Keresahan
merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa kita. Ia adalah satu cara badan
kita menunjukkan ketidakselesaan. Keresahan menjauhkan kita daripada bahaya dan
membantu kita untuk bertindakbalas dengan cepat semasa menghadapi bahaya.
Tetapi, bagi sesetengah orang, keresahan menjadi keterlaluan dan berpanjangan.
Ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dan menyusahkan mereka untuk menjalani
aktiviti-aktiviti seharian. Keadaan itu mungkin tanda kecelaruan keresahan
kerana kita merasakan serba tidak kena dalam apa saja yang kita hadapi, lantas
kita mula mengolah segala yang ada diminda kita dengan rasa sedih.
Punca-punca
kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman,
tentulah alat itu adalah ‘hati’. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan
berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia. Seseorang yang suka
menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya
sendiri. Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya
kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan,
akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya
ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia
iaitu;
1.
Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan
menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh
membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu:
Pertama
untuk Allah SWT, kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan
dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa
biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan
apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang
yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila
suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat
dengan ilmu.
Kita
sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang
buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau
melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan
kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa
berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan
perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan
syaitan.
2.
Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang
berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya,
kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati,
ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.
Ubat
bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah kita.
Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah
mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan
mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman
perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang,
mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan
bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak
dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika
seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta?
Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu
terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.
3.
Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan
Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka
melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.” Makna melupakan
diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh
menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT
mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
Hari
dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan solat, tidak membaca ayat
al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan
mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti
binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin
dan memuaskan nafsu saja.
Ini
sesuai dengan firman-Nya: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka
jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak
dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi
tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka
memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka
itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah
orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf: 179).
Benarkah
orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia
bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang
sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman
kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.
Sheikh
Abd al-Qadir al-Jailani menasihat muridnya, “Jangan engkau
mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku.
Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau
mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana
hanya Tuhan yang berhak begitu!” Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan
sifat kehambaan. Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak
kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap,
namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan. Dan beliau menuruskan lagi
nasihatnya, “Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira
setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan
sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya
yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum”.
Carilah
hati dengan membaca Al-Quran
Carilah
hati dengan solat
Carilah
hati dengan mengingati mati
Carilah
hati dengan meminta hati yang baru.
No comments:
Post a Comment