DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, November 25, 2012

Berhenti Menyalahkan Orang Lain


Sifat tercela yang ada di dalam diri manusia adalah suka menyalahkan orang lain atas pilihan, tindakan dan kekurangan diri sendiri. Kita, manusia sememangnya suka  menyalahkan orang lain. Kita menyalahkan semua orang dan semua perkara kecuali diri sendiri. Kita menyalahkan ibu bapa, anak anak, makanan, kereta, lalu lintas, majikan, kerajaan dan termasuklah cuaca. Apa yang kita perolehi sekarang adalah hasil dari pilihan  yang telah dilakukan atau gagal dilakukan pada masa lalu. Kehidupan sekarang mencerminkan cara anda memberi respon dan bertindakbalas atas apa yang berlaku. Ia bukan hasil dari tindakan orang lain.
Alasan adalah satu pembohongan yang kita beritahu kepada diri sendiri dan mahukan orang lain mempercayainya. Sekiranya lewat sampai pejabat, kita boleh keluar lebih awal dari rumah supaya tidak lambat sampai ke pejabat. Kita tidak perlu menyalahkan keadaan cuaca atau kesibukan lalu lintas. Kita semua mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dan kita bertanggungjawab membuat pilihan yang tepat.Kita mempunyai kemampuan untuk memburukkan lagi keadaan. Kita juga mempunyai kemampuan untuk melakukan yang lebih baik.

Propaganda Diri - Kadangkala apabila kita membuka internet, dan laman web yang terpampar di depan mata kita adalah sebuah laman hiburan yang penuh dengan pembukaan aurat, kita dengan cepat memberi pendapat: ‘Inilah dia kerja kerajaan, menyokong propaganda Yahudi, kerja orang nak sesatkan umat Islam.’ Memang benar, tetapi kita ada kuasa untuk mengawal semua itu. Kuasa yang paling kuat ialah dengan tidak membuka sebarang laman web yang boleh merosakkan pemikiran kita. Bukankah kita diberi akal oleh Allah SWT untuk menyaring mana yang baik dan mana yang buruk. Dalam internet bukan semua laman webnya buruk, ada juga yang baik dan berfaedah. Pilihlah laman web yang baik, yang boleh menjana minda kita menjadi orang yang baik. Kita juga jangan terlalu fokus kepada ‘apa yang orang hulurkan kepada kita’, kadangkala ia boleh menenggelamkan potensi diri kita yang sebenar, iaitu mengatasi perbuatan tersebut. Masaalahnya kita pun hanyut sama.

Budaya Burung Bangau - ‘Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?’ ‘Macamana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul.’ Penudingan jari disebabkan bangau kurus saja, akhirnya berterusan hinggalah kepada punca masaalah iaitu ular yang nak makan katak. Akhirnya tiada siapa yang untung. Mungkin ular saja yang untung sebab dia boleh baham saja katak. Tetapi disebabkan semua pihak, terutama bangau yang tidak boleh fikir jauh sikit, bila ikan tak nak timbul, tak ada cara nak rasa ikan di lubuk lain, atau di kawasan lain, sedangkan ia boleh terbang. Mungkin disebabkan bangau malas nak berusaha, malas nak cari, malas nak terbang, maka jalan pintas ialah salahkan ikan. Ikan pula salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau... dan begitulah seterusnya menyalah orang lain kerana ketidakmampuan diri sendiri menghadapai sesuatu perkara. Adakah kita masih mahu menjadi seperti burung bangau?
Lari Dari Tanggungjawab - ‘Siapa buat ni?’ tanya seorang ibu kepada anaknya yang menangis. ‘Amin terhantuk dinding ni..’ jawab di anak dalam tangisan. ‘OOoooo nakal ye dinding, mari ibu pukul dinding ni!’ ujar si ibu sambil membuat aksi memukul dinding. Perkara ini biasa terjadi, kan? Mungkin benda ini kecil saja. Ibu nak diamkan anak jadi cari objek lain untuk dimarahi. Itulah sebenarnya yang menjadi budaya kita sampai bila-bila. Sejak kecil ibu suka mencari objek lain untuk disalahkan bila anak menangis. Bila anak besar, dia pula cari objek lain untuk dipersalahkan bila hidupnya susah. Secara tidak langsung dia dapat lari dari menanggung dan menjawab. Bila ada benda tak kena, tuding jari kepada orang lain. Mudah saja kan? Sedangkan semasa dia kecil dulu, kalau dia tak lari laju-laju, takkan terhantuk pada dinding. Sepatutnya ibu nasihatkan anaknya supaya berjalan dengan perlahan dan berhati-hati supaya tak terlanggar dinding lagi, bukan salahkan dinding. Dinding tak bersalah apa-apa, dan tak ada perasaan pun. Cuma sikap menyalahkan benda lain saja yang ditanam dalam diri anaknya.

