DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Friday, March 20, 2015

Kita mungkin sudah jauh tersasar

Ramai antara kita yang terleka, menilai kehidupan ini adalah untuk selama-lamanya dan ada juga yang menilai hidup sesudah mati bukan urusannya kerana sudah mati, apa lagi yang perlu dirisaukan dan yang paling teruk bila lansung tidak menilai apa-apa pun hanya mengikut arus kehidupan didepannya. Tiada siapa yang tahu atau menyedari bahawa detik-detik yang berlalu sebenarnya sedang menghampirkan kita semua pada saat pemergiaan dari dunia yang penuh kesibukan yang tidak tahu apa yang kita sibukkan. Pergi yang tidak akan mungkin menghadirkan kita kembali disini buat kali keduanya. Seperti syair Arab, Berapa ramai anak-anak muda yang sedang bermain pagi dan petang, sedangkan kain-kain kafannya dah mula dikoyakkan orang tetapi dia tidak tahu? Berapa ramai anak kecil yang diharapkan lahir menjadi orang yang terhebat tetapi mati sejurus selepas dilahirkan? Dan berapa ramai gadis yang dihias indah pada malam pengantinnya, rupa-rupanya pada keesokan harinya orang datang untuk menguruskan jenazahnya.
Kita akan tinggalkan seluruh cinta kita yang tercurah dibumi yang penuh dengan seribu satu ujian dan dugaan. Kita akan terus melangkah pergi tanpa sempat pun berpaling lagi buat kali yang terakhir. Itu hakikatnya kehidupan sementara ini. Ikhtibarnya... berapa ramai yang membuka mata dari terus terlena. Apa yang terlihat di gambaran masa kini hanyalah kelalaian demi kelalaian yang terjadi. Tiada diambil ikhtibar. Hidup seolah tidak akan bertemu mati. Menabur cinta pada duniawi yang akan lenyap yang tiada abadi. Gelisah jika tercampak ke belakang dari arus duniawi. Tapi, tidak kisah langsung dengan sedikit hayat yang masih berbaki. Oleh sebab itu, kita perlu menyegerakan taubat kerana masih hidup itu ialah kesempatan yang boleh hilang secara tiba-tiba. Abdullah bin Umar mengingatkan: "Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah kamu hanya menunggu tiba waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu hanya menunggu tiba waktu petang. Dan ambillah kesempatan masa sihatmu untuk persiapan masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk persiapan untuk persiapan kematianmu. (Riwayat al-Bukhari).

Ramai yang lebih memilih dan mengharapkan kematian apabila ditimpa sesuatu musibah yang rasanya tidak tertanggung oleh hati dan perasaan. Ketahuilah bahawa kematian bukan penamat segalanya, tetapi permulaan kepada sebuah perjalanan baru. Tempat dipertanggungjawaban segala amalan yang terlaku ketika hidup di atas dunia dulu. Jangan seenaknya menyatakan bahawa kematian akan membungkus segala-galanya bersama jasad tertanam di bawah tanah. Sebaliknya, kematianlah akan membongkar segala-galanya. Manusia akan di adili di mahkamah Allah yang disitu tidak akan ada lagi rasuah untuk membebaskan diri. Tanggunglah segala apa yang kita perbuat selama ini. Firman Allah SWT, “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)” (Surah Az-Zalzalah: 7-8). Kita telah diberi peringat demi peringatan, namun kita sengaja membiarkan dan menganggap tiada yang akan perasan, padahal Allah lah yang menciptakan penglihatan dan Dia maha melihat segala sesuatu yang nyata ataupun tersembunyi.
Gambaran-gambaran hari pembalasan seringkali menjadi topik ceramah-ceramah oleh ustaz-ustazah. Namun, lumrahnya insan tersedar dan akhirnya terlupa. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW dari Aisyah ra dijelaskan: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Semua manusia di kumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.” Aisyah bertanya : “Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?” Rasulullah SAW bersabda “Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal yang seperti itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Bayangkanlah bagaimana ketakutan yang hinggap dihati-hati manusia sehinggakan mereka sudah tidak menghiraukan keadaan disekelilingnya. Pada hari itu juga, bumi dan seluruh isinya akan menjadi saksi atas segala yang manusia lakukan dahulu ketika masih menetap di dalamnya. “Dari Abu Hurairah beliau berkata: Rasulullah SAW membaca ayat: “Yauma idzin tuhadditsu akhbaraha?” Para sahabat pada waktu itu menjawab, bahawa Allah dan Rasulullah SAW yang lebih tahu.” Rasulullah SAW bersabda: “Maksudnya ialah bahawa bumi akan menjadi saksi terhadap seseorang hamba baik lelaki atau perempuan atas apa yang dilakukannnya dipermukaannya. Bumi akan berkata: “Dia melakukan ini dan itu”. Sekarang silakanlah melakukan larangannya andai kita masih merasakan kita mampu bersembunyi dari kesalahan itu. Siapa lagi yang akan berpihak kepada kita jika kita dilumuri dosa dan noda. Silakan katakan, siapa yang akan membantu kita menewaskan saksi-saksi ini? Tidak akan ada yang boleh menidakkannya. Allah maha mengetahui.

