Apapun yang terjadi, Berjalanlah tanpa henti, Air mata tertahan, Waktu untuk dijatuhkan, Nanti kita kan tahu, Betapa bijaknya hidup, Sepahit apapun ini, Pelajaran yang bererti
DOA
‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'
1.
Sesiapa yang berwuduk disaat ingin tidur dan meminta supaya Allah SWT berikan
kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan – Tirmizi. Sunat tidur dalam
keadaan berwuduk.
2.
Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan
dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
3.
Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insyaallah, akan dihindarkan daripada
sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.
4.
Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu
ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
5. Allah
SWT akan hapuskan dosa-dosa kecil dan dengan izin Allah SWT juga diri kita akan
lebih dihargai oleh orang lain dengan mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali
tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
6.
Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan
yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik
kesopanan.
7.
Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, Insyaallah akan di kurniakan
kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai
ilmu.
8.
Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat) kemudian pakai pakaian terbaik
& wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga Jumaat
berikutnya-Ahmad.
9. Uthman
bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, baginda membasahi
janggutnya-Tirmizi
10. Nabi
SAW tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, baginda makan dan
sebaliknya baginda tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian
orang lain.
11.
Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari (ibu jari telunjuk
& tengah)-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada
keperluan.
12.
Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat,
saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah SWT seperti yang dihadapi oleh para
nabi.
13.
Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum.
Insyaallah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
14.
Perbaharui wuduk tiap kali bersolat kerana padanya terdapat banyak fadhilat.
Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, Allah SWT catatkan 10
kebaikan baginya-Abu Dawud.
15.
Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat kali setiap selepas solat lima waktu
akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah
16. Nabi
SAW sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum
dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum
17. Allah
SWT akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak
11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.
18. Nabi
tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong
sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan
penghadaman
19.
Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali tiap selesai solat subuh,
Maghrib dan isyak, Allah SWT akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
20. Nabi
sering beristinsyaq air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain
membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan
hidung.
21.
Setelah bersolat Nabi memohon ampun (Astagfirullahalaziim) tiga kali-Muslim.
Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.
22.
Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, Allah SWT akan
memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
23.
Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan – Bukhari. Dari segi
kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan)
mengepam darah.
24.
Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa,
dipermudahkan Allah SWT segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
25. Tika
Nabi tidur, baginda membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup
telapak tangan serta menyapu ke seluruh tubuh (mohon perlindunganNYA) – Bukhari.
26.
Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi
keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah SWT.
27. Wuduk
dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup
dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.
28.
Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara
hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan.
29.
Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi berbaring di
masjid dengan satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat)
– Bukhari
30.
Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat
berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
31.
Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) – Abu dawud.
Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya
yang menyeluruh.
32.
Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya
maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
33.
Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun (Astagfirullahalaziim) tiga kali –
Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari.
34. Nabi
seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai
untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) – bukhari.
35. Ada
riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat
asar pada hari jumaat, Insyaallah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
36.
Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin,
beliau letakkan tangan atau pakaiannya di mulut (kerana dibimbangi terpercik) –
Abu Dawud.
37. Jiwa
yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap
yang mungkin kerana Allah SWT itu Maha Luas rahmatNya.
38. Sabda
Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari
jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Abu
Naim.
39. Nabi
tidak pernah menolak hadiah. Hadith: Nabi selalu terima hadiah & amat
menghargainya – Bukhari
40.
Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah SWT akan
bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.
41.
Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu
sukarkannya–Muttafaq Alaih.
42.
Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat
jenazah (yang diusung), maka berdirilah (sebagai tanda penghormatan) - Muttafaq
Alaih
43.
Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa
hitungannya, Insyaallah dihindarkan daripada taun & wabak penyakit
berbahaya yang lain
44.
Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketika
beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap Allah SWT
– Abu dawud
45.
Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan
keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah SWT akan hajatnya.
46. Beri
salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi (apabila mendatangi rumah
sahabat) beri salam hingga 3 kali – Bukhari. Jika salamnya tak berjawab, beliau
beredar.
47.
Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan
yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.
48.
Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami
49. Para
ulamak berpendapat, Allah SWT sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa
berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang
berterusan.
Setiap orang mengimpikan pasangannya
yang pandai menghargai. Sifat mulia ini boleh menjamin keteguhan rumah tangga
yang terbina. Malah, pasangan yang memiliki sifat ini boleh dijadikan teman
ketika gembira dan juga berduka. Selain itu,
personaliti yang bersederhana, tidak materialistik, tidak terlalu
bermewah-mewah lahir daripada jiwa yang sentiasa redha, mudah menghargai
pasangannya.
