Kemudian Allah memerintahkan agar amalnya dihitung di hadapan pengadilan-Nya. Akhirnya ia dilempar ke neraka.

Abu Hurairah berkata, “Kemudian Rasulullah menepuk pahaku seraya berkata,
“Wahai Abu Hurairah,mereka adalah manusia pertama yang merasakan panasnya api neraka Jahanam di Hari Kiamat nanti.” [HR. Muslim]

Allahuakbar! Mahukah kita termasuk dalam golongan-golongan itu? Jika anda tidak mahu, saya juga tidak mahu. Kita semua tidak mahu. Maka buktikanlah kata ‘tidak mahu’ itu dengan mengikhlaskan segala ‘usaha kita untuk berjaya’ agar tidak rugi di akhirat. Orang yang rugi besar kelak ialah orang yang gagal di akhirat!

Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya(usahanya)?". iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang telah ingkar terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (ingkar terhadap) pertemuan dengan-Nya, maka terhapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” Surat Al-Kahf [18:103-105]

Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahannam, disebabkan keingkaran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-ayat-Ku dan rasul-rasul-Ku sebagai olok-olok.(Tidak dipedulikan).” Surat Al-Kahf [18:106]
Perhatikan semula ayat itu.. Allah hanya akan redha apabila kita ikhlas mentaati segala perintahNya dengan keyakinan yang sebenar-benarnya. Bagaimana untuk tahu dan taati perintah-perintah Allah dengan ikhlas? Hanya ada satu jawapan. Ambil pedulilah terhadap Al-Quran dan contohilah Rasulullah! Tiada jawapan lain. Hanya orang yang bersungguh-sungguh terhadap Al-Quran sahaja yang akan ikhlas.

Allah telah turunkan Al-Quran sebagai panduan yang terbaik untuk hamba-hambaNya beramal dengan ikhlas. Tapi.. siapa yang peduli Al-Quran? Siapa yang serius dengan Al-Quran? Siapa yang berusaha memahami dan beramal dengannya? Pandang atas, bawah, kanan, kiri dan sekeliling kita. Di mana Al-Quran kita? Adakah ia masih disimpan kemas di atas rak tanpa difahami dengan bersungguh-sungguh? Jika ya, berubahlah.. bergeraklah.. pedulikanlah Al-Quran! Jangan sampai kita menyesal dengan sesesal-sesalnya kerana gagal berjaya di akhirat.. Marilah kita rangkumi kejayaan kita melalui kejayaan didunia seiring dengan kejayaan kita diakhirat

Tuesday, September 18, 2012

Menilai Kasih Sayang


Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Hurairah RA., berliau berkata bahawa Nabi SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah memilik 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat dari-Nya kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah SWT. mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada hari Kiamat"
Subhanallah, tiada siapa yang dapat menandingi kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Berbeza dengan makhluk yang memberikan kasih dan sayang kerana ingin mendapat pulangan kasih yang diharapkan. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Begitu juga kasih kepada haiwan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi"

Itulah kasih sayang makhluk yang mempunyai sempadan, had, dan harapan disebaliknya. Kasih Allah SWT tidak bertepi dan bersempadan. Bahkan tidak setara seperti kasihnya Ibu kepada anaknya. Rahmat dan kasih sayang Allah SWT. amat luas. Tiada sesiapa yang mampu memberi kasih sayang seumpama Allah kepada makhluk-Nya. Kasih sayang Allah yang begitu luas dapat kita lihat dengan berterusannya nikmat dan kurniaan Allah kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat. Orang kafir yang ingkar di dunia tetap hidup senang lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Itu juga adalah rahmat Allah. Orang islam pula turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Itu juga adalah kasih sayang Allah SWT.

Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah. Manakala orang yang hidupnya susah di dunia, bukanlah bermakna Allah SWT. tidak mengasihi mereka. Tidakkah para Nabi dan Rasul adalah kekasih Allah SWT? Mereka semua menghadapi kesusahan dan cabaran dalam perjalanan hidup mereka, namun merekalah yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sehingga menjadi kekasih-Nya.

Kadangkala ujian dan cabaran hidup merupakan tanda kasih sayang Allah secara hakikatnya, walaupun tidak pada zahir. Apabila kita diuji, kita menjadi calon ahli yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, dia akan diuji daripada-Nya"

Kadangkala apabila situasi kita diuji dan sempit dengan masalah, pengharapan kepada Allah amatlah tinggi dan menebal di dalam hati kita. Sebenarnya, secara tidak sedar, kita melalui proses untuk menjadi orang yang beriman yang sebenar, kerana orang yang beriman akan diuji oleh Allah SWT. Maka menjadi pilihan Allah untuk menjadikan kita dekat kepada-Nya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.
Itulah murni dan luasnya kasih sayang Allah kepada hambanya. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa nikmat kehidupan yang Allah kurniakan kepada kita sudah terlalu banyak, dan kadang-kadang kita lupa untuk mensyukuri-Nya. Biarlah kita azab di dunia yang penuh sengsara tetapi kita bersenang lenang di syurga yang kekal selamanya. Jangan lupa bahawa, hamba Allah yang bertaqwa, nikmat Allah di hari yang dijanjikan itu mengatasi segala-galanya.

Hidup kita ini harus diuji. Tidak semestinya sentiasa dikelilingi dengan berita gembira semata-mata kerana adakalanya gembira itu akan ditenggelami dengan ujian yang ada. Jadi. ketika ini fitrah insan itu bermula, mencari satu cahaya, mencari satu jalan yang terang. Menjaga hubungan dengan Maha Pencipta, Allah SWT. Mula berkira-berkira sekiranya ada "lost contact" di situ. 24 jam tidak pernah lupa untuk mengingatiNya dan memohon pertolonganNya. Juga mencari kesilapan yang ada ketika mana berhubungan sesama insan. Mula merenung diri, memohon kemaafan dan sebagainya.

