DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, May 30, 2013

Interaksi Dengan Remaja

Pernahkah kita terfikir mengapa sebahagian anak remaja lebih senang bersama teman dan rakan sebaya mereka daripada bersama keluarga di rumah? Terdapat banyak kemungkinan yang mengakibatkan situasi ini berlaku. Antaranya anak remaja mendapat sesuatu di luar daripada teman yang tidak mereka dapati di rumah, atau mungkin juga mereka lebih rasa difahami dan dihormati kerana dilayan oleh rakan sebaya sebagai seorang dewasa, tidak dibentak jika mereka melakukan kesilapan, malah mereka bebas menyuarakan ketidakpuasan pada sebarang perkara.
Timbul persoalan di sini, bagaimana dapat para ibu bapa cuba memahami anak-anak remaja mereka? Juga bagaimana para ibu bapa dapat menyesuaikan diri mereka apabila anak-anak semakin meningkat usia remaja?Beberapa pendekatan boleh cuba dilakukan oleh para ibu bapa apabila berinteraksi dengan anak-anak apabila mereka sudah meningkat usia remaja. Berikut dikongsi bersama beberapa panduan. Antaranya:

1. Luangkan Masa.
Dengan keadaan bapa atau kedua ibu bapa yang bekerja, masa bersama dengan anak-anak pastinya amat terhad. Maka terpulang kepada kebijaksanaan ibu atau bapa dalam memanfaatkan masa bersama dengan anak-anak. Mungkin kita hanya mempunyai satu jam sahaja dalam sehari bersama dengan keluarga kerana kesibukan kerja atau tuntutan mencari nafkah, namun jika dimanfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya, maka itu adalah lebih baik daripada mempunyai masa berejam-jam di rumah tetapi tidak dimanfaatkan bersama. Banyak aktiviti sebenarnya yang boleh dilakukan bersama keluarga seperti menonton TV dan DVD yang diminati. Ingatlah, yang penting bukan berapa lama masa kita berada di rumah, tetapi berapa banyak masa yang berkualiti dihabiskan bersama dengan keluarga.

2. Sentuhan.
Rata-rata kita akan dapati anak-anak ketika masih kecil biasanya akan kerap dibelai dan dicium. Namun keadaan ini kadangkala tidak berterusan apabila anak meningkat usia remaja. Tidakkah pernah kita terfikir bagaimana sentuhan tersebut mampu memberikan kesan mendalam yang tidak terhingga, sehingga boleh membuatkan diri mereka rasa dihargai dan disayangi oleh ibu bapa? Jika amalan ini sudah lama terhenti, maka mulakanlah dengan sentuhan mudah atau tepukan mesra di bahu anak setiap kali bersua atau berjumpa. Bagi para ibu bapa yang sudah biasa mengamalkan sentuhan atau ciuman mesra pada diri anak. Teruskanlah tabiat baik ini sehingga mereka dewasa, pasti ianya bakal mengeratkan hubungan mesra yang sudah terjalin.
3. Pujian
Katakan jika suatu hari anda ingin berkongsi kegembiraan bersama isteri tercinta tentang kejayaan anda, tetapi si isteri mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja. Apakah perasaan anda? Pastinya sedikit sebanyak kita akan merasa sedih dan hampa. Begitulah juga dengan anak-anak, mereka perlu dipuji apabila berjaya melakukan sesuatu, sebagaimana mereka juga perlu ditegur atau dimarahi apabila melakukan satu kesilapan. Secara semulajadinya pujian tersebut akan membuatkan anak-anak merasa gembira dan rasa diri dihargai, selain mengeratkan perhubungan dan menambahkan perasaan kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

4. Teguran
Dalam memberi nasihat atau peringatan pada anak, pastikan masanya adalah bersesuaian. Ini bermakna tidak ketika anak baru pulang, sedang lapar atau anak masih dalam keletihan. Sebaiknya juga elakkan seberapa mampu daripada meleter atau melakukan sindiran kepada anak-anak, elakkan juga daripada mengungkit kesilapan lama. Bayangkan, jika kita sendiri disindir dan dileteri oleh majikan atau isteri/suami. Pastinya kita akan merasa bingit, walaupun apa yang dikatakan adalah benar dan ia berpunca daripada kesilapan diri kita. Kita juga perlu bertanya pada diri kita, adakah leteran dan bebelan kita memberikan kesan dan perubahan positif pada diri anak? Jika jawapannya tidak, maka ini bermakna ia perlu dihentikan. Apa yang penting ialah teguran kita walaupun singkat, tetapi mesejnya sampai kepada pemikiran anak.

5. Hadiah.
Pernahkah kita memberikan sebarang hadiah kepada anak-anak bersempena hari ulang tahun mereka atau hari-hari yang mempunyai ’significant’ pada diri mereka? Hadiah walau sekecil dan semurah manapun mempunyai kesan yang cukup mendalam pada diri individu. Ia akan membuat diri rasa diingati dan dihargai dan menambahkan jalinan kasih sayang antara kita dan anak. Malah, jika disampaikan dalam bentuk kejutan (surprise), maka ia akan menjadi lebih bermakna. Sebenarnya bukan nilai hadiah tersebut yang menjadi ukuran, tetapi ingatan mendalam dari hati yang suci itulah yang memberikan kesan kepada si penerima, yang seterusnya menimbulkan perasaan kasih sayang kepada si pemberi yang mana akhirnya keduanya semakin saling menyayangi antara satu sama lain. Tidakkah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: ”Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan berkasih sayang.” [Adab Al-Mufrad]
6. Contoh
Penting bagi kedua ibu bapa memberikan contoh yang terbaik agar ia menjadi ikutan dan panduan buat anak. Perbaikilah diri kita dahulu sebelum anak-anak ditegur dan dinasihati. Janganlah jadi seperti bak kata pepatah ’Bapak borek anak rintik’ atau seperti ’Ketam yang ingin mengajar anak berjalan lurus’. Bagaimana dapat kita tegur anak untuk tidak menghisap rokok kerana membazir dan merosakkan kesihatan, atau kita tegur mereka agar jangan bersikap kasar dan menggunakan kata-kata kesat, jika kita sendiri melakukan perkara yang sama?

7. Tren Semasa.
Memandangkan tahap umur yang berbeza antara anak dan ibu bapa, sering ibu bapa kehilangan arah untuk mencari topik perbualan yang boleh diperbualkan dengan anak. Jika anak baru berusia 15 tahun dan tidak minat perkembangan isu semasa, Adakah satu perkara yang bijak jika kita berbicara tentang isu politik tanahair atau isu Gaza di Palestin? Hmmph, boleh pengsan anak kita dibuatnya! Sebagai orang dewasa menjadi satu kelebihan jika kita mengambil tahu juga perkembangan sukan, dunia muzik, filem, fesyen terkini dan sebagainya. Ini dapat membantu kita terus kekal dalam gelombang arus anak-anak remaja kita dan membantu untuk lebih mudah berinteraksi dengan mereka. Sebagai contoh sekarang ini sedang hangat dengan budaya K-Pop, klip video ’Gangnam Style oleh Psy’ atau yang paling terkini klip video parodi ’Harlem Shake’, kita boleh mengambil kesempatan untuk menambat hati anak dengan berbicara tentang isu video ini,  ini secara tidak langsung menunjukkan kita arif dengan trend masakini, dan apabila kepercayaan sudah mampu diraih, kita dapat menggunakan kesempatan ini secara sedikit demi sedikit untuk menegur dan menyampaikan nilai-nilai murni yang seharusnya disemai dalam diri anak-anak. Oleh itu penting untuk kita tidak hanya membelek halaman muka surat tertentu sahaja dalam akhbar harian, tetapi juga dalam ruangan hiburan, fesyen, sukan dan teknologi digital.