Siapa Yang Memandu Kehidupan? - Seorang lelaki berjalan seorang diri di hutan setelah terpisah dari kumpulannya selepas selesai menjalani perkhemahan di sebuah kawasan air terjun. Namun dia tidak terlalu panik kerana di tangannya ada peta dan kompas. Di dalam perjalanan, dia terlihat seorang lelaki yang sedang membawa gulungan rotan. Fikirnya itu mesti orang tempatan. Dia menegur dari jauh, ‘Nak ke mana bang?’ ‘Keluar ke jalan, peraih sedang menunggu!’ jawab orang itu. Di satu persimpangan, mengikut kompas dan petanya, jalan keluar adalah ke kiri, namun pencari rotan di hadapannya menghala ke kanan. Lelaki ini berfikir mesti orang ini tahu jalan pintas, lantas tanpa banyak soal dia terus mengekori pencari rotan itu. Sehinggalah hari hampir petang namun mereka belum sampai lagi. ‘Kenapa kau ikut aku?’ soal si pencari rotan setelah menyedari lelaki itu asyik mengekorinya. ‘Saya nak keluar ke jalan, saya ingat abang tahu jalan pintas,’ jawab lelaki itu. ‘Aku sesatlah…’ jawab si pencari rotan. Bila kita tiada pendirian sendiri dan cuma mengikut orang sahaja, akhirnya merugikan diri kita juga. Tambahan kalau kita tidak ada pengetahun langsung. Dalam dunia ini, semua orang ada masaalah masing-masing, dan hampir tak ada orang yang sanggup nak tumpang masaalah kita, melainkan dia memang kerja dalam bidang kebajikan atau sukarelawan.

Takkan Mengubah Nasib Kita - ‘Aku dengar di kilang ais batu tu ada lori babi masuk!’ ‘Ayam goreng di kedai AGB ni tak sembelih la!’ ‘Makanan dalam tin ni ada gelatin haram, tau!’ ‘Roti ni ada lemak babi, tau!’ Tapi kita masih juga menggunakan barang-barang di atas, disebabkan tidak ada alternatif, atau tidak ada alternatif terdekat. Kalau tak ada orang antara kita yang mengusahakan sesuatu, sampai bila-bila pun dialog itu akan terus kedengaran. Atau mungkin saja ia cuma propaganda untuk menjatuhkan jemana berkenaan, tapi masalahnya kalau itu pun, kita terus-terusan ‘ditipu’ oleh benda yang kita tak pasti. Maka jadilah kita sampai bila-bila pun macam itu saja. Hanya menjadi komentator, pemberi komen, peng-iya, dan itu sajalah.
Suatu peristiwa adalah kejadian dan ia tidak menyebabkan tekanan dan juga kesalahan. Apa yang menyebabkan tekanan adalah kepercayaan kepada penyebab tekanan; peristiwa, ancaman atau perubahan itu. Ada orang yang bermain dengan ular, tetapi ada juga yang mungkin akan pengsan jika nampak ular. Tahap minda dan kepercayaan kita mengenai apa yang terjadi kepada kita menyebabkan kita menyalahkan diri sendiri atau orang lain. Seseorang boleh menyalahkan diri sendiri atas tindakan sendiri dengan menyedari kepentingan diri dan menghargai nilai. Hal ini boleh berlaku secara semulajadi dengan bersikap bertanggungjawab untuk diri sendiri dan untuk bertindak secara bertanggungjawab.

