Kita selalu dengar orang bercakap “belajarlah
dari kesilapan”. Tapi, berapa ramai dari kita yang sememangnya menjadikan
kesilapan itu suatu benda yang perlu dipelajari. Berapa ramai yang betul-betul
belajar untuk tidak mengulang kesilapan yang pernah kita buat. Berapa ramai
pula yang jenis susah nak mengakui kesilapan sendiri. Berapa ramai juga yang
tahu dia melakukan kesilapan tapi tak pernah cuba untuk memperbaiki dirinya.
Mungkin pernah mencuba tapi tetap melakukan kesilapan yang sama berulang kali.
Kenapa?
Kadang-kadang kesilapan yang kita buat boleh buat kita merana seumur
hidup. Mungkin itu akan merubah orang. Tapi kalau kesilapan yang kecil, yang
tak mendatangkan kesan buruk, macamana kita nak pastikan kita tak ulangi lagi.
Kadang-kadang ada orang suka menuding jari sesenang hati pada orang lain bila
dia buat kesilapan. Alasannya, terpengaruh, terikut-ikut dan tiada siapa pun
yang marah.
Kenapa mesti nak salahkan orang lain bila sendiri buat silap. Kalau
baik, tentu kita tak terpengaruh kalau orang lain buat silap. Ini tidak, orang
terjun gaung, kita pun nak ikut juga terjun. Bila luka parah, nak salahkan
orang lain. Memang kita manusia. Tak sempurna. Tapi, kenapa kita selalu
melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang walaupun kita dah tau kesan dan
akibatnya di kemudian hari.
Sedar atau tidak bahawa setiap kesilapan dan setiap kemaafan akan
melahirkan sifat sabar dalam diri yang memaafkan.
Kesilapan pertama; dimaafkan
Kesilapan kedua; dimaafkan
Kesilapan ketiga; dimaafkan
Kesilapan;..........
Kesilapan;.......
Kesilapan;....
Kesilapan;...
Kesilapan kini menguji tahap kesabaran setiap dari kita.....
Sesungguhnya amat besar nilai kemaafan dalam
setiap kesilapan yang menguji sejauh mana kesabaran diri
kita dalam menghadapi pada setiap kesalahan tersebut.
Berbuat kesalahan tidak menjadi aib jika dilakukan sekali sahaja lalu
bertaubat setelah itu. Tetapi ia menjadi aib apabila dilakukan dua kali,
apatahlagi berkali-kali. Keterlanjuran yang terjadi perlu diusahakan untuk
tidak diulangi. Untuk itu mari kita salami kenapa dan bagaimana kita tidak
terjebak dalam melakukan kesilapan lagi
a) Menyedari kesempurnaan hanya milik Allah sehingga menyebabkan kita
rendah hati dan tawadhu’di depan Allah. Lalu memahami hikmah mengapa manusia
melakukan dosa. Rasulullah bersabda: “Seandainya kamu tidak berbuat dosa, maka
aku mengkhuwatirkan akan terjadi padamu sesuatu yang lebih parah daripada dosa,
iaitu bangga diri (sombong).”(As-Shahihah: 1382)
b) Dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan diri kita lebih
bijaksana dan santun menghadapi kesalahan orang lain.
c) Menyedari tanpa rahmat dan taufiq daripada Allah SWT, kita tidak
akan dapat keluar daripada kancah kemaksiatan, sehingga dia akan sentiasa
memperbaiki sikap dan perilakunya agar mendapat limpahan rahmat dan taufiq
daripada Allah. “Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama
aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan
(pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya
kepada-Nya-lah aku kembali .” [Q.S. Hud, 11:88]
2. Mengapa Kita Mengulang-Ulangi Kesalahan Yang Sama?
a) Seseorang akan mudah mengulang kesalahan dan dosa yang pernah
dilakukan sebagai satu hukuman daripada Allah SWT atas kesalahan yang pernah
dilakukannya. Sebahagian ulama’ salaf berkata: “Sesungguhnya di antara hukuman
atas keburukan adalah keburukan setelahnya. Sesungguhnya di antara balasan
kebaikan adalah kebaikan setelahnya."(Al-Jawabul Kafi: 60) Bermakna,
seseorang hamba akan dipermudahkan untuk melakukan kemaksiatan yang kedua
sebagai balasan atas kemaksiatannya yang pertama, dan begitulah sebaliknya
untuk kebaikan. “Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa.”