Ungkapan lelaki mempunyai
kelebihan 9 akal, 1 nafsu(emosi) dan perempuan mempunyai 1 akal, 9 nafsu
(emosi) sudah menjadi ayat yang sinonim didengari dan sentiasa berlegar-legar
di fikiran masyarakat kini. Ada segelintir masyarakat yang mendengar dan
mempedulikannya, ada juga yang mendengar dan menjadikannya sebagai bahan untuk
merendahkan darjat wanita, ada juga yang mendengar dan menafikan kebenarannya
terutama bagi wanita. Namun sejauh mana kesahihanungkapan ini. Betulkah apa yang kita dengar
selama ini merupakan satu kelebihan bagi lelaki dan satu kekurangan bagi wanita
yang Allah kurniakan.
Allah kurniakan
wanita dengan emosi yang hebat kerana sesaui peranannya. Seiring dengan wanita
dimuliakan dari segi kedudukan, wanita juga dimuliakan dengan perasaan-perasaan
yang halus. Perasaan wanita yang halus inilah yang melayakkan mereka dipilih
sebagai ibu yang mengandungkan dan melahirkan. Perasaan yang halus inilah yang
mampu menjadikan wanita tulang belakang kepada suami, mengambil tugas mengurus
rumah tangga dan anak-anak. Namun perasaan halus ini jugalah yang menghalang
wanita menjadi khalifah atau pemerintah sesebuah organisasi hatta organisasi
kecil seperti keluarga. Emosi wanita mudah terganggu, mudah juga untuk
dileraikan. Semua kerana hormon wanita yang unik. Wanita mudah bercakap dan
bertindak dengan gaya emosi berbanding rasional. Namun ia bukanlah semata
kelemahan kerana hati-hati manusia juga dididik dengan emosi yang benar. Emosi
dan perasaan bukanlah sesuatu yang datang tanpa dipaksa. Tapi ianya adalah
dibentuk dan dididik. Boleh dikawal dan dicambahkan. Hanya memerlukan langkah
terbaik untuk mengawal dan mencambahkannya. Allah dah beri cara dan
mendatangkan contoh,hanya terserah pada kita untuk mengikut atau menafikan
Kita hurai maksud yang tersirat
melalui huraian dibawah
Fahami
emosi dan kerenah wanita.
Seorang lelaki perlu memahami bahawa
wanita dicipta bersama jiwa yang halus
dan sensitif. Jiwa sebegitu membolehkannya menjalankan peranan sebagai
seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anak. Begitu unik
ciptaan Tuhan! Kerenah perempuan juga berbeza dan perlu difahami agar lelaki
mampu bertindak adil dengan perempuan tersebut. Perempuan suka mengikut emosi
apabila bertindak, berbanding dengan lelaki yang lebih rasional. Perempuan juga
berfikir sambil bercakap berbanding lelaki yang kurang bercakap dan diam ketika
berfikir. Oleh itu, lelaki jangan
menuduh melulu pasangannya kuat berleter atau membebel, sebaliknya
tangani masalah itu dengan bijak dan berhikmah.
Elakkan
memberi tumpuan kepada kelemahan pasangan.
Setiap orang mempunyai kelemahan
masing-masing. Tiada manusia yang
sempurna, melainkan Rasulullah SAW yang terpelihara dirinya daripada
dosa. Oleh sebab itu, elakkan memberi
tumpuan pada kelemahan pasangan. Contohnya, apabila pasangan kita tidak
pandai bercakap di hadapan orang ramai, cari kebaikan lain dirinya, bukan
memandang pada sesuatu kelemahan itu sahaja. Ingatlah, diri kita juga sarat
dengan kelemahan dan mungkin kelebihan-kelebihan yang ada pada pasangan boleh
membantu menampung kelemahan diri kita.
Senyuman
dan Bahasa Badan
Senyuman yang terukir indah di bibir
seorang wanita sangat memberi kesan di hati lelaki. Namun, seorang wanita tidak
boleh sembarangan menghadiahkan senyuman kepada lelaki kerana mungkin menjadi racun bahaya kepada lelaki tersebut.
Senyuman manis seorang wanita selayaknya hanya untuk lelaki bernama suami.
Namun tidak salah bagi seseorang wanita menyemaikan
sifat suka senyum dalam dirinya. Senyumlah buat semua saudara Islam
sejenisnya. Sifat itu akan subur menghiasi diri dan menjadi keistimewaannya, apatah
lagi jika ditambah dengan bahasa badan(body language) yang menarik. Hakikatnya,
biar semanis mana pun senyuman dan secantik mana pun bahasa badan, seseorang
wanita itu hanya kelihatan benar-benar menawan apabila ia lahir daripada hati
yang bersih.
