DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Saturday, July 26, 2014

Cara Terbaik Merawat Hati Yang Sedih

Tiada siapa di antara kita yang mahu merasa kecewa dan terluka. Apatah lagi menjadi lemah akibat daripada permainan perasaan ini. Merasa lemah dan tidak tenang sehinggakan air mata ingin sekali untuk menitis setiap waktu.

Selalunya kekecewaan ni kerap kali berlaku disebabkan ‘CINTA’. Namun ketahuilah, cinta itu ada pasang surutnya dan setiap pertemuan pasti bertemu perpisahan. Namun bukan semua masalah kekecewaan berlaku kerana percintaan dan masalah jodoh. Ada juga yang kecewa mungkin kerana perkara lain. Boleh jadi akibat terluka dengan tindakan ibu bapa. Malah, mungkin juga berkecil hati dengan sikap anak – anak kita.

Pendek kata banyak perkara yang membuatkan hati kita menjadi remuk rendam dan membuatkan kita merasa lemah. Oleh itu, di kongsikan cara terbaik untuk merawat hati yang terluka.
1. Membaca Surah Yassin
Mungkin selama ini kita kurang membaca Al – Quran atau jarang sangat membuka kitab suci ini. Mungkin ini salah satu sebab kita mudah untuk terganggu dan merasa tidak tenang. Oleh itu marilah kita kembali menghidupkan amalan ini. Semasa saya sedang mengalami “keserabutan” dulu, saya mengamalkan membaca surah Yassin setiap kali selesai solat. Alhamdulillah, setiap kali usai membaca Yassin, saya akan merasa tenang. Memang surah ini mempunyai aura yang mampu menenangkan hati. Setelah itu, boleh beransur menambah bacaan dengan membaca surah – surah yang lain. Sangatt menenangkan hati. Bagaimana jika sedang haid? Dengarlah bacaan surah ini melalui mp3, komputer atau pelbagai lagi device yang boleh kita pasang.

2. Solat Sunat Tahajjud
Bangunlah melakukan solat malam iaitu solat sunat Tahajjud. Tujuan solat Tahajjud adalah untuk menguatkan jiwa dan mendapatkan ketenangan dalam menghadapi dugaan hidup. Amalan ini adalah antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Usalli Sunnatal Tahajjud Rak’ataini Lilaahi Ta’ala, Allahu Akbar. (Sahaja aku Solat Sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala)

Pada rakaat pertama bacalah Al-Fatihah Selepas itu surah Al-Kafirun & Rakaat kedua bacalah Al-Fatihah, selepas itu surah Al-Ikhlas. Solat Tahajjud dilakukan tiada had rakaatnya, mengikut kesanggupan dan kemampuan, dengan setiap dua rakaat satu salam. Jika dirasakan berat memadailah sekadar dua rakaat. Selepas itu berdoalah. Berdoalah apa sahaja. Adukan masalah kita terus kepada Allah. Mintalah ketenangan hati.
** tips supaya mudah nak bangun **
- Berwudhuk sebelum tidur
- Baca surah Al Mulk atleast 10 ayat (paling malas la tu..)
- Baca doa tido dan niat dalam hati “Ya Allah, aku memohon kepada Mu supaya bangunkan aku pada waktu paling afdhal untuk berdoa pada Mu“
- Kunci jam

3. Banyakkan Istigfar Dan Berzikir
La haula wala quwwata illa billah (Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Hasbunallaah wa ni’mal wakiil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya Pelindung). - Harus diingat, zikir bukan sahaja di mulut tetapi harus sampai masuk ke hati.
4. Elakkan Mendengar Lagu Bertema Kekecewaan
Ini penting kepada mereka yang baru sahaja mengalami putus cinta / tunang, sila hindari dari suasana yang boleh membuatkan anda sebak. Elakkan mendengar lagu yang bertemakan putus cinta dan kecewa. Kita ingin menenangkan hati, bukan ingin menyesakkan hati kan? Jangan menabur garam diatas luka kerana ianya pedih. Biarlah dahulu luka itu sembuh.
5. Sentiasalah mengingati Allah
Ini yang paling penting sekali. Sentiasa mengingati Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah maha mengetahui dan sentiasa bersama kita walaupun apa pun. Apa yang membuat kita sedih, Allah lebih Maha Kuasa Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita. Yakinlah kesedihan dan rasa tidak tenang yang Allah beri itu adalah agar kita kembali mengingatiNYA. He loves you no matter what
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )

“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” ( QS.At -Taubah : 40 )

Friday, July 18, 2014

Orang Beriman Dilarang Mencemuh dan Merendah-rendahkankan Orang Lain

Biarlah orang kata, "Aku tak suka kau." Maka jawab sajalah, "Bukan semua orang suka dengan saya macam itu juga dengan awak. Tapi saya tetap akan sukakan awak. Kerana awak adalah ciptaan tuhan... Allah suka sebegitu."
Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujuraat: Ayat 11: (Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman seperti yang terdapat pada pangkal ayat “Wahai orang yang beriman…..” Ayat ini menerangkan tentang etika kehidupan orang-orang yang beriman. Etika ini adalah dalam bentuk peringatan daripada Allah SWT kepada orang-orang yang beriman supaya sesuatu kaum yang beriman itu tidak mengolok-olokkan kaum beriman yang lain seperti dinyatakan dalam ayat kedua yang bermaksud,”Janganlah sesuatu kaum mengolok-ngolokkan kaum yang lain.”Ini adalah kerana ada kemungkinan kaum beriman yang diperolok-olokkan itu adalah lebih baik daripada mereka yang memperolok-olokkan itu.

Peringatan ini disampaikan dengan cara yang halus tetapi tepat. Orang yang beriman seharusnya sentiasa muhasabah diri untuk melihat kekurangan pada dirinya. Orang yang tidak beriman sahaja yang boleh menghina orang lain kerana mereka menganggap diri mereka sempurna. Dengan demikian, tidak mungkin orang beriman boleh merendah-rendahkan saudara sesama Islam yang lain. Seterusnya ayat berikut pula yang bermakna,” Dan jangan pula wanita-wanita mengolok-olokkan wanita yang lain; kerana boleh jadi yang diperolok-olokkan itu lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan). Ayat ini mengingatkan pula kaum wanita supaya tidak melakukan perkara yang sama iaitu merendah-rendahkan wanita lain yang beriman. Larangan ini tidaklah terbatas kepada lelaki yang beriman sahaja. Pentafsir menjelaskan lagi keterangan ayat–ayat ini dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi seperti berikut: “Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah manusia.”
Berdasarkan hadis ini mesej yang hendak disampaikan ialah perlakuan memperolok dan merendahkan orang lain itu adalah sikap orang yang sombong. Orang sombong merasa diri mereka sempurna dan tiada cacat celanya. Maka itu mereka tidak akan dapat menyedari kekurangan mereka sedangkan sebenarnya merekalah yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Ayat berikutnya yang bermaksud,” Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri.” Ayat-ayat sebelum ini melarang keras orang beriman mencela orang beriman yang lain sedangkan ayat ini menekankan tentang pencelaan diri sendiri yang juga turut dilarang. Mengikut pentafsir perbuatan mencela dan mengaibkan orang lain itu akan mengakibatkan orang yang dicela dan diaibkan itu mencela dan mendedahkan keaiban mereka yang mencela pula sebagai tindak balas. Maka perbuatan mengaibkan orang lain itu samalah seperti mengaibkan diri sendiri.

Pentafsir seterusnya menjelaskan pula balasan bagi golongan ini dengan ayat al-Quran berikut: “Neraka wailun buat setiap orang yang suka mencedera orang dan mencela orang.” ( Surah 104. Al-Humazah : 1). Humazah diertikan sebagai mencedera iaitu memukul dengan tangan sedangkan Lumazah pula membawa makna mencela, iaitu degan mulut. Humazah juga diertikan dengan sikap hidup yang tidak senang diam kerana sibuk menjaga tepi kain orang . Jika umpatan dan celaan itu ternyata fitnah dan tidak benar maka mereka tergolong orang yang fasiq seperti dalam ayat 6 sbelum ini. Ayat seterusnya juga berkaitan dengan celaan iaitu memanggil orang lain dengan nama yang buruk seperti terjemahan berikut: “Dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar yang buruk.”