“Menyalahkan adalah satu pembaziran masa. Walau betapa banyak kesilapan yang kita dapati dari orang lain dan menyalahkannya, itu tidak akan dapat mengubah diri kita. Satu-satunya yang tidak menyalahkan adalah dengan menjaga tumpuan ketika kita sedang mencari alasan luaran untuk menjelaskan ketidakbahagiaan atau kekecewaan kita. Kita mungkin berjaya menyebabkan seseorang berasa bersalah tentang sesuatu tindakan dengan menyalahkannya, tetapi kita tidak akan berjaya dalam mengubah apa-apa pun tentang apa yang membuat kita berasa tidak bahagia.”

Manusia jarang dan kedekut dalam memberikan pujian atas kejayaan, pencapaian dan kebahagiaan orang lain. Jika begitulah lumrah manusia, mengapa manusia harus menyalahkan orang lain atas kegagalan, kekurangan, ketidakbahagiaan dan ketidakpuashatian ? Menyalahkan orang lain tidak memberikan kesan positif dan ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Tetapi ia mempengaruhi tahap pencapaian dan nilai seseorang. Kita hidup dalam zaman yang mementingkan pencapaian dan keberkesanan, ini bermaksud ‘getting things done’. Menurut Napoleon Hill, ‘Pekerjaan terbaik sekarang adalah pergi kepada orang yang dapat lakukannya tanpa menyalahkan orang lain dan memberikan banyak alasan.’
Berhenti menyalahkan orang lain atas kegagalan kita. Seringkali seseorang mengkambing hitamkan orang lain atas kegagalan yang dialaminya. Ini adalah sebuah sikap yang samasekali tidak akan menghasilkan jalan keluar. Saat kita menyalahkan orang lain, inilah yang terjadi :
1. Tanpa sedar kita telah meletakkan hak untuk menentukan masa depan kita kepada orang tersebut.
2. Kita menyatakan bahwa tanpa bantuan orang tersebut kita tidak akan mungkin berhasil.
3. Kita tidak dapat lagi melihat peluang-peluang baru yang ada di sekitar kita.

Apapun alasannya, sebaiknya kita tidak menyalahkan siapapun atas kegagalan kita, lebih baik kita melihat beberapa hal di bawah ini :
1. Melakukan muhasabah diri, apakah kita sudah bekerja dengan maksima?
2. Melakukan penilaian terhadap hasil kerja kita,
3. Melakukan penambahbaikan terhadap setiap kelemahan dan kesalahan.
4. Lebih maksima dalam melakukan sebuah pekerjaan di kemudian hari.

Ingatlah, masa depan kita adalah tanggung jawab kita sendiri. Tak ada seorangpun yang dapat mencegah kita untuk berjaya bila kita menginginkannya. dan sebaliknya tak seorangpun dapat membuat kita berjaya bila kita tidak menginginkannya. Mintalah pada Allah dengan berdoa dalam kehidupan kita, dan lakukan bahagian kita dengan maksima dan sesungguh hati. Motivator terbaik kita adalah diri kita sendiri.

Saturday, November 24, 2012

Jangan mengharap perbuatan baik kita akan dibalas


Seringkali kita berdepan dengan situasi di mana kita manusia mudah berasa kecewa apabila jasa baik tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran samada dimasa yang lepas, sekarang dan bakal waktu mendatang. Sering terdengar kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak menghulur bantuan."
Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu." Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh. Kadangkala apabila saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali. Itu yang utama.

Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama. Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak. Ungkapan yang sering hadir diminda atau bibir kita, "Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."

Akibatnya ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik. Adalah menjadi fitrah manusia itu akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain.

Sebelum kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain. Kita lupa kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?
Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak: [5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8] Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. [Surah Al-Insaan; 76: 5-12]

Fokus kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah: [92] Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. [Surah Ali Imran; 3: 92]

Bukan seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan sukai. Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak mahu. Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah!
Pada ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan, mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut. Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala isinya yang akan dinikmati mereka.