Keserasian
atau persamaan
Manusia mudah tertarik dengan orang
yang kelihatan serasi dengannya. Seseorang itu serasi apabila dia mempunyai
hubungan atau persamaan dengan kita. Contohnya, hubungan atau persamaan dari
sudut tahap pengorbanan, keserasian dan keakraban. Biasanya, pasangan yang
kerap melakukan aktiviti bersama mudah tertawan. Contohnya seperti bergerak
dalam parti politik yang sama, melakukan aktiviti keagamaan bersama, hobi yang
sama dan sebagainya. Walaupun banyak perbezaan antara pasangan, namun mereka
masih boleh menjadi satu persamaan walaupun dalam satu perkara. Berdasarkan
pengalaman dan kajian, terbukti bahawa persaudaraan dan kasih sayang antara
manusia tidak tumbuh melainkan dengan adanya persamaan tabiat dan istiadat. Oleh
itu, tidak hairan jika kesatuan pemikiran, perasaan, tujuan dan pertimbangan dapat menyatukan dua hati lantaran
persamaan antara kedua mereka terlalu ketara.
Bertemu
dengan menjaga syariat.
Menjaga syariat yang dimaksudkan
contohnya mengajak pasangan datang ke rumah untuk perjumpaan yang melibatkan
ramai orang. Pasangan tidak dibolehkan
sesekali keluar berduaan tanpa kehadiran mahram bersama. Bertepatan
dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila keluar berdua-duaan
antara lelaki dan wanita, orang ketiganya ialah syaitan.” [H.R Ahmad] Pertemuan itu juga perlu atas urusan yang
dibenarkan syariat. Perjumpaan tanpa tujuan dan urusan bukan sahaja tidak
dibenarkan agama malah menjadi tunas berputiknya nafsu syahwat yang meliar.
Mempamerkan
emosi yang sama.
Si dia pasti mudah memberi
kepercayaan kepada kita apabila mendapati kita mempunyai emosi yang sama
dengannya. Malah, mungkin dia menganggap kita orang paling memahami emosinya. Contohnya apabila dia terlanggar
kucing, lalu menunjukkan emosi sedih, kita juga hendaklah menunjukkan emosi
sedih dan simpati.
Membantu
naikkan semangat.
Orang mudah menerima semangat dan
kata-kata peransang(motivasi) daripada seseorang, akan mudah tertarik dengan
orang tersebut. Mungkin orang itu akan menjadi idola atau “guru”nya. Seseorang
yang gemar memberi semangat dan perangsang memiliki ciri-ciri pasangan yang
baik, memahami dan mengambil berat. Oleh sebab itu, jika kita mendapati orang
yang kita sedang jatuh cinta sedang memerlukan nasihat, motivasi dan perangsang, janganlah berat hati untuk menyambutnya.
Namun, batas-batas syariat perlu dititik beratkan.
Lakukan
sebanyak mungkin perkara yang pasangan suka.
Setiap orang pasti menyukai pasangan
yang mempunyai persamaan minat dengannya. Oleh sebab itu, jika kita menyukai
seseorang dan benar-benar jatuh cinta terhadapnya, lakukan sebanyak mungkin
perkara-perkara yang disukainya selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Namun,
elakkan sikap hipokrit kerana
itu bukan sikap yang dianajurkan dalam Islam. Sebaik-baiknya, cuba memimpin
diri melakukan sesuatu yang baik dari kaca mata syariat dan ikhlas kerana Allah
SWT, nescayap perkara itu tentu baik di kaca mata manusia. Semua perlakuan yang
buruk serta sifat mazmumah sudah tentu tidak disukai oleh manusia yang baik.
Maka hendaklah kita kikis sebanyak mungkin. Sudah tentu sifat ini juga tidak
disukai pasangan yang baik.
Tindakan
serentak yang berulang boleh menarik pasangan.
Seseorang itu mudah tertarik dengan
seseorang yang sering bertindak
serentak berulang kali tanpa dirancang. Bagaikan itulah petanda bahawa
mereka akan bersama. Contohnya, si dia senyum kita pun senyum, si dia memakai
baju unggu, kita juga memakai baju unggu, si dia mencuci kasut kita juga
mencuci kasut, dan sebagainya. Kadang-kadang apabila kita sedang memikirkan
sesuatu perkara, tiba-tiba si dia terus bertanya perkara yang sama. Bahkan
hendak mengambil lauk di dalam mangkuk juga serentak!
Memuji
dengan ikhlas.