Pentafsir memberi contoh mengenai kebiasaan orang Arab Jahiliyyah yang gemar memberi gelaran kepada seseorang mengikut perangai orang tersebut seperti gelaran yang diberikan kepada Zaid yang gemar kepada kuda kenderaan yang indah. Maka Zaid digelar Zaid Al Khail iaitu Zaid Kuda. Nabi SAW menukarnya kepada Zaid Al-Khair iaitu Zaid Baik!. Nabi SAW menyarankan kepada orang-orang jahilliyah supaya menukar nama kepada gelaran yang baik setelah mereka beriman. Dalam konteks masa kini, pentafsir memberi contoh keadaan yang sama iaitu apabila seorang kafir itu memeluk Islam ada baiknya ia menukar namanya kepada nama yang baik, walaupun tidak wajib. Pentafsir juga telah memberikan contoh panjang lebar mengenai masyarakat Islam Indonesia yang gemar memberi gelaran nama yang tidak baik dan mengaibkan. Contoh-contoh yang diberikan adalah lebih kurang sama dengan apa yang terjadi dalam masyarakat Islam Melayu di Malaysia.
Ayat 11 ini diakhiri dengan ayat yang bererti: “Dan barangsiapa yang tidak taubat, maka itulah orang-orang yang aniaya.”Penggantian nama yang buruk ketika fasiq kepada yang baik setelah beriman adalah petanda baik sejak awal lagi. Pentafsir turut memberi satu contoh iaitu tuntutan berkhitan atau bersunat bagi orang yang baru masuk Islam, walaupun ia tidak wajib. Namun dengan bersunat itu dia telah mengikuti sunnah semua Rasul sebagai ujian permulaan menerima Islam. Orang beriman yang telah fasiq diingatkan supaya bertaubat. Ini adalah jalan penyelesaian bagi mereka kerana Allah SWT itu Maha Mengasihanidan Maha Penerima Taubat. Orang yang enggan bertaubat diingatkan pula bahawa mereka akan menganiaya diri mereka sendiri.

Asbabun Nuzul surah al-Hujurat ayat 11
Abu Jubair Ibnu Dhahak r.a menegaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang yang dipanggil dengan nama tertentu, agar orang itu tidak senang dengan panggilan itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi – Hadis hasan sahih) Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupamu dan harta kekayaanmu, akan tetapi Ia memandang kepada hatimu dan perbuatanmu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis ini mengandung isyarat bahawa seorang hamba Allah jangan memastikan kebaikan atau keburukan seseorang semata-mata kerana melihat kepada amal perbuatannya saja, sebab ada kemungkinan seorang nampak mengerjakan amal kebaikan, padahal Allah SWT melihat di dalam hatinya ada sifat yang tercela, dan sebaliknya pula mungkin ada seorang yang kelihatan melakukan suatu yang nampak buruk, akan tetapi Allah SWT melihat dalam hatinya ada rasa penyesalan yang besar yang mendorong kepadanya bertaubat dari dosanya. Maka amal perbuatan yang nampak di luar itu, hanya merupakan tanda-tanda saja yang menimbukan sangkaan yang kuat, tetapi belum sampai ke tingkat meyakinkan. Maka Allah SWT melarang orang-orang mukmin memanggil orang dengan panggilan-panggilan yang buruk setelah mereka beriman.

Ketika Rasulullah SWT tiba di Madinah, maka orang-orang Ansar banyak mempunyai nama lebih dari satu, dan jika mereka dipanggil oleh sahabat mereka, kadang-kadang dipanggil dengan nama yang tidak disukainya, dan setelah hal itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW maka turunlah ayat ini. Ibnu Jarir meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini, beliau menerangkan bahawa ada seorang laki-laki yang pernah di masa mudanya mengerjakan suatu yang buruk, lalu ia bertaubat dari dosanya, maka Allah SWT melarang siapa saja yang menyebut-nyebut lagi keburukannya di masa yang lalu, kerana hal itu dapat membangkitkan perasaan yang tidak baik, membangkit-bangkit kefasikan setelah beriman. Itu sebabnya Allah melarang panggilan-panggilan dengan gelar-gelar yang buruk itu.

