DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Sunday, January 29, 2012

Bagaimana Bersaing Dengan Diri Sendiri

Anda sering mendengar ungkapan, "Kita hendaklah bersaing dengan diri sendiri," dalam program atau ceramah motivasi. Selalunya bila disebut bersaing, ia mestilah melibatkan dua pihak atau lebih. Bersaing dengan diri sendiri pun sebenarnya melibatkan dua pihak iaitu:


1. Diri kita yang zahir.
2. Diri kita yang ideal atau juga dipanggil roh atau jiwa kita.

Diri kita yang zahir sering melahirkan tabiat dan perangai yang lemah dan malas. Semua sifat negatif ada dalam diri kita seperti: malas, letih, dengki, kecewa, ragu-ragu, tidak yakin, marah, malu, bimbang, takut dan seribu satu macam perasaan negatif yang lain.

Untuk berjaya, maju, cemerlang, terbaik dan menjadi nombor satu, kita mesti meninggalkan sifat-sifat negatif ini dengan sedaya upaya kita dan bergerak menuju sikap idealistik seperti perfectness, bijak, cemerlang, berjaya, sentiasa berada pada kedudukan nombor satu, tangkas, excellent, pencapaian 100%, luar biasa dan sebagainya. Inilah diri kita sebenar. Inilah kemampuan kita yang sepatutnya.

Jadi setiap masa kita hendaklah bersaing dengan "diri kita" yang negatif ini untuk menjadi seorang "diri kita" yang terbaik.

Kalau kita bersaing dengan orang lain, kita akan menghadapi banyak masalah.

Masalah Bersaing Dengan Orang Lain
1. Kita akan kecewa jika kita gagal menyainginya.
2. Timbul sifat dengki dan iri hati.
3. Orang yang kita bersaing itu mungkin lebih lemah atau lebih negatif daripada diri kita.
4. Bersaing dengan orang lain ini lambat. Kita boleh pergi lebih cepat jika bersaing dengan diri sendiri.
5. Masa untuk bersaing sangat terhad sedangkan kita boleh bersaing dengan diri sendiri 24 jam.
6. Orang yang kita bersaing itu jauh daripada diri kita sedangkan diri kita adalah "orang" yang paling hampir dengan kita.
7. Setakat mengalahkan pesaing, belum menjamin kita menjadi terbaik.

Kehebatan Bersaing Dengan Diri Sendiri
1. Berlaku 24 jam termasuk ketika tidur.
2. Sasaran kita ialah ideal atau 100%.
3. Tidak memerlukan ruang, masa dan kos.
4. Menggerakkan tenaga minda sedangkan bersaing dengan orang lain sering melibatkan tenaga fizikal.
5. Bersaing dengan diri sendiri lebih mudah untuk menduduki tempat pertama.
6. Kepuasan hati dan jiwa apabila berjaya lebih kuat daripada kepuasan bersaing dengan orang lain.
Bagaimana Bersaing Dengan Diri Sendiri?

1. Baiki kelemahan diri.
2. Jangan buang masa.
3. Dapatkan kemahiran melalui seminar, kursus, pembacaan dan sebagainya.
4. Selalu bertanya dengan orang yang lebih tahu.
5. Sentiasa mujahadah dengan diri kita sendiri. Sasarannya ialah diri kita akan menang.
6. Sentiasa buat yang terbaik dalam segala bidang dan skop kerja.
7. Yakin dengan diri sendiri dan bantuan Tuhan.
8. Tinggalkan semua sifat mazmumah dalam diri.
9. Berani melaksanakan langkah bijak yang kita rancang.
10. Jangan berhenti selagi belum barjaya.

Bersaing dengan diri tidak bererti anda harus memencilkan diri atau menjadi "kera sumbang" di tengah kelompok kawan-kawan atau masyarakat. Perhubungan dan interaksi kita dengan orang lain berjalan macam biasa.

Bila kita betul-betul bersaing dengan orang lain misalnya dalam ujian, peperiksaan, acara gelanggang, pertandingan syarahan dan pidato, pertandingan melukis dan sebagainya, ini sebenarnya hanya persaingan untuk seketika untuk menentukan di mana kedudukan kita dengan orang lain.

Apabila pertandingan atau persaingan tamat, kita akan kembali sebagai diri kita yang asal dan proses bersaing dengan diri sendiri akan berjalan semula 24 jam sebelum bertemu kembali dalam persaingan gelanggang yang akan datang.

Kalau anda sudah bersaing dengan diri anda 24 jam, maka dalam persaingan dengan orang lain anda akan meningkatkan kedudukan dan diri anda hingga anda akan berjaya mendapat kedudukan nombor satu!
Selamat bersaing dengan diri anda sendiri

Friday, January 27, 2012

KHUTBAH TERAKHIR RASULLULLAH SAW

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Dalam khutbah terakhir Nabi SAW ada 3 perkara yang penting :

1. Mengenai HAK (Perlunya menunaikan HAK kepada setiap yang ber HAK)

2. Mengenai pentingnya mengamalkan agama sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW

3. Kepentingan usaha penyebaran agama ke seluruh dunia.

Khutbah terakhir ini juga sebenarnya merangkumi apa yang telah diperjuangkan Nabi SAW semasa usahanya selama 23 tahun di Mekah dan Madinah.


# Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Wednesday, January 25, 2012

Kenapa Perlu Istiqamah

Definasi istiqamah itu jika ia dilihat pada struktur Bahasa Arab, ia bermaksud terus diminta berdiri, manakala dalam Bahasa Melayu boleh diistilahkan sebagai sentiasa teguh berdiri dan didalam Bahasa Inggeris, bermakna sebagai ‘standing up consistently’. Ada dua unsur penting pada definisi permulaan ini, iaitu berterusan dan kekal di dalam suatu keadaan, dan unsur keduanya pula ialah berdiri.. iaitu kondisi diri yang aktif lagi dinamik. Berterusan dalam keadaan sedar dan aktif terhadap suatu pegangan dan mahu pun amalan

Bila berkata tentang istiqamah, ramai antara kita akan memikir perkara yang menjurus kepada soal ibadah sahaja namun melalui definasi diatas ianya melingkupi banyak perkara samada jasmani atau rohani. Istiqamah adalah satu proses penting dalam melakukan apa saja perkara termasuk beribadat. Lalu persoalan bagaimana mahu istiqamah. Ramai dikalangan kita gagal melakukan istiqamah, ini disebabkan konsep istiqamah itu sendiri kurang difahami malah ada yang hanya mengikut tapi tidak tahu apa yg mereka nak lakukan. Sebelum kita melakukan istiqamah kita perlu mendidik sikap dan hati kita menjadi insan yang berbudi pekerti tinggi dan sikap mulia. Berikut beberapa tips untuk kita fahami dalam agar istiqamah yang bakal kita lakukan akan mencapai tahap kesempurnaannya;

1. Memperbaiki hati (ikhlas kerana Allah) – Nawaitu kita hanya kerana Allah bukan atas sebab seseorang atau sesuatu keadaan yang berlaku kepada kita. Ikhlas disini bermaksud kita berserah pada Allah segala-galanya

2. Berdoa kepada Allah. Ini kerana doa merupakan kunci segala kebaikan di dunia dan di akhirat. - Orang yang tidak mahu berdoa kepada Allah adalah orang yang sombong. sebab itu kita ada bermacam-macam doa harian untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan segala nikmat dalam kehidupan. Dengan doa itulah Allah ingin beri kita rahmat dan kasih sayang kepada kita menjadi nikmat, taqwa dan syukur dan sebagainya

3. Tidak panjang angan-angan. - Angan-angan ialah perbuatan yang menyebabkan seseorang itu tidak berada di alam realiti dan ianya hanya berada di alam fantasi, iaitu alam yang tidak kesampaian disamping ianya juga membazir masa semata-mata. Dan angan-angan juga adalah racun dan musibah kehidupan yang tidak ada manfaatnya

4. Mempelajari dan mengetahui keutamaan istiqamah dalam diri dan teguh ketika berada di jalan Allah. - Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran ayat 103)

5. Memperhatikan dan menghayati isi-isi yang terkandung dalam al-Quran. - Firman Allah SWT dalam surah Yunus, ayat 57: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."

6. Merenungi akibat buruk sekiranya melakukan dosa. - Muhasabah (Menghisab diri) sebagai satu pesan ini dari hadis Rasulullah SAW di atas, sangatlah penting dilakukan oleh setiap muslim. Dengan sering melakukan muhasabah, ia akan mengetahui berbagai kelemahan, kekurangan, dosa dan kesalahan yang dilakukan. Dengan itu, ia akan terdorong untuk selalu melakukan perbaikan diri. Dengan itu pula, dari tahun ke tahun, dari bulan ke bulan, dari hari ke hari, bahkan dari waktu ke waktu ia menjadi semakin baik. Imannya semakin kuat; ketaqwaan nya semakin kukuh; solatnya semakin khusyuk; amal solehnya semakin bertambah dan dosa-dosanya semakin berkurang kerana semakin jarang ia bermaksiat; semangat dakwahnya semakin bergelora; pengorbanannya untuk ALLAH SWT dan Rasulnya semakin besar; akhlaknya semakin terpuji- ia semakin ikhlas, semakin tawaduk, semakin wara’, semakin menjaga amanah dan semakin Taqarrub (dekat diri) kepada ALLAH SWT
7. Membiasakan diri mengerjakan amalan kebaikan dan mengamalkan perintah Allah. - " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

8. Memilih teman yang baik supaya dapat membantu berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. - Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan kita untuk berusaha bersungguh-sungguh mencari bekal ke negeri abadi. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, teman berkasih sayang kerana Allah, berpimpin tangan memimpin beban dakwah yang amat berat ini, demi bersama meraih syurgaNya. Justeru, kita memerlukan teman dan sahabat. Berdoalah agar kita memiliki teman dan sahabat yang baik, bukan sekadar baik budi, tetapi baik sehingga ke syurgawi. Kita memerlukan sahabat dan teman dalam perjalanan ini.

9. Berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh mengundang fitnah kesesatan dan kebatilan. - Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. MAKA SIA-SIALAH SEGALA AMAL IBADAT SEMBAHYANG, PUASA, BERZAKAT, DLL

10. Membaca sejarah hidup para Nabi, sahabat-sahabat Nabi dan generasi selepasnya yang berdakwah menyebarkan agama Allah - Kemunculan novel sejarah Islam banyak membantu anak-anak muda terutama pelajar minat serta memahami sejarah. Pembacanya dari pelajar sekolah rendah hingga university. Malah dibaca juga oleh ahli-ahli akademik. Ada yang berkata dulu tidak minat sejarah tetapi setelah membaca novel sejarah mereka jadi minat. Ada ibu bapa yang berkata sejak anaknya membaca novel sejarah pahlawan Islam sudah jadi semakin baik, jika sebelumnya malas sembahyang setelah minat membaca kisah pahlawan Islam sudah rajin sembahyang. Ada pula pembaca yang mengatakan perasaan cinta terhadap Islam dan para sahabat itu semakin mendalam setelah membacanya.

Setelah kita dapat memperbaiki perkara-perkara diatas, rohani juga perlu disuburkan dengan rasa kehambaan disamping meningkatkan amalan-amalan yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Kesucian dan ketakwaan yang ada dalam jiwa harus sentiasa dipertahankan oleh setiap muslim. Hal ini disebabkan kesucian dan ketakwaan ini akan mengalami pelarutan, bahkan akan hilang jika tidak dijaga. Terdapat beberapa tips yang ingin dikongsikan bersama bagi seorang muslim untuk mempertahankan nilai ketakwaan dalam jiwanya, bahkan mampu meningkatkan kualiti ibadah kita.

1) Muraqabah
Muraqabah adalah perasaan seorang hamba akan kekuasaan Ilahi dan pendekatan dirinya kepada Allah. Hal ini dapat ditamsilkan dengan mentaati seluruh perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya, serta memiliki rasa malu dan takut, apabila menjalani hidup yang bertentangan dengan syariat-Nya.

2) Mu’ahadah
Mu’ahadah yang dimaksudkan adalah iltizamnya seseorang individu atas nilai-nilai kebenaran Islam. Hal ini dilakukan kerana ia telah berjanji dengannya dan berikrar di hadapan Allah SWT.
3) Muhasabah
Muhasabah adalah usaha seorang hamba untuk melakukan perhitungan atas segala perbuatannya, samada sebelum mahupun sesudah melakukannya.

4) Mu’aqabah
Mu’aqabah merupakan pemberian atau balasan bagi seseorang muslim terhadap dirinya sendiri atas setiap perkara yang dilakukannya.

5) Mujahadah
Mujahadah yang dimaksudkan adalah kesungguhan dalam beribadah dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Firman Allah s.w.t, " Hai orang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah kepada-Nya wasilah. Dan berjuanglah di jalan Allah, semoga kamu berjaya. " ( Surah al-Maidah : 35 )

Kajian juga membuktikan kepandaian seseorang dan pengetahuannya hanya menyumbang tiga peratus kepada kejayaan. Selebih 97 peratus lagi ditentukan sikap dan tindakannya. Oleh itu, tiada yang mustahil dalam mencapai sesuatu kejayaan jika kita mengamalkan nilai istiqamah. Istiqamah mampu memberikan pulangan positif kepada hati, akal dan gerak laku. Apabila kita terus menerus melakukan kerja baik ia melatih tubi hati untuk bersabar, kuat semangat, sentiasa positif dan yakin kepada hasil yang dicapai. Bagi akal, istiqamah mampu berfungsi ibarat batu asah menajamkan daya fikiran yang sentiasa digerakkan ke arah pencapaian matlamat, manakala bagi gerak laku fizikal pula, istiqamah menjadikan kerja sukar bertambah mudah dan ringan apabila biasa dilakukan.

Ketiga-tiga hasil inilah yang melahirkan kepakaran dan kemahiran bekerja. Pendek kata, istiqamah mampu menjadikan sesuatu itu sebati dengan jiwa dan raga sehingga menjadi hobi menyeronokkan dan apabila tidak dilakukan pula akan berasa canggung atau bersalah. Oleh kerana pentingnya istiqamah dalam setiap urusan kehidupan, maka amalan wajib yang diperintahkan kepada umat Islam termasuklah solat, puasa, zakat dan haji, sifatnya juga berterusan. Justeru, marilah kita bertekad bekerja untuk kebaikan secara istiqamah kerana langkah beribu bermula dari yang satu dan langkah yang satu tidak akan menjadi beribu ke hadapan jika tanpa gerak kaki berterusan.

Tuesday, January 17, 2012

Membuat Pilihan


Membuat keputusan merupakan satu cabaran kerana ia mungkin akan menimbulkan kesan yang baik atau buruk. Kematangan dan kebijaksanaan seseorang boleh dilihat daripada cara dia membuat keputusan. Terdapat keputusan yang boleh dibuat dengan serta-merta dan ada yang mengambil masa untuk difikirkan. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa adakalanya tidak membawa faedah, malah menimbulkan pelbagai perkara buruk. Maka, kita haruslah memahirkan diri dengan cara membuat keputusan yang betul antara tip2 untuk membuat keputusan atau pilihan yang tepat ialah :

1. Tenangkan Fikiran
Tenangkan fikiran dan jangan bertindak di luar kawalan seperti menjerit, menumbuk dinding, minum arak, memandu kenderaan dengan laju dan sebagainya. Fikiran yang tenang penting agar kita dapat berfikir dengan waras tanpa menurut gerak hati yang mungkin akan menambahkan lagi kerumitan.

2. Kenal Pasti Masalah Sebenar
Fikirkan perkara yang menjadi masalah sebenar. Cuba ingat sama ada anda pernah menghadapinya ataupun pertama kali. Jika pernah, ingat kembali keputusan yang telah dibuat dan kesannya.

3. Kenal Pasti Pilihan
Fikirkan semua pilihan2 yang ada. Cuba cari seberapa banyak pilihan yang boleh dibuat.

4. Mengkaji Baik Buruk Pilihan
Ingat! Setiap pilihan mempunyai kesan yang baik dan buruk kepada diri atau orang lain. Oleh itu, setiap pilihan perlu dikaji dengan teliti. Fikirkan sebanyak mungkin segala kesan baik dan buruk yang mungkin terjadi jika pilihan itu diambil.

5. Membuat Pilihan Terbaik
Setelah mengkaji baik buruk setiap tindakan, buatlah pilihan yang terbaik dan positif. Pastikan keputusan yang dipilih benar2 mampu untuk anda laksanakan dan jangan menyesal dengan keputusan anda. Keputusan yang telah diambil hendaklah dilakukan dengan penuh keyakinan.

6. Tegas Dengan Keputusan
Yakinlah bahawa keputusan yang dibuat adalah betul. Anda perlu tegas dengan keputusan anda dan jangan ikut kata orang. Jangan mudah berubah. Kesabaran amat penting setelah membuat keputusan agar anda tidak akan kecewa.

7. Nilai Semula
Apabila anda telah melaksanakan keputusan yang diambil, lihat kembali kesan2 yang berlaku. Adakah sama dengan apa yang telah dikaji atau terdapat kesan lain yang tidak tersenarai? Simpan catatan anda untuk dijadikan rujukan jika anda menghadapi perkara yang serupa pada masa akan datang.

Sunday, January 8, 2012

Mengekalkan positif dalam diri


Dalam diri kita hanya akan ada satu emosi pilihan. Samada menjadi orang beremosi positif atau negatif, pilihan adalah ditangan kita. Yang sebaiknya biarlah positif menguasai dan negatif kekalkan walaupun sedikit. Emosi positif (seperti gembira, tenang, kasih sayang, mencinta, rasa kekeluargaan, semangat bersahabat, kerjasama, saling memaafkan, saling membina jati diri dan bebagai lagi) akan terbina dengan sendirinya apabila kita memilih untuk menjadi orang yang kekal dengan emosi positif berterusan, tidak dengan pasang surutnya perasaan. Melalui fikiran positif apa yang boleh kita sumbangkan dengan memfokuskan untuk memberi yang terbaik dalam apa jua yang kita lakukan, pada sesiapapun di sekeliling kita, walau siapapun dia. Emosi positif akan kekal dalam diri kita apabila kita merubah mindset menjadi orang berbakti, suka menolong, kurang mementingkan diri sendiri. Mereka yang sentiasa bermotivasi adalah orang yang mendedikasikan dirinya membantu orang lain. Pilihlah untuk menjadi orang positif, kerana positif kerjanya membina, negatif kerjanya memusnah. Kenapa kita perlu pilih emosi yang negatif sedangkan apa saja yang bersifat negatif tu tidak mencemerlangkan kita


Bila kita telah mendidik diri kita menjadi positif, bagaimana untuk mengekalkan perubahan positif dalam diri, berikut beberapa langkah untuk kita fikirkan supaya diri kita sentiasa dalam emosi yang bagus:

1. Bertekad untuk bersikap, berfikiran positif sepanjang masa. - Jauhi segala yang negatif walaupun sedikit (cakapan, fikiran, sikap, tindakan dan perkara-perkara terarah kenegatif). Gejala negatif yang sedikit akan menghakis sikap positif serta merta. Sikap positif akan membuat kita dapat mengekalkan perubahan dalam diri lantas menyerapnya menjadi sebahagian daripada tabiat kebiasaan. Sikap negatif, walaupun sedikit, akan melunturkan perubahan yang dibina. Selagi sikap negatif tidak dikurangkan, membuatkan kita akan mengalami kesukaran untuk mengekalan kesan perubahan pada diri kita.