Kadangkala, belaian kata-kata indah melalui
pujian ikhlas boleh menambat hati pasangan. Namun,jangan terlalu berlebih-lebihan dalam memuji kerana pujian boleh
melalaikan hati pasangan malah boleh menyuburkan sifat riyak dan ujub. Berpada-pada dalam memuji dengan niat
untuk menghargai dan menggalakkan agar dia terus mengekalkan sifat-sifatnya
yang terpuji. Rasulullah juga tidak
kedekut memberi pujian dan memanggil dengan nama-nama penghargaan buat
sahabat-sahabat tercinta seperti “as-Siddiq”, “al-Faruq” dan sebagainya.
Seimbang.
Wanita yang pandai mengurus hidupnya
dengan seimbang dari sudut pergaulan, keagamaan, pengurusan diri, pengurusan
masa dan sebagainya menjadi idaman
lelaki. Sifat mulia ini penting untuk disuburkan dalam hidup berkeluarga
bagi menguruskan urusan rumah tangga yang menuntut seribu satu tanggungjawab.
Wanita yang seimbang mempunyai perancangan hidup yang jelas.
Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA.
katanya : “Rasulullah SAW menepuk bahuku serta bersabda yang maksudnya : “Hendaklah engkau jadi di dunia ini
seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan.”
Ibn Umar RA berkata : “Jika kamu berada
pada waktu petang, janganlah kamu tangguh ke waktu pagi dan jika kamu berada di
waktu pagi, janganlah kamu tangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan
sewaktu kamu berada dalam keadaan sihat sebagai persediaan waktu engkau sakit,
dan ketika kau masih hidup sebagai bekalan ketika engkau mati” [H.R. Bukhari] Ehsan Dr Datuk MFK
Menuntut
ilmu adalah wajib dan amalan yang sangat mulia. Tanpa ilmu seorang itu tidak
mungkin akan menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, kerana ilmu adalah
perkara yang paling penting untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan tidak
mudah ditipu oleh iblis laknatullah.
Terdapat
sembilan adab-adab menuntut ilmu yang perlu dipatuhi semoga ilmu yang kita
pelajari menjadi ilmu yang bermanfaat dan diberkati oleh Allah SWT.
Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama:
Niat yang ikhlas
Kewajipan
ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas
kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana
Rasulullah SAW pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di
dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata
tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di
dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada
dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa
ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja
tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini
mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya
membawa perubahan kepada keislaman.
Jadikanlah
diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke
bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin
mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas
dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah
diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah : "Dan
ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah
kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun".
Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap
orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang
yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
Kedua:
Tekun berusaha dan bertawakal.
Sentiasa
bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan
menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat
diatasi dengan sentiasa membaca dan mengulangkaji pelajaran tanpa jemu. Nasihat
ataupun tazkirah akan melembutkan hati kita kepada Allah SWT. Perlu dihidupkan
hati ini supaya sentiasa takut kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah dalam
ayat 5 surah as-Saff yang bermaksud : "Dan ingatlah ketika mana Nabi Musa
berkata kepada kaumnya :'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu
mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?'. Maka tatkala mereka
buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak
memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik."
Ayat
ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal
hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan
budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan
serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu
dan pengetahuan. Kita hendaklah mencontohi ulama-ulama silam yang mana mereka
belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam
suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya
perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakal kepada
Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakal yang dilakukan
mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus
asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.
Ketiga:
Menjauhi maksiat.
Kita
mestilah menghidupkan budaya amar makruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana
sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang
suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti
dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari
kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya. Jangan
sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita.
Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara
maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih
besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti
maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan
antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa
dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar
seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai
maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.
Keempat:
Memilih teman yang soleh.
Pilihlah
teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya
nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada
berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak
rasmi setiap hari. Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya
sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana
apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping
itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah
kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar.
Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya
kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula
kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam
surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud : "Teman-teman yang rapat pada
hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka
yang bertakwa".
Rasulullah
SAW pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Tarmizi dan Abu Daud maksudnya : "Seseorang itu mengikut agama sahabat
temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan
teman".
Kelima:
Banyakkan zikrullah.
Pastikan
kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa
selepas solat walaupun ringkas kerana ulama sufi begitu menitik beratkan
perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh
mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa
wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak
berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang
telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan
solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan
solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya dua muka surat setiap hari kerana ia
merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak
kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa
diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.
Keenam:
Menjaga kehormatan.
Kita
wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala keaiban
diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredaan Allah dan manusia lain
kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredaan
dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan
seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka
dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali
menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya
daripada panah malam. Firman Allah SWT dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang
bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
perasaan-prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa
dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian
kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima
taubat lagi Maha Penyayang."
Ketujuh:
Mendapat doa dan keredaan ibu bapa.