Sebuah kisah yang perlu kita renungkan. Tersebutlah sebuah kisah seorang lelaki ahli ibadah yang tinggal sendirian beruzlah (Menyendiri) di tengah hutan.Ahli ibadah itu seorang yang sangat taat dan takut kepada Allah SWT. Suatu malam yang gelap ketika beliau sedang sibuk beribadah pada ketika itu hujan telah turun dengan lebatnya,berdekatan dengannya ada sebuah pelita yang digunakan untuk menerangi malamnya setiap hari.Ketika beliau khusyuk berzikir dan bermunajat tiba-tiba beliau telah mendengar pintu rumahnya diketuk dengan kuat. "ahhh siapa pulak datang kerumah ku pada waktu-waktu begini" katanya di dalam hati. lantas beliau membuka pintu rumahnya.Alangkah terkejutnya dia apabila didapati ada seorang gadis yang cantik jelita berdiri di hadapan pintu rumahnya.

Ahli Ibadah : "Siapa kamu dan apakah tujuan mu kemari?" tanya ahli ibadah itu.

Gadis : "Maafkan aku kerana mengganggu mu, sebenarnya aku adalah puteri kepada raja negeri ini, aku telah tersesat ketika asyik mengikut ayahanda ku pergi berburu. Di dalam keadaan gelap dan hujan semakin lebat,aku tidak punya arah untuk dituju bolehkah aku tumpang bermalam di rumah mu ini sementara menunggu hari siang?"
Ahli Ibadah : "Maaf tidak boleh,di rumah ini aku hanya tinggal seorang sahaja.Lagipun kamu perempuan dan aku adalah lelaki tidak manis jika diketahui orang " ujarnya

Gadis : "Tolonglah saya tuan, ke mana lagi saya hendak pergi dalam keadaan gelap gelita dan hujan lebat ini?Tumpangkanlah saya sehingga siang hari sahaja!" rayu wanita itu

Ahli ibadah : "Baiklah,tapi sampai esok pagi sahaja ya. Masuklah!"

Gadis: "Terima kasih tuan"

Setelah dibenarkan gadis itu masuk, ahli ibadah itu menunjukkan tempat untuk gadis itu berehat disebabkan rumah ahli ibadah itu kecil. Beliau telah menyuruh gadis itu tidur di tempatnya manakala dia membelakangi gadis itu. Akibat terlalu letih, gadis itu pun terlena dengan nyenyaknya.

Tiba-tiba datanglah bisikan syaitan datang membisikkan niat jahat ke telinga ahli ibadah itu.