Aduhai celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik; berilah semata-mata kerana Allah! Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.

artikel: iluvislam.com

Friday, November 23, 2012

Bersedekah tidak semesti dengan harta sahaja


Mungkin ramai di kalangan kita apabila disebutkan sahaja sedekah akan membayangkan ia perlu mengeluarkan sejumlah wang atau harta. Lalu sebahagian dari kita akan merasa sempit dada kerana mungkin tidak mampu untuk memberi atau mula memberi berbagai alasan. Sinonimnya kebanyakan dari kita sememangnya begitu kerana kelaziman manusia mempunyai sifat berkira atau kedekut. Kita disarankan berbuat begitu kalau untuk melakukan kemungkaran atau berbuat dosa.
Dikisahkan di dalam sebuah hadis riwayat Muslim di dalam Kitab Zakat, beberapa orang sahabat Nabi SAW telah datang menemui baginda SAW menzahirkan rasa cemburu terhadap golongan yang kaya. Mereka merasa cemburu kerana golongan kaya itu dapat membuat pahala yang banyak kerana mampu bersedekah dengan lebihan harta mereka. Lalu apakah jawapan Rasulullah SAW terhadap mereka? “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu yang boleh kamu sedekahkan? Sesungguhnya bagi kamu dengan setiap kali bertasbih (mengucap Subhanallah) adalah sedekah. Setiap kali bertakbir(mengucap Allahu Akbar) adalah sedekah . Setiap kali bertahmid (mengucap Alhamdulillah) adalah sedekah. Setiap kali bertahlil (mengucap La ilah illalLah) adalah sedekah. Ajak kebaikan adalah sedekah. Cegah kemungkaran adalah sedekah. Menggauli isteri adalah sedekah.” Para sahabat terkejut kerana memuaskan nafsu juga dianggap sedekah. Lantas baginda SAW bersabda: “Apakah pendapat kamu kiranya ia memuaskan nafsunya pada yang haram? Adakah ia mendapat dosa? Begitulah sebaliknya. Jika dia memuaskan pada yang halal, maka dia mendapat pahala.”

Sungguh indah agama ini. Sangat mudah untuk membuat kebaikan. Sangat mudah mendapat pahala kebajikan. Sesungguhnya pintu-pintu kebajikan sangat luas.Di mana-mana dan pada bila-bila masa kita boleh bersedekah.

*Tasbih, Tahmid, Takbir, Tahlil dan Melakukan Yang Halal
Sepertimana yang disebutkan di dalam hadis di atas, amalan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil adalah sedekah. Bahkan menggauli isteri juga adalah sedekah. Kerana apa? Kerana dengannya ia terpelihara dari perbuatan maksiat. Tambah-tambah lagi sekiranya ia berniat untuk mendapatkan zuriat yang soleh darinya. Niat telah mengubah adat menjadi ibadat. Hadis itu juga boleh memberi maksud, Allah mengganjari pahala pada apa sahaja perbuatan yang halal, Sangat mudah bukan untuk mendapat pahala? Pada hakikatnya bukan hanya amalan itu yang dianggap sedekah. Terdapat banyak lagi riwayat hadis yang menyatakan bentuk-bentuk sedekah yang lain, yang boleh kita lakukan hingga seolah-olahnya sepanjang 24 jam dalam sehari kita boleh melakukan pelbagai bentuk sedekah. Sekarang mari kita telusuri hadis-hadis di bawah untuk kita sama-sama merasai keindahan, kesyumulan dan mudahnya Islam.
*Nafkah Kepada Keluarga
Hakikatnya, setiap hari Allah telah menyediakan bagi hamba-hambanya ganjaran dan pahala kiranya digandingkan dengan keikhlasan dan niat yang baik. Bukankah setiap hari kita membelanjakan sesuatu untuk ahli keluarga kita? Di situ juga ada pahala sedekah yang Allah janjikan. Sabda Rasulullah SAW: Apabila seorang lelaki memberi nafkah kepada keluarganya dengan penuh pasrah mengharapkan redha Allah, maka baginya bernilai sedekah baginya. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW juga ada bersabda; Sesungguhnya tidaklah engkau menginfakkan sesuatu dengan tujuan mencari redha Allah melainkan engkau akan mendapat pahala kerananya, bahkan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu sekalipun. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