Kita
hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibu bapa kita dan menghormati mereka
dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan
mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian
mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka
meredai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredaan Allah
bergantung kepada keredhaan ibu bapa terhadap kita.
Firman
Allah SWT dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra’ yang bermaksud : "Dan
Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan
hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika
salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka
dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya
dengan perkataan “ah” dan janganlah kamu mengertak mereka dan ucapkanlah kepada
mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua
dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : 'Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka
berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil'."
Kelapan:
Menghormati guru.
Kita
juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak
menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau
pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana Imam As-Syafi’e walaupun
berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab’adh(kena sujud sahwi jika
tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu
berhampiran maqam gurunya Imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana
dengan kita? Sesungguhnya ulama silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini.
Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di
kalangan remaja.
Guru
janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian
sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung
sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita
fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan
sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada
keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak
memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah
kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar
agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara
negatif dalam kehidupan.
Kesembilan:
Beramal dengan segala ilmu yang diperolehi.
Kita
mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita.
Ulama silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak
beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada
penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada
terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam
mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang
mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat.
Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang
sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan
ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab
atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.
Berapa
ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat
oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari. Oleh itu
kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian
kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah
untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan
merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita
tidak mampu melaksanakannya. Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah
dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Saff yang bermaksud : "Wahai orang-orang
yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar
kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu
kotakan."
Sahabat
yang dimuliakan,
Marilah
sama-sama kita amalkan sembilan adab-adab untuk menuntut ilmu seperti yang
dinyatakan diatas. Keberkatan dan keberkesanan sesuatu ilmu adalah sejauhmana
kita mematuhi adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam. Perlu
diingat keluar saja kita daripada rumah untuk menuntut ilmu yang bermanfaat
umpama kita berjihad dijalan Allah SWT. Sentiasa dinaungi oleh para malaikat
dan setiap langkah akan diberikan pahala dan mendapat doa semua makhluk dibumi
termasuk ikan-ikan diair.
Kita
patut tahu bahawa manusia akan termasuk kepada salah satu daripada dua
golongan, golongan pertama ialah yang berada dalam kedamaian, keimanan, bahagia
dalam melakukan ketaatan kepada Allah, sementara golongan kedua berada dalam
keadaan tidak selamat, keraguan dan kerisauan dalam keingkaran terhadap
peraturan Allah SWT. Kedua-dua nilai, ketaatan dan keingkaran, ada di dalam
diri seseorang. Jika kesucian, kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai,
sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana kerohanian dan
bahagian diri yang ingkar akan dikalahkan oleh bahagian diri yang baik.
Sebaliknya jika seseorang mengikuti hawa nafsu yang rendah dan kesenangan ego
dirinya, sifat-sifat ingkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk
menjadikannya ingkar dan jahat. Jika kedua-dua sifat yang berlawanan itu
sama-sama kuat diharapkan yang baik itu boleh menang, sebagaimana yang
dijanjikan: “Barangsiapa kerjakan kebaikan maka baginya (ganjaran) sepuluh kali
ganda, dan barangsiapa kerjakan kejahatan maka Tidaklah dibalas dia melainkan
sebanyak (kejahatannya) itu, dan mereka tidak akan diniayai. (Surah An’aam,
ayat 160).
Dan
jika Allah kehendaki ditambah-Nya lagi ganjaran atas kebaikan. Namun orang yang
kebajikan dan kejahatannya sama banyak mesti lulus perbicaraan pada hari
pembalasan. Orang yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri kepada tidak
mementingkan diri, hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya
tiada hisab, tiada catatan akan diberikan kepadanya. Dia akan memasuki syurga tanpa
melalui huru hara hari kiamat. “Oleh sebab itu barangsiapa berat (timbangan)
kebaikannya maka dia di dalam kehidupan (akhirat) yang sentosa”. (Surah
Qari’ah, ayat 6 & 7). Orang yang kejahatannya lebih berat daripada
kebaikannya akan dihukum menurut kadar kejahatannya. Kemudian dia dikeluarkan
daripada neraka, jika dia beriman, dan akan masuk syurga.