Syaitan : "Hai kawan, lauk sudah terhidang apa lagi yang kamu nak tunggu? Dalam keadaan hujan yang lebat dan cuaca yang sejuk begini alangkah baiknya kalau ada tempat untuk memanaskan badan" bisik syaitan

Ahli Ibadah : "Astaghfirullahal'azim.... Allah SWT telah menegah ku dari melakukan zina dan pasti aku akan mematuhinya " Tegas ahli ibadah itu di dalam hatinya

Syaitan : "Apalah kau ini, bodoh. Bukannya ada sesiapa pun di sini lagipun dia tidur sangat nyenyak sudah pasti dia tidak akan sedar apa yang kau lakukan terhadapnya!" kata bisikan syaitan itu

Ahli Ibadah : "Tidak, aku takut akan Allah SWT"

Syaitan : "Alahhhh... ianya bukan ambik masa yang lama pun. Setelah engkau puas menjamah tubuhnya engkau kembalilah ke tempat ibadat mu " bisik syaitan lagi

Ahli Ibadah: "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari kelingkingnya. Beliau sedaya upaya menahan bakaran api tu pada jarinya, setelah tidak tahan menahan panas beliau berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari api di dunia ini?"

Syaitan : " Dia cantik, muka dia ayu, kulitnya gebu masakan engkau tidak teringin untuk memegangnya?"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari manisnya. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia,api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "Jika waktu ini engkau tidak ambik peluang bila lagi? aku tahu engkau pun suka juga kan?"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar jari hantunya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya selama yang mungkin setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia,api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "engkau ini memang menolak tuah, lauk sudah terhidang di depan mata engkau menolak, alangkah ruginya diri kerana peluang sebegini sudah pasti tidak akan kau temui lagi"

Ahli Ibadah : "Tidakkkkkk....!!!! aku tidak mahu" lantas beliau membakar jari telunjuknya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya. setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"

Syaitan : "Engkau ini asyik beribadah tidak pernah memperdulikan nafsu mu, apalah salahnya jika kau ambik peluang ini untuk menganugerahkan diri mu dengan menjamah tubuh wanita itu? Kalau aku sudah pasti aku tidak melepaskan peluang keemasan yang sebegini" hasut syaitan lagi

Ahli Ibadah : “Tidakkkkkk....!!!!" lantas beliau membakar ibu jari tangannya pula. Beliau cuba sedaya upaya untuk menahannya.setelah jarinya itu terbakar beliau angkat dan berkata kepada dirinya "Wahai manusia, api di dunia ini pun kamu sudah tidak tahan bagaimana untuk kamu hadapi api neraka yang jauh lebih panas membakar dari ini?"
Ahli ibadah itu menangis dan berdoa "Wahai Allah, peliharalah diriku dari hasutan syaitan dan runtunan nafsu ku. Aku berlindung kepada mu dari zina dan kemungkaran. Bantulah aku seperti mana engkau membantu Nabi Yusuf ketika baginda di rayu oleh zulaikha "

Setelah itu, beliau pun tertidur dan terjaga setelah sekali lagi terdengar pintu rumahnya diketuk. Beliau pun lantas membuka pintu dan mendapati hari sudah siang dan rumahnya telah di kelilingi dengan pengawal.

Pengawal :"Kami sedang mencari seorang puteri raja yang telah hilang semalam adakah kamu ada melihat sesiapa sejak semalam?"

Ahli Ibadah : "Ya, ada! Aku tumpangkannya bermalam di rumah ku"

Pengawal : "Owh jika begitu engkau telah menculiknya ya??"

Ahli Ibadah : "Demi Allah, aku tidak menculik semalam semasa keadaan gelap gelita dan hujan lebat dia datang ke rumah ku untuk tumpang berteduh"

Tiba-tiba tuan puteri telah bangun dari tidurnya dan berlari ke arah pengawal

Gadis : "pengawal... Jangan apa-apakan dia kalau tak kerana dia sudah tentu aku akan semakin tersesat di dalam kegelapan atau mungkin aku sudah dimakan binatang buas!"