8. Alam Maya.
Dalam era teknologi yang semakin pesat, si anak lebih gemar berahsia dan memendam rasa melalui alam maya. Kalau tidak percaya, cubalah ke ruang media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram mereka. Di mana kita akan dapat mengetahui status terkini mereka sama ada gembira, sedih atau segala apa sahaja yang ingin mereka luahkan. Kita juga dapat mengenal teman-teman yang sebelum ini sering mereka rahsiakan. Selain itu, melalui komen-komen di tembok atau wall Facebook mereka (jika ada) dapat diketahui dengan lebih mendalam peribadi anak. Malah anda juga dapat mengetahui luahan hati mereka, jika anak anda mempunyai laman blog peribadi.

Namun, usahlah wadah ini dijadikan sebagai satu ruang untuk meyiasat dan memarahi, ini akan membuatkan hubungan kita menjadi semakin renggang dengan anak, dan mungkin selepas itu laman tersebut bakal bertukar menjadi status ’private’ dan tidak dapat ditatapi lagi. Tetapi, jadikanlah ia sebagai satu ruang untuk kita lebih mengenali dan memahami diri mereka dan merapatkan jurang antara kita. Berikanlah komen pada status di laman Facebook atau di wall mereka. Juga komentar terhadap foto mereka. Ini dapat dilakukan dengan membuka akaun sosial media anda sendiri (jika belum) dan seterusnya menjadi ’sahabat’ maya anak anda, luahkan pula harapan dan perasaan anda pada diri dan keluarga, mana tahu anak anda pula yang akan berikan komentar pada status anda pula?
9. Solat berjemaah
Tiada cara yang lebih baik dari mengeratkan hubungan bersama keluarga selain dari melakukan solat bersama-sama. Solat yang dilakukan secara bersama-sama memberikan faedah yang bukan kepalang kepada hubungan antara keluarga, ini kerana secara tidak langsung dapat memperteguhkan dan menyatukan diri kita dalam satu barisan, melatih diri untuk taat kepada keperluan umum dengan mengikut imam dalam menuju kepada matlamat yang satu serta kepada perkara-perkara yang diredhai Allah. Jika ianya tidak mendapat sambutan daripada anak remaja, maka teruskanlah dengan isteri dan si kecil, semoga amalan ini lambat laun akan dituruti oleh anak remaja kita.

10. Doa
Selepas apa yang kita lakukan dan usahakan, usahlah lupa untuk terus berdoa kepada Allah. Tiada permintaan yang lebih mustajab selain daripada doa kedua orang tua sendiri khususnya doa ibu. Apa yang penting kita perlu terus mencuba dan tidak berputus asa, hasilnya dengan izin Allah akan hadir jua pada masa akan datang. Mungkin perubahan tidak berlaku sekarang, tetapi siapa tahu apabila mereka meningkat dewasa dan dengan pertambahan usia, kematangan akan hadir jua dengan berkat kasih sayang ibu dan bapa, perubahan akan berlaku akhirnya dan mereka bakal menjadi anak yang soleh serta solehah dan bertakwa

Pintalah pada Allah pada setiap solat kita, “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami agar beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” [Al-Furqaan: 74]

Dari Majallah AlUstad

Tuesday, May 28, 2013

Solat Itu Tiang Agama, Dirikan Kehidupan Kita Melalui Solat Yang Betul

Apa itu solat ?
1 Selepas persoalan iman(syahadah),solat merupakan perkara yang kedua penting dalam kehidupan seorang muslim. Ia merupakan Rukun islam. Diakhirat kelak soalan pertama yang akan ditanya ialah tentang solat.
2 Ibadah solat telah diwahyukan terus kepada Rasulullah SAW berbeza dengan perintah perintah lain yang disampaikan melalui jibrail. Itu istimewa nya solat, Allah SWT turun kepada hambanya.
Masyarakat Malaysia dengan Solatnya.
Solat satu ibadah yang sangat mudah dibuat, ia tidak perlu duit hanya masa yang sekejap (5-10 min) tapi perlu dilakukan 5 kali sehari . Tapi masih ramai orang islam diMalaysia tidak solat (80 %) dan 20 % daripada mereka solat "part time" dan yang benar benar tidak tinggal solat mungkin 5 % sahaja. Golongan yang selalu solat dimasjid mungkin 1 % sahaja. Angka yang sangat mengejutkan kita! Jika 20 % yang solat berapa peratus pula yang boleh melakukan secara khusyuk dan berapa peratus pula sah solatnya ? Jika bacaan Al fatihah tidak betul maka tidak sah solatnya! Jika wudhu nya tidak betul maka sia sia solatnya. Kalau kita muhasabah diri kita sejak kita mula solat sampai sekarang, rasanya kita patut menyesal dan sedih kerana tidak berusaha untuk menyempurnakan solat kita. Lagi sedihnya ibubapa dimalaysia ini jika anak tidak solat atau solat kadang kadang, tidak pun tegur atau marah ,tapi jika tidak cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM melentinglah si ibubapa dengan macam macam kalimah keras dikeluarkan kepada si anak. Mereka (ibubapa sanggup habis ribuan ringgit untuk cemerlang anak dalam exam tapi tidak sanggup mengeluarkan duit hantar anak kelas fardu ain supaya pandai baca quran,solat dengan betul. Akibatnya mereka (sianak) berjaya lah dalam kehidupan dunia tapi gagal diakhirat destinasi kita yang sebenar.

Kenapa Solat Sangat Sangat Penting?
Solat merupakan satu ibadat yang sangat penting kerana ia melibatkan HATI kita dengan Allah SWT. ("Dirikan solat untuk mengingati KU"). Ibadah lain Allah suruh kita laku sekali setahun (puasa wajib), ibadah haji (jika mampu), Zakat (jika cukup nisab dan haulnya). Tapi solat setiap hari 5 kali sehari. Ia seolah olah bekalan sepanjang perjalanan kita didunia dan ia umpama "talian Hayat" kepada jiwa kita. Kalau kita hendak tahu Allah bercakap dengan kita, bacalah Alquran kerana ia wahyu dari langit, tapi jika kita hendak bercakap dengan Allah solatlah perantaraan nya. Dalam solat itu mengandungi pujian kepada Allah, selawat kepada Rasulullah, doa, syukur untuk kita, doa untuk muslimin dan muslimat. Malah untuk berjaya cemerlang pun ada disebutkan sebanyak 10 kali sehari dalam seruan azan (sebelum solat) ia itu "haiya alal falah" - mari menuju kemenangan). Rupa rupanya Allah suruh kita menjadi orang yang berjaya dunia dan akhirat melalui solat! ada kah kita perasan semuanya ini? Mungkin kita tahu tapi kita tidak sedar betapa tingginya kedudukan solat ini. Atau sedar buat buat tidak tahu. Dalam solat pun ada juga "kompas" kehidupan. Kompas ini bukan untuk menentukan arah kaabah tapi kompas untuk minta "jalan yang lurus" atau hidayah ,sebab itu Allah minta kita baca nya surah Al Fatihah 17 kali sehari " .Cuba bayangkan tanpa kompas ini, Allah biarkan kita dalam keadaan sesat tidak tahu arah hendak dituju atau apa makna hidup didunia ini, kita akan menjadi manusia yang rugi dunia dan akhirat. Jika kita sesat dalam hutan mungkin kita boleh mati kerana kelaparan atau dimakan oleh binatang buas, tapi jika adanya kompas, ini mungkin boleh pandu kita dan memberi kita jalan keluar dari hutan dengan mudah sekali.