[Q.S. Asy-Syuura, 42:40]
b) Antara tabiat dosa adalah adanya tarikan antara satu dosa dengan
dosa yang lain. Ibnu Qayyim berkata: “Kemaksiatan akan menanamkan kemaksiatan
yang sejenisnya, sebahagiannya akan melahirkan sebagian yang lain sehingga
sangat sulit bagi seorang hamba untuk meninggalkannya. Apabila seorang hamba
melakukan dosa, maka dosa yang akan berkata, “Lakukanlah aku juga.” Apabila ia
melakukannya, dosa yang ketiga pula berkata, “Lakukanlah aku juga.” Begitulah
seterusnya sehingga kerugian akan belipat kali ganda dan dosa-dosa akan semakin
bertambah." (Al-Jawabul Kahfi: 61). Ingat!, Dosa bagaikan magnet yang
menarik dosa yang lain untuk dilakukan
c) Dengan berlakunya keterlanjuran, maka syaitan telah mengetahui
kelemahan dan celah untuk menggoda dan memperdayainya. Lalu syaitan akan lebih
bersemangat untuk menggodanya agar mengulangi kesilapan yang sama berkali-kali.
“Dosa itu mengelilingi hati, tidak ada suatu pandangan melainkan syaitan akan
bercita-cita untuk memanfaatkannya." (Ash-Shahihah: 3660).
d) Nafsu syahwat akan menuntut sesuatu yang lebih daripada seseorang
yang cuba menuruti sebahagian daripada nafsunya.
e) Tidak ada balasan langsung atas kesilapan yang dilakukan sehingga
dia berani untuk terus mengulanginya. Seperti yang berlaku kepada orang musyrik
yang terus-menerus mengingkari Al-Quran kerana tiada azab yang diturunkan
kepada mereka. Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata:
"Ya Allah, jika betul (Al Quran) ini, dialah yang benar dari sisi Engkau,
maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab
yang pedih." [Q.S. Al-Anfal, 8:32]
f) Tidak menyedari bahawa dosa yang dilakukannya adalah suatu dosa.
Seseorang perlu belajar untuk mengetahui perbuatan apa yang perlu dilakukan dan
yang perlu ditinggalkannya. Seorang ahli hikmah berkata, “Jika engkau tidak
tahu bahawa itu dosa, maka itu adalah bencana. Jika engkau tahu bahawa itu
adalah dosa namun engkau tetap melakukannya, maka itu adalah bencana yang lebih
besar lagi.”
3. Mengapa Kita Tidak Boleh Mengulang-Ulangi Kesalahan Yang Sama
a) Akan menjadi kebiasaan dan sangat sukar untuk ditinggalkan. Ulama’
berkata,“Pandangan adalah awal dari segala kemaksiatan yang menimpa seseorang.
Kerana pandangan akan melahirkan lintasan fikiran, lintasan fikiran akan
melahirkan idea, idea akan melahirkan keinginan, keinginan akan melahirkan
kehendak, kehendak akan menguat menjadi tekad, dan tekad akan menghantarkannya
kepada perbuatan dosa, dan perbuatan dosa ini akan menjadikan seseorang itu
terbiasa melakukannya sehingga sangat sukar untuk meninggalkannya.”
Jadi, menahan diri tatkala kemaksiatan itu baru sekali dilakukan adalah
lebih mudah daripada setelah berkali-kali dilakukan, dan menahan diri akan
lebih mudah jika ia masih sekadar sebuah keinginan. Seorang ulama berkata, “Bersabar
untuk menundukkan pandangan jauh lebih mudah daripada bersabar atas penderitaan
jiwa yang terjadi setelahnya.” (Al-Jawabul Kahfi: 153-165)
b) Menghantarkan seseorang kepada Suuh Khatimah. Seringkali seseorang
mati dalam keadaan melakukan kemaksiatan yang biasa dilakukannya. Seorang ulama
berkata,“Barangsiapa terbiasa melakukan sesuatu, dia akan mati di saat
melakukan perbuatan tersebut.” (Al-Jawabul Kahfi: 167)
c) Menghitam-legamkan hati sehingga tidak mahu menerima kebenaran.