Pengawal : "Baginda raja telah menitahkan kami untuk membawa tuan puteri pulang ke istana"

Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih tuan puteri pun beredar dan pulang ke istana.Tidak beberapa hari kemudian ahli ibadah itu telah di datangi oleh rombongan di raja. Kali ini tuan puteri datang bersama ayahandanya.

Raja : "Apakah benar kamu yang menjaga puteri beta ketika anakanda beta itu tersesat di dalam hutan ini?"

Ahli Ibadah : "Maafkan patik tuanku, patik hanya menumpangnya sahaja tapi patik tidak berbuat apa-apa kepadanya"

Raja : "Wahai pemuda,janganlah kamu khuatir puteri beta telah menceritakan segala-galanya kepada beta engkau adalah manusia yang jujur dan taat kepada Allah sememangnya orang seperti kamulah yang beta cari selama ini untuk menjadi pasangan kepada putri beta. Adakah kamu bersetuju dengan tawaran beta ini?

Ahli Ibadah : "Patik bersetuju tuanku"

Raja :"Bendahara dan sekelian yang ada! beta akan kahwinkan puteri beta dengan pemuda yang soleh ini jadi persiapakanlah segala kelengkapan untuk hari bahagia anakanda beta ini"
Apa akan jadi sekiranya ahli ibadah itu mengikut pujukan syaitan itu?sudah pasti ahli ibadah itu akan ditangkap atau dibunuh.Tepuk dada tanyalah iman. Rasulullah SAW bersabda: “ Tangisan dikirim untuk ahli neraka, maka menangislah mereka sehingga air matanya kering, kemudian mereka menangis dengan air mata darah sehingga di wajah-wajah mereka nampak ada parit-parit. Seandainya di parit-parit itu diletakkan kapal, pasti kapal tersebut akan dapat belayar. (HR Ibnu Majah). Nauzubillahiminzalik, tak tercapai akal fikiran kita yang sempit ini membayangkan semuanya. Tiada yang mampu menanggung sakit perit ini walau hanya dalam bayangan. Sesungguhnya tiada yang mustahil bagi Allah untuk menjadikan segala sesuatu sekelip mata. Renungkanlah sedetik melangkaui alam ini, tentang azab neraka yang sejelasnya ada, tentang nikmat syurga yang jua wujud dan nyata. Cuba tempatkanlah diri kita yang masih bernyawa ini menghadapi detik-detik ini sekejap cuma. Dan sedarkan minda yang masih berfungsi ini untuk segera melakukan perubahan andai dirasa diri sudah jauh tersesat jalan. Kerana ini waktu kita untuk berubah, sebelum jasad di kandung tanah. Kesempatan ini tidak lama, bila-bila masa waktu kita akan tiba. Saat di rasakan hidayah Allah menyapa, sambutlah segera. Kerana kita yang melengah-lengahkan kebaikan selamanya tidak akan mempunyai masa.