Macam Mana Hendak Khusyuk Dalam Solat.?
Ulama kata jika hendak baiki manusia, baiki lah hatinya. Jika hendak baiki hatinya, baikilah solatnya. Untuk mencapai khusyuk dalam solat sangat sangat sukar sekali. Mungkin para ustaz yang tahu bahasa arab pun masih ramai yang belum sampai ketahap khusyuk yang sebenar ini. Dalam solatlah macam macam ingatan datang, kerja yang tidak siap lah, hal perniagan yang ada untung rugilah, teringat kepada saham lah, dan paling teruk sekali jika ada masalah dalam kehidupan. Seorang pakar motivasi berkata GAGAl atau BERJAYA nya kita dalam kehidupan ini bergantung setakat mana khusyuknya solat kita. Orang yang berjaya dalam solat akan menjadi manusia mukmin yang berjaya didunia dan juga akhirat. Ceramah ustazah Bahiyah menyebut jika hendak khusyuk solat, sebelum mulakan solat ingatkan 4 perkara ia itu Allah melihat kita, malaikat maut dibelakang kita, syurga dikanan kita dan neraka disebelah kiri kita.

Erti khusyuk ialah akur, tunduk hati, tunduk akal fikiran dan tunduk pancaindera kepada Allah SWT. Sasaran utama ialah HATI. Khusyuk solat hukumnya wajib bukan sunat. Terdapat 6 peringkat untuk khusyuk dalam solat ia itu :-
a Perlu Fahami ,mengerti dan fokus apa yang di baca.
b Hadir hati supaya rasa kebesaran Allah SWT (hibah)
c Hadir hati supaya rasa takut dan kagum dengan Allah SWT.(supaya kita lebih dekat dengan Allah)
d Rasa harap pada Allah
e Rasa hina apabila mengadap pencipta alam semesta.

Akibat Meninggalkan Solat.
Sangat ramai orang islam Malaysia tidak melakukan solat (80 %) dan mereka tidak merasa apa-apa pun.Tengok sahaja jika ada "show" distadium sama ada bola ,konsert dengan orang hadir begitu ramai tapi tempat solat dan tempat ambil wudu' terhad, apa lagi tidak perlu solat lah! Ada juga orang kita tinggal ditempat sendiri rajin bersolat tapi apabila melancong keluar negara terus tinggalkan solat (juga tudung kepala menutup aurat pun hilang entah kemana?).

Orang yang meninggalkan solat ertinya "memutus hubungan dengan Allah". Ini bererti Allah tidak memperdulikan kita lagi, kepada siapa kita hendak berlindung? Solat ada lah tiang ugama dan islam ada lah cara hidup yang lengkap bukan merangkumi soal ibadah tapi juga cara hidup lain seperti ekonomi, muamalat, manakahat, siasah dll. Jadi orang yang tinggalkan solat sudah semestinya juga meruntuh sistem hidupnya.

Kesan yang ketara dalam masyarakat kita apabila solat tidak lagi jadi tiang ugama ialah wujudnya Mat rempit, Bohsia, transgender, homoseksual, lesbian, rasuah dan banyak lagi. Selagi manusia tidak balik kepada Allah masalah demi masalah timbul dalam kehidupan masyarakat, baik dari segi sosial, ekonomi, perkahwinan, hubungan silatulrahim dan lain lain lagi.
Apa Hukuman Allah Terhadap Orang Tidak Solat?
1. Firman Allah SWT: "Neraka Wail (kecelakaan besar besarlah) bagi orang-orang yang lalai dari mengerjakan solat mereka"

2. Firman Allah SWT: "Apakah yang menyebabkan kamu dibuang dan ditempatkan dineraka Saqar ini?" Maka jawablah penghuninya: Adalah kami orang-orang yang meninggalkan solat" 3Sabda Rasulullah SAW: "Siapa-siapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia menjadi kafir tulen"

Terdapat banyak sekali kelebihan-kelebihan atau keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain. Lihat sahaja bagaimana Allah mewajibkan solat pada baginda Rasulullah. Tidak seperti ibadah lain, ia difardukan oleh Allah secara langsung kepada Rasulullah SAW di langit iaitu pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Melalui tajuk ini, 5 sebab utama yang menjelaskan kepentingan solat kepada manusia sehingga kita perlu melakukannya 5 kali sehari semalam dalam apa jua keadaan dan ketika.

Pertama: Solat Peluang Kita Berinteraksi Dengan Allah.
Solat membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kelazatan munajat kepada Pencipta dan melahirkan pengabdian kepada Allah dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya. Lihat sahaja bentuk amalan solat yang diajarkan oleh Rasulullah, bermula dengan qiyam (berdiri), ruku’, i’tidal dan sujud. Kesemuanya dilakukan dengan tujuan untuk membesarkan Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Agung. Kenapa tidak? Dengan limpah kurniaan dan nikmat yang dianugerahkan kepada kita baik dari segi kesihatan tubuh badan, zuriat, suami-isteri, ibu bapa serta keluarga. Tidakkan itu satu nikmat yang tidak terhingga? Baginda Rasulullah SAW. bukan sahaja mengajarkan cara melakukan solat tetapi juga mengajarkan kepada kita dengan pelbagai pujian serta doa yang boleh diamalkan sepanjang kita melakukan dengan ibadah solat iaitu bermula dengan qiyam atau berdiri sehinggalah sebelum kita melafazkan ucapan salam.

Inilah yang saya maksudkan sebagai satu peluang untuk kita berinteraksi dengan Allah secara langsung, menyembah kepada-Nya, memuji dan membesarkan Allah. Ianya tidak akan berakhir sehinggalah kita mengucapkan salam pada-Nya. Maka tidakkah rugi bagi kita jika kita tidak mengambil peluang semasa kita mengadap Allah ini dengan memperbanyakkan doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan dari segala bahaya godaan syaitan dan tidak lupa juga iaitu pengampunan kita kepada Allah.

Kedua: Peluang Menggandakan Pahala Dan Penghapusan Dosa
Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang yang lalu. Inilah kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang tidak terdapat pada umat-umat yang sebelumnya, sehinggakan baginda Rasulullah pernah menyatakan agama Islam itu mudah. Mengapa tidak? Umat terdahulu seperti pada zaman Nabi Musa begitu banyak sekali pantang larangnya. Hendak makan daging lembu sebagai contoh, tidak kesemuanya boleh dimakan begitu sahaja, ada bahagian-bahagian yang ditegah daripada menjamunya. Kita umat Nabi Muhammad? Selagi mana ianya disembelih dengan menyebut nama Allah, maka daging lembu tersebut adalah halal dimakan.

