Assalamualaikum
warahmatullah,
Kita
semua maklum, agama Islam mengajar umat beradab dalam melakukan setiap
pekerjaan atau apa saja perkara, sehari-hari. Adab atau akhlak bererti budi
pekerti, perangai, tingkah laku dan tabiat. Budi pekerti ada yang baik dan ada
yang buruk, yang baik disebut sifat mahmudah dan yang buruk pula disebut sifat
mazmumah. Adab yang baik akan membentuk masyarakat yang harmoni dan yang buruk
pula akan mengkucar-kacirkan keadaan. Adab yang baik adalah penting, oleh yang
demikian Nabi diutuskan oleh Allah untuk memperbaiki akhlak dan adab manusia,
sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia.” Alhamdulillah, dikongsikan adab atau etika
makan dan minum menurut Islam berdasarkan sunnah Rasulullah SAW. Adab makan dan
minum menurut Islam meliputi tiga perkara, iaitu adab sebelum makan, adab
ketika makan dan adab sesudah makan.
1.
Makanan yang halal. Hendaknya berusaha mendapatkan makanan yang halal dan baik
serta tidak mengandung unsur-unsur yang haram, ini berdasarkan firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah diantara rezeki yang baik-baik yang
Kami berikan kepadamu ....” (Surah al-Baqarah, 172)
2.
Betulkan niat. Niatkan tujuan dalam makan dan minum untuk menguatkan badan,
agar dapat melakukan ibadah dan hal-hal lain yang berguna. Cuci tangan sebelum
dan selepas makan
3.
Mencuci tangan. Mencuci kedua tangan sebelum makan, jika dalam keadaan kotor
atau ketika belum yakin dengan kebersihannya. Ini berdasarkan hadis Rasulullah
SAW, “Apabila Rasulullah SAW hendak tidur sedangkan baginda dalam keadaan
junub, maka baginda berwuduk terlebih dahulu dan apabila hendak makan, baginda
mencuci ke dua tangannya terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Ahmad)
4.
Hidangkan makanan. Meletakkan hidangan makanan di atas sutrah atau seprah (alas
yang biasa dipakai untuk meletakkan makanan) di atas lantai, tidak diletakan di
atas meja makan, kerana hal itu lebih mendekatkan pada sikap tawaduk. Hal ini
sebagaimana hadis dari Anas r.a., dia berkata “Rasulullah SAW tidak pernah
makan diatas meja makan dan tidak pula di atas sukurrujah (piring kecil).”
(Hadis riwayat Bukhari no. 5415)
5.
Duduk dengan tertib. Hendaknya duduk dengan tawaduk, iaitu duduk di atas kedua
lututnya atau duduk di aras punggung kedua kaki atau berposisi dengan kaki
kanan ditegakkan dan duduk diatas kaki kiri. Sebagaimana posisi duduk
Rasulullah SAW yang didasari dengan sabda baginda, “Aku tidak pernah makan
sambil bersandar, aku hanyalah seorang hamba, aku makan sebagaimana layaknya
seorang hamba makan dan aku pun duduk sebagaimana layaknya seorang hamba
duduk.” (Hadis riwayat Bukhari no.5399)
6.
Bersyukur dengan apa yang dihidangkan. Hendaknya merasa syukur dan redha dengan
makanan apa saja yang telah dihidangkan dan tidak mencela makanan, berdasarkan
hadis Rasulullah. Dari Abu Hurairah r.a., “Rasulullah SAW tidak pernah mencela
makanan apabila baginda berselera, baginda memakannya. Sedangkan jika tidak
suka (tidak berselera), maka baginda meninggalkannya.” (Hadis riwayat Bukhari
no. 3563)
7.
Makan berteman. Hendaknya makan bersama-sama dengan orang lain, baik tamu,
keluarga, kerabat, anak-anak atau pembantu, sebagaimana hadis Rasul Rasulullah
SAW, “Berkumpulah kalian dalam menyantap makanan kalian (bersama-sama), kerana
di dalam makan bersama itu akan memberikan berkah kepada kalian.” (Hadis
riwayat Abu Daud no. 3764)
1.
Mulakan dengan ucapan ‘basmalah’ Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW dari
Aisyah r.a., “Apabila salah seorang di antara kalian hendak makan, maka
ucapkanlah ‘bismillah’ dan jika ia lupa untuk mengucapkan ‘bismillah’ di awal
makan, maka hendaknya ia mengucapkan ‘bismillah awwaluhu wa akhirahu’.” (Hadis
riwayat Abu Daud no 3767 dan at-Tirmidzi)
2.
Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang) Dari Salamah bin al-Akwa’ r.a.,
seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah
SAW. Maka baginda berkata: “Makanlah dengan tangan kananmu.” Lelaki itu
berkata: “Aku tak boleh.” Baginda menjawab, “Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang
menghalangnya kecuali sifat bongkak!!” Kemudian tidak dapat diangkat tangannya
ke mulut. (Hadis riwayat Muslim) Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan
minum dengan (tangan) kirinya.” (Hadis riwayat Muslim)
3.
Galakkan menggunakan 3 jari Digalakkan makan dengan menggunakan tiga jari
tangan kanan, menyedikitkan suapan, memperbanyak kunyahan, makan dengan apa
yang terdekat darinya dan tidak memulai dari bahagian tengah piring. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah,
makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari apa-apa yang dekat denganmu.”
(Hadis riwayat Bukhari no.5376) dan sabda baginda lagi, “Keberkahan itu turun
di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggir piring dan janganlah
memulai dari bahagian tengahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud no. 3772) Dari Ka’ab
bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari....
(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah).” (Hadis riwayat Muslim)
4.
Makan yang berhampiran Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan
hamba di rumah Rasulullah SAW dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata
hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah SAW berkata : “Wahai budak,
ucapkan ‘bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang
hampir denganmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
5.
Mula makan dari tepi (pinggir) Dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda,
“Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan
jangan mulakan makan dari tengah.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
6.
Larangan mencela makanan Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali
Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan.
Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
7.
Anjuran bernafas 3 kali dan tidak meniup makanan/minuman. Tidak meniup pada
makanan yang masih panas dan tidak memakannya hingga menjadi lebih dingin.
Tidak boleh juga untuk meniup pada minuman yang masih panas, apabila hendak
bernafas maka dianjurkan bernafas di luar gelas sebanyak 3 kali, sebagaimana
riwayat Anas bin Malik r.a., “Rasulullah SAW jika minum, baginda bernafas
(meneguknya) tiga kali (bernafas di luar gelas).” (Hadis riwayat Bukhari) Dari
Anas bin Malik r.a. beliau mengatakan, “Ketika Rasulullah SAW minum baginda
mengambil nafas di luar wadah air minum sebanyak tiga kali.” Dan baginda
bersabda, “Hal itu lebih segar, lebih selesa dan lebih nikmat.” Anas
mengatakan, “Oleh kerana itu ketika aku minum, aku bernafas tiga kali.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim) Rasulullah SAW juga bersabda dari Abu Said
al-Khudri r.a., “Rasulullah SAW melarang untuk meniup (dalam gelas) ketika
minum.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi no.1887)
8.
Kutip/pungut makanan jatuh. Memungut makanan yang jatuh ketika saat makan
sebagai cermin rasa syukur kita. Apabila ada sesuatu dari makanan yang
terjatuh, maka hendaknya dibersihkan bahagian yang kotornya kemudian
memakannya. Dari Jabir r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Apabila jatuh sebahagian
(kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena
kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia
menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia
tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan.”
(Hadis riwayat Muslim) Dalam riwayat yang lain, dari sabda Rasulullah SAW,
“Apabila ada sesuap makanan dari salah seorang di antara kalian terjatuh, maka
hendaklah dia membersihkan bahagiannya yang kotor, kemudian memakannya dan
jangan membiarkannya untuk syaitan.” (Hadis riwayat Ahmad)
9.
Tidak bersandar ketika makan. Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata:
Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar.” (Hadis riwayat
Bukhari)
1.
Makruh makan terlalu banyak atau terlalu sikit. Hendaknya menghindari diri dari
kenyang yang melampaui batas. Menghentikan makan dan minum sebelum sampai
kenyang, hal ini semata-mata meneladani Rasulullah SAW, yang menghindari
(mengelakkan) diri dari kekenyangan yang menyebabkan sakit perut yang cepat dan
kerakusan dalam hal makan yang dapat menghilangkan kecerdasan. Dari Miqdam bin
Ma’di Karib, beliau menegaskan bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW
bersabda, “Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk dari
perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan
tulang punggungnya (memberikan tenaga). Maka jika tidak mahu (jika tidak ada
pilihan lain), maka ia dapat memenuhi perutnya, sepertiga untuk makanan,
sepertiga untuk minum, sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan
Ibnu Majah no. 3349)
2.
Jilat jari setelah selesai. Hendaknya menjilati jari-jemarinya sebelum mencuci
tangannya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “apabila salah seorang di antara
kalian telah selesai makan, maka janganlah ia mengusap tangannya hingga ia
menjilatnya atau meminta dijilatkan (kepada isterinya atau anaknya).” (Hadis
riwayat Bukhari no. 5456) Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu
jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang
lain).” (Hadis riwayat Muslim)
3.
Memuji Allah. Hendaknya memuji Allah Taala setelah makan dan minum, sebagaimana
sabda Rasulullah SAW, “barangsiapa sesudah selesai makan berdoa:
“Alhamdulillaahilladzi ath‘amani haadzaa wa razaqaniihi min ghoiri haulin minni
walaa quwwatin”, nescaya akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat
Abu Daud no 4023)
4.
Doa setelah selesai makan Dari Abi Umamah r.a., Rasulullah SAW apabila selesai
makan menyebut, “Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira
makfiyyin wa la muwaddi’n wa la mustaghnan ‘anhu rabbana.” (Hadis riwayat
Bukhari) Dari Muad bin Anas r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa
yang selesai makan, kemudian menyebut, “Alhamdulillaahilladzi ath‘amani haadzaa
wa razaqaniihi min ghoiri haulin minni walaa quwwatin”, akan diampunkan
dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
5.
Berkumur atau bersugi. Membersihkan sisa-sisa makanan yang ada di sela-sela
giginya, dan berkumur untuk membersihkan mulutnya.
1.
Menjawab salam. Imam Nawawi dalam al-Azkar mengatakan makruh hukumnya
memberikan salam kepada orang yang sedang makan. Orang yang diberi salam pula
tidak wajib menjawabnya. Beliau menghuraikan apakah maksud hukum makruh itu.
Katanya: “Hukum makruh itu ialah apabila makanan itu berada dalam mulutnya,
jika mulutnya tiada makanan, maka tidak mengapa diberi salam dan salam itu
wajib dijawab.” (al-Azkar, edisi tahqiq 2003, Daar al-Hadith, Cairo. ms 238)
2.
Bercakap ketika makan. Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan
berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadis yang
dibawakan oleh Jabir r.a. sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab
memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahwa
termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan,
membicarakan kisah orang-orang yang soleh dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602,
edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo) Menurut al-Hafidz dan Syaikhul
Islam Ibn al-Qayyim r.a., pendapat yang benar ialah Rasulullah SAW bercakap dan
berbual semasa makan. Dalam kitabnya al-Zaad (2/397), ada kalanya Rasulullah
SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (Hadis riwayat
Muslim: 2052), ada kala Rasulullah SAW mengajar adab dan susila makan kepada
kaum keluarganya (Hadis riwayat Bukhari: 5061) dan ada ketika Rasulullah SAW
sentiasa menggalakkan tetamu baginda supaya menambah lauk-pauk dan minuman.
(Hadis riwayat Bukhari 6087). Adalah tidak benar tempat mengadap makanan
menjadi tempat yang kaku dan senyap sepi dari perbualan. Tetapi, tidaklah
bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.
3.
Cuci tangan sebelum dan sesudah makan Aisyah r.a. mengatakan, “bahawa
Rasulullah SAW bila hendak tidur dalam keadaan junub maka beliau berwudhu terlebih
dahulu, dan apabila baginda hendak makan maka baginda mencuci kedua tangannya
terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Nasa’ie no. 256, Ahmad, 24353, dan lain-lain)
Mengenai mencuci tangan sesudah makan, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang tidur dalam keadaan tangannya masih
berbau daging kambing dan belum dicuci, lalu terjadi sesuatu, maka janganlah
dia menyalahkan kecuali dirinya sendiri.” (HR. Ahmad no. 7515, Abu Dawud no.
3852)
4.
