DOA

‘Ya Allah, rahmatilah pembaca blog ini, sihatkan ia, ampunilah dosa-dosanya, berkatilah amalannya, janganlah Engkau balikkan hatinya setelah Engkau beri petunjuk dan hidayah kepadanya dan Ya Allah masukkanlah ia dan keluarganya kedalam syurga FirdausMu serta jauhkanlah ia dan keluarganya dari azab nerakaMu. Sesungguhnya Ya Allah, hanya kepada Engkau kami sembah dan hanya kepada Engkau sahajalah kami meminta pertolongan. Ya Allah jika rezeki pembaca blog ini masih diatas langit, turunkanlah ia, jika rezekinya di dalam bumi, keluarkanlah ia, jika rezekinya jauh, dekatkanlah ia, jika rezekinya haram, sucikanlah ia dan jika rezekinya sukar, Engkau permudahkanlah ia” Ya Allah kurniakanlah kepada kami segala kebaikan sebagaimana yang Engkau kurniakan kepada hamba-hamba Mu yang soleh.'

Thursday, March 18, 2010

Alam Persekolahan

Cepat sunggoh masa berjalan seakan-akan tiada tempat untuk masing-masing berhenti rehat dari menjalankan tugas seharian malah tanggungjawab semakin bertambah. Kalau lambat bermakna akan ketinggalan. "Biar lambat asalkan selamat" seolah-olah tidak dapat dipakai lagi pada era sekarang kerana masing-masing berlumba-lumba untuk mencari rezeki, peluang, masa depan dan apa saja. Rasa saya baru lagi menguruskan keperluan persekolahan anak-anak, sekarang dah masuk cuti mid semester (1 minggu). Riuh rendah suara mereka dirumah setelah kembali dari asrama. Peluang ibubapa untuk bersama anak-anak setelah sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Bertuah sungguh anak-anak masa kini kerana dapat apa yang mereka mahukan. Bercuti kemana saja dengan ditemani oleh keluarga. Tapi bagaimana kemajuan pelajaran mereka. Apakah pencapaian mereka mencapai tahap yang dibanggakan. Alhamdullillah anak-anakku masih ditahap yang membanggakan. Biasanya saya selalu mengikuti perkembangan kemajuan pada setiap minggu supaya mereka tidak leka dan terlepas dari tanggungjawab sebagai pelajar. Saya tidak meletakkan syarat atau ganjaran untuk mereka cuma saya menggariskan panduan pencapaian kalau mereka mendapat B saya anggap gagal dan No 1 tidak bermakna kalau terdapat B didalam keputusan. Juga saya tidak membenarkan TV ditonton diwaktu hari persekolahan untuk mengelakan mereka leka. Nampak kejam atau keras atas apa yang saya lakukan tapi mereka menyahut cabaran saya dengan penuh tanggujawab. Saya tanamkan sikap ini selalu dan akhirnya 3 dari anak saya telah menjejak ke IPTA. "Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih". Tinggal lagi dua orang yg masih dibangku sekolah (1 menengah dan 1 rendah)dan saya bersama isteri tidak putus berdoa supaya mereka dimudahkan dalam menghadapi pembelajaran keperingkat yang lebih tinggi. Walaubagaimana pun saya tetap memberi penghargaan setelah berjaya tanpa ada perjanjian hanya atas dasar ikhlas bersama. Biasanya saya berikan yang berbentuk keperluan mereka semasa.

Begitu juga keperluan persekolahan yang lain. Hampir keselurohan anak-anak sekarang dari mula sudah diaturkan sebaik mungkin dari buku, pakaian, kenderaan kesekolah dan apa saja semuanya lengkap. Bertuah sunggohkan tapi berapa ramai yang mengambil peluang ini untuk memajukan diri mereka sendiri. Andainya saya ditempat mereka alangkah bertuahnya hidup ini. Paling rendah perbelanjaan seharian disekolah sekurang-kurang RM 2.00. Bukan nak buat perbandingan tapi mereka harus mengambil peluang ini sebaik mungkin utuk masa depan. Kita sebagai ibubapa seharusnya melakukan tanggungjawab yang tepat supaya mereka berada ditahap yang sepatutnya. Berbeza dengan alam persekolahan saya dahulu cukup menyedihkan, mencabar dan tiada siapa yang kisah. Tidak menyalahkan ibubapa saya sebab banyak benda yang mereka tidak faham malah tanggungjawab yang agak besar pada sebuah keluarga yang besar.

Jarak antara rumah ke sekolah lebih kurang 3km yang mana melalui jalan kampong, taliair, kebun getah, belukar (kiri kanan jalan) dan jalanraya. Hari pertama ke sekolah saya tidak ditemani oleh sesiapa tapi kerana kehendak hati yang cukup tinggi pergi bersendirian tanpa wang belanja dengan berjalan kaki dipagi yang agak gelap. Dipertengahan jalan saya berjumpa budak-budak yang lain tapi saya tak mengenali dan mengekori mereka kesekolah. Disekolah saya hanya berdiri dipadang (sebab tidak mengenali sesiapa) sambil menunggu loceng dibunyikan. Saya sendiri tidak tahu kenapa tidak berasa takut hanya didalam fikiran dimanakah kelas saya nanti. Setelah loceng berbunyi murid-murid diminta beratur. Saya diarahkan oleh seorang murid (tak kenal dan darjah berapa) untuk beratur dibarisan murid-murid baru. Saya melihat banyak ibubapa yang hadir menemani anak masing-masing tapi saya bersendirian. Saya memerhatikan ada yang menangis. Saya jadi pelik kenapa nak menangis, bukankah sekolah itu menyeronokkan. Kemudian bila nama dalam senarai dipanggil oleh guru yang bertugas untuk kedepan kecuali saya yang tidak dipanggil sebab tidak terdapat dalam senarai itu. Nasib baik ada seorang guru yang mengenali saya dan menyuruh saya masuk juga dalam kumpulan murid-murid tersebut. Saya hanya menurut perintah untuk masuk kekelas yang pertama. Saya memerhatikan kebanyakan murid-murid mempunyai beg sekolah sedangkan saya sehelai sepinggang. Rasa cemburu dihati terbit tapi apakan daya hanya setakat melihat dengan hati yang hampa.

Permulaan dibilik darjah pagi itu dengan pemilihan Ketua Darjah dan Penolongnya. Saya dipanggil ke depan bersama dengan seorang budak perempuan. Cik gu mengumumkan yang saya telah dilantik untuk jawatan tersebut dengan budak perempuan itu penolongnya. Tugas saya yang pertama adalah mengagihkan buku teks utuk dibaca. Buku Bahasa Melayu yang ayat pertamanya 'Nama saya Ali, Saya budak laki-laki'. Bermulalah alam persekolahan saya dan mula-mula juga saya mengenali apa itu 'kawan'. Terasa keseronokan berada disekolah kerana ramai kawan dan boleh belajar apa saja yang kita mahu. Balik dari sekolah tengahari itu saya masih berjalan kaki. Tiada siapa yang menjemput berbanding dengan kawan-kawan yang ditemani ibu dan bapa. Seronok melihat mereka berjalan sambil berbual mengenai pengalaman pertama disekolah. Sampai dirumah saya lihat tiada siapa yang menyambut kepulangan pada tengahari itu. Sunyi dan seolah-olah tiada apa yang istimewa yang berlaku. Berasa lapar kerana dari pagi tidak ada apa yg masuk. Menghadapi makanan tengahari bersendirian dan kemudian saya merehatkan badan. Saya terus berfikir sebagai pelajar apa yang harus lakukan dirumah dan tanpa disedari saya dikejutkan kerana hari dah petang.

Hari berganti dan bulan bertukar bermacam-macam cerita dan perkara berlaku diwaktu persekolahan. Apa saja aktiviti yang dijalan tak pernah saya menolak untuk bersama menjayakannya hingga saya cepat terkenal dikalangan warga sekolah. Pada setiap ujian atau peperiksaan dijalankan diakhiri saya mendapat tempat pertama. Malah pada setiap akhir tahun saya yang menaiki pentas untuk mengambil hadiah dihari Kecemerlangan Sekolah sehingga ditabalkan menjadi Tokoh Murid Cemerlang. Seperti biasa semua itu disekolah dan tidak dirumah. Saya sendiri tak tahu kenapa tapi saya menerima dengan hati terbuka dan reda. Mungkin ayah ada alasan tersendiri cuma saya tak berani nak menanya. Ada 3 peristiwa yang masih terpahat dijiwa saya sewaktu disekolah rendah yang membuat saya tertanya-tanya kenapa? (akan saya ceritakan dilain topik nanti)