Adapun gelar-gelar yang mengandung penghormatan, itu tidak dilarang seperti sebutan kepada Abu Bakar dengan As Siddiq, kepada Umar dengan Faruq, kepada Usman dengan sebutan Zun Nurain dan kepada Ali dengan Abu Turab dan kepada Khalid bin Walid dengan sebutan Saifullah (pedang Allah). Panggilan yang buruk dilarang diucapkan sesudah orangnya beriman kerana gelaran-gelaran buruk itu mengingatkan kepada kederhakaan dimasa lalu yang sekarang tidak seharusnya diberikan kepada orang yang telah beriman. Barang siapa tidak bertaubat, bahkan terus pula memanggil-manggil dengan gelar-gelar yang buruk itu, maka mereka itu dicap oleh Allah SWT sebagai orang-orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri dan pasti akan menerima balasan berupa azab dari Allah SWT pada hari akhirat.

Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam kitab tafsir Fizilal Quran menafsirkan surah al-Hujurat ayat 11 menyatakan: “Masyarakat gemilang yang ditegakkan Islam dengan bimbingan al-Quran itu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai adab sopan yang tinggi. Setiap warganegaranya mempunyai kehormatan yang tidak boleh disentuh kerana kehormatannya merupakan sebahagian dari kehormatan masyarakat. Perbuatan mengaitkan mana-mana warganegara bererti mengaibkan diri sendiri kerana masyarakat itu merupakan satu kesatuan yang mempunyai satu kehormatan.Didalam ayat ini al-Quran menyeru orang-orang mukmin dengan seruan yang mesra: “Wahai orang-orang yang beriman”. Dan melarang mereka supaya jangan ada lelaki yang menghinakan kaum lelaki yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka, dan jangan ada kaum wanita yang menghina kaum wanita yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihinakan itu lebih baik dari mereka mengikut pertimbangan neraca Allah SWT.

Ungkapan ayat ini mengandungi satu saranan yang halus bahawa nilai-nilai lahir yang dilihat kaum lelaki dan kaum wanita pada diri mereka itu bukanlah nilai-nilai hakiki yang dapat digunakan untuk mengukur manusia. Di sana ada nilai-nilai lain yang mungkin tersembunyi kepada mereka, iaitu nilai-nilai yang diketahui Allah dan yang digunakan untuk mengukur manusia. Kadangkala lelaki yang kaya menghinakan lelaki yang miskin, lelaki yang kuat menghina lelaki yang lemah, lelaki yang biasa menghina lelaki yang luar biasa, lelaki yang cerdik meghina lelaki yang bodoh, lelaki yang banyak anak menghina lelaki yang mandul, lelaki yang ada ibu bapa menghina lelaki yang yatim piatu. Kadangkala perempuan yang cantik menghinakan perempuan yang hodoh, perempuan yang muda menghinakan perempuan yang tua, perempuan yang tidak cacat menghinakan perempuan yang cacat dan perempuan yang kaya menghinakan perempuan yang miskin. Tetapi semua nilai-nilai ini dan sebagainya adalah dari nilai-nilai bumi yang tidak boleh dijadikan ukuran-ukuran kerana pertimbangan neraca Allah yang mengangkat dan menjatuhkan seseorang itu bukanlah didasarkan di atas nilai-nilai seperti itu.Tetapi al-Quran tidak hanya berpada pada saranan yang halus itu malah ia membangkitkan sentimen persaudaraan keimanan dan mengingatkan orang-orang yang beriman bahawa mereka semua adalah ibarat satu diri sahaja dan barang siapa yang mencela orang lain bererti mencela diri sendiri.
“Dan janganlah kamu mengaibkan diri kamu sendiri” Kata-kata “talmizu” (mengaibkan) itu sendiri mempunyai satu nada dan bayangan tertentu. Ia seolah-olah merupakan satu tikaman fizikal bukannya keaiban mental. Di antara perbuatan-perbuatan yang menghina dan mengaibkan ialah perbuatan memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk yang tidak disukai oleh seseorang, iaitu gelaran-gelaran yang dirasakan menghina dan mengaibkan. Di antara kewajipan mukmin terhadap mukmin yang lain ialah tidak memanggilnya dengan apa sahaja gelaran yang tidak disukainya dan dirasakan terhina. Rasulullah SAW telah mengubahkan berbagai-bagai nama dan gelaran-gelaran orang Islam yang dipakai dizaman jahiliah kerana nama-nama dan gelaran-gelaran itu menurut perasaan baginda yang halus dan hati baginda yang luhur adalah menghinakan tuan-tuan tubuh yang memakainya atau kerana nama-nama dan gelaran itu memberi sifat-sifat yang buruk kepada mereka.”