Taat
dan ingkar bermakna baik dan jahat. Kedua-dua ini ada dalam diri seseorang
manusia. Yang baik boleh berubah menjadi jahat dan yang jahat boleh berubah menjadi
baik. Nabi SAW bersabda, “Orang yang kebaikan menguasainya menemui keselamatan,
keimanan dan kegembiraan dan menjadi baik. Orang yang kejahatan lebih menguasai
kebaikan, dia menjadi ingkar dan jahat. Orang yang menyedari kesalahannya dan
bertaubat dan mengubah haluannya akan mendapati suasana ingkar akan bertukar
menjadi taat dan beribadat”. Telah menjadi ketentuan bahawa baik dan jahat,
kehidupan yang diberkati bagi orang yang taat dan kesengsaraan bagi yang
ingkar, adalah keadaan yang setiap orang dilahirkan dengannya. Kedua-duanya
tersembunyi di dalam bakat atau keupayaan seseorang. Nabi SAW bersabda, “Orang
yang bertuah menjadi baik adalah baik ketika di dalam kandungan ibunya, dan
orang berdosa yang jahat adalah pendosa di dalam kandungan ibunya”. Begitulah
keadaannya dan tiada siapa yang berhak berbincang mengenainya. Urusan takdir
bukan untuk dibincangkan. Jika dibiarkan perbincangan demikian ia akan membawa
kepada bidaah dan kekufuran.
Lagipun
tiada siapa boleh menjadikan takdir sebagai alasan untuk membuang segala
ikhtiar, semua perbuatan baik. Seseorang itu tidak boleh mengatakan, ‘Jika aku
ditakdirkan menjadi baik maka aku bersusah payah membuat kebaikan sedangkan aku
sudahpun diberkati’. Atau berkata, ‘Jika aku sudah ditakdirkan menjadi jahat
apa gunanya aku berbuat kebaikan’. Jelas sekali pendirian demikian tidak benar.
Tidak wajar mengatakan, ‘Jika keadaan aku sudah ditakdirkan pada azali apa
untung atau rugi yang aku harapkan dengan usahaku sekarang’. Contoh yang baik
diberikan kepada kita adalah perbandingan di antara Adam AS dengan iblis yang
dilaknat. Iblis meletakkan kesalahan kepada takdir, yang menyebabkan dia
menjadi derhaka, maka dia menjadi kafir dan dibuang jauh daripada keampunan dan
kehampiran Tuhan. Adam AS mengakui kesilapannya dan memohon keampunan, menerima
keampunan dari Allah dan diselamatkan.
Menjadi
kewajipan bagi orang Islam yang beriman untuk tidak cuba memahami sebab-sebab
yang tersimpan di dalam takdir. Orang cuba berbuat demikian akan menjadi keliru
dan tidak mendapat apa-apa melainkan keraguan. Bahkan dia mungkin kehilangan
keyakinan. Orang yang beriman mestilah mempercayai kepada kebijaksanaan Allah
yang mutlak. Segala yang manusia lihat terjadi pada dirinya di dalam dunia ini
mesti ada alasan tetapi alasan itu bukan untuk difahami melalui lojik manusia
kerana ia berdasarkan kebijaksanaan Tuhan. Di dalam kehidupan ini bila kita
temui pencacian terhadap Tuhan, kemunafikan, keingkaran, penipuan dan lain-lain
yang jahat, jangan biarkan perkara-perkara tersebut menggoncangkan iman kita.
Ketahuilah Allah Yang Maha Tinggi dengan kebijaksanaan mutlak bertanggungjawab
kepada semua perkara dan Dia lakukan apa yang kelihatan sebagai tidak baik
sebagai menyatakan kekuasaan-Nya yang mutlak. Penzahiran kekuasaan yang demikian
mungkin menyebabkan ada orang yang tidak tertahan dan menganggapnya sebagai
tidak baik tetapi ada rahsia besar di sebaliknya yang tiada makhluk yang tahu
melainkan Rasulullah SAW. Ada kisah orang arif berdoa kepada Tuhannya, “Wahai
Yang Maha Suci, semua telah diatur oleh Engkau. Takdirku adalah kepunyaan-Mu.
Ilmu yang Engkau letakkan padaku adalah milik-Mu”. Ketika itu dia mendengar
jawapan tanpa suara tanpa sepatah perkataan, keluar dari dalam dirinya
mengatakan, “Wahai hamba-Ku. Segala yang engkau katakan adalah kepunyaan Yang
Maha Esa dan dalam keesaan. Ia bukan milik hamba-hamba”. Hamba yang beriman itu
berkata, “Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku, aku bersalah, aku
berdosa”. Selepas pengakuan itu sekali lagi dia mendengar dari dalam dirinya,
“Dan Aku mempunyai keampunan terhadap dirimu. Aku telah hapuskan
kesalahan-kesalahan kita, Aku telah ampun kita”.
Biar
mereka yang beriman tahu dan bersyukur yang segala kebaikan yang mereka lakukan
bukanlah dari mereka tetapi melalui mereka, kejayaan datangnya dari Pencipta.