Saturday, March 14, 2015

Dibawah Naungan Langit Arafah - Antara kemuliaan dan MaghfirahNya

Wukuf adalah salah satu rukun dan puncaknya amalan haji. Secara fizikal, wukuf Arafah adalah puncak berkumpulnya seluruh jamaah haji yang berjumlah jutaan, dari penjuru dunia dalam waktu bersamaan. Secara amaliah, wukuf Arafah mencerminkan puncak penyempurnaan haji kita. Di Arafah inilah Rasulullah menyampaikan khutbahnya yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan, kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah itu beliaupun wafat. Di saat itu, ayat Al-Qur’an, surat al-Maa’idah ayat 3 turun sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Muhammad SAW. Firman Allah SWT: “… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.….” (al-Maa’idah:3)
Arafah merupakan gambaran padang Mahsyar, yang nantinya semua makhluk dikumpulkan disana sebelum melangkah ke syurga atau neraka. Kehadiran kita di Arafah memberi makna dan variasi akhirat dengan Mahsyarnya, sekaligus merenunginya untuk bersiap-siap menghadapi hal itu. Arafah juga merupakan tempat bertemunya Adam dan Hawa setelah beratus tahun saling mencari di muka bumi. Wukuf maknanya hadir dan berada di Arafah pada waktu tertentu antara waktu dzuhur dan asar. Disini masing-masing jamaah haji dimestikan untuk menghadirkan dirinya berhubung terus dengan Allah, merenung kembali atas dirinya, apa yang telah dilakukan selama hidupnya, merenungi kebesaran Allah melalui Asmaul Husna-Nya, merenungi hari akhirat. Bentangkan dosa-dosa kita di padang Arafah ini, ingatlah satu persatu dosa-dosa yang pernah kita lakukan, ingatlah betapa waktu kita selama ini habis terbuang sia-sia kerana lebih banyak digunakan untuk memperindah kehidupan dunia sahaja. Pengakuan yang jujur dan ikhlas, tanpa rasa sombong dan takabur, di hadapan Allah adalah puncak amaliah haji. Itulah Arafah, wukuf kita adalah untuk mendefinisikan hakikat keberadaan kita dihadapan Allah, sekalipun sebenarnya Allah telah mengetahui itu semua.

Pandanglah langit Arafah. Renungilah bahwa pada hari yang mulia itu Allah SWT sedang memanggil para malaikatnya berkumpul di langit Arafah, dan membangga-banggakan umatnya yang sedang wukuf di Arafah di hadapan para malaikatnya di langit. Disebutkan dalam hadits qudsi bahwa Allah berfirman bahwa: “ Lihatlah kepada hamba-Ku di Arafah yang lesu dan berdebu. Mereka datang kesini dari penjuru dunia. Mereka datang memohon rahmat-Ku sekalipun mereka tidak melihatku. Mereka minta perlindungan dari azab-Ku, sekalipun mereka tidak melihat Aku”. Allah sangat memuliakan hari wukuf di Arafah. Hari itu, Allah mendekat sedekat-dekatnya kepada orang-orang yang wukuf di Arafah untuk mendengarkan ungkapan dan keluhan hati mereka, menatap dari dekat wajah dan perilaku mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: “….Ia (Allah) mendekat kepada orang-orang yang di Arafah. Dengan bangga Ia bertanya kepada para malaikat, Apa yang diinginkan oleh orang-orang yang sedang wukuf itu?”.
Pada hari itu, Allah begitu senang sekali jika kita berdoa kepada-Nya. Ia mengabulkan semua doa mereka disana, sebagaimana tersebut dalam hadist yang lain: Sabda Rasullullah SAW: “Diantara berbagai jenis dosa, ada dosa yang tidak akan tertebus kecuali dengan melakukan wukuf di Arafah” (disanadkan oleh Ja’far bin Muhammad sampai kepada Rasulullah SAW). Bahkan Allah murka ketika manusia tidak yakin dosanya diampunkan di Arafah, seperti sabda Rasullullah SAW: “Yang paling besar dosanya diantara manusia adalah seseorang yang berwukuf di Arafah lalu berprasangka bahwa Allah tidak memberinya ampun” (Al Khatib dalam kitab Al-Muttafaq wal Muftaraq) Demikian agung dan mulianya hari Arafah ini, meski wukuf hanya beberapa jam saja. Sungguh sangat penting berdoa di Arafah, disaksikan dari dekat oleh Allah SWT dan dibangga-banggakan-Nya kita di depan para malaikatnya. “Hai malaikat-Ku! Apa balasan (bagi) hamba-Ku ini, ia bertasbih kepada-Ku, ia bertahlil kepada-Ku, ia bertakbir kepada-Ku, ia mengagungkan-Ku, ia mengenali-Ku, ia memuji-Ku, ia berselawat kepada nabi-Ku. Wahai para malaikat-Ku! Saksikanlah, bahwasanya Aku telah mengampuninya, Aku memberi syafaat (bantuan) kepadanya. Jika hambaku memintanya tentu akan Kuberikan untuk semua yang wukuf di Arafah ini.” (Imam al-Ghazali)