*Sedekah Dari Hasil Tanaman
Pernahkah kita tahu sekiranya binatang memakan hasil tanaman kita, kita mendapat pahala sedekah? Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Mana-mana muslim yang menanam tanaman, apa sahaja daripada tanamannya dimakan, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dicuri, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dimakan binatang buas, dia mendapat pahala sedekah. Apa sahaja dari tanamannya dimakan burung, dia mendapat pahala sedekah. Dan apa sahaja daripada tanamannya diambil seseorang, dia mendapat pahala sedekah. (Hadis riwayat Muslim)

*Tidak Melakukan Kejahatan
Dikatakan juga sebagai sedekah apabila kita menahan diri dari melakukan kejahatan. Sabda Rasulullah SAW: Sekiranya dia tidak mampu melakukan kebaikan, dia hendaklah menegah dirinya dari melakukan kejahatan. Sesungguhnya ia adalah sedekah baginya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

*Membantu, Menasihat Serta Menggembirakan Saudaranya
Bahkan pada setiap perkara yang dibuat untuk menceriakan orang lain, memudahkan urusannya, mengajaknya ke arah kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran dan sebagainya, yang sangat mudah untuk dilakukan setiap hari, padanya Allah sediakan ganjaran. Sabda Rasulullah SAW: Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah sedekah bagimu. Kamu menyuruh melakukan kebaikan dan menegah kemungkaran adalah sedekah bagimu. Kamu memberi pandu arah kepada seorang lelaki yang tersesat di suatu tempat adalah sedekah bagimu. Kamu membuang batu, duri dan tulang di jalan adalah sedekah bagimu. Kamu menuang air dari timbamu untuk diisi ke dalam timba saudaramu adalah sedekah bagimu. (Hadis riwayat Tirmizi)
Maka dengan itu, tenanglah hati-hati mereka yang tidak punyai harta yang cukup untuk bersedekah kerana Allah telah menyediakan ruang yang sangat luas untuk mereka membuat kebaikan. Namun demikian, bagi yang mempunyai harta yang lebih, kiranya mereka bersedekah dengan harta mereka dan dalam masa yang sama mereka juga melakukan amal-amal kebajikan yang banyak, maka sesungguhnya ganjaran untuk mereka sangatlah besar. Itulah kelebihan yang telah Allah kurniakan buat mereka.

Antara pengajaran lain yang boleh kita ambil dari kumpulan hadis di atas ialah;
• Zahir hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa semua yang disebutkan adalah sedekah. Samada ia berbentuk perkataan atau perbuatan. Samada berbentuk harta mahupun bukan harta.
• Islam sangat mudah. Sedekah bukan hanya dengan harta. Bahkan dengan apa sahaja kebaikan yang kita lakukan dan apa sahaja kegembiraan yang kita berikan kepada oranglain. Bahkan ganjarannya adalah sama dengan ganjaran mereka yang bersedekah dengan harta.
• Melakukan sesuatu yang halal, padanya pahala sedekah.
• Sesiapa yang melakukan kebaikan tetap diberikan ganjaran pahala walaupun mereka melakukan tanpa tujuan dan niat sepertimana pahala yang diterima oleh seseorang yang hasil tanamannya dimakan burung atau dicuri orang.
• Ia juga menunjukkan bahawa Islam sangat menuntut umatnya supaya menjaga silaturrahim, memelihara dan menunaikan hak-hak sesama saudara. Hinggakan apa sahaja kebaikanke arah itu, dikira sebagai sedekah.
 Untuk itu, marilah kita memperbanyakkan amal dan kebajikan untuk mengejar kelebihan-kelebihan yang Allah telah janjikan, dengan apa sahaja yang kita miliki dan apa sahaja yang kita mampu kerana Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap perbuatan baik adalah sedekah. (Hadis riwayat Muslim)

Ehsan - Ustazah Suriani binti Sudi

Thursday, November 22, 2012

Bila Dengar Orang Kata


Kenapa kita dikata, dibenci, dicerca dan berbagai lagi?
 Manusia sememang tak akan pernah puas. Adakala  malas nak bercerita  pasal hal dengki mendengki sebab kadang-kadang orang tak suka kita sebab salah sendiri pun, dikatakan dengki. Mungkin ada salah kita yang kita tak nampak? Tapi, janganlah terlalu obses melihat pandangan orang. Walaupun mungkin apa yang orang katakan tu betul, jangan biarkan kutukan-kutukan melampau mereka menguasai diri.

