Sesungguhnya
kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan dan kemusnahan. Reaksi seorang
yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti muka
menjadi merah, urat–urat leher menegang, tubuh seakan–akan mengigil kerana
geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang
buruk samada mengutuk atau mengeji. Selain itu, akibat daripada emosi marah
tanpa kawalan, seseorang itu boleh bertindak memukul, menumbuk atau membunuh. Mendorong
kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain dan akhirnya mewujudkan permusuhan
serta kebencian sesama.
Walaupun
emosi marah adalah sifat semula jadi kita, namun seorang muslim hendaklah
berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala perkara yang boleh menyebabkan
kemarahan. Mari kita hayati langkah-langkah berikut supaya kita mengamalkan
tiga langkah kebijaksanaan atau tiga kaedah mengawal emosi marah supaya stabil.
Kemarahan selalunya berpunca daripada kegagalan kita mengawal emosi, emosi
marah. Pelbagai dugaan hidup akan melahirkan pelbagai emosi dalam diri kita
yang kadang–kadang membuatkan emosi tidak menentu.
Mengawal
emosi marah: Banyakkan Minum Air Kosong
Tiga
langkah bertenang yang pertama adalah; banyakkan minum air kosong. Jika pakar
kesihatan menyarankan kita supaya minum air lapan gelas sehari, seboleh mungkin
capailah angka ini. Mengapa? Kerana air memang akan menenangkan dan
menyejukkan. Syaitan dijadikan daripada api, maka siramlah api yang berada
dalam badan dengan air. Jangan lupa baca Bismillahirrahmanirrahim setiap kali
hendak minum air. Selain itu, jika dapat berwudhuk adalah lebih baik. Mohon kepada
Allah agar api kemarahan yang sedang menyala di dalam diri menjadi kecil dan
akhirnya terpadam. Biar terhapus emosi marah tersebut.
Mengawal
emosi marah: Memakai Pewangi Setiap Masa
Kedua,
amalkan memakai pewangi setiap masa. Wangikan tubuh dan kawasan persekitaran.
Kewangian akan membawa emosi marah kembali stabil manakala bau yang busuk pula
boleh menyebabkan kita cepat marah. Tanpa sebarangan wangian memanglah tiada
apa–apa, tetapi jika wangi dapat merangsang diri untuk lebih tenang dan
bijaksana
Mengawal
Emosi Marah: Amalkan Teknik “Pause”
Pernah
dengar teknik ni? Konsep pause adalah cara yang baik bagi mengurus kemarahan.
Konsep ini mendekatkan kita kepada tindakan secara rasional. Menjadi penyabar
semasa marah adalah jalan terbaik. Tetapi kadangkala kita lupa sebenarnya
bergerak ke satu kesabaran itu memerlukan kita pantas merasionalkan diri kita. Oleh
itu, konsep “pause” boleh digunakan bagi membantu diri menjadi rasional semasa
marah.
Aplikasi
konsep pause mudah sahaja. Kita hanya perlu melakukan dua perkara iaitu:
1)
Diam
2)
Berfikir
Semasa
kita dimarahi juga, kita perlu melakukan dua perkara diatas.
Langkah
yang pertama, kita perlu diam. Kuasa diam begitu besar kerana secara tidak langsung
ia mampu menerbitkan kesabaran akibat dari permulaan kita melakukan tindakan
kedua iaitu berfikir.
Langkah
kedua yang perlu dilakukan untuk mengawal marah ialah berhenti sejenak dan
berfikir.
1.
Mengapa aku perlu marah?
2.
Apakah kesan kemarahan aku nanti?
3.
Bagaimana pandangan Allah kepada aku?
Sekiranya
persoalan–persoalan ini diteliti, ia mampu mengembalikan kita kepada realiti
keadaan sebenar. Kita kembalikan diri kita kepada beberapa aspek rasional diri
dan kesannya kita akan tersedar dari minda separa sedar semasa marah. Lalu akan
terbit rasa timbang rasa kepada pihak yang menerbitkan rasa marah kita itu. Sir
Walter Scot, seorang pengarang Scotland mengatakan bahawa “Timbang rasa adalah
laksana lantai perak atau benang sutera yang mempertalikan hati dengan hati,
akal dengan akal dan tubuh dengan jiwa. Oleh itu, konsep pause ini sedikit
sebanyak mampu menerbitkan rasa sabar sebagai salah satu jalan mengurus perasaan
marah yang meluap–luap itu.
Salah
satu perkara yang selalu membuatkan kita lemah adalah timbulnya rasa
tersinggung dihati kita. Munculnya perasaan ini sering disebabkan oleh
ketidaktahanan kita terhadap sikap orang lain. Ketika tersinggung, paling
kurang kita akan sibuk membela diri sendiri, dan akan memikirkan kejelekan
orang yang membuat kita tersinggung itu. Perkara yang paling membahayakan dari
rasa tersinggung adalah timbulnya penyakit hati seperti rasa merendahkan orang
lain dan mengumpat. Malah mungkin menfitnahnya kembali. Kesan yang biasa
ditimbulkan oleh rasa tersinggung adalah kemarahan. Bila kita marah, kata-kata
jadi tidak terkawal. Stress meningkat. Kerana itu, ketabahan kita untuk “tidak
tersinggung” menjadi satu keharusan.