Bangsa Yahudi pada zaman Nabi Musa juga disyariatkan untuk beribadah pada hari Sabtu dan tidak dibenarkan melakukan perkara lain. Sehinggakan mereka melakukan tipu daya bagi mengelakkan larangan ini. Umat nabi Muhammad? Kita bebas melakukan apa sahaja kerja yang halal pada bila-bila masapun, asal sahaja kita tidak meninggalkan perintah Allah untuk mendirikan solat Fardu lima waktu sehari semalam. Bagaimana pula dengan hal pengampunan kepada Allah bagi dosa-dosa kita? Cukup dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya pada Allah, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan benar-benar menyesal di atas segala kesilapan pada masa lalu di samping melakukan perintah yang diwajibkan Allah seperti solat Fardu dan lain-lain ibadah bagi menampung dosa-dosa kita yang lalu, maka Insha Allah dosa-dosa kita yang lampau akan diampunkan Allah.
Ini jelas di mana Nabi Muhammad pernah menyatakan bagi sesiapa yang melakukan solat Fardu dari satu Jumaat ke satu Jumaat yang lain, maka dosanya di antara kedua Jumaat tersebut akan diampunkan oleh Allah, begitu juga dengan sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa lalu. Bagaimana pula dengan umat pada masa yang lalu? Bangsa Yahudi akibat kesilapan mereka menduakan Allah dengan menyembah sapi, mereka diperintahkan Allah untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri bagi membolehkan taubat kita diterima Allah. Tidakkah kita merasa bersyukur sekarang menjadi umat nabi Muhammad?

Bercakap tentang solat pula banyak sekali kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah seperti dari segi penghapusan dosa. Firman Allah: Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. Surah Hud (11): 114 Malah Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat Fardu lima waktu kepada para sahabat seperti seorang yang mandi lima kali sehari yakni Allah membersihkan sesiapa yang mengerjakan solat dengan penghapusan dosa-dosa. Di samping itu dengan solat juga, bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan mengucapkan segala pujian seperti tasbih, tahmid dan juga takbir ketika melakukan qiyam, ruku’, sujud dan lain-lain perbuatan tetapi juga dianugerahkan dengan pahala yang tidak terhingga.

Ketiga: Membentuk Mukmin Yang Kuat Dan Sihat
Pernahkah kita terfikir pabila kita mendirikan solat bagi menjalankan kewajipan perintah Allah, kita bukan sahaja menerima pahala yang berlipat ganda dan ditebus segala dosa-dosa kita yang terdahulu tetapi secara tidak langsung juga kita telah menanamkan pada diri kita kecintaan dalam melakukan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan atau jasmani. Dengan melakukan solat juga dapat memperkukuh kesegaran tubuh badan kita. Solat menuntut agar setiap muslim, bangun pagi seawal mungkin dan bersemangat dalam menghadapi tugas-tugas harian sejak menjelang terbitnya matahari.

Menurut Al-Zahabi: “Dalam solat, faktor fizikal juga terlibat iaitu dalam bentuk senaman untuk badan selain penumpuan fikiran. Senaman-senaman itu melibatkan berdiri tegak (qiyam) sujud, ruku’, tumakninah dan penumpuan melalui solat pergerakan-pergerakan badan berlaku, dan kebanyakan organ dalam keadaan tenang.” Rasulullah SAW melalui sunnahnya telah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus dengan tegap dan dalam posisi yang lurus dan tidak boleh dalam keadaan yang lemah atau malas. Ia juga seharusnya dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak kelam kabut, ini dapat disaksikan dalam perintah Rasulullah kepada seorang Arab badwi supaya mengulangi solat yang dilakukannya dengan cara yang tidak teliti dan sempurna.

Dengan ini solat selain daripada merupakan ibadah ia juga merupakan satu bentuk riadah tubuh badan harian yang tersusun dengan sedemikian rupa dalam memberikan kerehatan jiwa dan juga jasmani manusia melalui pergerakan ketika melakukan ibadah solat seperti amalan ruku’, i’tidal, sujud dan sebagainya seperti yang disebutkan tadi. Menurut satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaya ke atas sekumpulan peserta mendapati mereka yang sempurna solatnya lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding dengan kumpulan peserta yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolestrol dan lain-lain penyakit.
Keempat: Membentuk Kemantapan Rohani Dalam Diri
Solat yang dilakukan dengan penuh khusyu’ juga dapat menumbuhkan pada diri mukmin yang melakukannya kekuatan rohani dan batin yang amat berguna dalam mengharungi segala kesulitan hidup dan juga ujian dalam kehidupan seharian kita. Al-Zahabi menyatakan dalam kitab karangan beliau Al-Tib: “Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan, ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam… Seseorang boleh menemui cara-cara untuk menyelesaikan masaalah-masaalah duniawi dan rohaniah. Dan seseorang itu boleh memeriksa diri sendiri terutamanya apabila seseorang itu benar-benar menghayati solatnya. Waktu yang paling baik ialah – selepas – tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi.” Ini jelas sebagaimana firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, kerana sesungguhnya Allah itu beserta orang-orang yang sabar.”

Dengan ini solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; Surah al-‘Ankabut (29): 45

Kelima: Memberi Keupayaan Mental Dan Kekuatan Dalaman Yang Tinggi
Selain dari faedah kerohanian yang dapat diraih melalui amalan solat yang dapat membantu mukmin untuk sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan serta menjauhi perkara maksiat dan juga mungkar, dengan mengerjakan solat juga akan dapat mengukuhkan moral dan mental seorang mukmin. Ini kerana ia akan dapat menanamkan dalam hati, kesedaran adanya pengawasan Ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan Nya serta sanggup mengatasi sifat-sifat kemalasan dalam memperturutkan hawa nafsu dan sifat-sifat kelemahan manusia yang lainnya.

Antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit kegelisahan atau ‘Anxiety’. Menurut Al-Quran ianya boleh diubati dengan melakukan solat.
Firman Allah: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); -Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat – Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya; Surah al-Ma’arij (70): 19-23 Daripada ayat ini, dapat disimpulkan bahawa solat adalah salah satu daripada cara merawati kecelaruan kegelisahan. Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid. Melalui zikrullah yang dibaca secara berulang-ulang ini berdasarkan perasaan rindu kepada-Nya dapat mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan serta menjauhkan jiwa dari kejahatan selaras dengan kehendak Islam. Selain itu, ibadah solat juga dapat mendidik jiwa manusia supaya sentiasa mencintai Allah dan Rasul-Nya. Cinta yang mendalam ini akan membuat jiwa seseorang itu tenang dan sentiasa mengingati Allah serta takutkan kebesaran-Nya.