Kadang-kadang bila kita buat baik, orang tetap tak puas hati kan. kadang-kadang jugak, mereka tak kenal kita tapi masih jugak nak menghakimi kita dan paling teruk, ada jugak segolongan manusia yang dari first time tengok kita pun, dah tak suka padahal kita belum bercakap pun lagi. Begitulah manusia, jadi janganlah gusar, kerana setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kalaulah mereka dapat membaca hati kita, pastilah perkara sebegini takkan berlaku (kalau hati bersih) dan takkan ada gerakan anti kita walau dimana saja kita berada …. percayalah

Bila kita ikut suruhan agama..ada orang kata "tak payah la berlagak alim sangat"
Bila kita langgar suruhan agama..ada orang kata "astaqfirullah, apa la nak jadi"

Bila kita sedekah duit..ada orang kata "ala, nak menunjuk la tu"
Bila kita simpan duit..ada orang kata "duit banyak tapi kedekut pahit"

Bila kita ikut peraturan..ada orang kata "tengok tu, skema betul"
Bila kita langgar peraturan..ada orang kata "bodoh betul la orang tu"

Bila kita tegur dengan baik..ada orang kata "bajet bagus la kononnya"
Bila kita tegur dengan kasar..ada orang kata "kurang ajar, tak ada adab betul"

Bila kita pakai sopan..ada orang kata "update la sikit,macam kampung sangat"
Bila kita pakai 'dedah sana-sini'..ada orang kata "malu la sikit, tak ada maruah ke?"

Bila kita bagi nasihat.. ada orang kata "jangan sibuk jaga tepi kain orang, boleh?"
Bila kita sindir-menyindir..ada orang kata "tak reti bagi nasihat leklok ke?

Bila kita tolong buat kerja.. ada orang kata "tak payah la duk menyibuk kat sini"
Bila kita tak tolong apa-apa..ada orang kata "dasar pemalas betul"
Samada sedar dan tak sedar, memang ramai orang yang tak puas hati dengan kita. Kalau nak kira dengan jari memang tak terhitung. Bagi orang yang dah mati pun, ada lagi mereka yang masih dengki. Mulut orang memang tak boleh nak tutup. Apa yang kita buat semua salah.. semuanya tak betul di mata mereka. Kalau buat salah sudah tentunya salah.. tetapi jika buat baik pun masih ada yang mengata. Ingat satu pesanan ni..

“Hiduplah atas kekuatan diri sendiri, bukan pandangan orang lain. Dan kita dan semua, janganlah asyik nak provok orang. Fikirkanlah kesan jangka panjang perbuatan kita terhadap orang tersebut, Dan kita pula, banyakkan bermuhasabah diri, orang yang kita kata adalah cermin diri kita”

"Keputusan yang kita ambil, langkah yang kita mula..perkara pertama yang perlu kita fikirkan ialah pandangan Allah SWT terhadap kita..bukan pandangan manusia"
Beginilah jadinya kalau kita mudah sangat ikut cakap orang. semua orang mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza. Tak semestinya semua kata-kata orang boleh kata ambil bulat-bulat tanpa kita berfikir dengan logiknya. Jika kita suka sangat dengar apa orang cakap, maka kita tak tahu apa yang kita buat dan nak buat. Jadi berfikirlah sendiri dan jika keputusan itu yang kita rasa betul, itulah yang kita perlu ikut dan lakukan. dan jika keputusan itu kita rasa tak betul, pandai-pandai lah kita menolaknya. Semunya adalah kerana Allah SWT.

Thursday, November 8, 2012

Hadapi Masaalah Dengan Bijak

Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masaalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masaalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masaalah yang paling besar hinggalah masaalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masaalah. Cuma masaalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah juga satu masaalah. Namun hakikatnya setiap masaalah pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masaalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.