Apa
yang menyebabkan seseorang itu tersinggung? Tersinggung seseorang itu timbul
kerana menilai dirinya lebih dari kenyataan, merasa pintar, berjasa, baik,
tampan, dan merasa berjaya. Setiap kali kita menilai diri lebih dari kenyataan
yang sebenarnya, apabila ada yang menilai kita kurang sedikit sahaja dari
expectation kita, maka kita akan merasa tersinggung. Peluang untuk rasa
tersinggung akan terbuka luas jika kita salah dalam menilai diri sendiri.
Kerana itu, ada sesuatu yang harus kita perbaiki, iaitu cara menilai diri. Teknik
pertama agar kita tidak mudah tersinggung adalah tidak menilai secara
berlebihan terhadap diri kita sendiri. Misalnya, jangan banyak mengingati bahawa kita telah
berjasa. Saya seorang guru, saya seorang pemimpin, saya ini saya itu. Saya
seorang pemurah. Saya banyak menolong rakan-rakan. Semakin banyak kita mengaku
tentang diri kita, akan makin mudah untuk membuat kita tersinggung.
Ada
beberapa cara yang cukup efektif untuk merendam rasa tersinggung:
Pertama,
belajar melupakan. Jika kita seorang berijazah maka lupakanlah ijazah kita.
Jika kita seorang pengarah lupakanlah jawatan itu. Jika kita seorang pimpinan
lupakanlah hal itu, dan seterusnya. Anggap semuanya ini berkat dari Allah agar
kita tidak tamak terhadap penghargaan. Kita harus melatih diri untuk merasa
sekadar hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa kecuali berkat ilmu yang
dipercikkan oleh Allah sedikit. Kita lebih banyak tidak tahu. Kita tidak
mempunyai harta sedikit pun kecuali sepercik berkat dari Allah. Kita tidak
mempunyai jawatan ataupun kedudukan sedikit pun kecuali sepercik yang Allah
telah berikan dan dipertanggungjawabkan. Dengan sikap seperti ini hidup kita
akan lebih ringan. Semakin kita ingin dihargai, dipuji, dan dihormati, akan
kian sering kita sakit hati.
Kedua,
kita harus melihat bahawa apa-apa pun yang dilakukan orang kepada kita akan
bermanfaat. Kita tidak akan pernah rugi dengan perilaku orang kepada kita.
Sebenarnya kita tidak boleh memaksa orang lain membuat sesuatu sama dengan
keinginan kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah memaksa diri sendiri memahami
orang lain dengan sikap terbaik kita. Apa pun perkataan orang lain kepada kita,
walaupun sangat mengguris hati, tentu itu terjadi dengan izin Allah. Anggap
sahaja ini episod atau ujian yang harus kita lalui untuk menguji keimanan kita.
Ketiga,
kita harus bersimpati. Melihat sesuatu tidak dari sudut pandang kita. Renungkan
kisah seseorang yang sedang membawa gajah berjalan-jalan, dari depan dan
seorang lagi mengikutinya di belakang gajah tersebut. Yang berada di depan
berkata, “Oh indah sungguh pemandangan sepanjang hari”. Pasti dia dilempar dari
belakang kerana dianggap menyindir. Sebab, sepanjang perjalanan, orang yang
dibelakang hanya melihat punggung gajah. Oleh itu, kita harus belajar
bersimpati. Jika tidak ingin mudah tersinggung, maka cari seribu satu alasan
untuk boleh menyenangkan hati orang lain. Namun yang harus diingat, berbagai
alasan yang kita buat semata-mata untuk menyenangkan, bukan untuk membenarkan
kesalahan. Ingat!
Keempat,
jadikan penghinaan orang lain kepada kita sebagai ladang peningkatan kualiti diri.
Jadikan penghinaan orang lain kepada kita sebagai kesempatan untuk menyucikan
jiwa, dengan memaafkan orang yang menyakiti dan membalasnya dengan kebaikan. Pada
suatu hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama.
Tiba-tiba baginda bersabda: “Akan datang selepas ini seorang ahli syurga.” Maka
muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda perkara
yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya lagi juga sama.
Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang
sama. Akhirnya seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu,
dan tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya. Selama tiga hari,
sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang hebat, yang besar, yang
menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya tidur di rumah lelaki itu. Lelaki
itu menjawab: “Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang
menakjubkan. Biasa-biasa sahaja.” Sambung lelaki itu: “Tetapi di dalam hatiku
tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku.”
Memaafkan.
Memaafkan dengan dada yang lapang. InsyaAllah yang lain akan datang kemudian.
Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir kepada kita
insyaAllah. Pasti. “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku
lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar,
tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah
mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…” Surah Ali-Imran ayat 159
Semoga
Allah menjadikan kita insan yang sangat tenang dan damai sepanjang usia yang
masih berbaki. Tingkatkan amal ibadat dan basahkan bibir dengan zikrullah agar
hati kita menjadi lebih lembut lagi tenang. La haula wala quwwata illa billah (Tiada
daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah)