DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Monday, March 26, 2012

Mencari Bahagia Di Hati

Bila kita memikirkan tentang bahagia, timbul diminda kita hidup yang penuh ceria, serta kesempurnaan, fikiran kita menjadi lapang dan tidak berserabut. dada tidak sempit dan pernafasan lancar, segala-galanya teratur dan aman. Saat kita bahagia, jiwa akan tenang, damai dan mendamaikan. Kita mampu membuat keputusan dengan matang dan bijaksana. Menguruskan segala urusan dengan sebaik-baiknya, menjaga dan mendidik keluarga dengan penuh jiwa dan keinsafan, menjadi insan terbaik untuk suami atau isteri tercinta. Perlu kita ketahui hakikat bahagia, tidak semestinya hanya apabila kita dapat apa yang kita mahu atau yang kita hajati sahaja, rasa bahagia ini mampu hadir walau kita dalam kemelut masalah yang bertimpa-timpa dan menjalani kehidupan yang teruk, jauh dari impian. Makna bahagia sebenarnya jauh lebih dalam dan besar dari semua itu.
Untuk mencipta bahagia terlebih dahulu kita harus menguruskan diri dengan menjauhi sifat mazmummah. Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang. Ini disebabkan sikapnya membuat orang menjauhi kerana tiada kelembutan dijiwanya.

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam dengan secara apa sekali pun walau yang sekecil-kecil seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. Didalam diri sentiasa penuh dengan sifat iri malah tidak suka melihat ada yang lebih darinya

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..- sedekah) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut walau berapa banyak yang diminum tetap tak abis juga lagi pun org tamak selalu rugi. Ingat, yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu perbanyakkanlah bersabar bila hadapi dugaan)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.pasal semua orang ada egonya sendiri.. cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dengan apa yang kita ada

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berharta tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah. Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati

Apabila kita dapat membersih hati kita dari sifat-sifat diatas maka kita sudah meletakkan diri ini dilandasan yang betul. Kita perlu istiqamah dalam membenteras sikap negatif ini supaya keimanan kita bertambah menjadikan kita taqwa kepada Allah.
Dalam mencari bahagia dihati selain membersihkan diri kita juga berhadapan dengan insan-insan lain yang kadang kala mengugat diri dalam memperoses meningkatkan keimanan. Jesteru untuk mendidik hati supaya berterusan mencipta kebaikan demi mencapai bahagia dihati, perlu kita tangani pada 4 perkara berikut supaya kita menjadi muslim yang sempurna malalui kehidupan seterusnya;

INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita. Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah Allah SWT. Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita. Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya. Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya. Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini.

LUPA 1
Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (Al-Qur’an Al-Kariim, Surah Al-Baqarah, ayat 264) Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya. Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.
INGAT 2
Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya. Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa. Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita. Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

LUPA 2
Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia. Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa. Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi. Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.

MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF
Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf. Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya. Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita. Ya Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku. Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu. Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa. Maafkan aku, hamba yang berdosa. Moga ada sinar bahagia, di hari muka.

Bila dapat kesemua fasa diatas, Insyaallah, kitalah dikalangan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat, segala permasaalah dapat kita lalui dengan tenang, maka jadilah kita dikalangan hamba yang menerima rahmah dan kasih sayangNya … Insyaallah

Thursday, March 15, 2012

JANGAN SAMPAI PINTU TAUBAT TERTUTUP

Taubat adalah jalan kembali kepada Allah SWT. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari sisi Allah SWT. Jika dia tidak bertaubat dia tetap tinggal jauh dari Allah SWT. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Allah SWT. Dia boleh melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Allah SWT. Hamba yang melakukan kesalahan sangat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya. Salih itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Allah SWT. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala. Pahala bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.
Bani Adam memiliki tabii keadaman. Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat. Nabi Muhammad SAW yang suci bersih pun sering bertaubat. Paling tidak memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya melakukan perintah Allah SWT dengan sempurna.

Ramai manusia terhalang daripada memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu taubat. Adam A.S yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau  melalui pintu taubat dan menerima keampunan dari Allah SWT. Roh syariat, roh agama, nur iman, nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan Allah SWT mengampunkan dosanya, kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir dengan Allah SWT. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Allah SWT akan memperolehi keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Allah SWT dan layak dipakaikan mahkota khalifah di bumi.

Taubat yang hanya merupakan kata-kata, tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan. Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam tanah dan membuangnya jauh-jauh.

Taubat luaran adalah penyesalan secara umum dan samar-samar. Taubat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam A.S yang telah melakukan kesalahan dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.
Orang yang benar dengan taubatnya mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah SWT. Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan yang salah.

Dalam perjalanan menuju tahap yang suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makanan, minuman, pakaian, tidur, melakukan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego yang jahat seperti takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah. Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang menggambarkan kedamaian jiwa.

Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh menjadi pintu buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa. Dosa adalah umpama besi dan neraka umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan, minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur. Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.

Syahwat yang berzina akan dibaluti dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram. Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil. Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi penyakit aids.
Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur. Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan yang disembunyikannya.

Fikiran dan perasaan yang dibaluti dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian, membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah kemusanahan. Morfin yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.

Ulama zaman dahulu suka memperingatkan umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya. Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi? Apakah kemudaratan tidak bersolat? Apakah kemudaratan tidak berpuasa? Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu perkara itu berdosa atau tidak. Kaum Muslimin memainkan peranan yang penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidak-stabilan yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Allah SWT Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa manusia. Taubat merupakan kurniaan Allah SWT yang besar kepada orang-orang yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat solat dan lain-lain. Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka menghadap Allah SWT di dalam solat.
Taubat, sebagaimana juga ibadat yang lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam batin. Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fiqah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Allah SWT dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Allah SWT dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan solat.

Taubat yang benar menggabungkan cara fiqah dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan solat sunat taubat dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.

Taubat yang lebih mendalam perlu kepada bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Allah SWT. Dilihatnya dosa seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan lari kepada Allah SWT memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh daripada Allah SWT. Dia takut ‘kehilangan’ Allah SWT yang sangat dikasihinya. Dia takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut dan malu kerana Allah SWT Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Allah SWT yang sangat keras. Ucapan yang keluar dari mulut orang yang takutkan Allah SWT memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Allah SWT itu turut menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.

Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut Sunah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri. Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah SAW, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.

Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu fiqah. Sebab itu orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan. Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat dengan selamat.
Adam A.S, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Adam A.S mengakui kesalahannya dan merujuk kembali kepada Allah SWT, memohon agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam A.S beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam A.S bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT yang mengajarkan Adam A.S bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam A.S kepada Allah SWT as-Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh Adam A.S adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.

Iblis, jin yang pertama diciptakan Allah SWT, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Adam A.S adalah lupa kepada pesanan Allah SWT. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Allah SWT. Adam A.S mengakui kesalahan dan bertaubat. Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Adam A.S yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT. Adam A.S kembali kepada Allah SWT dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak jauh dari Allah SWT dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak taubat membawa Adam a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling buruk dan paling azab

Ehsan - Alhakiki

Wednesday, March 7, 2012

Mengurus dan Menghargai Nikmat

Kehidupan dalam zaman yang serba mencabar menuntut manusia untuk sentiasa berdaya saing, kedepan, sering menggoda jiwa dan fikiran kita supaya sentiasa mahu merasa lebih atau setidak-tidaknya setanding dengan orang di sekeliling. Kita tidak pernah merasa puas dengan apa yang kita ada kerana jiwa dan fikiran kita sentiasa melihat kelebihan orang lain. Orang lain itu begini, untungnya dia. Orang lain itu begitu, untunglah dia. Kita tidak lagi berminat untuk menjadi diri sendiri. Sebaliknya, sentiasa mengikut arus perdana orang lain. Perasaan serba kekurangan pada diri menyebabkan jiwa tidak damai dan tenang. Sangat ramai di kalangan manusia sibuk berfikir bagaimana hendak mendapat yang diidamkan. Tetapi sangat sedikit manusia yang berfikir, bagaimana hendak bersyukur dan berterima kasih kepada Allah dengan apa yang dimiliki
Kita jarang sekali cuba menghitung nikmat-nikmat Allah Ta’ala kepada kita kerana kita dapat melakukannya seperti firman Allah, “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkaan kepada kamu), tiadalah kamu dapat menghitungnya satu persatu…” – An Nahl : 18. Apa yang kita sering hitung adalah apa yang bukan milik kita. Kita tidak memberi kesempatan kepada diri sendiri untuk menghargai apa yang telah dianugerahkan dalam hidup ini. Apa jua yang kita tidak perolehi sering kita ungkit-ungkit. Sedangkan apa saja yang ada pada kita yang mungkin tiada pada orang lain, tidak pernah kita hitung dan hargai.

Diantara nikmat-nikmat Allah SWT yang tak terhitung, dianugerahkan ada lima nikmat yang paling besar untuk kita renungkan dan fikirkan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit.

Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin).

Ketiga masa lapang sebelum tiba masa sibuk.

Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan

Kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi). Hadis ini memperlihatkan kepada kita betapa Rasulullah SAW begitu sekali bersungguh-sungguh tidak mahu umatnya kerugian kerana mengabaikan kelima-lima peluang atau nikmat yang patut mereka bersungguh-sungguh merebutnya sebelum datang lima perkara yang boleh menyebabkan mereka ditimpa penyesalan. Sikap mengambil mudah ini menyebabkan begitu banyak orang Islam telah membiarkan kelima-lima masa atau keadaan itu hilang lesap tanpa dimanfaatkan. Dan ianya berlalu dengan pantas pula diisi oleh kelima-lima masa atau suasana yang merupakan lawannya itu. Manusia mudah leka apabila mereka dikurniakan nikmat seperti kelapangan hidup sehingga sewaktu mereka bermesra dengan anak-anak dan isteri, seakan-akan mereka tidak lagi didatangi waktu yang sempit yang membuatkan mereka merasa begitu menyiksakan.

Masa kaya sebelum miskin dengan mengisi masa kaya ialah dengan menggunakan harta kekayaan itu dengan sebaik-baiknya yang dapat memberi keuntungan terutamanya di dalam kehidupan akhirat dengan cara menolong sanak saudara yang berkesempitan, memperbanyakkan sedekah terutama kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, pergi ke Mekah menunaikan ibadat haji dan berzakat apabila telah cukup haul dan nisbahnya.

Begitu juga cara untuk mengisi masa sihat sebelum datangnya masa sakit. Ketika sihat, seseorang manusia itu seharusnya mengenangi nikmat Allah yang dikurniakan ke atas dirinya dengan cara membandingkan nikmat sihatnya dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh orang yang sedang terlantar sakit. Ini pastinya boleh menolong kita atau seseorang itu untuk insaf dan kemudian berusaha mengisi masa sihatnya dengan cara membanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Cuba kita yang sihat ini bayangkan, bagaimana jika sekiranya tiba-tiba sahaja kita ditimpa sakit dan terlantar di katil pada saat-saat kita masih berangan-angan untuk menyimpan ibadat setelah hari tua Tidakkah kita akan menyesal kerana ditimpa kerugian yang datang tanpa kita sangka-sangka itu.
Seterusnya Rasulullah SAW menyuruh kita mengisi pula masa lapang sebelum datangnya masa sempit. Kebanyakkan manusia apabila kedapatan masa lapang, akal fikiran mereka terus terarah kepada kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang mendatangkan keseronokan semata-mata. Padahal apa yang sepatutnya ialah mereka perlu mengisi masa berharga itu dengan amalan yang boleh menghalakan hati untuk memberi sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap Allah SWT. Bukan semata-mata melampiaskan dorongan hawa nafsu buas. Jika masa santai mereka itu dengan cara membawa keluarga bersiar-siar mengambil angin, melihat keindahan tumbuhan seperti bunga.

Perkara terakhir yang merebut masa hidup sebelum tibanya masa mati. Inilah kesudahan yang mana kalau terlepas akan ditindih oleh penyesalan yang tidak akan habis-habis walaupun mata terpaksa bermandi dengan pancaran air darah. Jika sudah didatangi kematian, maka berakhirlah segala-galanya. Malah untuk mengerjakan solat sunat sekadar dua rakaat di dalam kubur yang mana sangat diinginkan oleh setiap mayat tidak lagi diizinkan oleh Allah SWT. Kenapa Kerana di sana bukan lagi tempat untuk beramal ibadat. Masa mati adalah masa untuk menerima balasan. Balasan baik akan merasai nikmat kemanisannya. Balasan buruk pula akan merasai azab keperitaannya. Ini kerana masa hidup adalah hidup adalah masa bercucuk tanam, manakala masa mati adalah masa untuk menuai pula.

Justeru demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, kita perlu mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah SAW yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadith tadi. Marilah kita isikan masa-masa yang lima itu dengan bersungguh-sungguh tenaga kita sebelum datangnya lima perkara yang penuh dengan duri dan ranjau yang mungkin akan menghitamkan muka kita setelah kita bangkit di Mahsyar nanti. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud : "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka berpusu-pusu dengan kebenaran dan berpusu-pusu dengan kesabaran."

Sebenarnya, kedamaian jiwa akan kita perolehi apabila kita cuba untuk bersyukur dan merasa puas dan berbangga dengan apa sahaja nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita walaupun sedikit. Sebagai contoh, kesihatan kita. Alangkah indahnya bila kita cuba berusaha untuk menghargai nikmat kesihatan dengan jasad ini dikerah untuk mengerjakan perintah Allah SWT. Kerana, di luar sana, ada orang yang terlantar di katil melalui hari-hari dengan kesakitan. Menanti ketentuan Allah SWT. Ada orang, yang merintih dan merungut kerana rupa paras tidak cantik jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang ada di sekelilingnya. Tapi cubalah berfikir, di luar sana ada orang lain yang lebih buruk rupa paras dan tidak sempurna tubuh badan mereka akibat kecacatan semulajadi atau akibat kemalangan.
Jiwa hanya akan menjadi tenang apabila dalam hidup ini, kita tidak bandingkan diri dengan orang lain, jika itu hanya mendatangkan sifat kufur. Kita wajib bersyukur kerana dengan bersyukur kita mendapat jaminan pertambahan dan gandaan. Yang menjamin ini datang daripada Tuhan Yang Maha Kaya lagi Berkuasa iaitu Allah. Firman Allah bermaksud: "Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambah nikmat dan jika kamu kufur sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." Jika kita perhatikan, zaman sekarang mana ada yang percuma. Semuanya mesti dibayar, malah sikit-sikit bil, sikit-sikit bil. Lambat bayar kena amaran, lama-lama kena tindakan. Tetapi Allah, Tuhan Yang Maha Kaya, boleh memberikan secara percuma tanpa bil seperti udara percuma, jantung percuma, mata dapat melihat tanpa bayaran, malah semuanya tidak kena bayar. Apabila dikenangkan kebaikan percuma, sepatutnya timbul rasa terima kasih dalam diri kita kepada pihak yang memberi itu iaitu Allah. Itulah namanya bersyukur. Bersyukur itu sangat besar kedudukan dalam Islam. Tetapi jika tidak bersyukur jadi kufur.

Oleh itu, marilah kita bersyukur. Bagaimana bentuk syukur patut kita lakukan? Sebenarnya ada lima bentuk syukur nikmat perlu kita renungkan.

Pertama: Yakinlah segala nikmat itu datang daripada Allah.

Kedua: Apabila kita mendapat pujian kerana sesuatu kelebihan, pulangkan kepada Pemberinya iaitu Allah. Kalau kita cerdik, ucap saja 'alhamdulillah' (segala puji bagi Allah) kerana yang memberi otak dan kecerdikan ialah Allah.

Ketiga: Terima kasih pada orang yang menjadikan penyebab nikmat. Bila cerdik kena syukur juga pada orang yang membantu kita cerdik seperti guru dan ibu ayah.

Keempat: Jadikan segala nikmat diperoleh sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Jika kita mendapat anak misalnya, cara bersyukur ialah didik anak betul-betul hingga menjadi orang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mereka yang menjadi guru dan mempunyai ilmu patut berkhidmat dengan ikhlas untuk umat.

Kelima: Ceritakan nikmat anugerah Allah itu kepada orang lain. Memperlihatkan sebahagian nikmat adalah termasuk dalam erti kata syukur. Tetapi dalam bab ini, kita mesti berhati-hati, kerana dibimbangi mengundang riya'.

Sesungguhnya di dalam setiap nikmat duniawi itu terkandung suatu bencana sekalipun ianya dihiaskan dengan rupa yang begitu indah dan mempersonakan bagi setiap manusia. Nikmat dan kurniaan Allah terhadap hamba-hambaNya adalah sebagai satu anugerah yang wajib disyukuri, sekalipun nikmat tersebut akan berubah menjadi suatu musibah, ianya juga wajib disyukuri. Sebagai contoh ; seseorang yang dalam kemiskinan dan kesakitan, mungkin itu lebih baik untuk dirinya daripada ia dikurniakan kesihatan, kerana barangkali jika kemewahan dan kesihatan diberikan kepadanya, maka dia akan membuat kederhakaan dan penyelewengan daripada batas agama. Jika dipandang daripada sudut zahir, sesuatu yang ditarik daripada nikmat, ia akan dianggap kesusahan, manakala nikmat yang dihamparkan ianya dianggap sebagai anugerah terbaik, sedangkan kedua-dua keadaan tersebut itu, samada baik ataupun buruk dikira sebagai Nikmat, jika keduanya tidak disyukuri maka manusia akan menyalahi nikmat dengan malampaui segala batasan yang telah dianugerahkan kepadanya. Seharusnya kita sebagai hamba, hendaklah pandai mengurus nikmat yang dianugerahkan kepada kita. Di samping itu, kita diajar agar sentiasa merasa cukup dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita daripada nikmat ataupun sebaliknya agar kita sentiasa berada di dalam batasan.
Apakah ruang untuk rasa bersyukur itu hanya akan ada apabila manusia menerima kenikmatan dan mengecap bahagia dengannya, tapi mengapa pula ruang bersyukur itu tertutup apabila manusia menerima cubaan yang bertentangan dengan kehendak dirinya. Walhal, cubaan yang Allah SWT datangkan itu sebenarnya adalah kesan dari perbuatan manusia itu sendiri. Cubaan itu Allah berikan untuk membersihkan diri manusia, malahan!

Kenapa ya, manusia memilih situasi untuk bersyukur? Manusia lebih cenderung akan belajar mengenai rasa bersyukur kepada Allah SWT apabila berada dalam keadaan yang susah. Tapi manusia akan cenderung menjauh daripada Allah jika berada dalam kesenangan. Kata orang, cepat lupa daratan, tapi bukan semua manusia begini. Kebanyakannya sahaja. Bila fikir kembali, kerana manusia itu angkuh untuk merendahkan diri dan tunduk kepada Allah SWT setiap masa. Kerana, ada manusia yang akan tunduk setunduk-tunduknya kepada Rabb apabila dirinya ditimpa masalah sahaja. Dengan izin Allah, Allah hilangkan masalah tersebut, dia kembali lupa kepada kerendahan dirinya sebagai hamba Allah SWT. Malah, ada juga yang berpaling dari-Nya sesudah itu!

Kita renung kembali lembaran kehidupan yang telah dilalui. Atau kita menoleh sejenak melihat kehidupan silam. Kita pasti, mesti ada saat-saat yang suka, membahagiakan. Tidak kurang juga saat-saat duka, yang menyedihkan jiwa. Siapapun sangat wajib mensyukuri apabila memimbas lembaran kehidupan silam. Walau seluka manapun pun kita pada masa yang lalu, sepahit manapun pengalaman lalu, Kita masih hidup sehingga hari ini. Ada manusia, yang berdendam dengan setiap manusia yang terlibat dengan masa lalunya, termasuk berdendam kepada Allah SWT kerana dia merasakan ketidakadilan seringkali berlaku dan nasib yang baik tidak menyebelahinya sepanjang hidup. Tapi sebenarnya, dia lupa untuk melihat diri sendiri. Kehidupannya hari ini adalah kerana kehidupan yang sangat dibencinya pada masa silam. Mungkin, dia terlepas pandang bahawa, apa yang telah dikecapinya pada hari ini adalah kerana hal itu Allah SWT yang membenarkan. Dan bukannya terjadi sendiri. Kalau pun kerana usahanya sendiri, usahanya itu juga Allah SWT yang telah benarkan, kerana hakikatnya kudrat kekuatan seorang manusia itu datangnya dari Allah SWT