Sabda Rasulullah, “Sesungguhnya seseorang mukmin itu apabila melakukan sesuatu
dosa, maka titk hitam muncul di hatinya. Jika dia bertaubat, meninggalkan dosa
dan beristighfar, maka hatinya akan kembali bergemerlapan. Jika ia melakukan
dosa lagi, maka titik hitam itu bertambah lagi sehingga hatinya tetutup oleh
noda hitam yang disebutkan Allah SWT dalam firman-Nya: Sekali-kali tidak
(demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati
mereka. [Al-Muthaffifin, 83:14]
d) Dosa-dosa kecil yang berulang-ulang menjadi dosa besar. Dosa besar
yang berulang-ulang akan mengakibatkan pelakunya terjerumus kepada kekafiran,
kerana telah terbiasa melakukannya dan akhirnya beriktikad bahawa dosa-dosanya
itu sesuatu yang halal.
4. Bagaimana Agar Tidak Mengulang-Ulangi Kesalahan Yang Sama?
a) Segera bertaubat untuk memotong mata rantai dosa dan mengiringi
perbuatan dosa dengan kebaikan yang akan menghapuskannya. Rasulullah SAW
bersabda, “Apabila kamu berbuat dosa, maka lakukanlah kebaikan (untuk
menghapuskannya)”[H.R. Baihaqi]
b) Memperkuat azam untuk memperbaiki diri. Penyebab utama seseorang
menjadi lemah di hadapan dosa-dosa adalah ketiadaan atau kelemahan tekad untuk
menghindarinya sehingga dengan mudah dia mengulanginya. “Dan sesungguhnya telah
Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan
tidak Kami dapati padanya kemauan yang kuat.”(Q.S. Thaha, 20:115)
c) Mencari lingkungan kodusif untuk memperbaiki diri. Seseorang yang
berada dalam lingkungan yang baik akan malu untuk melakukan dosa. Itulah
hikimah mengapa seorang yang telah membunuh 100 orang lalu ingin bertaubat
dianjurkan untuk berpindah daripada kampung halamannya.
Berusahalah memperbaiki diri kita dengan apa sekali pun kerana kita pun
tidak mahu menjadi penghuni neraka. Mungkin cara yang terbaik setiap kali kita
nak berbuat dosa letakkan hujung jari kita dipemetik api yang bernyala. Kalau
kita masih terasa panasnya maka ada peluang untuk kita tidak meneruskannya.
Beza kepanasan api neraka dan api didunia; (Diriwayatkan bahawa
Rasululallah SAW pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini.
Setelah nabi Adam AS dihantar ke dunia kerana kesalahannya memakan buah
larangan maka Allah SWT telah memerintahkan malaikat Jibril AS supaya
mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan Nabi Adam
AS. Maka Jibril AS pun diperintahkan unttk meminta api tersebut daripada
malaikat penjaga api neraka iaituZabaniah.
Jibril: wahai zabaniah, aku diperintah utk mengambil sedikit api neraka
utk dihantar ke dunia bagi kegunaan Adam AS.
Zabaniah: sebanyak mana sedikit itu ?
Jibril: sebesar kurma.
Zabaniah: kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya
akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.
Jibril: kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma…
Memandangkan keadaan yang rumit ini maka Jibril AS pun menghadap Allah
untuk mendapatkan saiz yg perlu di hantar ke dunia. Allah SWT pun
memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka utk
di bawa ke dunia. Maka Jibril AS pun mengambil api neraka sebesar zarah dari
Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan api neraka sebesar zarah
itu terpaksa disejukkan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali kedalam sungai di
syurga dan sebanyak 70 buah sungai.
Selepas itu Jibril AS pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakkan
diatas sebuah bukit yg tinggi.Sejurus setelah diletakkan api tersebut,tiba-tiba
bukit itu terus meleleh dan cair.Maka cepat-cepat malaikat Jibril mengambil
semula api tersebut dan menghantar semula ke neraka. Hanya sisa-sisanya sajalah
yang terdapat di dunia ini seperti api yg sering kita gunakan untuk pelbagai
keperluan termasuk api gunung berapi dan sebagainya.)
No comments:
Post a Comment