Melalui ibadah solat juga mempraktikkan amalan berdoa kepada Allah, dengan cara ini dapat memberi peluang kepada manusia untuk berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, selain dari dapat meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hati mereka melalui doa yang dipanjatkan kepada Allah. Ia juga sebenarnya menepati kaedah kaunseling atau ‘Psycho Therapy’ kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi. Adapun dengan meninggalkan solat akan menyemarakkan kecintaan pada syahwat, buruk dari segi akhlaknya, begitu juga jika solat dilakukan denga gerakan-gerakan anggota badannya tanpa disertai kehadiran akal dan kekhusyukan hati tidak akan memberi kesan atau impak yang mendalam dalam pembangunan mental seseorang. Berbeza jika solat dikerjakan dengan bersungguh-sungguh dan khusyu’ dapat memperkuatkan jiwa daripada pengaruh cinta pada dunia, serta mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan.

Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang selepas solat berbanding dengan seorang yang tidak faham sepenuhnya bacaan semasa solat.Selain menjauhkan jiwa seseorang daripada bersifat lalai yang boleh memesongkan kita ajaran agama Islam. Firman Allah: Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang kerana dzikir kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya dzikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang Surah al-Ra’ad (13): 28 Begitu juga sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah : Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah SAW. mengalami sesuatu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan, “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan solat.”
Apa yang dapat disimpulkan ialah ibadah solat yang khusyu’ ini mempunyai pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawati segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.

Saturday, May 25, 2013

Perjalanan Hidup Manusia


Setiap Islam wajib mempercayai Hari Kiamat. Terdapat 5 alam yang dilalui oleh setiap manusia iaitu :
1. Alam Roh
- Alam dimana setiap manusia berjanji menyembah Allah dan mengikuti segala suruhan dan meninggalkan laranganNya. Manusia dihidupkan selepas Nabi Adam.
2. Alam Rahim
- Selama 120 hari berada didalam rahim (tidak lagi mengingati segala peristiwa Alam Roh)
3. Alam Dunia
- Manusia hidup didalam satu alam yang amat-amat singkat tetapi amat-amat penting untuk alam yang seterusnya. - Hidup purata sehingga 65tahun-75tahun
4. Alam Kubur
- Alam Kubur adalah bersamaan 40 tahun. 1 tahun bersamaan 1000 tahun didunia. Hadis Imam At Tirmudzi menerusi Abi'Sa'id ; Rasulullah SAW bersabda :" Sungguhnya Kubur itu adalah suatu kebun antara kebun-kebun Syurga ataupun satu lubang antara lubang-lubang Neraka"
5. Alam Mahsyar
- Alam Mahsyar adalah bersamaan 300 tahun. 1 tahun bersamaan 50,000 tahun didunia. Alam Mahsyar dimulakan apabila 2 tiupan sangkakala ditiupan oleh Malaikat Israfil. Tiupan pertama mematikan semua kehidupan manakala tiupan yang kedua menghidupkannya kembali dimana bumi memuntahkan isinya.

- * Dalam riwayat dinyatakan Kaabah akan berjalan masuk bersama dengan bumi Mekah dan Madinah bersama isi buminya apabila kiamat tiba (termasuk orang beriman yang mati di Mekah/Madinah). Sunat untuk kita berniat untuk mati di Mekah atau Madinah sahaja. Haram berniat untuk mati ditempat yang lain.

- Rasullullah SAW yang pertama sekali dibangkitkan dimana Rasullullah SAWbertanya pada Jibrail " Dimana kamu tinggalkan umatku"

# Didalam Surah Al-Waaqi'ah Allah menyebutkan dipermulaan keadaan/suasana Kiamat Besar dimana manusia terbahagi kepada tiga golongan :
1. Muqarrabiin (Orang yang didekatkan kepada Allah); iaitu orang-orang yang dapat memasuki Syurga diperingkat awal.
2. Abraar (Baik-kebaikan); iaitu orang-orang yang baik-baik mereka ini ialah golongan Kanan (Golongan Bertuah Peringkat Kedua)
3. Fujjaar (Jahat-jahawan); iaitu orang-orang yang jahat-jahat; mereka ini ialah golongan kiri (golongan celaka/sial).
 Kemudian Allah menyebutkan diakhirnya keadaan Kiamat Kecil dimana manusia terbahagi kepada tiga golongan juga iaitu;
1. Muqarrabiin.
2. Golongan Kanan.
3. Golongan Pendusta Yang Sesat.

Peristiwa di Padang Mahsyar
- Manusia dibangunkan dalam keadaan telanjang melainkan mereka yang beriman. Jalan masing-masing tidak kenal antara satu kecuali 7 golongan. Mengikut Riwayat , Rasullullah SAW dan Nabi Ibrahim AS diberi pakaian terlebih dahulu diikuti yang lain (para Nabi, Sahabat dan mereka yang beriman). 7 golongan :
1. Pemimpin yang adil
2. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid
3. Lelaki yang bersedekah tetapi tidak diketahui
4. Orang muda yang taat kepada perintah Allah
5. Lelaki yang diajak oleh wanita, tetapi dia menolak dengan kata "Aku takut pada Allah"
6. Lelaki yang senantiasa mengingati Allah dan takut pada Allah
7. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
(Didalam Al-Quran jika ia dirujuk sebagai lelaki maka ada juanya bermaksud atau bersama perempuan)

Setelah 40 tahun (di Mahsyar) iaitu 1 tahun bersamaan 50,000 tahun didunia, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi".. maka yang mengetuai setiap kumpulan ialah para ulama dan para ambia. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam menyatakan beliau juga ada melakukan dosa kerana memakan buah larangan di syurga.. maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Rasullullah SAW memohon kepada Allah dan syafaat baginda telah meletakkan Padang Mahsyar menjadi tempat
- Soal Jawab
- Membaca catatan amalan
- Hisab

*Manakala orang kafir dan syaitan akan dikumpulkan disekeliling Neraka Jahanam. "Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk bertelut di keliling Neraka Jahanam." Surah Maryam Ayat 68. Kemudian manusia meniti Siratul Mustakim yang mana perjalanannya mengambil masa 15,000 tahun perjalanan (persamaan didunia tidak dinyatakan). Dan setiap 1000 manusia yang meniti hanya tinggal 1 sahaja yang akan berada di titian sirat (iaitu merekayang beriman dan beramal soleh) untuk meneruskan perjalanan ke syurga (sepantas kilat bagi mereka yang beriman) . 999 manusia akan jatuh kebawah dari sirat dan akan tiba didasar neraka setelah 60 tahun.
(*Mengikut Riwayat, anak yang meninggal sewaktu kecil akan menunggu ibubapanya diatas sirat).

*Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi "Sidratul-Muntaha"; Yang di sisinya terletak syurga "Jannatul-Makwa".(Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratul-Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Surah An-Najm Ayat 13-16

*Kesimpulannya : Mati adalah benar, hidup kembali di Alam Barzah dan Alam Akhirat adalah benar. Amatlah ruginya jika kita leka di dunia yang masanya sungguh singkat namun amalan dan sumbangan kita terhadap agama Allah amatlah besar pada ketika itu untuk menghadapi Alam seterusnya. Diceritakan kisah didalam Al-Quran dimana manusia akan menyesali diatas kelalaian mereka didunia sebaik sahaja melihat api neraka…… Wallahuwa'lam.