Arafah Sebaik-Baik Hari
Wukuf di Arafah ialah rukun haji yang terpenting, tanpanya tidak sah ibadah haji. Arafah iaitu hari yang mana hati secara fitrah mengagungkan Allah SWT, Tuhan semesta alam. Hari Arafah juga sebaik-baik hari yang pernah matahari terbit, hari makrifah, hari pengampunan, hari yang diturunkan rahmat dari Tuhan Pencipta bumi dan langit. “Daku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah; Tiada sekutu bagiNya, dan daku naik saksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan utusanNya; Dan pilihan-Nya dari sekalian makhluk dan kekasih-Nya yang telah memuliakan hari Wuquf di Arafat dan mengagungkan dengan begitu jelas dan terang tentang kemuliaan dan keutamaan hari ini. Ya Allah! Berilah selawat, salam dan keberkatan ke atas penghulu sekalian makhluk dan kekasih Allah dengan salam sebanyak-banyaknya.”
A. Kelebihan Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari pertemuan dan perjumpaan besar antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Menerima Taubat lagi Maha Mengasihani, kerana hari Arafah adalah hari makrifah, hari kebebasan, hari doa, hari kesempurnaan agama dan nikmat dan hari perpisahan. Terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Hari Arafah di antara ialah:

1. Hari Kemuliaan - Di antara kemuliaan hari ini ialah Allah SWT telah bersumpah dengan hari Arafah. Firman Allah SWT:  “Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.” (Surah Al-Buruj: 1-3). Rasulullah SAW bersabda: “Makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu ialah hari Jumaat, dan segala keadaan yang disaksikan ialah hari Arafah, Jumaat adalah yang terbaik daripada Allah kepada kita.” (Ad-Dur al-Mantsur: 8/463 dan At-Tabary). Begitu juga Allah SWT telah bersumpah dengan kebesaran hari mulia ini. FirmanNya:  “Demi waktu Fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Surah Al-Fajr: 1-2). Menurut Abdullah bin Zubair: “Dari 1 Zulhijjah hingga Hari Korban adalah termasuk hari Arafah.” (At-Tabary).

2. Hari Disempurnakan Agama-Nya - Hari Arafah adalah hari yang agung kerana hari ini Allah telah menyempurnakan agama-Nya, dan melengkapkan nikmat-Nya:  “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3).
3. Hari Bulan Suci - Hari Arafah adalah termasuk satu hari dalam bulan-bulan suci di mana Allah SWT berfirman:  “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya).” (Surah At-Taubah: 36). Dalam Islam, Allah telah memuliakan empat bulan dalam satu tahun. Tiga bulan berdekatan dan satu bulan berasingan. Bulan-bulan yang dimaksudkan itu ialah bulan Muharram, Rejab, Zul Qa'idah, dan bulan Zulhijjah. Imam Bukhari ketika menafsirkan ayat ini membawakan suatu hadits, “Dari Abu Bakrah ra dari Nabi SAW, bersabda:  “Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaan ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan diantaranya terdapat empat bulan mulia, tiga bulan berurutan yaitu Dhu al-Qa’dah, Dhu al-Hijjah, Muharram dan Rajab Muḍor yang terletak antara Jumadi dan Sya’ban”

4. Hari Beramal Soleh - Hari Arafah adalah salah satu hari dari hari-hari sepuluh yang dilebihkan untuk melakukan amal soleh seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: “Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah.. Bukan jihad fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid).” (Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn Majah).
5. Hari Pembebasan - Hari Arafah adalah hari pembebasan. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada satu hari pun yang di hari itu Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari ‘Arafah, sebab pada hari itu Dia turun kemudian membangga-banggakan mereka di depan para malaikat seraya berfirman: ‘Apa yang mereka inginkan?’ ” (Sahih Muslim 3275). Hari Arafah adalah hari yang utama di mana Allah Ta’ala membebaskan hamba-hambaNya dari api neraka dan Allah membangga-banggakan orang-orang di Arafah di depan para malaikat.