2. Berisiplin. - Melatih diri berdisiplin dalam mengekalkan perubahan yang kita cipta dengan istiqamah dan rasa insaf semuga perubahan ini kekalk selamanya. Disiplin yang terjaga akan membentuk keperibadian yang mantap disamping menyerlahkan diri untuk menjadi insane yang berdaya saing.

3. Meransang diri dengan perkataan positif didalam hati. – Pelajari dan contohi kejayaan mereka yang cemerlang yang pernah kita baca. Bayangkan bagaimana kecekalan dan keteguhan hati mereka. Jika mereka boleh membentuk kecekalan hati, bermakna kita juga boleh. Jika mereka boleh berjaya, Kita juga mampu berjaya. Fikirkan boleh!

4. Paparkan imej diri yang mahukan.- Bila kita bertekad nak menjadi rajin, perlihatkan diri kita sebagai orang rajin dalam minda kita. Imiginasikan sekerap mungkin imej tu diminda, bagai itulah gambar sebenar yang terhasil di depan mata kita. Begitu juga bila kita nak menjadi orang yang kaya dengan idea, bijak berkomunikasi, bayangkan diri kita menjadi sedemikian. Lama kelamaan bila kita selalu melakukan teknik ini, kita akan menjadi terbiasa dengan situasi begitu, menjadikannya perubahan yang dicipta kekal dalam diri. Ini disebab, minda separa sedar akan menangkap bayangkan minda yang ada difikiran kita lantas mengatur sistem saraf, otot dan bahan kimia dalam badan supaya menjadi seperi yang kita inginkan.

5) Sentiasa menjangkakan kita mendapat yang terbaik dalam hidup kita. Kita benar-benar tahu kehendak kita dan kita pastikan kita akan perolehinya

6) Mulakan hari kita pada malam sebelumnya dengan menanamkan benih pemikiran yang positif apa yang kita akan kerjakan pada esoknya. Pastikan matlamat kita bukan sahaja untuk mengembirakan diri kita tetapi juga orang lain terutama orang yang berada dekat di samping kita kerana kegembiraan kita bergantung kepada sejauhmana kita dapat mengembirakan orang lain.

7) Sentiasa mengambil berat dan mengambil cakna orang lain. Buatkan orang lain tersenyum, nescaya kita akan tersenyum riang. Sentiasa tersenyum dan bertanya khabar pada orang lain. Jangan kedekut Puji dan hargai dengan ikhlas jika mereka layak mendapatkanya.

8) Buat bayangan minda yang diri kita selalu ceria , gembira dan bersikap positif di mana sahaja kita berada. Sentiasa merasakan, memikirkan dan mempercayai bahawa kita adalah orang yang bertuah dan beruntung. Jangan mengutuk diri kita tetapi baikilah kelemahan kita.

9) Menerima kelemahan dan keburukan kita dan berharap serta berusaha untuk menambahbaik. Sentiasa fkir tentang ke hadapan dan jangan mengenangkan hal yang lalu. Nikmatilah saat-saat hidup kita dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

10) Redha terhadap ujian Allah kerana ketahuilah semuanya adalah anugerah yang menjadikan kita insan yang lebih istimewa. Allah tidak menzalimi hambanya, sebaliknya hambalah yang menzalimi diri mereka sendiri Ambil masa setiap hari untuk mengimpikan kebahagiaan kita . Cari langkah-langkah bagaimana untuk memenuhi impian kita dan lakukan dengan penuh ketabahan.

11) Sentiasa berani untuk membuat sasaran yang tinggi. Letakkan piawaian yang tinggi pada diri kita. Kita dapat mencapainya dengan ilmu dan mempelajari kemahiran tertentu serta yang penting mesti dipraktikkan. Sikap kita adalah segala-galanya.

12) Nikmatilah dan hargai nafas segar yang kita hirup dan pancaran matahari yang masih kita dapat saksikan . Kita beruntung kerana setiap hari adalah hari yang baru maka hargailah hari-hari mendatang kita kurniaan Illahi

13) Terimalah setiap peristiwa dengan mata hati positif, segalanya adalah baik untuk kita jika kita melihat dengan kaca mata positif, Bersyukurlah. Sentiasa HIDUPKAN IMPIAN KITA dengan memanjatkan doa untuk kebaikkan dunia dan akhirat.