Masuk sekolah menengah saya ditempatkan disekolah yang jauhnya 5km dari rumah. Tapi kali ini saya pergi dengan menaiki bas. Terasa keseronokan dapat menaiki bas bersama kawan-kawan. Sekali lagi saya pergi bersendirian pada hari pertama dan sudah menjadi terbiasa melalui suasana begitu. Dihati saya cuma ada hasrat belajar dan belajar utuk keluar dari kepompong kesusahan keluarga. Waktu rehat saya habiskan dengan berehat dikawasan padang sebab tiada belanja yang mewah untuk membeli makanan. Biasa saya membawa air dari rumah. Kalau ada kawan-kawan yang baik adalah habuan untuk saya. Terima kaseh pada yang sudi hanya Allah yang membalas kebaikan kawan-kawan saya. Pencapaian saya berterusan dalam kelompok 5 yang terbaik dikelas A dan keselurohan. Pada peperiksaan Sijil Rendah Pelajar (SRP) ditingkatan 3 saya mendapat agregate A 12 dan ditawarkan ke sekolah beraliran sains dibandar. Saya tidak beminat belajar sains dan diwaktu yang sama saya memohon utk melanjutkan pelajaran dalam aliran teknik, Alhamdullillah saya berjaya. Setelah sebulan di sekolah aliran sains saya berpindah Sekolah Teknik. Kerana minat yang tinggi dengan mudah saya dapat mempelajari dengan cepat malah diletakkan dalam kelas pertama. Disini saya mula mengenali hidup yang lebih mencabar dan perlu kekuatan dalaman dan luaran yang hebat. Saya rasa bertuah kerana ramai kawan-kawan bersama dan rasa dihargai. Saya mula menyemai cita-cita dihati kerana ingin hidup lebih berjaya dan senang. Hampir-hampir saya tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana tak mampu nak membayar yuran peperiksaan tapi nasib menyebelahi saya, akhirnya saya berjaya dan mendapat keputusan yang saya banggakan kerana usaha saya sendiri. Walau bebagai cabaran yang saya hadapi ketika dialam menengah saya tetap tabah tanpa sokongan dari mereka yang bergelar ibubapa. Saya tidak menyalahkan mereka sebab kemampuan mereka terbatas. 'Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Pada ibu dan ayah saya sedia sujud dikaki mu andai banyak kesilapan yang dilakukan oleh anak mu ini. Saya rela dipukul lagi andainya itu membuatkan saya sedar dan insaf untuk menjadi insan yang soleh. Bagi saya tiada insan yang lebih bernilai dalam hidup ini kecuali ibu dan ayah. Aku medoakan agar roh mu sentiasa bersama para soliha dan solihin.

Kepada ibubapa yang ada didunia ini asuhlah, didiklah, pandulah amanah Allah ini kejalan yang terbaik supaya menjadi insan-insan kamil yang hebat. Jangan disia-siakan, bentuklah keperibadiannya menjadi mukmin yang sejati. Kepada anak-anak patuhlah, hormatlah, sayangilah kedua ibubapa kamu kerana tanpanya anda tidak hadir kedunia ini. Harapan mereka terlalu besar untuk kamu menjadi anak yang berguna jadi penuhi kehendaknya agar tiada kesal sepanjang hidup. ' Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah bekorban nyawa'.

Tuesday, March 2, 2010

Lebih baik mencegah dari mengubati

Hidup dan mati satu ketentuan atau takdir dari Allah untuk makhluknya.Tidak lambat sesaat maupun cepat sesaat sampai waktu kita tetap kembali kepadanya. Samada kita bersedia atau tidak bukan alasan untuk kita tidak melakukan apa saja yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Itu perjanjian yang tertulis sebelum kita dilahirkan kedunia yang disimpan kemas di Loh Mahfuz. Mungkin perit atau sedih untuk diterima tapi hadapilah dengan keredaan semuga perjalanan yang seterus menjadi mudah. Begitu juga pada ujian-ujian yang lain yang Allah mahu kita lalui supaya kita selalu mensyukuri nikmat diberikan. Hanya orang-orang yang sabar dan beriman akan dapat melalui ujian ini dengan penuh tabah dan tawaduk. Begitu juga penyakit yang datang dan pergi, satu ujian juga harus hadapi dengan sabar. Bagi saya manusia yang paling sabar dalam menghadapi penyakit didunia ini adalah Nabi Allah Ayub AS (Bacalah kisahnya dalam kisah-kisah Nabi).

Minggu lepas saya membuat pemeriksaan kesihatan dan Doktor merumuskan atas ujian yang dijalankan. Tekanan Darah Tingi (BP) kembali naik dan kandungan gula dalam darah juga meningkat agak mendadak tinggi. Lantas meminta saya menjalani lagi ujian selanjutnya supaya kalau terdapat gejala penyakit lain hadir dalam diri saya. Bagi saya kesihatan amat penting tanpa berlengah saya terus bersetuju. Maka bermulalah kehidupan baru saya yang mempunyai penyakit kronik (berpenyakit merbahaya). Saya hadapi dengan reda atas apa yang terjadi kerana ini satu ujian dari Allah juga. Kurangan makanan manis dan masin. "Prevention is better then cure", ayat yang agak mudah tapi nak melakukan bukan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan mnusia. Biasanya apa yang dilarang itulah yang suka dilakukan kerana alasan hidup hanya sekali. Insyaallah saya cuba melakukan yang terbaik untuk diri saya kerana falsafah saya mudah 'hanya kita saja yang tahu apa yang kita mahu dan rasakan dalam diri kita'.

Saya terus teringat akan kedua orangtua saya yang telah pergi buat selama-lamanya kerana menghidapi penyakit kronik juga. Emak (25 Mei 1979) kerana barah paru-paru dan ayah (12 Ogos 1993)kerana serangan jantung. Hilang sudah nikmat untuk memanggil 'Emak dan Abah' didunia ni, Alfatihah buat mereka agar ditempatkan bersama para solihin..Amin. Mengimbau kembali saat-saat menjaga mereka ketika sakit, besar sungguh dugaan yang dihadapi. Kalau tak punya kesabaran yang tinggi dan tabah menghadapi kerenahnya ketika sakit, tipu saya katakan tapi bak kata pepatah 'Orangtua boleh menjaga anak yang ramai tapi anak yang ramai belum tentu dapat membela kedua ibubapa mereka'. Pada yang masih mempunyai kedua-duanya jagalah sebaik mungkin, hargailah mereka seolah-olah satu permata yang mahal harganya.

Serangan jantung berlaku pada ayah ketika Malaysia tengah berhempas pulas menentang Indonesia diperlawanan akhir Piala Thomas tahun 1992. Bukan disebabkan perlawanan tersebut tetapi petang sebelum perlawanan ketika menunggu waktu maghrib, beliau rebah perlahan-lahan dimana adik-adik ada bersamanya. Ketika perlawanan berlansung kami yang duduk disekitar Kuala Lumpur mendapat berita melalui telipon. Lantas bergegas balik, hilang minat pada Badminton. Sampai dikampong ayah telah dimasukkan di hospital Kuala Pilah. Sebulan lama beliau koma dan akhir pihak hospital meminta kami membawanya pulang kerana tiada perubahan. Makan dan minum dengan mengunakan tiub getah melalui mulut. Perasaan tak puas hati bersarang dikepala dengan alasan yang tak diterima akal pesakit dikeluarkan sebelum pulih. Dengan rasa kecewa ayah terpaksa dibawa balik dan saya buat perjanjian dengan doktor tersebut saya akan bawa kembali ayah ke hospital setelah beliau boleh berjalan. Bermulalah era yang benar-benar mencabar tanggungjawab sebagai anak.

Bersama adik beradik yang kami bergilir-gilir menjaga ayah. Perasaan tidak puas hati antara kami memang tidak dapat dielakkan. Suka, duka, penat dan apa saja kami tempuhi bersama. Tumpuan saya terhadap isteri dan anak-anak malah kerja sudah tidak terurus seperti sebelumnya dan adakala jauh hati dari mereka terpaksa ditelan kerana kedudukan situasi umpama "ditelan pahit dibuang sayang".Dalam masa yang sama saya cuba berubat cara kampung (walau hakikatnya memang saya tak bersetuju) demi ayah saya lalui juga. Sudah bermacam cara dan bebagai bomoh dicuba, tiada perubahan pada diri ayah. Tetap sama dalam keadaan koma, besar sungguh dugaan yang dihadapi sehingga kami berjumpa seorang bomoh yang tinggal di Kampong Berembang, Ampang, Kuala Lumpur (Saya selalu bertanya kenapa bomoh hanya berubat pada waktu malam sahaja).

Pada perjumpaan yang pertama hanya saya dan abang(arwah) bersama sepupu serta kawannya. Malam itu saya diberitahu yang ayah telah melakukan kesilapan besar kerana telah terpotong hampir putus kaki anak bunian (macam tak logik)jadi mereka mahu galang ganti iaitu nyawa. Saya minta pada bomoh tu masih adakah cara lain untuk menggantikan nyawa. Setelah dia berkomunikasi dengan bunian tersebut, hanya meminta harga seekor lembu dan memberi tempoh selama seminggu. Masih saya tak puas hati, sampai dirumah lalu bertanya pada adik-adik betul ayah ada memotong buloh. Jawapannya ya pada pagi hari sebelum beliau rebah. Antara percaya dengan tidak dan tanggungjawab yang dipikul, keesok harinya merata saya mencari lembu yang untuk dijual. Entah kenapa tiada seorang pun yang mahu menjual lembu walaupun mereka mempunyai banyak lembu. Hari yang dijanjikan dah tiba harga seekor lembu belum juga dapat. Rasa kecewa bersarang dikepala kenapa ini berlaku pada diri ini. Saya nekad buat pencarian terakhir sebelum malam, lantas saya menemui Pekedai yang hanya mempunyai seekor lembu sahaja (untuk dibuat kenduri nikah anaknya dan beliau pun tahu apa yang berlaku pada saya). Mungkin atas dasar simpati beliau sanggup menjualnya dengan harga RM1,100.00. Saya buat perjanjian yang mana saya akan datang kembali bersama wangnya. Ahh lega sudah dapat yang dicari.