Bila mereka bersalah biar mereka tahu bahawa kesalahan mereka datangnya dari
diri mereka sendiri, kepunyaan mereka dan mereka boleh bertaubat. Kesalahan
datangnya dari keegoan mereka yang batil. Jika kita memahami ini dan
mengingatinya kita termasuk ke dalam golongan yang disebut Allah: “Dan yang
apabila telah berbuat kejelikan atau menganiayai diri-diri mereka maka mereka
ingat kepada Allah dan mereka minta diampunkan dosa-dosa mereka – bukankah
tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah? Dan mereka tidak
berkekalan di atas dosa yang mereka kerjakan, dan mereka tahu. Mereka itu
balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, syurga-syurga yang mengalir
padanya sungai-sungai, mereka akan kekal padanya, dan alangkah baiknya balasan
bagi orang-orang yang beramal”.(Surah Imraan, ayat 135 & 136).
Adalah
baik bagi orang yang beriman mengakui yang dirinya sendirilah punca semua
kesalahan dan dosanya. Itulah yang akan menyelamatkannya. Itu lebih baik dan
lebih benar daripada meletakkan kesalahan dirinya kepada Yang Maha Perkasa,
Maha Kuasa, Pencipta semua perkara. Bila Nabi SAW bersabda, “Telah diketahui
bila seseorang itu berada di dalam kandungan ibunya samada dia akan menjadi
baik atau pendosa” Baginda maksudkan ‘dalam kandungan ibu’ itu adalah empat
anasir yang melahirkan semua kekuatan atau tenaga dan kebolehan lahiriah. Dua
daripada anasir tersebut adalah tanah dan air yang bertanggungjawab kepada
pertumbuhan keyakinan dan pengetahuan, melahirkan kehidupan dan lahir dalam
hati sebagai tawaduk (kerendahan diri). Dua anasir lain ialah api dan angin
yang bertentangan dengan tanah dan air – membakar, membinasa, membunuh. Kudrat
Tuhan yang menyatukan anasir-anasir yang berlawanan dan berbeza menjadi satu.
Bagaimana air dan api boleh wujud bersama? Bagaimana cahaya dan kegelapan boleh
terkandung di dalam awan? “Dia yang mengunjukkan kepada kita kilat untuk
menakutkankan dan kerana harapan, dan Dia jadikan mega yang berat. Dan petir
itu beribadat dengan memuji Tuhannya, dan malaikat juga, lantaran takut
kepada-Nya, dan Dia kirim halilintar dan Dia kenakannya kepada sesiapa yang Dia
kehendaki…”. (Surah ar-Ra’d, ayat 12 & 13).
Satu
hari wali Allah Yahya bin Mua’adh ar-Razi ditanya, “Bagaimana mengenali Allah?’
Dia menjawab, “Melalui gabungan yang bertentangan”. Pertentangan termasuk pada,
dan sebenarnya keperluan bagi, memahami sifat-sifat Allah. Dengan menghadapkan
diri kepada hakikat Ilahi seseorang menjadi cermin yang membalikkan kebenaran
itu, juga sifat Yang Maha Perkasa dibalikkan. Dalam diri manusia terkandung
seluruh alam maya. Sebab itu dia dipanggil penggabung yang banyak. Allah
menciptakan manusia dengan dua tangan-Nya, tangan kemurahan-Nya dan tangan
keperkasaan-Nya, keperkasaan dan kekuasaan. Jadi, manusia adalah cermin yang
menunjukkan kedua-dua belah, yang kasar serta tebal dan yang halus serta indah.
Semua nama-nama Ilahi menyata pada manusia. Semua makhluk yang lain hanya
sebelah sahaja. Allah menciptakan iblis dan keturunannya dengan sifat
kekerasan-Nya. Dia ciptakan malaikat dengan sifat kemurahan-Nya. Nilai-nilai
kesucian dan kebaktian yang berterusan terkandung dalam kejadian malaikat,
sementara iblis dan keturunannya yang diciptakan dengan sifat kekerasan-Nya,
mempunyai nilai kejahatan, kerana itu iblis menjadi takabur, dan bila Allah
perintahkan sujud kepada Adam dia ingkar.
Oleh
kerana manusia mempunyai kedua-dua ciri alam tinggi dan rendah, dan Allah telah
memilih utusan-utusan dan wali-wali-Nya dari kalangan manusia, mereka tidak
bebas daripada kesilapan. Nabi-nabi dipelihara dari dosa-dosa besar tetapi
kesilapan kecil harus berlaku pada mereka. Wali-wali pula tidak terjamin
dipelihara daripada dosa tetapi adalah dikatakan wali-wali itu hampir dengan
Tuhan, mencapai makam kesempurnaan, mereka masuk ke bawah perlindungan Tuhan
daripada dosa-dosa besar. Syaqiq al-Baqi berkata, “Terdapat lima tanda
kebenaran: perangai yang lemah lembut dan lembut hati, menangis kerana
menyesal, mengasingkan diri dan tidak peduli tentang dunia, tidak bercita-cita
tinggi, dan memiliki rasa hati (gerak hati atau intuisi). Tanda-tanda pendosa
juga lima; keras hati, mempunyai mata yang tidak pernah menangis, mencintai
dunia dan kesenangannya, bercita-cita tinggi, tidak bermalu dan tidak ada rasa
atau gerak hati”.