Apabila kita memiikirkan tentang diri kita, itulah yang akan terjadi tanpa kita sendiri sedari. Kebanyakan di kalangan kita hanya boleh bertahan dalam fikiran positif dari pagi sampai ke tengahari. Selepas tengahari, setelah melalui berbagai kesibukan (dan diserang oleh kelesuan) mood kita berubah, lantas naluri kita juga berubah menjadi sedikit lemah lalu membawa kepada kecelaruan fikiran negatif yang masuk ke minda kita. Untuk merubahnya semula kepada fikiran positif, lakukan mental check – bertanya pada diri sendiri apa yang kita rasai sekarang dan bertanya apa khabar motivasi kita. Kemudian, fokuskan fikiran sebanyak mungkin kepada perkara-perkara yang menggembirakan kita. Kita boleh memikirkan perkara yang boleh membuat kita rasa seronok, teruja, terhibur atau tertawa. Kawal ia selama mungkin, supaya dengan itu fikiran negatif tak dapat menguasai kembali. Mungkin ada hobi yang kita suka buat, ada orang yang kita sayangi, ada seseorang yang kita selalu ingati. Fokuskan fikiran Kita kepada perkara begini untuk merubah fikiran dari negatif kepada positif. Jangan lawan fikiran negatif yang didorong oleh emosi negatif. Sukar kita nak mengalahkannya, sebaliknya, fokus pada membina lalu mengekalkan fikiran positif di ghairahkan oleh emosi-emosi positif (ceria, gembira, seronok, bertenaga, bersemangat)

Mari kita lihat pengisian waktu mengikut waktu solat adalah praktikal dan berkesan,

Waktu Isyak-Subuh (9jam)
Waktu Subuh – Zuhur (8jam)
Waktu Zuhur-Asar (3 jam)
Waktu Asar- Magrib (3jam)
Waktu Magrib-Isyak) (1 jam)

Bila diperhatikan jumlah waktu di atas, tentu dapat dilihat dengan jelas di manakah tempuh waktu paling mencabar untuk mengekalkan fikiran positif. Saat paling banyak input yang boleh mempengaruhi minda menjadi negetif adalah saat di mana paling kurang mengingati Allah. Kita dapati kunci efektif adalah sentiasa berzikir(di dalam hati) Sasarkan jumlah tertentu untuk dicapai. Semuanya bermula dari niat kita untuk memilih bagaimana corak kehidupan yang kita mahukan. Pemikiran kita boleh dalam keadaan positif atau negatif. Otak kita tidak boleh berfungsi serentak untuk memilih perasaan positif atau negatif sekaligus. Jika kita memilih pemikiran negatif maka minda bawah sedar kita akan mencari seribu alasan untuk membenarkan pilihan kita. MIsalnya kita memilih untuk berdukacita, maka minda bawah sedar kita akan mencari apa sahaja alasan,peristiwa atau mood yang menambahkan lagi penderitaan kita. Semakin lama semakin menebal sehinggakan ianya datang bertalu-talu menjadi kita merasakan perasaan yang tidak selesa dan boleh memudaratkan kesihatan tubuh badan kita, sehingga apabila keadaan ini tidak terkawal akan menyebabkan kita tertekan serta boleh mengalami kemurungan.

Sunday, January 1, 2012

Semangat Baru - Merancang dan Hubung Kait dgn Islam


Apa saja yang terjadi samada waktu semalam, hari ini dan esok adalah anugerah Allah yang tidak mungkin dapat ditafsir dan ditaksir dengan apa pun. Setiap dari kita tahu bahawa semalam telah menjadi sejarah, hari ini adalah atas apa yang telah berlaku dan apa yang bakal kita rancangkan di masa hadapan. Manakala esok merupakan perkara yang tidak ketahui apa yang akan berlaku. Setiap orang pasti melalui semalam, hari ini dan esok hari kerana itu adalah rutin kehidupan. Sekalipun kita sudah tidak berada dimuka bumi ini, perkara yang kita lakukan semalam akan kita perolehi semasa kita dialam lain. Kehidupan ini umpama roda. Semalam kita dibawah.. hari ini kita di atas.. dah esok kita tidak pasti kita dibawah ataupun di atas, yang nyata itulah putaran hidup. Perkara yang sudah berlalu biarkan berlalu yang penting hari ini, kita harus mempunyai visi,misi dalam hidup kita, kita tidak tahu apa yang akan jadi pada hari esok, rancanganlah untuk hari esok. Mulakan hari ini dengan semangat baru, rancanganlah untuk esok. Jadilah diri kita sendiri dan bukannya kita terikut-ikut dengan apa yang orang lain buat ataupun kita cuba untuk menjadi seperti orang lain. Tapi jika kita mengikut sesuatu yang dapat membawa kebaikan dan kejayaan dalam hidup kita adalah bagus..Setiap orang mempunyai minat dan cara mereka sendiri..Gunakan minat dan kelebihan yang kita ada untuk berjaya..InsyaAllah..