Kita manusia, memang begitu, penuh dengan kelemahan walaupun memperlihatkan segala kekuatan. Lihat diri sendiri pada alam. Maksud, bukan melihat pada alam semulajadi sahaja, tapi lihat diri kita pada alam serta isinya sekali; manusia dan makhluk Allah SWT yang lain. Jangan lihat kekurangan diri kita pada mereka. Tapi lihat apa yang kita ada, tapi mereka tiada. Selepas itu, lihatlah apa yang kita tiada, ada pada mereka. Jangan melihat dengan keangkuhan. Lihatlah dengan kerendahan hati. Sangat pasti, jika kita melihat sesuatu dengan kerendahan hati, Allah SWT tidak mensia-siakan usaha kita. Malah, Allah turut membantu kita.

Walaupun sebenarnya kehidupan silam kita tidak seindah dan seteratur kehidupan orang lain, ia bukan sesuatu yang perlu kita sedihkan, selepas itu kita berdendam dengannya. Sesekali mengimbas kembali kehidupan yang penuh perit itu akan mengundang airmata tanpa sedar. Tapi, kerana keperitan itulah kita ada dan masih hidup sehingga hari ini. Buktinya, Allah Ta’ala tidak membiarkan kita mati sia-sia pun dengan ujian itu. Setiap rasa syukur yang manusia buat dengan redha, Allah tetap berikan ganjaran. Allah Maha Penyayang. Dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Sebaliknya, kita inilah yang selalu menzalimi diri sendiri. Dan Allah SWT datangkan cubaan untuk membuka mata hati kita, agar tidak terus-menerus menzalimi diri sendiri yang hanya akan membawa kerugian di akhirat kelak Allah SWT berfirman, “Jika kamu bersyukur pasti akan aku tambah (nikmat-Ku) untukmu dan jika kamu kufur maka sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” – Ibrahim : 7

Ingatlah, semua manusia pun masih dan akan terus belajar. Marilah kita pula belajar dan mendidik diri untuk bersyukur kepada Allah SWT. Syukur itu, banyak cara. Kata pada diri kita yang kita berjiwa hamba yang mahukan kebaikan. Senyum. Tak perlu kata apa-apa ….. Subhanallah

Thursday, March 1, 2012

Menghadapi Dugaan

Dugaan adalah satu ujian yang Allah SWT turunkan kepada hambaNya melalui dua bentuk samada dalam dua bentuk, kesenangan dan kesengsaraan. Sebagai manusia, kita memang tak lepas dari diduga. Dugaan ni datang dari macam-macam jenis. Ada yang diduga dari segi kesihatan, kematian, kewangan, kerjaya, perhubungan, kaya miskin, senang susah, sibuk lapang, takut berani, gembira sedih, rendah gemuk kurus, sihat sakit, muda tua, cinta kasih sayang benci dendam, jauh dekat, rindu, marah seronok lucu seram, mewah melarat, sunyi, besar kecil tinggi, buta celik  malah berbagai lagi yang kita hadapi bila berkata tentang dugaan. Sepertimana firman Allah dalam (Q.S. 29 al-Ankabut:2-3) "Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta".
Mari kita nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT. Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus. Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Kita hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah. Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Allah meletakkan kepentingan sabar sebagai asas dalam menghadapi ujian dan malapetaka. Firman-Nya disebutkan, Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat, dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah: 45).

Ujian membuktikan kekuatan manusia dalam berhadapan dengan keadaan tersebut. Malah tingkat ujian berbeza menurut kemampuan seseorang Dugaan datang bersama hikmah. Ia memerlukan masa untuk manusia memperhalusi sebab dan punca sesuatu perkara. Ujian dan dugaan menjadikan diri sentiasa menghargai apa yang sudah dimiliki. Ia mengingatkan manusia agar tidak cepat lupa dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Nasihat sabar dalam keimanan adalah kata-kata terbaik yang perlu diungkapkan dengan mengingatkan mereka tentang perjalanan penuh cabaran manusia-manusia bergelar nabi dan rasul pilihan Allah, sebagaimana disebutkan dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 4: Demi masa. Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Mereka yang iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat. Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya.”
Disuarakan oleh bijak pandai: “Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji.” Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Tidak semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: “Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan.” (Surah ali-Imran, ayat 200)