Tahukah kita, bahawa dalam menyelesaikan urusan seharian menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama insan adalah penting dan akan mempengaruhi keberkatan dalam kehidupan kita. Contohnya, kadang-kadang kita fikir kita sudah cuba yang terbaik dalam sesuatu perkara, tetapi misi kita hampir gagal. Dan di situlah kita harus lihat diri kita sama ada "lost contact" ataupun tidak.

Sebab itu, dalam amalan seharian kita sama ada berbentuk keduniaan, janganlah melupakan pada Yang Maha Esa. Biarkan hati kita sentiasa mengingatiNya walaupun tangan dan akal kita bekerja untuk dunia. "Ya Allah, izinkan aku mencintaiMu melebihi segala yang ada di dalam dunia ini, Izinkan aku mencintai orang yang mencintaiMu, Izinkan aku mencintai segala perkara yang menjuruskan aku untuk mencintaiMu."
Sebelum berakhir, hayatilah satu kisah yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah: Seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikiran untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut, dia akan menimang kanak-kanak tersebut dan menyusukannya. Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada para sahabat: "Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?" Jawab para sahabat: "Tentu sekali tidak." Rasulullah bersabda: "Allah lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya."

Allah tidak sewenang-wenangnya mencipta Neraka itu untuk menyusahkan hamba-Nya, tetapi telah Allah kurniakan kepada kita akal untuk berfikir dan menilai baik serta buruknya sesuatu perkara. Itulah nikmat Allah yang tidak dapat dihitung dan dibalas. Telah Allah turunkan Rasul sebagai contoh tauladan serta ikutan dan telah Allah turunkan juga Kitab-kitab-Nya untuk kita sebagai rujukan, jadi kenapa kita harus hidup tanpa arah tujuan? Segala kemudahan telah Allah kurniakan, tetapi kenapa harus kita mencampakkan diri ke kancah kesusahan. Ingatlah jalan derita itu kita yang pilih sedangkan Allah menurunkan sesuatu dugaan dengan kadar kemampuan hamba-Nya untuk menanggung. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu....

Saturday, September 15, 2012

Dalam Mencari Sempurna


Tidak dinafikan bahawa fitrah manusia yang Allah jadikan, sentiasa inginkan yang terbaik dalam kehidupannya. Keluarga yang terbaik, kereta yang terbaik, rumah yang terbaik, dan segala-galanya yang terbaik. Dalam kehidupan kita, tanpa kita sedar, kita sentiasa inginkan yang terbaik, padahal yang terbaik untuk kita itu telah pun berada di hadapan mata. Begitu juga dengan pasangan hidup. Kadangkala, manusia mencari yang terlalu sempurna hingga mengabaikan soal-soal yang lebih penting berbanding dengan kesempurnaan itu.
Sesuatu yang perlu kita fahami adalah, tiada manusia yang sempurna selain kesempurnaan yang ada pada Nabi Muhamad SAW. Hanya Allah yang sempurna. Dan mencari kesempurnaan di saat diri kita juga punya begitu banyak kelemahan adalah sesuatu yang tidak wajar. Kerana menjadi itu lebih baik dari mencari…. Kata-kata ini dikongsikan oleh Ustaz Hasrizal dalam bukunya “Aku Terima Jadi, keperluan menjadi yang terbaik itu lebih penting dari mencari yang terbaik. InsyaAllah. Sahabat-sahabat, Allah juga ada nyatakan dalam al-Quran, bahawa hanya Allah yang tahu apa yang terbaik buat kita. Maka fikir-fikirkanlah..

“Diwajibkan atas kamu berperang, Padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci, boleh jadi kamu membenci sesuatu, Padahal ia Amat baik bagimu, dan boleh Jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, Padahal ia Amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Al-Baqarah:216)

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu mengharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh…. cukuplah sekadar keperluanmu. …Apabila sekali ia retak…. tentu sukar untuk kamu menambalnya semula…. Akhirnya ia dibuang…. Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi….Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya…. Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa…. Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya…. akhirnya kamu kecewa dan meninggalkannya.
Sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan terus hingga ke akhirnya…. Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi… yang kamu pasti baik untuk dirimu. Mengenyangkan. Berkhasiat.Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain.. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan….. yang pasti membawa kebaikan kepada dirimu. menyayangimu. ..mengasihimu. ..Mengapa kamu berlengah, cuba membandandingkannya dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan.Kelak, kamu akan kehilangannya apabila dia menjadi milik orang lain… Kamu juga yang akan menyesal….. Sungguh, bahawa Allah tidak memberi apa yang kita harapkan. Tapi ia memberi apa yang sebenarnya kita perlukan..

Saidina Umar RA berkata; Ada sepuluh hal yang tidak akan sempurna kecuali apabila didukung sepuluh hal yang lainnya;
1. Akal tidak akan sempurna kecuali jika disertai sifat warak
2. Amal tidak akan sempurna kecuali jika disertai ilmu
3. Kejayaan tidak akan sempurna kecuali jika disertai rasa takut kepada Allah
4. Kekuasaan tidak akan sempurna kecuali jika disertai keadilan
5. Kemuliaan tidak akan sempurna kecuali jika disertai kesopanan
6. Kegembiraan tidak akan sempurna kecuali jika disertai keamanan
7. Kekayaan tidak akan sempurna kecuali jika disertai kedermawaan
8. Kefakiran tidak akan sempurna kecuali jika disertai qanaah
9. Kemuliaan keturunan tidak akan sempurna kecuali jika disertai kerendahan hati
10. Jihad tidak akan sempurna kecuali jika disertai taufik