Mari kita analisa siapakah diri kita sepuluh tahun lagi, adakah kita akan menjadi seorang pengurus, adakah kita akan tetap menjadi seorang kerani lagi, mampukah kita akan menjadi individu yang lebih berjaya daripada hari ini. Pilihan semestinya ada ditangan kita, samada kita mahu ada peningkatan didalam hidup atau sepuluh tahun lagi, kita masih berada dikedudukan kita sekarang. Seperti yang kita tahu, kita sentiasa diberikan dayung ditangan untuk kita berdayung kemana-mana yang kita suka, samada berdayung ke hulu atau berdayung sehingga ke laut. Kita boleh menjadi apa sahaja, asalkan pilihan kita itu mampu untuk memberi manfaat kepada orang lain. Bagi seseorang yang mementingkan peningkatan diri dan ingin mencapai lebih banyak kejayaan, pastinya mereka tidak memandang kehidupan mereka setakat hari esok atau lusa sahaja, mereka akan memandang siapakah diri mereka sepuluh tahun lagi. Kejayaan tidak boleh tercipta hanya satu malam dan satu hari

Anjakan paradigma mesti kita lakukan dengan segera, Kita tukarkan daripada berfikir apa yang hendak kita lakukan esok kepada apa yang kita akan jadi sepuluh tahun lagi. Rancangan untuk hari esok adalah rancangan jangka pendek yang akan membantu kita merealisasikan impian dan matlamat jangka panjang kita. Ini bukanlah bermakna kita tidak perlu memikirkan mengenai hari esok dan hanya memikirkan perancangan jangka panjang, tidak. Perancangan hari esok adalah sama penting kerana ia adalah perancangan jangka pendek kita, tetapi pastikan ia memenuhi keperluan matlamat jangka panjang. Sesekali, kita perlu berfikir juga apa yang kita sedang lakukan sepuluh tahun dari sekarang. Kebiasaannya apabila kita merancang perlu asas atau kayu pengukur untuk kita realisasikannya. Asas yang dimaksudkan adalah nilai-nilai murni supaya apa yang kita rancangkan tidak tersasar dari matlamat kita. Sebenarnya Islam telah meletakkan satu rukun yang amat menakjubkan, malang jarang antara kita melihat lebih mendalam pada kehebatan rukun ini. Yang dimaksudkan ialah ‘RUKUN ISLAM’. Mungkin ada yang tertanya apa relevannya antara rukun islam dengan perancangan masa depan. Sebagai umat islam kita perlu yakin sesuatu peraturan yang telah dibuat pasti ada matlamatnya, misi dan visi. Jadi ada benarnya bila kita menteliti dan menganalisa untuk kita hubungkaitkan peranan rukun islam dengan perancangan masa depan kita supaya kita menjadi seorang muslim yang berjaya berpegang pada landasan islam. Kita dapat mengecapi kebahagian dibawah naungan Allah SWT disamping kita menjadi insan yang disayangi semua makhluk dimuka bumi ini.
Rukun Islam ada lima (5) perkara :

(1) Mengucap dua kalimah syahadat - Kita mengaku Allah itu yang kita sembah dan Nabi Muhammad itu pesuruhNya. Sesaat pun kita tidak boleh menduakan Allah. Jika ia berlaku maka gugurlah akidah kita. SETIAP SAAT

Berdasarkan rukun yang pertama kita sudah mengakui keEsaaan Allah SWT dan Rasullullah itu pesuruhNya. Bermakna bila kita merancang secara otomatik kita kena percaya adanya ketentuan atau takdir Nya. Kita wajib merasakan sebaik mana perancangan kita, kuasa Allah itu adalah muktamad. Disini hadirnya tawakkal apabila segala usaha yang kita laku, samada baik mahu pun sebaliknya harus kita terima dengan redha, sabar dan tabah. Allah tahu kemampuan hambaNya berdasarkan ketaatan dan ketakwaan

(2) Solat lima waktu - melaksanakan solat wajib lima hari sehari. Malam dan siang mengikut jadualnya. Melalui ibadah ini kita mengingati Allah, berdoa kepadanya dan memperbaharui akidah mengikut jadual. Lima kali sehari. SETIAP HARI

Seperti juga rukun yang pertama, yang kedua juga mempunyai kaitan yang tepat. Dalam merancang kita memerlukan ketetapan masa, jadual dan tujuannya, ketepatan kita merancang akan menghasil kejayaan yang cukup ranum. Dalam solat kita diajar bagaimana menghargai waktu, berniat, mengikut rukun dan kyusuk, baharu solat kita diterima Allah, begitu juga ketika merancang, kita memerlukan waktu yang tepat untuk menghasil gerak kerja yang betul juga, dan kita perlu mematuhi displin yang telah kita rangka supaya sempurna matlamat kita malah kita perlu fokus untuk penghasilan yang terbaik. Dalam melaksanakan keberhasilannya nawaitu kita kena betul dengan disertakan kalimah Allah seperti ‘Bismillah’ permulaan setiap kerja dan diakhir kesyukuran ‘Alhamdullillah’. Indah sungguh Allah mencipta rukun untuk hambaNya.

(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan - Berpuasa di bulan Ramadhan adalah rukun Islam yang ketiga. Ini adalah penghulu segala bulan. Pada bulan inilah Al-Quran diturunkan. Banyak peristiwa besar Islam berlaku dalam bulan Ramadhan. Persoalan besar yang tersemat di hati ialah puasa wajib ini perlu dilakukan hanya sebulan dalam setahun. Hanya SEBULAN dan setahun

Apa kaitan puasa dibulan Ramadhan dengan perancangan. Bulan Ramadhan adalah bulan ujian bagi ketaatan manusia terhadap perintah Allah SWT. Setiap waktu dibulan puasa kita sentiasa diuji tanpa pengaruh syaitan, hanya nafsu jadi penghalang untuk mencapai kenikmatan berpuasa, jesteru kesabaran adalah dituntut ketika ini. Begitu juga dalam merancang, ketabahan, kesabaran dan tekun sentiasa dititikberatkan waktu begini bagi melicinkan perlaksanaan untuk mencapai keberhasilan yang kita rancang dilaksanakan dengan jayanya

(4) Menunaikan zakat - Jika cukup syarat-syaratnya seperti haul dan nisab, maka rukun Islam yang keempat ini wajib dilaksanakan. Meskipun banyak jenis zakat tetapi setiap satunya perlu dibayar hanya sekali dalam setahun. Hanya SEKALI SETAHUN

Menunaikan zakat, infak, shadaqah adalah sudah di jamin Allah S.W.T, tidak akan mengurangi harta kita, dan itu adalah salah satu tanda terima kasih kita atas segala rezeki yang telah terima selama ini. Dengan cara memberikan sebahagian harta kita kepada orang yang kurang berkemampuan seperti yang tergolong sebagai penerima zakat, dan Allah S.W.T tidak sedikitpun meminta kembali semua kasihNYA, malahan menjamin tidak akan mengurangi harta kita setelah kita bersedekah. Lihat dalam kita merancang juga jangan lupa hak atau rezeki yang lain kerana kita perlu sokongan dari lain untuk menjayakan visi dan misi kita. Bila kita sama-sama dapat menikmati anugerah dari Allah, Insyaallah setiap perancangan kita seterusnya dipermudahkan Allah SWT

(5) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) - Akhir sekali, menunaikan ibadah haji bagi yang berkemampuan. Ia wajib dilaksanakan sekali seumur hidup. Di atas segalanya, ibadah haji seolah-olah kemuncak rukun Islam yang memberi aroma cukup luar biasa keapda setiap manusia yang mempercayai kewujudan Allah. SEKALI SEUMUR HIDUP

Kita semua tahu, mereka yang pergi menunaikan haji pasti berasa tenang. Suasana di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram sangat tenang kerana mereka yang ada di sana semuanya fokus dan tawadduk dengan beribadah kepada Allah. Apabila kita berhubung dengan Allah, ketenangan akan lahir dari jiwa kita. Jika kita sering berhubung dengan Allah, kita boleh menukar frekuensi minda kita dengan kawalan kita sendiri. Inilah yang patut kita praktikkan di mana ketenangan boleh dicapai dengan kawalan diri kita. Jadi berkaitan dengan merancang, diri kita mesti dalam keadaan tenang dan fokus supaya apa yang kita rancang menepati kehendak yang ingin kita capai agar output yang terhasil menjadikan kita berada dalam kepuasan hati

Walaubagaimana pun sebagai hamba yang taat kepada Khaliqnya apabila kita merancang biarlah berlandaskan laluan yang betul, peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah, bagi memudahkan segala perjalanan perancangan yang telah buat. Yang penting perlu kesungguhan, kesabaran, ketabahan, ketakwaan dan istiqamah. Insyaallah kita jumpa dipuncak kejayaan
Resepi Kek Kejayaan

Bahan-bahannya;

250 gm Daya usaha
100 gm Kesabaran
100 gm Keimanan
190 gm Keinsafan
150 gm Pengorbanan
150 gm Campuran akhlak mulia ( boleh didapati dari didikan yang baik dan sempurna)
8 sudu the rasa tanggungjawab
200 gm senyum secukup rasa

Cara-cara membuatnya:
Pukul semangat hingga menjadi kembang dan kental. Masukkan usaha dan kesabaran, gaul sehingga sebati. Masukkan keinsafan sedikit demi sedikit . Biarkan adunan menjadi lembut. Setelah itu campurkan keimanan , rasa tanggungjawab dan campuran akhlak mulia. Ia perlulah dibungkus dengan kertas ingin tahu dan ingin mencuba. Masukkan adunan tersebut ke dalam mangkuk bertimbang rasa dan tolak ansur. Hiaslah dengan senyum yang menawan kemudian bakar dengan tenaga yang ada.

U/p : Untuk mendapatkan kek yang cantik dan elok, jauhilah ia dari air mata putus asa walaupun setitik. Oleh kerana kek kejayaan ini amat sukar unutk dibuat, syabas kepada sesiapa jua yang berjaya melaksanakan dengan baik.