Berwuduk jika berjunub Aisyah r.a. menyebutkan, “bahawa Rasulullah SAW jika
dalam keadaan junub lalu hendak makan atau tidur, maka baginda berwuduk
terlebih dahulu, seperti berwuduk untuk solat.” (Hadis riwayat Bukhari no 286
dan Muslim no 305)
5.
Tidak melengahkan makan setelah terhidang. Dari Anas r.a., Rasulullah SAW
bersabda, “Jika makan malam sudah disajikan dan Iqamah solat dikumandangkan,
maka dahulukanlah makan malam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
6.
Jangan tergesa-gesa menghabiskan makan. Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasulullah
SAW bersabda, “Janganlah kalian tergesa-gesa menyelesaikan makan malam kalian
jika sudah disajikan.” (Hadis riwayat Ahmad)
7.
Tidak mengambil makanan lebih dari satu. “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang
mengambil makanan lebih dari satu kecuali sesudah minta izin kepada
saudaranya.” (Hadis riwayat Bukhari no. 2455 dan Muslim no 2045) Ibnul Jauzi
mengatakan, “Hadis ini berlaku pada saat makan bersama-sama. Pada saat makan
bersama biasanya orang hanya mengambil satu kurma saja. Maka jika ada orang
yang mengambil lebih dari satu, maka bererti dia lebih banyak daripada yang
lain. Sehingga harus minta izin terlebih dahulu dari orang lain.” (Kasyful
Musykil, 2/565)
8.
Menyantap makanan setelah dingin. Dalam Zaadul Ma’ad (4/223) Imam Ibnul Qoyyim
mengatakan, “Rasulullah SAW tidak pernah menyantap makanan dalam keadaan masih
panas.”
9.
Makan dan minum sambil berdiri Dalam riwayat Ahmad dinyatakan bahawa Ali bin
Abi Thalib mengatakan, “Apa yang kalian lihat jika aku minum sambil berdiri.
Sungguh aku melihat Rasulullah SAW pernah minum sambil berdiri. Jika aku minum
sambil duduk maka sungguh aku pernah melihat Rasulullah SAW minum sambil
duduk.” (Hadis riwayat Ahmad no 797) Dari Ibnu Umar, beliau mengatakan, “Di
masa Rasulullah SAW (sebelum wafat), kami minum sambil berdiri dan makan sambil
berjalan.” (Hadis riwayat Ahmad no 4587 dan Ibnu Majah no. 3301) Mengenai
hadis-hadis di atas ada Ulama yang berkesimpulan bahawa minum sambil berdiri
itu diperbolehkan meskipun yang lebih baik adalah minum sambil duduk.
10.
Penyedia minuman yang terakhir minum Dari Abu Qatadah r.a., Rasulullah SAW
mengatakan, “Sesungguhnya orang yang menyediakan minuman kepada sekelompok
orang adalah orang yang minum terakhir kali.” (Hadis riwayat Muslim no. 281)
11.
Anjuran makan bersama dalam satu pinggan Dari Jabir bin Abdillah r.a., beliau
menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Makan satu orang
itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang.
Makanan empat orang itu cukup untuk delapan orang.” (Hadis riwayat Muslim no
2059)
12.
Larangan menghadiri jamuan yang menyediakan khamr (yakni arak). Rasulullah SAW
juga bersabda, “Barang siapa yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari
akhir maka janganlah menghadiri jamuan yang memberikan khamr (yakni arak).” (Hadis
riwayat Ahmad no. 14241)
13.
Galakan makan beramai-ramai Dari Anas bin Malik r.a., “Sesungguhnya Rasulullah
SAW tidaklah makan siang dan makan malam dengan menggunakan roti dan daging
kecuali dalam hidangan bersama orang ramai.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Ya’la,
Ibn Hibban dengan sanad sahih) Namun, tidaklah dilarang makan bersendirian
berdasarkan firman Allah SWT, “Tidak ada halangan bagi kamu makan bersama-sama
mereka atau sendirian.” (Surah an-Nur 61)
Sekiranya
ianya bertepatan dengan kebenaran maka datangnya dari Allah dan kiranya
tersilap ianya dari kelemahan diri dan gangguan syaitan. Semoga bermanfaat…
Rujukan
entry dari sumber : Riyadhus Solihin di Halaqah-OnLine dan Buku Etika Harian
Muslim Teladan karya Abdul Hamid bin Abdilrrahman as-Suhaibani di TerusBelajar
No comments:
Post a Comment