Rujukan:
Tafsir Al-Azhar HAMKA
Tafsir Fi Zilalil Quran SYED QUTB


Sunday, July 6, 2014

Tanda Allah SWT Cinta dan Benci Pada HambaNya

Tanda-tanda Allah cinta pada hambaNya
Allah SWT berfirman mafhumnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah aku, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang,” [Surah Aali-lmran: 31]. Apa lagi yang lebih berharga dan lebih penting dari mendapat cinta dari Allah SWT Pencipta sekalian makhluk. Jika sudah mendapat cinta Allah, maka insyaAllah akan berbahagialah hidup di dunia dan juga di akhirat.
Di antara tanda-tanda Allah cinta pada hambaNya;

1 - Faham agama
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah mencintai seseorang maka Dia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadits Riwayat al-Bukhari dan Muslim] "....... Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan." [Surah Al-Mujadilah: ayat 11]

2 - Sabar dan redha dengan ujian-ujian dari Allah
"Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun" Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." [Surah Al-Baqarah: 155-157]"Sesungguhnya besarnya pahala sebanding dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum pasti Dia menguji mereka. Maka siapa yang redha (terhadapnya) maka baginya keredhaan Allah, dan siapa yang marah (terhadapnya) maka baginya kemurkaan Allah." [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

"Tidaklah seorang mukmin dan mukminah tertimpa musibah pada dirinya, anaknya dan hartanya sehingga dia berjumpa Allah SWT tidak membawa satu kesalahan pun." [Hadits Riwayat Al-Tirmidzi. Beliau berkata: hadits hasan shahih] [1]. "Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat." [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]. Oleh itu antara tanda Allah mencintai seorang hamba juga ialah Dia uji hamba itu dengan pelbagai ujian. Maka jika hamba itu bersabar dan redha, itulah tandanya Allah cintakan hamba tersebut. Dan ketahuilah, para rasul dan nabi lah yang paling berat menerima ujian dan musibah dari Allah SWT. Kerana itulah darjat mereka tinggi, dan menjadi teladan kepada seluruh manusia dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar ini.
3 - Cinta mencintai kerana Allah
Allah SWT berfirman, “pasti akan mendapat cinta-Ku orang-orang yangcinta-mencintai kerana Aku, saling kunjung mengunjungi kerana Aku dan saling memberi kerana Aku.”[Hadits Qudsi]. Semoga kita tidak menjadi orang yang cintakan manusia lain kerana nafsu syahwat, harta-benda dan keduniaan semata-mata. Cinta yang paling utama ialah cinta kepada Allah SWT, kemudian kepada Rasulullah SAW, ibu bapa dan barulah manusia-manusia lain.

4 - Berakhir hidup dengan husnul khatimah
Rasulullah SAW bersabda: "Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.". Sahabat bertanya: "Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?" Baginda berkata: "Dia akan memberinya petunjuk untuk melakukan kebaikan ketika menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredhainya (atau ia berkata) orang sekelilingnya." [Hadits Riwayat Al-Hakim]

5 - Sentiasa berzikir pada Allah
Diriwayatkan bahawa Nabi Musa 'Alaihi salam pernah berkata, " Wahai Rabb Ku Yang Maha Mulia, Bagaimana aku dapat membezakan antara orang yang ENGKAU CINTAI dengan orang yang ENGKAU BENCI?" Allah SWT berfirman: "Wahai Musa, Sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya" Nabi Musa bertanya, "Wahai Rabb, apa kedua tanda itu?" Allah SWT berfirman: "Aku akan mengilhamkannya agar dia berdzikir kepada Ku, agar aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murka Ku, agar dia tidak terjerumus dalam azab dan siksaKu."

Tanda-tanda Allah benci pada hambaNya

1 - Lupa dan malas berzikir pada Allah
"Wahai Musa, jika Aku membenci seorang hamba, Aku jadikan juga dua tanda kepadanya". Nabi Musa Alaihisalam : "Wahai RabbKu, apa kedua tanda itu?" Allah SWT berfirman: "Aku akan melupakannya berdzikir kepada Ku, Aku akan melepaskan ikatan antara dirinya dan jiwanya, agar dia terjerumus dalam lautan Murka Ku dan merasakan azab pedihKu." [2]

2 - Syirik kepada Allah SWT: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar." [Surah An Nisa’ : 48]

3 - Hidup senang-lenang tanpa mendapat ujian berat yang membolehkannya menginsafi diri dan takut pada Allah.
"Kalau Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya, maka akan disegerakan hukumannya di dunia, kalau mengkehendaki kepada hambaNya keburukan, maka ditahan (siksanya) kerana dosanya sampai penuh nanti di hari kiamat." [Hadits Riwayat Tirmizi, 2396]

4 - Banyak melakukan maksiat dan kerosakan, terutamanya maksiat dan perkara-perkara mungkar yang terang-terang tanpa malu dan segan.
"Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat." [Surah Al Baqarah: ayat 205] "Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa." [Surah An Nisaa’ : ayat 107] ".......dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya, sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya." [Surah al-Hajj : ayat 18]
5 - Cinta kepada dunia dan hawa nafsu lebih daripada cinta kepada Allah dan RasulNya.
"Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq." [Suraah At Taubah : Ayat 24]

"Tidak (sempurna) iman seorang daripada kamu sehingga aku (Muhammad) lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain." [Hadits riwayat Bukhari] "Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkan dirinya padahal dia berilmu…" [Surah Al Jatsiyah: ayat 23]

6 - Orang yang sombong (takabbur).
".......Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur dan membangga-banggakan diri." [Surah An-Nisaa': ayat 36] "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri." [Surah Luqman: ayat 18] "Mahukah kamu aku beritahu tentang penduduk neraka? Mereka semua adalah orang-orang keras lagi kasar, tamak lagi rakus, dan takabbur (sombong)." [HR Bukhari no. 4918 dan Muslim no. 2853] "Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi." Ada seseorang yang bertanya, "Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan selipar yang bagus?" Beliau SAW menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain." [HR Muslim no. 91]

Imam Adz-Dzahabi rahimahullahu berkata, "Kesombongan yang paling buruk adalah orang yang menyombongkan diri di hadapan manusia dengan ilmunya, merasa dirinya besar dengan kemuliaan yang dia miliki. Bagi orang tersebut tidak bermanfaat ilmunya untuk dirinya. Barangsiapa yang menuntut ilmu demi akhirat maka ilmunya itu akan menimbulkan hati yang khusyu' serta jiwa yang tenang. Dia akan terus mengawasi dirinya dan tidak bosan untuk terus memerhatikannya, bahkan setiap saat dia selalu introspeksi dan meluruskannya. Apabila dia lalai dari hal itu, dia akan menyimpang dari jalan yang lurus dan akan binasa. Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk membanggakan diri dan meraih kedudukan, memandang remeh kaum muslimin yang lainnya serta membodoh-bodoh dan merendahkan mereka, maka hal ini merupakan kesombongan yang paling besar. Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar dzarrah (biji sawi). Laa haula wa laa quwwata illaa billah." [3]

7 - Orang yang tidak tenang dan sentiasa resah-gelisah kerana dunia.
".......dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." [Surah al-An'aam : ayat 125]
8 - Orang yang menentang ajaran Islam.
Umar ibnu al-Khattab r.a berkata, "Kita dimuliakan Allah dengan Islam dan barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dari Islam, maka dia akan dihinakan." [Ibnu Abdil Birr dalam kitab Al-Mujalasah wa Jawahiril Ilmi, juz II, hlm 273] "Dan tidaklah layak bagi orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah SWT dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa dia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata." [Surah al-Ahzab: ayat 36]

“Danhendaklah engkau menjalankan hokum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq." [Surah Al-Ma’idah : ayat 49]

Rujukan:
1 - Badrul Tamam - Sakit; Tanda Cinta Allah Kepada Hamba
2 - Syaikh 'Abd al-Hamid  ibn Abd Al-Rahman Al-Anquri - Buku 40 Nasihat Langit
3 - Al-Kabaa’ir ma’a Syarh li Ibni al ‘Utsaimin hal. 75-76. Dari tulisan Abu ‘Athifah 

Friday, July 4, 2014

Cemburu dan Cara Mengatasinya

Cemburu Pertama Dalam Sejarah Manusia
Cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka.

Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan 2 orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.

7 Petua Mengatasi Sifat Cemburu
1) Daripada 2 kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil ini.

2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada 2 jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW dari kitab Sahih Muslim ini: Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia.

3) Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan. Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi?

Imam Maulud, seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, di samping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.

5) Dalam 3 senario di atas, saya ada sentuh tentang bab kahwin. Saya jadikan isu kahwin ini agak spesifik memandangkan saya kenal dan tahu beberapa orang kawan saya, dan kebanyakkan adalah perempuan yang mengeluh kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mereka agak depress. Berkahwin memang seronok. Siapa tidak suka kahwin. Tetapi menjadikan perkahwinan sebagai alasan untuk memberikan kebahagian hidup agak kurang tepat. Pasangan berkahwin yang kelihatan gembira mungkin kerana sejak zaman bujang lagi mereka sudah memiliki gaya hidup yang ceria. Tapi apa akan jadi jika Lelaki A yang pesimis berkahwin dengan Wanita B yang bersifat sangat cemburu buta. Anda fikir dengan perkahwinan itu, Lelaki A dan Wanita B itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan hidup?

Perkahwinan hanya satu keindahan yang sementara. Jika ia tidak disulami dengan tanggungjawab, perkahwinan adalah satu bala. Terangkan kepada saya mengapa Britney Spears bercerai dengan suami pertamanya, iaitu Jason Allen Alexander setelah mereka sah menjadi suami isteri selama 55 jam sahaja? Saya juga ada seorang rakan (Melayu) yang menceritakan kisah sedih rakannya (Melayu) yang diceraikan suaminya setelah 1 tahun berumahtangga. Mengapa ini berlaku? Tiada kebahagiaan!

Maka, perkahwinan bukan tiket mutlak kebahagiaan hidup. Ketahuilah bahawa sebahagian dari kegembiraan itu terletak pada redha Allah ke atas manusia dan sebahagian lagi terletak pada cara seseorang itu berfikir. Kepada yang masih belum berkahwin, bawa-bawa bersabar. Bak kata senior saya, let's chill and relax... Jangan cemburu kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dan anak dara. Bila sampai masa yang ditetapkan Allah, anda pasti akan mendapatnya. Ini konsep tawakal dalam Islam. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Cuba aplikasikan konsep Taburan Normal dalam ilmu statistik untuk lebih memahami masalah ini.

6) Apa yang mereka ada tidak semestinya diberkati Allah. Kadang-kadang rezeki yang Allah beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata. Rasullulah bersabda: “Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah.” (Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi). Istidraj adalah nikmat yang Allah berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

Jiran anda di sebelah rumah yang selalu pergi clubbing dan tuang arak dalam perut, tetapi kereta mewah ada 2-3 biji, menjawat pula title CEO di sebuah syarikat besar, maka ketahuilah bahawa rezeki yang mereka terima itu berkemungkinan besar adalah istidraj. Oleh itu, jika anda patuh dan taat pada segala-perintah Allah, melakukan solat tahajjud setiap malam, tetapi rezeki masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing, maka janganlah terlalu risau. Rezeki sikit atau banyak adalah ujian dari Allah.

Jangan sangka dengan duit berkepok-kepok di bawah bantal akan membuatkan kita gembira. Kita gembira kerana Allah yang kasi kita gembira. Jika anda ada buku Ayah Kaya, Ayah Miskin, cuba selak semula bahagian awal buku itu, yang mana Robert Kiyosaki ada menceritakan kisah beberapa orang ternama yang kaya-raya waktu itu, akhirnya menerima kesudahan hidup yang menyedihkan setelah berlakunya peristiwa Great Depression. Lihat, semudah itu sahaja Allah mahu tarik kekayaan seseorang.

7) Akhir sekali, cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita ada. Jika anda menyimpan makanan dalam peti sejuk, dan menyimpan baju di dalam almari, dan ada katil sebagai tempat tidur, dan memiliki sebuah rumah... Maka anda sudah jadi lebih kaya dari 75% penduduk bumi yang lain!


Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Jangan apabila ia sudah pergi baru kita mahu bersyukur dan menangis kerana manusia selalunya begitu. Hargai sekecil-kecil nikmat Allah. Insya-Allah.