Rujukan :
Tazkirah Ustaz Zawawi UIA - Kursus Pengurusan Jenazah MAS pada
# Suka-Duka Roh di Alam Barzah - Abdullah Al-Qari
*Diambil dari Kitab/Al-Quran oleh penulis Dari Abdullah bin 'Amr RA., Rasulullah SAW. bersabda, "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

Sunday, May 19, 2013

Antara Pakaian dan Aurat Dalam Islam


Apakah fungsi pakaian menurut Syari’at Islam?
Pakaian adalah nikmat Allah untuk melindungi badan manusia, menutup aurat mereka dan juga sebagai perhiasan bagi mereka. Fungsi-fungsi pakaian ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran; “Dan Allah menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang” (an-Nahl, ayat 81).
 “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat”. (al-A’raf:26).

Dalam ayat 26 dari surah al-A’raf di atas, ada tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah;
1. Pakaian untuk menutup aurat
2. Pakaian untuk perhiasan
3. Pakaian takwa

Menurut ulamak; “اللباس” dalam ayat tersebut ialah pakaian untuk menutup aurat. Adapun “الريش” ialah apa yang diambil/dipakai supaya nampak cantik pada luarannya, iaitu untuk perhiasan. Yang pertama (iaitu “اللباس”) adalah keperluan asas, sementara yang kedua adalah sampingan. Adapun pakaian takwa, menurut Ikrimah; maksudnya ialah pakaian orang-orang bertakwa pada hari kiamat. Menurut Ibnu ‘Abbas pula; ia bermaksud amal soleh dan kelakuan yang baik. Menurut Ibnu Aslam; ia adalah pakaian yang dipakai oleh seorang yang takutkan Allah, lalu ia menutup auratnya.[1]

Apakah syarat-syarat pakaian lelaki?
1. Hendaklah menutup kawasan aurat
2. Tidak jarang hingga menampakkan kulit tubuh (khususnya kawasan aurat)
3. Tidak sendat hingga menampakkan bentuk kawasan aurat
4. Tidak menyerupai pakaian perempuan
4. Tidak berlebihan atau menzahirkan kesombongan
6. Bukan pakaian syuhrah
7. Bukan diperbuat dari material yang diharamkan iaitu sutera.
8. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq.

Apakah syarat-syarat pakaian wanita? [2]
1. Hendaklah menutup aurat
2. Tidak jarang atau nipis yang menampakkan kulit badan
3. Tidak ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh
4. Tidak menyerupai pakaian lelaki
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir atau golongan fasiq
6. Tidak berlebihan dan menzahirkan kesombongan
7. Bukan pakaian syuhrah
8. Tidak mempunyai hiasan atau corak yang menarik pandangan lelaki.

Apa dalil bahawa pakaian mesti menutup aurat?
Pertama, tujuan pakaian antaranya adalah untuk menutup aurat sebagaimana ayat di atas tadi. Kedua, terdapat dalil yang cukup jelas dari al-Quran dan as-Sunnah yang memerintahkan orang-orang Islam supaya menutup aurat. Ketiga, para ulamak telah sepakat atas kewajipan menutup aurat ini.
Apa dalil tidak harus memakai pakaian yang jarang atau sendat?
Dalilnya ialah sabda Nabi SAW; “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian sekian jauh”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah RA.)

Di dalam hadis di atas, Nabi SAW. menegaskan; salah satu golongan yang akan menjadi ahli neraka ialah wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yakni mereka berpakaian tetapi di sisi agama mereka sebenar tidak berpakaian. Ia merangkumi yang berikut;[3]
1. Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang pada hakikatnya.
2. Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan sebahagian lagi (yakni tidak menutupkan secara menyeluruh kawasan aurat yang wajib ditutup).
3. Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampak bentuk tubuh.

Apakah dalil tidak harus pakain lelaki menyerupai pakaian wanita dan sebaliknya? Kerana Rasulullah melaknat orang lelaki yang meniru wanita dan wanita yang meniru lelaki sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas RA; “Rasulullah SAW. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (Riwayat Imam Bukhari).

Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Dan apa contohnya?
Iaitu setiap pakaian yang khusus untuk lelaki iaitu diketahui oleh masyarakat bahawa ia sememangnya untuk lelaki, tidak harus untuk wanita memakainya. Begitu juga, pakaian yang khusus untuk perempuan iaitu diketahui oleh orang ramai bahawa ia sememangnya untuk wanita, tidak harus lelaki memakainya. Contohnya; wanita yang memakai seluar lelaki dan lelaki yang memakai kain wanita. Di dalam hadis diceritakan; suatu hari Nabi SAW. masuk menemui isterinya Ummu Salamah. Ketika itu Ummu Salamah sedang memakai tudungnya. Lalu Nabi berkata kepadanya; “Lilitlah dengan satu lilitan sahaja, bukan dengan dua lilitan”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Tashih al-Hakim dipersetujui oleh Imam az-Zahabi. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 7744).

Menurut ulamak; tegahan Nabi di atas tujuannya ialah supaya cara pemakaian tudung oleh perempuan tidak menyerupai cara pemakaian serban oleh kaum lelaki iaitu dengan melilit di kepala dengan beberapa lilitan.[4]

Apakah dalil pengharaman sutera ke atas lelaki?
Iaitulah sabda Rasulullah SAW; “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan bagi wanita-wanita mereka”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abi Musa al-Asy’ari RA.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Sesiapa memakai sutera di dunia, ia tidak akan dapat memakainya lagi di akhirat”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad dari Abi Umamah RA). Adakah sutera tiruan juga dilarang? Sutera yang diharamkan oleh hadis ialah sutera asli yang diperbuat dari benang dari ulat sutera. Itu yang dimaksudkan oleh hadis. Adapun sutera tiruan (yang dibuat dari bahan lain dari sutera asli itu iaitu benang dari ulat sutera) ia tidaklah termasuk dalam larangan hadis. Sesuatu yang tidak termasuk dalam larangan Syarak ia kekal dalam hukum asalnya iaitu harus. Namun jika sifat kain sutera tiruan itu adalah terlalu lembut iaitu menyerupai kain wanita, sebaik-baiknya orang lelaki tidak memakainya kerana tidak bersesuaian dengan penampilan seorang lelaki.[5]

Apa dalil dilarang pakaian yang menyerupai orang kafir atau orang-orang fasiq?
Iaitu sabda Nabi SAW; “Sesiapa yang menyerupai suatu golongan, maka ia dari golongan tersebut”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar RA). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam).[6]

Bagaimana yang dikatakan meniru itu? Apa contohnya?
Setiap pakaian yang memberi gambaran kepada orang lain bahawa si pemakainya adalah kafir atau menunjukkan bahawa ia adalah fasiq (tidak menjaga agama, yakni suka melakukan maksiat), maka ia termasuk dalam pengertian meniru orang kafir atau golongan fasiq. Contohnya; memakai pakaian yang mempunyai lambing salib atau lambang-lambang agama lain. Saidina ‘Ali menceritakan; aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Jauhilah kamu dari memakai pakaian para Rahib. Sesiapa memakai pakaian seperti mereka atau menyerupai mereka, dia bukanlah dariku” . (Riwayat Imam ar-Rhabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat. Menurut Imam Ibnu Hajar; sanadnya adalah La Ba’sa Bihi. Lihat; Fathul-Bari, bab al-Baranis).[7]


Apa dalil larangan berlebihan dan menzahirkan kesombongan dalam berpakaian?
Iaitu firman Allah; “…dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan….”. “Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”. (al-Hadid: 23)

Sabda Rasulullah SAW; “Sesiapa yang melabuhkan pakaian/kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Apa maksud pakaian Syuhrah? Apa dalil larangan terhadapnya?
Pakaian Syuhrah bermaksud pakaian yang dipakai untuk dikenali oleh orang lain, yakni untuk menunjulkan perbezaan diri dengan orang lain. Tujuannya sama ada untuk berbangga-bangga di hadapan orang lain dengan perasaan takjub dan besar diri (takbur) atau untuk menunjuk-nunjuk kezuhudan dengan perasan riyak dan nifak (berpura-pura). Dalil larangan pakaian Syuhrah ini ialah sabda Rasulullah; “Sesiapa memakai pakaian kemasyhuran, nescaya Allah akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat nanti. Kemudian ia akan dibakar dengan pakaiannya ke dalam neraka”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah dari Ibnu ‘Umar RA.)