6. Hari Permohonan Doa - Hari Arafah adalah hari doa dan hari perjumpaan antara hamba yang merdeka dan Tuhannya yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani. Pada hari pengampunan yang agung ini betapa banyak kebimbangan telah dilepaskan, dan berapa kesedihan telah diredakan dan berapa banyak keperluan telah ditunaikan. Oleh sebab itu Rasulullah SAW menggesa supaya membanyakkan berdoa pada hari yang agung ini. Baginda SAW bersabda: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari ‘Arafah. Sebaik-baik ucapan yang pernah aku dan rasul sebelumku ungkapkan ialah tiada tuhan melainkan Allah …”(Riwayat at-Timizi).

B. Pengajaran Daripada Hari Arafah
Terlalu banyak pengajaran hari Arafah yang boleh dipelajari, di antaranya adalah:

1. Hari Peringatan - Pada hari ini mengingatkan kita kepada suatu urusan yang agung dan besar, yang menambahkan keimanan dan menguatkan hubungan dengan Pemilik Agama. Iaitu mengingatkan tentang hari kiamat dan melengkapkan persediaan dan bekalan untuk hari itu kerana pada hari itu perasaan tidak terkata dan nurani tidak tertulis, tetapi hanya dapat dinikmati bagi siapa yang melaksanakannya, seperti mana ada bijak pandai pernah mengatakan: “Siapa yang merasa dia tentu tahu.” Ini adalah hari seumpama hari Perhimpunan terbesar seperti dalam FirmanNya:  “Iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.” (Surah Al-Hud: 103).

Oleh itu, hari Arafah adalah gambaran kecil dari keadaan sebenar hari kiamat. Demi Allah, sekiranya para jemaah haji memerhatikan pemandangan ini dan bagi yang bukan jemaah haji boleh melihat melalui skrin, tentulah akan mengubah keadaan sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dan menjadi hati yang tunduk patuh kepada Tuhan. Semua orang yang menyaksikan pemandangan ini dan perhimpunan orang ramai yang sangat besar di Arafat dan mendengar suara, pekikan dan jeritan, dia akan serta-merta berkata: Maha suci bagi Allah, Maha Suci bagi yang mengetahui bahasa mereka, Maha Suci bagi mampu membezakan suara mereka dan Maha Suci bagi yang tertunai hajat mereka.
2. Rahmat Tanpa Sempadan - Di Arafat terbuka penutup dan pintu syurga. Oleh itu, para jemaah menuju kepada Tuhan dengan hati yang bersih daripada kegelapan syahwat dan hawa nafsu, dan memancarkan cahaya sehingga menerangi dunia dan semua yang ada termasuklah yang sekecil zarah pun. Di Arafah terjunjung semangat kemanusiaan tanpa kenal sempadan, antara tuan dan kuli, tua dan muda, kaya dan miskin, raja dan rakyat, mulia atau keji. Di tempat ini satu pelajaran agung iaitu tentang persamaan, di mana tidak ada orang yang boleh membezakan antara kaya dan miskin, tidak juga di antara yang kuat dan lemah, dan tidak juga di antara berkedudukan dan berpangkat dan tidak berkedudukan dan berpangkat.

3. Menyaksikan Penyatuan Umat - Perhimpunan umat Islam di Arafah pada hari yang mulia ini memberi peluang besar untuk menyaksikan manfaat Haji seperti yang dikehendaki dan disebut oleh Allah SWT: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) Mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka.” (Surah Al-Hajj: 27-28). Manfaat yang paling penting dan menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan kepada umat Islam: Keperluan untuk kerjasama antara negara-negara Arab dan Islam. Perjumpaan di Arafah ini adalah peluang besar untuk menghapuskan jurang dan memikirkan tentang keadaan dunia Islam.