Antara masaalah yang wujud di persekitaran kita ialah masaalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masaalah cinta, pertengkaran dengan ibu bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masaalah lagi. Masaalah juga boleh menyumbang kepada masaalah yang lain, contohnya masaalah remaja yang tidak tahan dengan leteran ibubapanya boleh membawa remaja itu kepada masaalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh. Masaalah yang kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.

Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masaalah, sekiranya bukan kita yang bermasaalah, orang lain pula yang mendatangkan masaalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasaalahan tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masaalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masaalah dengan tenang.

UJIAN IMAN
Masaalah sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.
Setiap masaalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah :

"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (al-Ankabut: 2 - 3)

DARJAT DI SISI ALLAH
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masaalahnya. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud“ Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.

Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masaalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah. "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." ( at-Taubah:111)
CARA MENGATASI MASAALAH
1.Sandarkan Harapan Pada Allah
Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”. "Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah:129)

2.Minta Pertolongan Dari Allah
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)

3.Jangan Sedih dan Kecewa
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139). Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa dengan masaalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah: “ ...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf : 12)

4.Luahkan masaalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.

5.Bandingkan masaalah kita dengan masaalah orang lain, mungkin masaalah orang lebih besar dari masaalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masaalah.
Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." – (al-Baqarah: 216). - Ehsan Haslinda Lukman

Saturday, November 3, 2012

Siapakah Yang Sibuk?


Kesibukan adalah sebahagian dari kehidupan kita bahkan sebahagian dari diri kita. Jika kita tidak terasa kesibukan itu berada disisi kita mungkin itulah tandanya jiwa kita telah mati atau melupakan kehidupan. Kesibukan adalah warna yang mengindahkan kehidupan dan setia menanti disetiap persimpangan jalan. Kita perlu buat pilihan apa yang ingin kita sibukkan. Jika kita tidak sibuk dalam amalan kebaikan maka kita akan sibuk dalam dosa dan kemaksiatan. Kata ulamak; Alangkah ruginya seseorang yang sibuk tetapi seluruh kesibukannya adalah untuk dunia yang sementara bukan Akhirat yang kekal abadi.
“Saya sibuk sekarang ni”. Saya tak ada masa”. Banyak kerja yang perlu saya siapkan”. Itulah jawapan yang selalu kita dengar bila kita ingin minta bantuan dari kawan-kawan…. lebih-lebih lagi ketika kita ingin mengajak rakan kita kepada program-program yang berkaitan dengan Islam. Benarkah semua orang sibuk atau buat-buat sibuk?

Kebiasaannya memang semua orang sibuk, cuma persoalannya apa yang mereka sibukkan. Kata Imam Al Ghazali “rugilah mereka yang sibuk tetapi segala kesibukan mereka hanya untuk dunia sahaja”. Bagaimana pula dengan kita… apa yang kita sibukkan, adakah kita sibuk menyiapkan bekalan untuk hari pertemuan dengan Allah SWT atau sebaliknya sibuk dengan kenikmatan dunia hingga menyebabkan hati kita terlalu keras untuk mendengar peringatan atau nasihat? Berapa peratuskah kesibukan kita untuk Akhirat? Mahukah kita tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi sepertimana dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali. Dalam satu surah Allah SWT berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya orang-orang yang rugi itu adalah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka di Hari Qiamat. Itulah ‘kerugian’ yang sebenarnya”.

Sekiranya kita tidak fikirkan sekarang, kita akan menyesal pada hari pertemuan kita dengan Allah SWT, hari dimana akan dibentangkan kitab amalan kita….`ada yang akan menerima kitabnya dari sebelah kanan, ada yang akan terima dari sebelah kirinya dan ada pula yang akan menerima kitab amalannya dari belakang… bagaimana pula yang kita harapkan. Dalam surah al Kahfi Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan dibentangkan kitab (Kitab amalan kita yang selama ini dicatat dengan begitu rapi oleh malaikat yang menjaga di kiri dan kanan kita), kamu akan dapati orang-orang yang berdosa itu gementar ketakutan melihat apa yang ada di dalamnya, dan mereka berkata… celakalah kami, kitab apakah ini, tidak tinggal olehnya perkara kecil atau perkara besar melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati apa saja yang mereka kerjakan (di dunia) hadir/nampak di hadapan mereka”

Saat-saat beginikah baru kita nak muhasabah diri dan menyesali bahawa kesibukan diri kita selama ini hampir semuanya untuk dunia semata-mata. Apakah nilainya penyesalan kita pada masa itu? Sememangnya ramai yang menyesali perbuatan mereka pada masa itu dan minta supaya dikembalikan ke dunia untuk mereka beramal soleh….. tetapi kebanyakan permintaan ini Allah jawab dengan sindiran, kerana penyesalan ketika itu tidak bermakna lagi, seperti yang Allah rakamkan dalam surah As Sajdah (ayat 12) “Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Rabb mereka, mereka berkata…. Ya Rabb kami, Kami dah nampak dah, kami dah dengar… kembalikanlah kami (ke dunia), kami nak buat amal soleh, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang yakin”.

Apakah nilainya penyesalan kita pada ketika itu… setelah jatuhnya ketetapan Allah ke atas diri kita. Sekaranglah masanya untuk kita renungkan masa-masa yang kita lalui, setakat manakah ianya benar-benar bermanfaat untuk Akhirat kita dan berhati-hatilah dengan tipu daya dan belitan syaitan, kerana tipu dayanya terlalu halus.

Hidup ini adalah perjalanan pulang menuju Allah SWT. Setiap detik waktu yang kita lalui, setiap hari baru yang kita temui dan setiap pertambahan umur kita mendekatkan kita kepada kematian. Setiap hari umur kita semakin berkurangan bukan bertambah. Bahkan kematian itu sebenarnya begitu hampir dengan kita dan akan datang bila-bila masa tanpa izin dan kerelaan kita. Setiap hari begitu ramai manusia yang seumur kita dipanggil pulang mengadap Allah SWT bahkan ada yang jauh lebih muda dari kita. Apa yang menjadikan kita begitu yakin akan bertemu fajar esok.
Sahabat-sahabat Rasul R.A tidak pernah yakin akan hidup sampai keesok hari. Kata Saidina Ali RA, ia hanya pernah sekali merasa begitu yakin akan hidup untuk hari esoknya; ketika mana Rasulullah SAW memintanya menggantikan Rasulullah di tempat tidurnya. Sebelum berhijrah meninggalkan Saidina Ali di posisi yang begitu bahaya baginda berpesan agar ia memulangkan semua harta yang disimpan oleh baginda kepada pemilik-pemiliknya. Pesanan baginda Rasulullah SAW itulah yang menjadikan dirinya begitu yakin akan hidup sampai kehari yang seterusnya.


Mereka (para sahabat) benar-benar mencintai akhirat bahkan mereka adalah anak-anak akhirat yang melihat dunia dari jendela kematian. Dunia bagi mereka begitu sementara, seketika dan sekadar laluan sementara. Seluruh kesibukan mereka ditumpukan kepada persediaan untuk balik kepada Allah SWT. Sikap mereka terhadap dunia begitu dingin dan gersang. Mereka tidak mengeluh dengan kepayahan dan kesakitan dunia kerana itu bukanlah musibah sebenar bagi mereka sebaliknya fenomena biasa bagi dunai sebagai pentas ujian dan medan amal. Bagi mereka musibah yang sebenar ialah musibah yang menimpa hati mereka hingga mereka kufur dan hidup bergelumang dosa atau sekurang-kurang ragu-ragu terhadap kesempurnaan Ilmu, Keadilan dan Kasih Sayang Allah SWT.

Thursday, November 1, 2012

Siapa yang sering datang melihat kita

Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka. Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35). Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail. Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.'" Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Rasulullah SAW juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan. Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan). Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis. "Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka. Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."
Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. "Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. "Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri. Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh. Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s. Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu. Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul. Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya. Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian.
Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.

RENUNGKANLAH BERSAMA PENJELASAN DIATAS. Moga ia menjadi manfaat bersama