Ada seorang lelaki bertanya Ibnu ‘Umar RA.; “Apakah pakaian yang baik untuk aku pakai?”. Jawab Ibnu ‘Umar; “Pakailah pakain yang sekira-kira kamu tidak akan diperlekehkan oleh orang-orang bodoh (as-sufaha’) (kerana buruknya pakain itu dan tidak ada nilai) dan tidak dikeji oleh orang-orang cerdik (hukama’) (kerana melampaui had kesederhanaan)”. (Riwayat Imam at-Thabrani).

Apakah dalil dilarang pakaian wanita mempunyai corak yang menarik perhatian lelaki?
Kerana ia termasuk di dalam pengertian tabarruj yang dilarang oleh al-Quran iaitu firman Allah; “dan hendaklah kamu (wahai isteri-isteri Nabi) tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)

Menurut ulamak; at-Tabarruj bermaksud seorang wanita mendedahkan perhiasannya atau kecantikannya yang mendorong syahwat lelaki.[8] Pengertian tabarruj bukan hanya khusus kepada mendedahkan aurat sahaja, tetapi merangkumi semua perlakuan untuk menarik perhatian lelaki termasuk stail berpakaian, cara berjalan, cara bercakap, solekan dan sebagainya.

Adakah pakaian kanak-kanak juga perlu mematuhi cirri-ciri pakaian di atas?
Ya. Hukum bagi kanak-kanak juga adalah serupa. Dilarang ibu-bapa atau penjaga memakaikan kepada anak lelaki pakaian untuk perempuan dan begitu juga diharamkan memakaikan kepada anak perempuan pakaian untuk lelaki. Diceritakan bahawa suatu hari Saidina Umar RA. melihat anak lelaki Zubair dipakaikan kepadanya pakaian dari sutera. Lalu Umar mengoyaknya dan berkata; “Janganlah kamu memakaikan kepadanya pakaian dari sutera”. Begitu juga, Ibnu Mas’ud pernah mengoyak pakaian sutera yang dipakaikan kepada anak lelakinya.[9]
Dikecualikan dalam masalah aurat. Kanak-kanak yang belum baligh tidaklah dituntut menutup aurat sebagaimana tuntutan ke atas orang dewasa. Namun ibu-bapa wajib melatih anak-anak dengan adab-adab Islam (termasuk adab berpakaian menutup) untuk membiasakan mereka apabila baligh nanti.[10]

Adakah Islam melarang berpakaian cantik?
Islam mengharuskan memakai pakaian yang cantik dan lawa tetapi janganlah melanggar had-had yang ditetap Allah, jangan membazir dan jangan takbur atau bongkak. Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW. bersabda; “Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi”. Lalu berkata seorang lelaki; “Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takbur?”. Lalu jawab baginda; “Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia”.

Apa makna jilbab?
Di dalam al-Quran Allah memerintahkan wanita-wanita beriman memakai jilbab sebagaimana firmanNya; “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal[11], karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”. (al-Ahzab: 59)

Menurut Imam Abu Bakar ibnu al-‘Arabi; para ulama’ berikhtilaf dalam mentafsirkan jilbab. Namun lafaz-lafaz yang mereka gunakan hampir memberi pengertian yang serupa di mana asasnya ialah pakaian yang menutup/melitupi badan. Dengan pengertian ini, maka ayat di atas merupakan arahan kepada sekelian wanita Islam supaya menutup badan mereka. Jika digabungkan ayat di atas dengan ayat dari surah an-Nur (iaitu ayat 31), maka had yang mesti ditutup ialah dari hujung rambut hinggalah ke tapak kaki kecuali muka dan dua tangan. Di sisi sebahagian fuqaha’, dikecualikan juga dua kaki. Pakaian yang dipakai untuk menutup badan itu hendaklah tidak jarang hingga menampakkan bayangan kulit dan juga tidak ketat hingga mendedahkan bentuk tubuh….[12]

Adakah terdapat fesyen tertentu bagi pakaian dalam Islam?
Tidak ada fesyen tertentu yang ditetapkan Islam bagi pakaian. Ia terserah kepada manusia untuk menentukannya mengikut pengalaman dan kebiasaan masing-masing kerana hal ini termasuk dalam perkara-perkara duniawi yang diberi kebebasan kepada manusia untuk menentukannya. Syarak hanya menetapkan pakaian hendaklah menutupi aurat, tidak jarang, tidak ketat/sendat dan sebagainya tadi. Adapun bentuk, fesyen dan cara pemakaiannya, maka terserah kepada kebiasaan atau kehendak manusia selagi tidak bercanggah dengan ciri-ciri pakaian yang ditetapkan tadi.[13]

Apa hukum memakai pakaian labuh hingga melebihi buku lali?
Ada perbezaan antara lelaki dan wanita. Bagi wanita, digalakkan ia melabuhkan pakaiannya hingga menutupi keseluruhan kaki. Diriwayatkan dari Sofiyyah binti Abi ‘Ubaid RA. yang menceritakan; Ummu Salamah (salah seorang isteri Nabi SAW.) semasa Nabi menyebutkan tentang celaan terhadap orang yang melabuhkan kain sarungnya, beliau bertanya; “Bagaimana dengan kaum wanita wahai Rasulullah? (yakni adakah mereka juga turut dilarang melabuhkan pakaian)”. Baginda menjawab; “Labuhkan sejengkal sahaja”. Ummu Salamah bertanya lagi; “Bagaimana jika masih terdedah kaki mereka?”. Nabi menjawab; “Labuhkan sehasta sahaja. Jangan lebih dari itu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi).[14]

Adapun bagi lelaki, ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;[15]
1. Menurut segolongan ulamak; haram melabuhkan pakaian di bawah buku lali secara keseluruhannya. Pengharaman ini berdalilkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi SAW; “Kain sarung yang di bawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA.).[16]

2. Menurut sebahagian ulamak yang lain; diharamkan jika ada niat berbangga-bangga atau menyombong diri. Jika tanpa niat tersebut, tidaklah haram. Ini kerana terdapat hadis yang mengaitkan pengharaman melabuhkan pakaian itu dengan niat tersebut. Antaranya sabda Nabi SAW; “Allah tidak memandang[17] (yakni tidak akan memberi rahmatNya) kepada orang yang melabuhkan pakaiannya kerana menyombong (atau berbangga-bangga diri)”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar RA.)