Malamnya saya pergi berjumpa dengan bomoh, kali ini kakak saya turut serta kerana beliau tidak sabar nak tahu cerita sebenar. Setelah mendapat giliran berjumpa bomoh tersebut dan mengatakan yang harga seekor lembu sudah dapat dicari. Bomoh berkomunikasi lagi dengan bunian (tak tahu macam mana mereka lakukan) dan memberi tahu saya yang beliau akan kekampong saya pada khamis malam utuk meneruskan rawatannya. Saya perlu menyediakan keperluan yang dimintanya. Tak sabar menunggu saatnya apakah yang terjadi pada malam tersebut.

Malam (11.30mlm) yang dijanjikan tiba dan tidak dibenarkan sesiapa berada disamping ayah kecuali saya dan dua abang bagi memulai rawatan. Saya diminta berhadapan dengan bomoh untuk memulakan upacara. Dalam keadaan samar saya lihat lembaga yang agak besar dibelakang bomoh. Melalui bomoh, bunian bersetuju dengan galang ganti sebanyak RM1,100.00 dan juga meminta melalui saya kepada orang kampong sekiranya ingin membuat sesuatu didalam kampong ini harus dimulai dengan salam (Bunian Islam rupanya). Saya pun meminta kepada bunian tersebut jangan juga mengacau penghuni kampong. Persetujuan dicapai dengan sama-sama menjaga keamanan kampong kami. Ketika rawatan kami tidak dibenarkan bertanya hanya menurut. Keadaan ayah masa itu senyap, mungkin tertidur. duit yang berjumlah RM1,100 dibungkus dengan kain putih dan diletak diatas dulang. Kemudian kami diminta bomoh untuk membawa ketempat ayah memotong buloh bersama wang tersebut. Jarak dari rumah dalam 100m sahaja. Malam tu cuaca begitu tenang sehingga sampai kerimbunan buloh, secara tiba-tiba ribut melanda. Bomoh meminta saya meletakkan wang tersebut diatas tunggul tempat buloh itu dipotong dan tak sampai beberapa saat kelibat wang itu hilang dari pandangan, sementara ribut kembali reda. Macam tak percaya tapi itulah yang berlaku. Kuasa Allah menghendaki apa saja yang berlaku mengikut ketentuannya. Kemudian kami balik kerumah dan ayah sudah boleh bergerak dari koma dan meminta untuk bangun. Saluran tiub getah telah ditanggalkan. Saya menghantar bomoh balik ke Kuala Lumpur. Letih sungguh dari semalam hingga esoknya tanpa tidor. Yang penting ayah kembali sihat. Syukur pada Allah dan kakak bermimpi yang dia melhat anak bunian itu kakinya hampir terputus. Satu kejadian yang sukar saya nak terima tapi berlaku didepan mata. Besok satu kampong terbau masakan kari lembu. Ajaibkan..itulah kuasa Allah.

Ayah sudah boleh bercakap dan berjalan. Lega rasanya hati dan dah tentu tumpuan seterusnya doktor dihospital Kuala Pilah. Bukan saya nak berdebat maupun bertengkar cuma ingin menunjukkan kepadanya atas kegigihan saya. Dihari pertemuan doktor tersebut agak terperanjat dan menanya apa yang telah saya lakukan. Jawapan saya semuanya kuasa Allah kita hanya berikhtiar. Beliau akur dan terus menjadi sahabat.Sehari selepas peristiwa itu baru kami tahu kenapa mereka meminta harga seekor lembu dengan jumlah RM1100.00. Disebabkan kami ada 11 orang adik beradik ... sukar nak ditakrifkan.

Dalam hidup banyak perkara perlu diambil kira untuk menjadi insan yang sempurna. Jangan tunggu diakhir waktu untuk bertindak. Sentiasa bertolak ansur dan reda atas ujian yang kita lalui. Berlaku ikhlas dan jujur dalam segala hal, Insyaallah segala-galanya akan berjalan lancar...Alhamdullillah..