Seperti pepatah sahabat: “Bala adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.” Pada prinsipnya, sabar harus diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan perjuangan ada tentangan serta ujiannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: “Sangat mengagumkan keadaan seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan baginya.”
Berikut beberapa tips untuk kita halusi dan fikir bila berhdapan dengan dugaan:

(1) Kehidupan perlu diteruskan- Apabila sehingga tiada lagi titisan airmata yang mampu dikeluarkan, kita perlu berfikir adakah ini bermakna pengakhiran untuk hidup ini. Pasti tidak, kerana kita tahu walau bagaimana sukar sesuatu dugaan itu, hidup perlu diteruskan. Seseorang tidak akan berjaya untuk menghadapi sesuatu dugaan selagi mereka sendiri tidak berusaha untuk cuba menghadapinya.

(2) Jangan biarkan emosi terus mengawal diri kita- Sekiranya seseorang terlalu sedih atau selalu mengingatkan tentang kesukaran dugaan hidup yang dialami, ia pasti akan lebih menyukarkan. Kita perlu mencari jalan untuk keluar daripada zon tersebut. Jangan sesekali biarkan diri kita terus dikawal oleh emosi.

(3) Inilah kehidupan- Kita perlu tahu bahawa setiap manusia didunia ini mempunyai dugaan hidup yang tersendiri. Sekiranya kita merasakan apa yang dilalui adalah amat sukar, kita juga perlu ingat bahawa ada manusia lain yang sebenarnya menghadapi dugaan yang lebih sukar berbanding diri kita. Kerana dugaan itulah sebenarnya membawa makna kehidupan untuk seseorang.

(4) Ketentuan Allah SWT- Kita perlu tahu bahawa segala baik atau buruk yang berlaku pada diri kita semua datang dariNYA. Kita tidak ada daya sedikit pun untuk mengubahnya. Sekiranya kita percaya dan berpegang teguh terhadap konsep ini, pasti segala dugaan hidup yang kita alami dapat diharungi dengan lebih tabah. Setiap perkara yang berlaku pasti ada makna disebaliknya.

Hidup kita sepatutnya makin lama makin matang. Ujian yang datang pun makin lama makin hebat tapi kita juga akan jadi makin kuat dengan adanya setiap dugaan tu. Tempuhlah rasa kecewa kita terhadap sesuatu dengan tenang. Jangan kelam kabut, jangan emosi. Cari punca masalah dan carilah jalan penyelesaiannya dengan baik. Jangan juga terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Kita kan ada Allah. Jahat mana pun kita, percayalah Allah Maha Mendengar setiap keluhan yang dilalui hamba hambanya. Soal takdir kita, itu semua di tangan Allah. Tapi kan ada dalam Al Quran, Allah takkan mengubah nasib seseorang sehinga kita mengubah nasib kita sendiri. Jadi, lalui kekecewaan dengan doa dan usaha. Anggaplah kekecewaan itu sebagai ubat untuk kita rasa bahagia di akhir masa nanti.

Dalam pada itu kita kumpulkan kekuatan untuk menghadapi dugaan-dugaan yang akan mendatang. Kita tak tahu bagaimana rupa cabaran yang akan kita temui nanti. Mungkin ada cabaran yang senang, mungkin ada yang susah, mungkin ada juga yang cukup susah. Walau apapun rupanya nanti, kita kena bersedia. Moga artikel ini memberi suntikan motivasi buat diri kita. Mari bersama-sama memasang tekad mahu menjadikan hari-hari yang seterusnya hari yang terbaik buat kita – di hari ini kita memasang tekad berfikir yang baik-baik, bersangka yang baik-baik, berkata hanya yang baik-baik supaya dengan itu urusan kita dipermudahkan, permasalahan kita dikurangkan. “La yukalli fullahu nafsan illa wu’aha” - Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Surah Al-Baqarah ayat 286). beruntunglah bagi manusia yang diuji itu kerana ini bermakna Allah sangat sayangkan dirinya

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdirnya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya. Dan ingatlah, andaikata kita diduga, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika ditimpa dugaan. Demikianlah, mereka yang tinggi nilai taqwa dan keimananya, tidak mengeluh apabila ditimpa dugaan. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila ditimpa dugaan kita mudah sangka buruk dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan dugaan kepada kita.

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153).