Lebih jelas lagi, ada hadis menceritakan tatkala Nabi SAW. berkata “Sesiapa melabuhkan pakaiannya kerana menyombong diri, Allah tidak akan memandang kepadanya pada hari kiamat”, Abu Bakar pun berkata kepada baginda; “Ya Rasulullah SAW., kain sarungku akan melabuh kecuali aku memegangnya”. Nabi berkata; “Engkau bukanlah dari golongan orang-orang yang melakukannya (yakni melabuhkan pakaian) kerana ingin menyombong”. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar RA.).

Walaupun tidak haram, hukumnya adalah makruh. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim, tatkala menghuraikan hadis di atas beliau menyebutkan antaranya; “Tidak harus melabuhkan pakaian hingga ke bawah buku lali jika dengan tujuan menyombong diri. Jika bukan dengan tujuan tersebut, hukumnya adalah makruh…Kadar yang disunatkan ialah hingga ke tengah betis. Jika dari tengah betis hingga ke buku lali (tanpa melepasinya), hukumnya adalah harus. Jika labuh hingga melepasi buku lali, hukumnya adalah makruh kecuali ada niat menyombong diri, maka hukumnya adalah haram”.[18]

Adakah disunatkan membaca doa ketika memakai pakaian?
Abi Sa’id al-Khudri RA. menceritakan; “Adalah Rasulullah SAW. apabila memakai pakaian baru, baginda akan menyebut nama pakaian baru itu sama ada serban, baju atau selendangnya, kemudian baginda membaca; Maksudnya; “Ya Allah! Untukmu segala pujian. Engkaulah yang memakaikanku pakaian ini. Aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan tujuan ia dibuat. Aku berlindung dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan tujuan ia dibuat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan).

Adakah harus wanita memakai seluar?
Harus dengan syarat-syarat berikut;[19]
1. Seluar itu dibuat khusus untuk wanita. Tidak harus ia memakai seluar lelaki kerana diharamkan wanita menyerupai lelaki.
2. Ia memakainya di bahagian dalam, yakni dilitupi oleh pakaian lain yang tidak menampakkan bentuk tubuhnya.
3. Jika tidak dilitupi dengan pakaian luar, tidak harus ia memakainya kecuali di hadapan suami atau mahramnya atau di hadapan wanita lain. Adapun di hadapan lelaki-lelaki ajnabi, tidak harus ia memakainya kerana pemakaian seluar sahaja (tanpa pakaian luar) menampakkan bentuk tubuh.

Digalakkan wanita memakai seluar di bahagian dalamnya (yakni di samping pakaian luar) kerana ia lebih menjaga aurat.[20]

Adakah Syarak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita?
Syarak tidak menetapkan warna tertentu bagi pakaian wanita, begitu juga bagi pakaian lelaki. Namun hendaklah pakaian wanita tidak terlalu terang warnanya hingga menarik perhatian lelaki atau mempunyai corak yang boleh membangkitkan ghairah atau mencuri pandangan lelaki kepadanya. Kerana itu, para ulamak menyukai jika wanita memakai pakaian berwarna gelap kerana ia kurang menarik perhatian berbanding warna lain.[21]

Apakah warna yang paling baik bagi pakaian lelaki?
Warna putih. Dari Samurah bin Jundab RA. bahawa Rasulullah SAW. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan keutamaan pakaian putih dari pakaian-pakaian berwarna lain. Disunatkan memakai pakaian berwarna putih dan mengkafankan jenazah dengan kain yang berwarna putih. Begitu juga, pakaian putih adalah paling baik dipakai untuk menghadiri solat Jumaat, solat Jamaah, bertemu ulamak atau pembesar.[22]

Adakah harus memakai pakaian berwarna lain dari putih?
Ya, Harus. Walaupun Nabi SAW. menyukai warna putih, namun dalam pemakaian baginda sendiri tidaklah baginda hanya memakai pakaian berwarna putih sahaja. Baginda juga memakai pakaian berwarna lain dari putih. Perhatikan hadis-hadis berikut;
1. Aisyah RA. menceritakan; “Rasulullah SAW. keluar pada suatu pagi dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam”. (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Abu Daud)

2. Qailah binti Makhramah RA. menceritakan; “Aku melihat Nabi SAW. dan pada badan baginda terdapat dua kain sarung yang telah lusuh (buruk) yang dicelup dengan za’faran, namun warna za’faran itu telah pun pudar”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

3. Abi Rimsah menceritakan; “Aku melihat Nabi SAW. dan baginda memakai dua kain burdah berwarna hijau”. (Sunan an-Nasai, Abu Daud, Musnad Ahmad)

4. ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah SAW. memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda”. Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi hadis ini); “Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah”. (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)

5. Al-Barra’ bin ‘Azib RA. menceritakan; “Aku tidak pernah melihat seorang pun dari manusia yang lebih kacak dengan pakaiannya berwarna merah dari Rasulullah. Rambut baginda panjangnya hampir mencecah dua bahunya”. (Sunan an-Nasai, Soheh Muslim, Musnad Ahmad)

Nota Hujung;
[1] Tafsir al-Jalalain dan Tafsir Ibnu Kathir.
[2] Al-Halal wa al-Haram, hlm. 161-162.
[3] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 127.
[4] Lihat; ulasan Imam Abu Daud dalam Sunannya (Kitab al-Libas, Bab Fi al-Ikhtimar). Lihat juga; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 186).
[5] Fatwa Syeikh al-Munajjid (http://www.islam-qa.com/ar/ref/30812/الصناعي).
[6] Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104.
[7] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 183.
[8] Fathul-Qadier, Imam as-Syaukani.
[9] Tasyabbuh Yang Dilarang di Dalam Fiqh Islam, Jamil bin Habib al-Luwaihiq, hlm. 138-139.
[10] Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 748.
[11] Yakni mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita merdeka, bukan hamba. Atau mudah dikenali bahawa mereka adalah wanita Islam, bukan wanita kafir. (Lihat as-Asas fi at-Tafasir).
[12] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[13] Dipetik dari Fatwa mufti Mesir tahun 1981 iaitu Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq. (Rujukan; Mausu’ah Fatawa Dar al-Iftak al-Mishriyyah, ter. Majlis al’A’la Li asy-Syuun al-Islamiyyah, Mesir).
[14] Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 7/11.
[15] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170-173.
[16] Maksud hadis ialah; kawasan kaki yang dikenai oleh kain sarung yang dilabuhkan melepasi dua buku lali, kawasan itu akan diazab di dalam neraka sebagai balasan kepada pemakainya (ulasan Imam al-Khattabi. Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 170).
[17] Yakni Allah tidak akan merahmatinya atau tidak akan memandangnya dengan pandangan rahmat (Lihat; al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 169).
[18] Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah.
[19] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 130 dan 187. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 750.
[20] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 201.
[21] Al-Albisah Wa az-Zinah, hlm. 126. Fatwa Syeikh al-Munajjid (baca di; http://www.islam-qa.com/ar/ref/898).
[22] Raudhatul-Muttaqien, 2/314.