Di antara faktor yang membantu untuk mencapai kerjasama ini tercapai ialah; umat Islam adalah satu umat yang menggunakan bahasa yang satu, sejarah masa lalu yang satu, objektif yang satu, penyakit yang satu. Mereka di Arafat menuju kepada Tuhan yang satu , memakai pakaian yang satu, pada masa yang satu dan dengan laungan yang satu “Labbaikallah humma labbaik, Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik, Innalhamda Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak” (Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu) Semua ini membantu untuk mencapai kerjasama yang membuahkan kemajuan, kemakmuran, kecintaan dan keintiman, dan menggemblingkan tindakan yang memuaskan hati rakyat negara Arab. 

4. Pesanan Terakhir Rasulullah SAW - Inilah hari agung yang mengingatkan kita kepada makhluk yang paling agung yang pernah dijadikan Allah, mengingatkan kita dengan perhimpunan perpisahan di dalam haji Wida’. Tiada masa yang paling hebat dan tiada perhimpunan yang paling indah, melainkan di saat pertemuan antara utusan Allah yang membawa rahmat kepada seluruh alam bersama dengan orang ramai yang khusyuk dan merendak diri di hadapan Allah, Semua mereka memiliki hati yang sedar dan telinga yang mendengar untuk melihat perpisahan dan kata-kata perpisahan, iaitu kata-kata dari Rasulullah SAW yang tidak berkata-kata menurut hawa nafsunya. Seluruh dunia telah mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang telah mengumumkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai hidup. Antara prinsip-prinsip yang paling penting ialah:
Menghormati nyawa, harta dan kehormatan.
Larangan riba.
Keadilan iaitu satu ciri Islam yang utama
Melindungi dan menjaga nyawa.
Larangan mempersendakan agama Allah.
Hak lelaki ke atas wanita, hak wanita ke atas lelaki.
Ikatan utama umat Islam adalah ikatan akidah dan Islam. Ikatan ini yang membawa mereka kepada prinsip persamaan dan kerjasama dalam perlaksanaan undang-undang Islam.

Pada hari ini, Rasulullah SAW merumuskan untuk umat bahkan semua manusia tentang prinsip-prinsip kemanusiaan dan belas kasihan, dan meletakkan mereka kepada asas-asas keamanan dan kedamaian. Antara pesanan lain dari Rasulullah SAW untuk umatnya: Berpegang teguh kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah telah menentukan secara tegas bahawa langkah dan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat Islam ialah untuk merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

5. Pembebasan - Sepatutnya umat Islam, yang berada di Arafat dan lain-lain tempat-tempat suci, terutamanya Rumah Allah, jangan melupakan kiblat pertama umat Islam pertama: Al-Aqsa, yang mesti dikembalikan ke pangkuan umat Islam dan membebaskan dari cengkaman bangsa Yahudi. Ini adalah amanah dan tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah kepada kita pada hari kiamat nanti. Kita memohon agar Allah menjadikan kita pada hari Arafah tergolong orang-orang yang diterima amalnya, orang-orang yang diberikan kemenangan dan orang-orang yang Allah bebaskan dari api neraka.

Penutup

Segala puji bagi Allah, Maha Suci Tuhan yang menerima hamba-hambaNya pada hari Arafah dengan kemurahan hatiNya dan melimpah kurniaNya kepada mereka, kerana memberikan mereka yang terbaik berbanding yang diberikan kepada orang-orang yang meminta lainnya. Allah SWT akan mengampuni segala dosa, menyembunyikan kecacatan dan melepaskan segala kesusahan mereka di akhirat nanti. Wahai para sahabat yang disayangi, bertakarublah kepada Allah SWT dengan ketakwaan sebenarnya:  “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Al-Imran: 102). Dan doa kita yang akhir adalah pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Barakkallahu Fikum…