Nabi
SAW meletakkan empat nilai pada orang yang baik-baik, “Boleh dipercayai dan
menjaga apa yang diamanahkan kepadanya dan mengembalikannya. Menepati janji.
Bercakap benar, tidak berbohong. Tidak kasar dalam perbincangan dan tidak
menyakitkan hati orang lain”. Baginda SAW juga memberitahu empat tanda pendosa,
“Tidak boleh dipercayai dan merosakkan amanah yang diberikan kepadanya, mungkir
janji, menipu, suka bertengkar, memaki apabila berbincang dan menyakitkan hati
orang lain”. Seterusnya pendosa tidak dapat memaafkan kawan-kawannya. Ini tanda
tiada iman kerana kemaafan menjadi tanda utama orang beriman. Allah
memerintahkan rasul-Nya: “Berilah maaf, dan suruhlah mereka (manusia) berbuat
kebaikan, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”. (Surah A’raaf,
ayat 199).
Perintah
‘maafkanlah’ bukan hanya tertuju kepada Rasulullah SAW seorang sahaja. Ia
mengenai semua orang dan tentu sahaja termasuk mereka yang beriman dengan
Rasulullah SAW. Perkataan ‘maafkanlah’ bermakna jadikan tabiat memafkan,
jadikan sifat atau peribadi. Sesiapa yang ada sifat pemaaf menerima satu
daripada nama-nama Allah – ar-Rauf – Yang Memaafkan. “Barangsiapa memaafkan dan
membereskan maka ganjarannya (adalah) atas (tanggungan) Allah”.(Surah Syura,
ayat 40).
Ketahuilah
ketaatan kepada Allah bertukar menjadi ingkar, kejahatan dan dosa menjadi
kebaikan, tidak berlaku dengan sendiri, tetapi dengan rangsangan, pengaruh,
tindakan serta usaha diri sendiri. Nabi SAW bersabda, “Semua anak dilahirkan
muslim. Ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Setiap
orang ada bakat untuk menjadi baik atau jahat, boleh memiliki sifat-sifat baik
dan buruk dalam masa yang sama. Jadi, adalah salah menghukum seseorang atau
sesuatu sebagai sepenuhnya baik atau buruk. Tetapi benar jika dikatakan
seseorang itu lebih banyak kebaikannya daripada kejahatannya ataupun
sebaliknya.
Ini
bukan bermakna manusia masuk syurga tanpa amalan baik, juga bukan dia dihantar
ke neraka tanpa amalan buruk. Berfikir cara demikian bertentangan dengan
prinsip Islam. Allah menjanjikan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan
beramal salih dan diancam-Nya orang-orang yang berdosa dengan azab neraka. “Barangsiapa
berbuat baik maka (adalah) untuk kebaikan dirinya dan barangsiapa berbuat jahat
maka untuk dirinya. Kemudian kepada Tuhan kitalah kita akan dikembalikan”. (Surah
Jaasiaah, ayat 15). "Di hari ini dibalas setiap jiwa dengan apa yang dia
telah usahakan. Tidak ada kezaliman pada hari ini. Sesungguhnya Allah cepat
menghitung”. (Surah Mukmin, ayat 17). "Kerana apa juga amal yang baik yang
kita sediakan untuk diri kita nanti kita dapati (ganjaran)nya di sisi Allah”.(Surah
Baqaraah, ayat 110).
Kebenaran
hanya Allah sahaja yang tahu, hukum Allah...yang jahat Allah balas setimpal
kejahatannya...begitu juga yang baik Allah beri pahala berganda-ganda....maka
yang baik susah dibuat kerana perlu berlawan dengan syaitan dan nafsu. Kita
hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti
terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan pelbagai
andaian dibuatnya, kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Nilai
kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga
seperti kebenaran, ia suatu yang objektif dan mutlak. Kita diberi akal, kita
harus rasional dan logic. Akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran
mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat. Ilmu kita terbatas,
ilmu Allah Maha Luas. Akal yang kita adalah untuk memikirkan apa hikmah
kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan,
tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi
perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka,
Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu
dilogik-logikkan lagi. Itulah iman. Orang yang baik menurut Islam ialah orang
yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia.